Pengguna:Malurian123/Thailand

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Thailand, secara rasminya Kerajaan Thailand dan dahulunya Siam (hingga 1939 dan sekali lagi dari 1946 hingga 1948), merupakan sebuah negara di tengah semenanjung Indocina di Asia Tenggara. Ia bersempadan dengan Myanmar di barat laut, Laos dan Kemboja di timur, Teluk Thailand dan Malaysia di selatan, dan LLaut Andamanaut Andaman di barat. Sempadan lautnya termasuk Vietnam di tenggara dalam Teluk Thailand, dan Indonesia dan India di barat daya dalam Laut Andaman. Ibu negara dan bandar terbesarnya Bangkok. Dengan kira-kira 69 juta orang, Thailand merupakan negara ke-20 paling ramai penduduk di dunia.

Orang Thai berhijrah dari China barat daya ke tanah besar Asia Tenggara selama berabad-abad lamanya. Sebutan yang paling awal diketahui akan kehadiran mereka di rantau terbabit dengan eksonim Siam terdapat pada prasasti abad ke-12 di kompleks kuil Khmer Angkor Wat di Kemboja yang menyebut orang "syam" atau "perang tua". Kawasan itu pernah dikuasai oleh pelbagai negeri keindiaan seperti kerajaan-kerajaan Mon, Empayar Khmer dan negeri-negeri Melayu, bersaing dengan negeri-negeri Thai seperti Ngoenyang, Sukhothai, Kerajaan Chiang Mai, Lan Na dan Ayutthaya yang juga saling melawan. Orang Eropah tiba pada abad ke-16, bermula dengan misi diplomatik Portugis ke Ayutthaya pada 1511. Abad-abad berikutnya menyaksikan pelbagai kuasa penjajah Eropah merebut wilayah di kawasan Indocina, di mana Thailand kehilangan banyak wilayah kepada Perancis dan British tetapi kekal sebagai satu-satunya negara Asia Tenggara yang terselamat dari penjajahan. Mulai pemerintahan Raja Rama IV pada pertengahan abad ke-19, Thailand menjalankan kempen memodenkan bangsa sejajar dengan piawaian Barat. Ini membawa kepada peralihan daripada pemerintahan raja multak kepada raja berperlembagaan pada 1932. Namun 60 tahun berikutnya menyaksikan pemerintahan tentera dan demokrasi bersilih ganti, dengan rampasan kuasa terbaru pada Mei 2014.

Dengan tahap pembangunan insan yang tinggi, Thailand digolongkan sebagai negara industri baru yang amat bergantung pada eksport, terutamanya jentera-jentera, elektronik, barang makanan, dan alat-alat kereta. Perkilangan, pertanian, dan pelancongan merupakan sektor teraju ekonomi.[1][2] Ekonominya merupakan yang kedua terbesar di Asia Tenggara dan yang ke-20 terbesar di dunia dari segi keluaran dalam negeri kasar (KDNK) pada pariti kuasa beli. Thailand dikira kuasa serantau Asia Tenggara dan "kuasa tengah" dalam hal-ehwal dunia.[3]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Bahasa Thai: ประเทศไทยBahasa Thai: ราชอาณาจักรไทยBahasa Thai: สยาม

Asal-usul nama "Siam"[sunting | sunting sumber]

Sejak dahulu lagi negara Thai digelar Mueang Thai oleh warganya sendiri. Bagi orang luar sebelum 1949, ia lebih dikenali dengan eksonim (nama luar) Siam (Bahasa Thai: สยาม rtgsSayamSayam, disebut [sajǎːm]). Perkataan Siam dikaitkan dengan perkataan Sanskrit Śyāma (श्याम, bermaksud "gelap" atau "perang").

SPPM Mongkut Rex Siamensium, tandatangan Raja Mongkut

Asal usul nama "Thailand"[sunting | sunting sumber]

Menurut George Cœdès, perkataan Thai (ไทย) bermaksud "orang bebas" dalam bahasa Thai, "membezakan Thai daripada orang asal yang terlingkung dalam masyarakat Thai sebagai hamba."[4] Seorang ilmuwan Thai terkenal berhujah bahawa Thai (ไท) hanya bermaksud "orang" atau "manusia" kerana kajian beliau menunjukkan bahawa di sesetengah kawasan luar bandar, perkataan "Thai" digunakan sebagai ganti bagi perkataan lazim "khon" (คน) untuk memaksudkan orang.[5] Menurut Michel Ferlus, etnonim Thai/Tai (atau Thay/Tay) berevolusi dari etimon *k(ə)ri: 'manusia' melalui rantaian berikut: *kəri: > *kəli: > *kədi:/*kədaj > *di:/*daj > *dajA (Proto-Tai Barat Daya) > tʰajA2 (dalam bahasa Siam dan Lao) or > tajA2 (dalam bahasa-bahasa Tai Barat Daya dan Tengah lain yang dikelaskan oleh Li Fangkuei).[6] Hasil kerja Michel Ferlus berasaskan hukum asas perubahan fonetik yang dapat diperhatikan di Sinosfera (lingkungan pengaruh budaya Cina) dan dikaji rata-rata oleh William H. Baxter (1992).[7]

Biarpun orang Thai sering menyebut negara mereka dengan nama halus prathet Thai (Bahasa Thai: ประเทศไทย), namun mereka lebih sering menyebut nama santai mueang Thai (Bahasa Thai: เมืองไทย) atau sekadar Thai; perkataan mueang asalnya bermaksud negara kota, sering digunakan untuk menyebut bandar sebagai pusat serantau. Ratcha Anachak Thai (Bahasa Thai: ราชอาณาจักรไทย) bermaksud "kerajaan (negara beraja) Thai", terdiri daripada ratcha (Sanskrit राजन्, rājan, "raja") ; -ana- (Pali āṇā "kuasa; wibawa", dari Sanskrit आज्ञा, ājñā, sama maksud) -chak (dari Sanskrit चक्र cakra- "cakera; roda", lambang kekuasaan dan pemerintahan). Lagu kebangsaan Thai (Bahasa Thai: เพลงชาติ) yang digubah oleh Luang Saranupraphan pada zaman kemuncak patriotisme 1930-an, menyebut bangsa Thai sebagai prathet Thai (Thai: ประเทศไทย). Baris pertama berbunyi: prathet thai ruam lueat nuea chat chuea thai (Bahasa Thai: ประเทศไทยรวมเลือดเนื้อชาติเชื้อไทย), "Negara Thai menyatukan darah daging keturunan Thai."

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Terdapat bukti bahawa Thailand diduduki manusia sejak 40,000 tahun yang lalu dengan artifak batu yang bertarikhkan zaman ini di Perteduhan Batu Tham Lod di Mae Hong Son. Serupa dengan rantau-rantau lain di Asia Tenggara, Thailand amat dipengaruhi oleh budaya dan agama India, bermula dengan Kerajaan Funan sekitar abad pertama Masihi hinggalah Empayar Khmer.[8] Thailand pada hari-hari terawalnya tertakluk kepada pemerintahan Empayar Khmer yang kukuh akar umbi Hindunya, sehingga pengaruhnya pada Thailand kekal hingga hari ini.

Tinggalan Wat Chaiwatthanaram di Ayutthaya

Pengaruh India ke atas budaya Thai sedikit sebanyak didatangkan daripada hubungan langsung dengan penetap India, tetapi terutama sekali dibawakan melalui kerajaan-kerajaan keindiaan Dvaravati, Sriwijaya, dan Kemboja.[9] E.A. Voretzsch percaya bahawa agama Buddha mengalir masuk ke dalam Siam dari India sekian lama sejak zaman Maharaja India Ashoka dari Empayar Maurya hingga alaf pertama Masihi. Kemudian Thailand dipengaruhi oleh dinasti Pallava dari India selatan dan Empayar Gupta dari India utara.

Menurut George Cœdès, "orang Thai mula-mula memasuki sejarah India Jauh pada abad ke-11 dengan disebutnya hamba abdi atau tawanan perang Syam" dalam epigrafi Champa, dan "pada abad ke-12, timbulan bes Angkor Wat" di mana "seangkatan pahlawan" diperikan sebagai Syam. Tambahan pula, "kaum Mongol selepas menawan Ta-li pada 7 Januari 1253 dan pendamaian Yunnan pada 1257, bukannya tidak menyenangi pembentukan serangkai negeri-negeri Thai kecil untuk menggantikan kerajaan-kerajaan keindiaan." Lembangan Menam asalnya diduduki oleh suku Mon, menjadi lokasi Dvaravati pada abad ke-7, diikuti Empayar Khmer pada abad ke-11. Sejarah Yuan menyebut akan sebuah duta dari kerajaan Sukhothai pada 1282. Pada 1287, tiga orang penghulu Thai iaitu Mangrai, Ngam Muang dan Ram Khamhaeng membentuk sebuah "ikatan persahabatan yang utuh".[4]

Setelah kejatuhan Empayar Khmer pada abad ke-13, di situ mekarnya pelbagai negeri yang ditubuhkan oleh kaum-kaum Tai, Mon, Khmer, Cham dan Etnik Melayu, seperti yang dilihat melalui berbilang tapak kaji purba dan artifak yang bertaburan di seluruh rupa bumi Siam. Namun sebelum abad ke-12, Kerajaan Sukhothai beragama Buddha dikira sebagai negeri Thai atau Siam pertama yang ditubuhkan pada tahun 1238.

Ekoran kemerosotan Empayar Khmer pada abad-abad ke-13 hingga ke-15, bangkitlah kerajaan-kerajaan Sukhothai, Lanna, dan Lan Xang (kini Laos). Namun seabad kemudian, kuasa Sukhothai ditelan oleh kerajaan baharu Ayutthaya yang ditubuhkan pada pertengahan abad ke-14 di hilir Menam atau Sungai Chao Phraya.

Duta Siam menyampaikan warkah kepada Paus Innocent XI, 1688

Peluasan Ayutthaya bertengahkan sepanjang Menam sementara kawasan lembah utara diperintah oleh Kerajaan Lanna dan lain-lain negeri kota Tai kecil-kecilan. Pada 1431, Khmer meninggalkan Angkor selepas dijarah oleh angkatan Ayutthaya.[10] Ketika ini Thailand menjalin hubungan perdagangan dengan negara jiran, baik China, India, Parsi mahupun Arab. Ayutthaya menjadi salah sebuah pusat perdagangan paling rancak di Asia. Pedagang Eropah tiba pada awal abad ke-16, bermula dengan misi adipati Portugis Afonso de Albuquerque pada 1511, diikuti oleh Perancis, Belanda dan Inggeris. Perang Burma–Siam (1765–1767) menyebabkan Ayutthaya rentung dan dijarah oleh Raja Hsinbyushin Konbaung.

Setelah jatuhnya Ayutthaya kepada Burma pada 1767, Taksin memindahkan ibu kota ke Thonburi selama kira-kira 15 tahun. Zaman Rattanakosin dalam sejarah Thai bermula pada 1782 dengan penubuhan Bangkok sebagai ibu kota dinasti Chakri di bawah Raja Rama I. Menurut Encyclopædia Britannica, "Sesuku hingga sepertiga penduduk sesetengah kawasan Thailand dan Burma merupakan hamba abdi dalam abad-abad yang ke-17 hingga yang ke-19."[11][12]

Abad ke-20[sunting | sunting sumber]

Penyerahan wilayah Siam kepada British dan Perancis mengikut tahun

Biarpun didesak oleh Eropah, Thailand adalah satu-satunya negara Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah oleh sebarang kuasa Barat.[13] Ini dianggap berkat daripada pemerintah cekap berturut-turut dalam empat abad yang lalu yang memanfaatkan persaingan antara Empayar British dan Perancis. Pada 1896, British dan Perancis menjamin lembah Chao Phraya sebagai negara penampan.[14] Apapun, pengaruh Barat menyebabkan banyak pembaharuan dan konsesi pada abad ke-19, terutama sekali penyerahan sebuah wilayah nuangan besar di timur Mekong kepada Perancis, serta penyerapan kawasan kaum Shan dan Karen serta Semenanjung Melayu secara beransur-ansur oleh British.

Dalam konsesi yang ditawarkan oleh dinasti Chakri kepada Empayar British untuk membalas jasa sokongan mereka, Siam menyerahkan empat buah wilayah etnik Melayu kepada British dalam Perjanjian Inggeris-Siam 1909. Empat buah negeri inilah (Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis) yang menjadi empat buah negeri utara Malaysia.

Pada 1917, Siam menyertai Pihak Bersekutu Perang Dunia Pertama dan dibilang sebagai antara negara yang berjaya di perang tersebut. Revolusi tanpa tumpah darah yang berlangsung pada 1932 dijalankan oleh gabungan pegawai tentera dan awam Khana Ratsadon menyebabkan peralihan kuasa yang mana Raja Rama VII terpaksa mengurniakan perlembagaan pertama kepada rakyat Siam, dan oleh itu menamatkan pemerintahan raja mutlak berkurun-kurun.

Pada 1939, nama negara "Siam" ditukarkan kepada "Thailand".

Perang Dunia Kedua[sunting | sunting sumber]

Peta Thailand ketika Perang Dunia Kedua (1941-1945)

Perang Perancis-Thai[sunting | sunting sumber]

Selepas Perancis ditakluki oleh Jerman Nazi pada Jun 1940, ramai di kalangan pihak Thai melihat peluang keemasan untuk menuntut kembali wilayah yang diserahkan kepada Perancis ketika zaman Raja Rama V. Kempen publisiti pimpinan nasionalis berlangsung di Bangkok pada 8 Oktober 1940. Pemerintah Thai berusul bahawa seandainya pihak Indocina Perancis tidak mampu mempertahankan diri, maka ia harus menyerahkan semula wilayah-wilayah yang diambil dari Thailand. Usul ini ditentang keras oleh Perancis yang kemudiannya mengerahkan tentera ke sempadan Thai di Aranyaprathet. Perdana Menteri Thai ketika itu, Plaek Phibunsongkhram menganggap hal itu sebagai tindakan perang. Biarpun tentera darat dan udaranya kurang daripada Perancis, namun Thailand memenangi kebanyakan pertempuran. Akan tetapi pihak Jepun risau bahawa kemaraan Thai akan menghambat mereka kerana Jepun dibenarkan untuk menduduki Indocina Perancis Utara. Oleh itu Jepun masuk campur untuk dalam konflik. Gencatan senjata ditandatangani pada 9 Mei 1941 dengan penyerahan sesetengah wilayah Indocina Perancis kepada Thailand.

Bergabung dengan Paksi[sunting | sunting sumber]

Pada 7 Disember 1941, Japan menuntut hak untuk mengerahkan tentera merentasi Thailand ke sempadan Malaya. Serangan Jepun dilancarkan pada pagi 8 Disember selaras dengan serangan-serangan di seluruh Asia dan melawan Tentera Diraja Thai selama enam hingga lapan jam sebelum Phibunsongkhram memerintahkan perletakan senjata. Sejurus selepas itu, Jepun diberi laluan, dan pada 21 Disember 1941, Thailand dan Jepun menandatangani perikatan tentera dengan protokol rahsia yang mana Tokyo bersetuju untuk menolong Thailand mengambil kembali wilayah yang terserah kepada British dan Perancis.

Susulan itu, Thailand mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat dan United Kingdom pada 25 Januari 1942 dan "menolong" Jepun dalam perang menentang Pihak Berikat sambil memelihara sebuah Gerakan Thai Bebas yang anti-Jepun. Kira-kira 200,000 orang buruh Asia (rata-ratanya romusha) dan 60,000 orang tawanan perang dari Pihak Berikat mengerjakan Landasan Kereta Api Burma di atas tanah Thai yang umum dikenali sebagai "Death Railway".[15]

Sejarah moden[sunting | sunting sumber]

Sejarah Thailand dari 1932 hingga 1973 dikuasai oleh kediktatoran tentera yang banyak menguasai tempoh tersebut. Tokoh-tokoh utamanya merupakan diktator Luang Phibunsongkhram (atau lebih dikenali sebagai Phibun) yang berpakat dengan Jepun ketika Perang Dunia Kedua, dan ahli politik sivil Pridi Phanomyong yang menubuhkan Universiti Thammasat dan menjadi Perdana Menteri sejenak selepas perang.

Selepas jatuhnya Pridi disusuli pula diktator tentera berturut-turut — Phibun sekali lagi, Sarit Thanarat dan Thanom Kittikachorn — apabila pemerintahan autoritarian tradisional bertembung dengan kebangkitan pemodenan dan pembaratan di bawah pengaruh Amerika Syarikat. Tamat tempohnya ditandai oleh peletakan jawatan Thanom ekoran pembunuhan beramai-ramai terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi yang diketuai oleh siswa-siswi Thammasat. Thanom tersalah anggap situasi itu sebagai rampasan kuasa lalu melarikan diri, meninggalkan negaranya hilang kemudi. Maka Raja Bhumibol (Rama IX) menitahkan agar canselor Universiti Thammasat Sanya Dharmasakti dilantik sebagai Perdana Menteri.

Thailand menolong Amerika Syarikat dan Vietnam Selatan dalam Perang Vietnam pada 1965–1971. Tentera Udara AS menempatkan jet pejuang F-4 Phantom di Pangkalan Udara Udon dan Ubon dan juga B-52 di U-Tapao. Tentera Thai juga menyaksikan pertempuran sengit dalam perang sulit di Laos yang berlaku dari 1964 hingga 1972.

Pada 1973 berlakunya pemberontakan ramai-ramai yang menamatkan kediktatoran tentera pimpinan antikomunis Thanom Kittikachorn, serta mengubah rupa sistem politik Thai. Terutama sekali, ia menyerlahkan kebangkitan pengaruh siswa-siswi Thai dalam politik.

Sepanjang 1980-an, Thailand diperintah oleh Perdana Menteri Prem Tinsulanonda yang memulihkan politik berparlimen. Selepas itu negara Thai kekal berdemokrasi kecuali pemerintahan tentera sekejap dari 1991 hingga 1992. Parti populis Thai Rak Thai pimpinan Thaksin Shinawatra memerintah dari 2001 hingga 2006. Pada 2006, protes beramai-ramai mass terhadap Thai Rak Thai atas dakwaan rasuah mencetuskan rampasan kuasa oleh tentera pada September. Pilihan raya umum Disember 2007 memulihkan kerajaan sivil, tetapi pada Mei 2014 satu lagi rampasan kuasa tentera mengembalikan kuasa mutlak kepada tentera.

Galeri sejarah[sunting | sunting sumber]

Politik[sunting | sunting sumber]

Politik negara Thai kini dijalankan dalam kerangka raja berperlembagaan dengan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dan Raja pewaris takhta sebagai ketua negara. Cabang kehakiman seharusnya bebas bertindak daripada cabang perundangan dan eksekutif, namun tindakan kehakiman disyaki berasaskan kepentingan politik daripada ketentuan undang-undang sedia ada.[16]

Tugu Demokrasi Bangkok menggambarkan Perlembagaan 1932 Constitution di atas dua biji mangkuk sembahan di atas menara kecil.

Semenjak pembaharuan politik dari raja mutlak pada 1932, Thailand telah mempunyai 19 perlembagaan dan piagam.[17][18] Sepanjang tempoh ini, bentuk kerajaan bersilih ganti antara kediktatoran tentera dan demokrasi berpilih, tetapi semua pemerintahan memperakui seorang raja pewaris takhta sebagai ketua negara.[19][20]

Sebelum 1932, Kerajaan Siam tiada badan perundangan kerana semua kuasa perundangan terserah kepada sang raja. Demikianlah caranya sejak penubuhan Kerajaan Sukhothai pada abad ke-12, apabila sang raja dipandang sebagai "Dharmaraja" atau "raja yang memerintah mengikut Dharma", (hukum sila agama Buddha). Namun pada 24 Jun 1932 sekumpulan orang awam dan pegawai tentera yang bergelar Khana Ratsadon (atau Parti Rakyat) menjalankan rampasan kuasa tanpa tumpah darah yang menamatkan 150 tahun pemerintahan mutlak Dinasti Chakri. Sebagai gantinya, kumpulan tersebut memperjuangkan sistem raja berperlembagaan dengan badan perundangan pilihan rakyat.

"Perlembagaan Draf" 1932 yang ditandatangani oleh Raja Prajadhipok (Rama VII) mencipta badan perundangan pertama Thailand, iaitu sebuah Dewan Perhimpuan Rakyat dengan 70 orang ahli lantikan. Perhimpunan bersidang buat julung kali pada 28 Jun 1932 di Dewan Singgahsana Ananta Samakhom. Khana Ratsadon menilai bahawa rakyat belum bersedia untuk perhimpunan pilihan awam, tetapi kemudian berubah pendirian. Ketika perlembagaan "tetap" berkuatkuasa pada Disember 1932, pilihan raya dijadualkan untuk 15 November 1933. Perlembagaan baharu ini mengubah komposisi perhimpuan kepada 78 orang pilihan awam dan 78 orang yang dilantik (oleh Khana Ratsadon), jadi kesemuanya 156 orang ahli.

Sejak Mei 2014, Thailand diperintah oleh kerajaan tentera yang bergelar Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara yang sedikit sebanyak memansuhkan perlembagaan 2007, mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung seluruh negara, mengharamkan himpunan politik, menangkap dan menahan ahli-ahli politik dan aktivis-aktivis anti rampasan kuasa, mengetatkan penapisan Internet dan menguasai media massa.

Raja Thailand semasa ialah Raja Vajiralongkorn (or Rama X) yang naik takhta pada 1 Disember 2016 ekoran kemangkatan ayahandanya Bhumibol Adulyadej (Rama IX) pada 13 Oktober 2016. Termaktub dalam perlembagaan bahawa kedaulatan negara terletak pada rakyat tetapi raja akan melaksanakan kuasa-kuasa melalui ketiga-tiga cabang pemerintahan negara Thai. Raja selaku ketua negara diberi kuasa dan peranan tertentu dalam kerajaan walaupun terhad oleh perlembagaan. Menurut perlembagaan, raja ialah ketua angkatan tentera. Baginda dikehendaki menganut agama Buddha serta mempertahankan semua agama di negara. Raja juga memelihara beberapa kuasa tradisional seperti pelantikan pewaris, pengampunan, dan perkenan diraja. Raja dibantu menjalankan tugas oleh Majlis Privi Thailand.

Pembahagian pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Thailand terbahagi kepada 76 buah wilayah (จังหวัด, changwat), yang disusun kepada lima rantau. Juga terdapat dua buah wilayah pentadbiran khas, iaitu ibu kota Bangkok (Krung Thep Maha Nakhon) dan Pattaya. Bangkok terletak di peringkat wilayah dan oleh itu dikira sebagai satu wilayah.

Setiap wilayah terbahagi kepada daerah dan daerah itu terbahagi lagi kepada mukim (tambon). Setakat 2006 terdapat 877 daerah (อำเภอ, amphoe) dan 50 zon di Bangkok (เขต, khet). Bandaraya Bangkok dan beberapa bahagian wilayah yang bersempadan dengan ibu kota diberi gelaran Bangkok Raya (ปริมณฑล, pari monthon). Wilayah-wilayah berkenaan termasuk Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Nakhon Pathom dan Samut Sakhon. Rata-rata ibu kota (เมือง, mueang) setiap wilayah sama dengan wilayah masing-masing. Misalnya, ibu kota Wilayah Chiang Mai (Changwat Chiang Mai) dipanggil Mueang Chiang Mai atau Chiang Mai.

Rantau[sunting | sunting sumber]

Pembahagian empat rantau Thailand

Wilayah-wilayah Thai ditadbir mengikut kawasan bahagian atau rantau, dan Thailand lazimnya menggunakan sistem pembahagian empat rantau, iaitu: Thailand Utara, Thailand Timur Laut, Thailand Tengah dan Thailand Selatan.

Setiap rantau mempunyai latar belakang sejarah, budaya, bahasa dan suku kaum tersendiri.


Thailand merupakan sebuah negara unitari (kesatuan) yang mana para gabenor wilayah, ketua daerah dan kerani daerah semuanya dilantik oleh kerajaan pusat. Pembahagian rantau tidak lagi bercirikan pentadbiran tetapi dikekalkan untuk tujuan ilmiah geografi, statistik, geologi, kaji cuaca atau pelancongan.

Kawasan Selatan[sunting | sunting sumber]

Wilayah-wilayah selatan Thailand memaparkan kawasan majoriti Melayu-Islam

Siam pernah menguasai Semenanjung Tanah Melayu sejauh ke selatan hingga paras Melaka pada abad ke-15, malah juga menaungi sebahagian besar semenanjung termasuklah Temasek (Singapura), sesetengah pulau-pulau Andaman, dan sebuah jajahan di Jawa, tetapi akhirnya berundur apabila British menggunakan kekerasan untuk menjamin naungan mereka ke atas negeri-negeri Melayu.

Negeri-negeri Melayu utara menghantar ufti tahunan kepada Raja Siam dalam bentuk bunga masa sebagai tanda penghormatan dan pengakuan terhadap naungan Siam. British campur tangan dalam urusan negeri-negeri Melayu dan menerusi Perjanjian Inggeris-Siam ia cuba membina landasan kereta api dari selatan ke Bangkok. Siam melepaskan kedaulatan terhadap negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu kepada British sementara wilayah Satun dan Pattani dikekalkan.

Wilayah-wilayah Melayu diduduki oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua, lalu disusupi oleh Parti Komunis Malaya (CPM) dari 1942 hingga 2008. Sejak awal 2000-an berlakunya kejadian pemberontakan antara pejuang separatis yang bermula selepas Perang Dunia Kedua dengan sokongan Sukarno terhadap PULO.

Hubungan luar[sunting | sunting sumber]

Kedutaan Besar Diraja Thai di Washington, D.C.
Kedutaan Besar Diraja Thai di Wellington, New Zealand

Thailand mengambil bahagian sepenuhnya dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan serantau. Ia merupakan sekutu bukan NATO utama dan tersenarai dalam Priority Watch List Special 301 Report Amerika Syarikat. Negara Thai merupakan anggota tetap Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Oleh itu Thailand erat hubungan dengan negara-negara ASEAN yang lain: Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Brunei, Laos, Kemboja, Myanmar, dan Vietnam, yang menteri-menteri hal ehwal luar dan ekonominya mengadakan sidang tahunan bersama-sama. Kerjasama serantau kian maju dalam hal-ehwal ekonomi, perbankan, perdagangan, politik dan kebudayaan. Pada 2003, Thailand menjadi tuan rumah APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik). Dr. Supachai Panitchpakdi, bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, juga berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Sidang Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD). Pada 2005, Thailand menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pertama.

Thailand semakin giat melibatkan diri di pentas antarabangsa. Apabila Timor Leste merdeka dari Indonesia, Thailand buat julung kali dalam sejarah menghantar tentera kepada usaha pengamanan antarabangsa. Tentera Thai masih kekal di situ dalam angkatan pengaman PBB. Dalam usaha mengeratkan hubungan antarabangsa, Thailand menghubungi pertubuhan rantau luar seperti Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) dan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE). Thailand telah menghantar tentera untuk usaha membangunkan semua Afghanistan dan Iraq.

Perdana Menteri 2000-an, Thaksin Shinawatra sewaktu pentadbirannya pernah memulakan rundingan untuk perjanjian perdagangan bebas dengan China, Australia, Bahrain, India, dan Amerika Syarikat. Yang Amerika Syarikat itu dikecam khususnya dengan dakwaan bahawa ini boleh menghapuskan industri-industri tempatan yang kurang daya saing.[21]

Thaksin juga mengumumkan bahawa Thailand akan menggantung bantuan luar serta bekerjasama dengan negara-negara penderma untuk membangunkan negara-negara jiran di Rantau Mekong Raya.[22] Thaksin ingin menjadikan Thailand peneraju serantau dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negara-negara jiran yang lebih miskin seperti Laos. Mengundang kontroversi, beliau menjalin hubungan mesra dengan kediktatoran Myanmar ketika itu.[23]

Thailand pernah menyertai usaha Amerika Syarikat menyerang Iraq pada 2003 dengan menghantar kontinjen kemanusiaan seramai 423 orang.[24] Kemudian ia menarik keluar semua tenteranya pada 10 September 2004. Dua orang askar Thai terkorban dalam serangan pemberontak.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva melantik ketua Perikatan Rakyat untuk Demokrasi, Kasit Piromya sebagai menteri luar. Pada April 2009, tentera Thai melawan Kemboja di wilayah bersebelahan tinggalan Kuil Hindu Preah Vihear Kemboja yang berumur 900 tahun di tepi sempadan. Kerajaan Kemboja mendakwa bahawa tenteranya telah membunuh sekurang-kurangnya empat orang Thai dan menahan 10 orang lagi, biarpun kerajaan Thai menafikan sebarang kematian atau kecederaan askar di pihaknya. Dua orang askar Kemboja dan tiga orang askar Thai terkorban. Kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain kerana mencerobohi wilayah masing-masing.[25][26]

Tentera[sunting | sunting sumber]

Royal Thai Army firing M198 howitzer during training
A Royal Thai Air Force F-16 Fighting Falcon

Angkatan Tentera Diraja Thai (กองทัพไทย) merupakan angkatan tentera Kerajaan Thailand yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Thai (กองทัพบกไทย), the Tentera Laut Diraja Thai (กองทัพเรือไทย), dan Tentera Udara Diraja Thai (กองทัพอากาศไทย), di samping juga pelbagai angkatan separa tentera.

Angkatan Tentera Diraja Thai mempunyai tenaga manusia berjumlah 306,000 orang anggota aktif dan 245,000 orang anggota simpanan.[27] Jawatan ketua Angkatan Tentera Diraja Thai (จอมทัพไทย, Chom Thap Thai) dipegang oleh Raja,[28] tetapi atas nama sahaja. Angkatan tentera diurus oleh Kementerian Pertahanan Thailand yang diketuai oleh Menteri Pertahanan (ahli jemaah menteri Thailand) dan diperintah oleh Ibu Pejabat Angkatan Tentera Diraja Thai yang diketuai oleh Ketua Angkatan Pertahanan Thailand.[29] Pada 2011, perbelanjaan tentera Thailand diketahui berjumlah kira-kira AS$5.1 bilion.[30]

Menurut perlembagaan, berkhidmat dalam tentera adalah tugas semua warga Thai.[31] Akan tetapi, hanya lelaki berumur 21 tahun ke atas yang tidak pernah melalui latihan simpanan Pelajar Pertahanan Wataniah diberi pilihan untuk merelakan diri untuk masuk tentera atau menyertai "kerahan rawak". Calon-calon dikehendaki berkhidmat penuh selama enam bulan hingga dua tahun mengikut tahap pendidikan mereka, sejauh mana mereka menjalani latihan simpanan, dan sama ada mereka merelakan diri sebelum tarikh kerahan (biasanya 1 April setiap tahun).


Hari Tentera disambut pada 18 Januari bersempena kemenangan Raja Naresuan dari Kerajaan Ayutthaya ke atas raja muda Taungoo pada 1593.[petikan diperlukan]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Pemandangan Banjaran Luang Prabang yang merentangi sempadan Thai-Lao di Wilayah Nan, Thailand Utara
A typical limestone island in Thailand
Phi Phi Islands

Southern Thailand consists of the narrow Kra Isthmus that widens into the Malay Peninsula. Politically, there are six geographical regions which differ from the others in population, basic resources, natural features, and level of social and economic development. The diversity of the regions is the most pronounced attribute of Thailand's physical setting.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Thailand and the World Bank Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. , World Bank on Thailand country overview.
  2. ^ The Guardian, Country profile: Thailand, 25 April 2009.
  3. ^ Jonathan H. Ping Middle Power Statecraft Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. (p 104)
  4. ^ a b Cœdès 1968.
  5. ^ จิตร ภูมิศักดิ์ 1976: "ความเป็นมาของคำสยาม ไทย ลาวและขอม และลักษณะทางสังคม ของชื่อชนชาติ" (Jid Phumisak 1976: "Coming Into Existence for the Siamese Words for Thai, Laotian and Khmer and Societal Characteristics for Nation-names")
  6. ^ Ferlus, Michel (2009). Formation of Ethnonyms in Southeast Asia Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. . 42nd International Conference on Sino-Tibetan Languages and Linguistics, Nov 2009, Chiang Mai, Thailand. 2009, p.3.
  7. ^ Pain, Frédéric (2008). An Introduction to Thai Ethnonymy: Examples from Shan and Northern Thai Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. . Journal of the American Oriental Society Vol. 128, No. 4 (Oct. - Dec., 2008), p.646.
  8. ^ Thailand. History Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. . Encyclopædia Britannica
  9. ^ Some Aspects of Asian History and Culture by Upendra Thakur p.157
  10. ^ "Science news: What happened at Angkor Wat Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. ". The Washington Post. 13 April 2010.
  11. ^ Slave-owning societies Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. . Encyclopædia Britannica.
  12. ^ Slavery in Nineteenth-Century Northern Thailand. Kyoto Review of South East Asia.
  13. ^ "King, country and the coup". The Indian Express. Mumbai. 22 September 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 May 2011. Dicapai 3 November 2011. 
  14. ^ Declaration between Great Britain and France with regard of the Kingdom of Siam and other matters Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. London. January 15, 1896. Treaty Series. No. 5
  15. ^ Werner Gruhl, Imperial Japan's World War Two, 1931–1945 Error in webarchive template: Check |url= value. Empty., Transaction Publishers, 2007 ISBN 978-0-7658-0352-8
  16. ^ "Thailand's juristocracy - New Mandala". 17 May 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 September 2015. 
  17. ^ Bangkok Post: Section 44 is necessary: NCPO. This list contains 2 errors: it states that the 6th constitution was promulgated in 1912 (rather than 1952), and it states that the 11th constitution was promulgated in 1976 (rather than 1974).
  18. ^ Thanet Aphornsuvan, "The Search for Order: Constitutions and Human Rights in Thai Political History" (PDF). Diarkibkan daripada asal (PDF) pada 2008-02-26.  (152 KB), 2001 Symposium: Constitutions and Human Rights in a Global Age: An Asia Pacific perspective
  19. ^ "A list of previous coups in Thailand". Associated Press. 19 September 2006. Diarkibkan daripada asal pada 16 October 2007. Dicapai 25 April 2010. 
  20. ^ "Raw Data: List of Recent Coups in Thailand's History". Fox News Channel. 19 September 2006. Diarkibkan daripada asal pada 6 July 2008. Dicapai 25 April 2010. 
  21. ^ "FTA Watch Group website". Ftawatch.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 August 2009. Dicapai 25 April 2010. 
  22. ^ John D. Ciorciari (10 March 2004). "Thaksin's Chance for Leading Role in the Region". The Straits Times. Singapore. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 April 2013. 
  23. ^ 'Thaksin to face charges over Burma telecom deal. ICT News, 2 August 2007
  24. ^ "Thailand sends troops to bolster US occupation of Iraq". World Socialist Web Site. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 June 2015. Dicapai 28 January 2015. 
  25. ^ The Telegraph, Troops from Thailand and Cambodia fight on border Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. , 3 April 2009
  26. ^ Bloomberg, Thai, Cambodian Border Fighting Stops, Thailand Says Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. , 3 April 2009
  27. ^ "Thailand Military Strength". Global Firepower. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 February 2015. Dicapai 15 December 2014. 
  28. ^ Chapter 2 of the 2007 Constitution of Thailand
  29. ^ John Pike (27 April 2005). "Ministry of Defense". GlobalSecurity.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 April 2010. Dicapai 25 April 2010. 
  30. ^ SIPRI Military Expenditure Database – Thailand Error in webarchive template: Check |url= value. Empty. . SIPRI, 2012. Retrieved 3 May 2012.
  31. ^ Chapter 4 of the 2007 Constitution of Thailand

[[Kategori:Negara di Asia]] [[Kategori:Ahli ASEAN]] [[Kategori:Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu]] [[Kategori:Negara Asia Tenggara]] [[Kategori:Thailand]]