Penyambung NEMA

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Plag dan soket NEMA 5–15. (Skala berbeza. Jarak antara pin ialah 0.5 inci.) Perhatikan bahawa soket ini juga menerima plag yang tidak dibumikan sama ada berkutub ataupun tidak.

Penyambung NEMA adalah penyambung yang digunakan bagi bekalan elektrik sesalur khususnya di Amerika Utara serta beberapa negara lain seperti Jepun, yang tertakluk kepada piawaian oleh Persatuan Pengeluar Elektrik Kebangsaan (NEMA; National Electrical Manufacturers Association). Ada di antara jenis penyambung boleh didapati dengan mudah di hampir kesemua bangunan dan rumah di serata Amerika Syarikat. Peralatan dalam pendawaian NEMA direka bagi mengangkut arus antara 15 hingga 60 A, dengan beza keupayaan (voltan) antara 125 hingga 600 V. Beberapa kombinasi berbeza bagi lebar bilah pin, bentuk, orientasi serta kekutuban membentuk sebilangan jenis penyambung yang tidak boleh saling ditukar, yang khusus untuk voltan, arus dan sistem pembumian tertentu sahaja. Piawaian dimensi bagi penyambung elektrik dikenali sebagai Piawaian ANSI/NEMA WD–6 yang boleh dirujuk di laman web NEMA. [1]

Jenis penyambung[sunting | sunting sumber]

Terdapat banyak jenis plag dan soket di bawah piawaian NEMA, yang dikategorikan mengikut voltan, arus, fasa serta sistem pembumian. Lazimnya, kesemua penyambung ini dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu jenis tidak berkunci dan jenis berkunci. Penyambung NEMA dikategorikan mengikut jenis keluarga penyambung (mengikut voltan dan fasa) serta kadaran arus; misalnya plag NEMA 5-15 direka bagi penggunaan voltan 125 V dengan arus maksimum 15 A. Namun demikian, hanya jenis-jenis yang paling lazim digunakan sahaja yang akan diterangkan di dalam rencana ini.

NEMA 1[sunting | sunting sumber]

Kesemua peranti NEMA 1 adalah peranti 2 wayar tidak dibumikan dengan kadaran voltan maksimum 125 V. Plag NEMA 1-15P mempunyai dua bilah pin berbentuk pipih dan disusun menegak, dengan lebar 1/4 inci, ketebalan 0.06 inci, panjang antara 5/8–23/32 inci, serta berjarak 1/2 inci antara keduanya. Ia lazim digunakan pada lampu elektrik serta peralatan elektronik seperti jam dan lampu. Terdapat piawaian bagi plag 1–15P, 1–20P dan 1–30P, serta soket 1–15R. Namun demikian, soket jenis 1–20R dan 1–30R tidak wujud; peranti dengan plag 1–20P dan 1–30P dipalamkan ke plag NEMA 5 yang berpadanan. Plag dan soket mungkin berkutub bagi membolehkan pin-pin hidup dan bumi dikenal pasti; bilah pin bumi lebih lebar (5/16 inci) daripada pin hidup, manakala soket berkutub hanya menerima plag berkutub yang disambung mengikut orientasi yang betul.

NEMA 5[sunting | sunting sumber]

Soket Slot T NEMA 5–20R dipasang dengan lubang bumi di bahagian atas. Perhatikan alut berbentuk T di sebelah kanan bawah yang merupakan penyambung neutral.

Kesemua peranti NEMA 5 adalah peranti tiga wayar yang dibumikan dengan kadaran voltan maksimum 125 V, di mana jenis 5–15, 5–20 dan 5–30 masing-masing merupakan versi yang dibumikan bagi penyambung jenis 1–15, 1–20 dan 1–30. Ia dikenali melalui penambahan pin bumi berdiameter 3/16 inci berbentuk bulat ataupun berbentuk U, 1/8 kali lebih panjang daripada pin hidup dan neutral serta jarak di antara pin bumi dengan pin-pin hidup dan bumi ialah 1/4 inci. Plag 20 A mempunyai pin neutral yang diputar 90° dan jaraknya lebih kurang 1/2 inci daripada pin hidup. Soket 5–20R mempunyai alur neutral berbentuk T serta boleh menerima kedua-dua plag 5–15P dan 5–20P.

Setakan ini jenis 5–15R adalah jenis soket elektrik paling lazim di Amerika Utara khususnya di bangunan-bangunan yang dibina sejak pertengahan abad ke-20. Ia selalunya dipasang secara berkembar.

NEMA 6[sunting | sunting sumber]

NEMA 6-15

Kesemua peranti NEMA 6 adalah peranti tiga wayar dibumikan serta digunakan bagi litar 208 V dan 240 V dengan kadaran voltan maksimum 250 V. Jenis yang ada ialah jenis 6–15, 6–20 dan 6–30. Plag 6-15 menyerupai plag 5-15, tetapi pin hidup dan neutral disusun melintang, berjaral 23/32 inci dari bahagian tengah. Plag 20 A mempunyai pin yang dipusing 90°, manakala soket 6–20R mempunyai lubang berbentuk T bagi menerima kedua-dua plag 6–15P dan 6–20P. Plag dan soket 30 A menyerupai versi 15 A tetapi lebih besar. Versi dengan kadaran arus lebih tinggi adalah jarang, memandangkan aplikasi arus tinggi lebih cenderung menggunakan plag jenis berkunci (dengan cara piuhan).

Peranti NEMA 6, walaupun mempunyai kadaran voltan maksimum 250 V, boleh digunakan sama ada bagi litar 208 V (3 fasa) ataupun 240 V (fasa tunggal), bergantung sama ada bangunan tersebut dipasang dengan pendawaian tiga fasa ataupun belahan fasa.

Aplikasi di negara lain[sunting | sunting sumber]

Jepun[sunting | sunting sumber]

Soket Jepun dengan skru bumi, bagi kegunaan mesin basuh.

Plag dan soket Jepun, yang tertakluk kepada piawaian JIS C 8303 (Kelas I dan II), adalah serasi dengan penyambung NEMA 1-15 (Kelas II) atau NEMA 5-15 (Kelas I). Walau bagaimanapun, sistem Jepun menggunakan piawaian keperluan dimensi yang lebih ketat bagi perumah plag, mempunyai keperluan penandaan yang berbeza, serta memerlukan ujian dan pengesahan wajib oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Jepun (MITI) atau Piawaian Industri Jepun (JIS).[2]

Sesetengah plag dan penyuai Jepun yang lama adalah tidak berkutub (saiz kedua-dua pin hidup dan neutral adalah sama) dan hanya menerima plag tidak berkutub. Plag Jepun secara amnya boleh dipalamkan ke soket Amerika tanpa masalah, tetapi plat berkutub Amerika memerlukan penyuai untuk dipadankan ke soket Jepun yang lebih lama.

Di Jepun, voltan bekalan hanyalah serendah 100 volt, manakala frekuensi bekalan di Jepun Timur adalah 50 Hz manakala di sebelah barat pula 60 Hz, maka walaupun peralatan Amerika boleh dipalamkan dengan mudah, namun ia bukanlah jaminan bahawa peralatan tersebut boleh berfungsi dengan baik tanpa transformer dalaman bagi mengubah voltan.

Jepun juga menggunakan plag 3 pin seperti di Amerika Utara[2], tetapi penggunaannya adalah kurang berbanding dengan plag 2 pin.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ ANSI/NEMA WD–6, piawaian bagi penyambung elektrik AS
  2. ^ a b JIS C 8303-1993,Plugs and Receptacles for Domestic and Similar General Use,Japanese Standards Association (1993)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]