Banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia 2013

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Banjir di Pantai Timur 2013
Keadaan di Pusat Bandar Kuantan
Tarikh1 Disember 2013 - Januari 2014
MasaUTC+8
LokasiTerengganu & Pahang (paling terjejas), Kelantan, Johor, Kedah, Perlis Malaysia
PenyebabHujan lebat,air pasang besar
Kematian3
Kecederaan177

Banjir pada penghujung tahun 2013 ialah yang terburuk berbanding tahun-tahun lepas dan lebih buruk daripada tahun 2001.[1] Dikatakan semakin hari semakin buruk lebih-lebih lagi di sekitar kawasan Kuantan. Beberapa jalan perhubungan yang dibanjiri air di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dengan pantai barat terputus. Setiap bantuan yang diberi perlu melalui bantuan udara. Sejak 3 Disember, air yang semakin naik menyebabkan bekalan elektrik di sekitar Kuantan terpaksa diputuskan untuk mengelakkan kerosakan.[2] Beberapa cawangan pejabat Pos Malaysia di Terengganu dan Pahang terpaksa ditutup.[2] Ada khabar angin yang mengatakan air akan dilepaskan dari empangan di negeri-negeri yang sedang dilanda banjir.

Jumlah kerosakan berdasarkan negeri

[3]

Pahang ڤاهڠ[sunting | sunting sumber]

Mengikut perkembangan, keadaan banjir di Kuantan bertambah buruk. Ada sumber menyatakan kemungkinan besar Kuantan akan diisytihar darurat.[4] Hampir keseluruhan Kuantan kini tenggelam. Di kebanyakan kawasan, bekalan elektrik dan air telah terputus. Di sesetengah kawasan, air naik melebihi dua meter. Air laut yang pasang pada waktu malam juga telah memburukkan keadaan. Lebih daripada 12,161[5] orang telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara.[6]

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir IPK Pahang, Lipis menjadi daerah keenam dilanda banjir apabila 11 mangsa banjir ditempatkan di sebuah pusat pemindahan. Di Rompin, sejumlah 4, 234 mangsa banjir ditempatkan di 11 pusat pemindahan yang membabitkan 1,110 buah keluarga. Manakala di Pekan, seramai 3,037 mangsa banjir masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan. Sementara itu di Maran, mangsa yang terjejas banjir ialah 105 orang yang ditempatkan di tujuh buah pusat pemindahan. Di Jerantut pula, seramai 25 orang mangsa daripada dua buah keluarga ditempatkan di dua buah pusat pemindahan.[5]

Jalan-jalan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah:
  • Kilometer 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan.
  • Kilometer 36 Jalan Gambang berhampiran Gambang Resort
  • Jalan Cherating- Kemaman (berhampiran Chendor)
  • Jalan Utama Jerantut - Kuala Lipis
  • Kilometer 72 Jalan Kuantan-Segamat
  • Jalan Paya Sepayang dan Simpang Sepayang di Rompin

Terengganu ترڠݢانو[sunting | sunting sumber]

Di kawasan terjejas banjir di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu, dipindahkan seramai 4,929 orang ke pusat pemindahan. Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa yang baru dipindahkan di Kemaman sebanyak 481 orang, Dungun (294) dan Hulu Terengganu (668) orang. Jumlah keluarga yang terlibat ialah 1,275. Di Kemaman, sebanyak 36 pusat pemindahan dibuka di kawasan terjejas oleh banjir iaitu balai raya, bangunan sekolah, surau, masjid dan sebagainya. Di Dungun, lima pusat pemindahan dibuka di balai raya dan bangunan sekolah sementara di Hulu Terengganu pula, 17 buah pusat pemindahan di surau, dewan sivik, masjid, dan balai raya dibuka.[7]

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan keadaan air di beberapa batang sungai utama di negeri ini berada dalam kedudukan bahaya. Sungai Kemaman misalnya di Jambatan Banho mempunyai paras air melebihi paras bahaya iaitu setinggi 20.08 meter (bahaya 19 meter), Jambatan Air Putih 15.27 meter (bahaya 14 meter) dan Jambatan Tebak 19.37 meter (bahaya 19 meter). Sungai Dungun di Kuala Jengai air setinggi 26.12 meter melepasi paras bahaya 21 meter dan Jambatan Jerangau 13.39 meter (bahaya 12.5 meter) manakala di Hulu Terengganu di Sungai Menerong 25.1 meter (bahaya 24.5 meter).[7]

Kelantan کلنتن[sunting | sunting sumber]

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, kesemua mangsa daripada 124 keluarga itu ialah penduduk di Mengkebang dan Olak Jeram dan mereka dipindahkan ke enam buah pusat pemindahan sementara. Tiada jalan utama yang dilaporkan terputus hubungan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.[8]

Air Sungai Kelantan di Tangga Krai pula pada paras 25.42 meter melepasi tahap bahaya 25 meter manakala di Jambatan Guillemard, paras air setinggi 16.73 meter (bahaya 16 meter). Sungai Lebir di Tualang turut melebihi paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 35.94 meter (bahaya 35 meter) manakala Sungai Golok di Rantau Panjang juga melepasi bahaya dengan bacaan 9.01 meter (bahaya 9 meter). Paras air di sungai lain dilaporkan meningkat berikutan hujan yang sesekali lebat di kebanyakan kawasan pedalaman negeri ini.[8]

Johor جوهور[sunting | sunting sumber]

Mengenai jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Johor, portal bencana Majlis Keselamatan Negara memaklumkan Mersing mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 5,441 orang diikuti Segamat (1,184), Kota Tinggi (192), Kluang (189), Muar (87) dan Batu Pahat (13). Antara kawasan dilanda banjir di Mersing ialah Kampung Sawah Datuk, Pengkalan Batu, Kampung Air Tawar, Kampung Labung, Kampung Tenglu, Kampung Peta, Kampung Makam, Kampung Air Papan dan Kampung Air Merah. Di Segamat, kawasan yang terjejas melibatkan Kampung Pogoh, Kampung Logah, Kampung Gemereh, Kampung Segamat Kecil, Kampung Paya Dalam dan Kampung Bumbun manakala di Kota Tinggi melibatkan Kampung Perpat, Kampung Gembut dan Kampung. Kawasan yang terjejas di Kluang ialah Ladang Mutiara, Yap Tau Sah dan Kampung Contoh dekat Kahang manakala di Muar, Felda Maokil dan Batu Pahat melibatkan Kampung Haji Khamisan, dekat Yong Peng. [9]

Pautan luar ڤاءوتن لوار[sunting | sunting sumber]

Rujukan روجوعن[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Situasi banjir di Pantai Timur dan Johor semakin buruk". ASTRO Awani. Dicapai pada 5 Disember 2013.
  2. ^ a b "Banjir: Pejabat Pos Malaysia ditutup di beberapa kawasan di Pahang dan Terengganu". ASTRO Awani. Dicapai pada 5 Disember 2013. Cite has empty unknown parameter: |1= (bantuan)
  3. ^ "Jangan percaya khabar angin pelepasan air empangan - Ketua Polis Negara". ASTRO Awani. Dicapai pada 5 Disember 2013.
  4. ^ "Banjir teruk: Fuziah gesa isytihar Kuantan darurat". Ahmad Fadli KC. Malaysia Kini. Dicapai pada 5 Disember 2013.
  5. ^ a b "Banjir: Pahang catat 19,573 jumlah mangsa sehingga awal pagi ini". ASTRO Awani. Dicapai pada 5 Disember 2013.
  6. ^ "Huru-hara di Kuantan - Hari ke-3 Banjir". citershark. Blogspot. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-06. Dicapai pada 5 Disember 2013.
  7. ^ a b "Banjir: 1,443 lagi mangsa dipindahkan di Terengganu". Bernama. Kosmo!. Dicapai pada 5 Disember 2013.
  8. ^ a b "Banjir: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat". Bernama. Kosmo!. Dicapai pada 5 Disember 2013.
  9. ^ "Banjir: Beberapa jalan di Johor, Terengganu ditutup". Utusan. Dicapai pada 5 Disember 2013.