Peperangan Samnium

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Peperangan Samnium
Roman conquest of Italy.PNG
Peta menunjukkan perluasan kuasa Rom dari Perang Latin (340–338 SM) hingga kekalahan Insubri (222 SM)
Tarikh
  • Pertama: 343–341 SM
  • Kedua: 326–304 SM
  • Ketiga: 298–290 SM
Lokasi Kawasan tengah Itali dan sebahagian selatan Itali
Hasil Rom mengawal kawasan tengah Itali dan sebahagian selatan Itali (kawasan moden Lazio, Abruzzo, Molise, Campania dan Basilicata dan Utara Apulia)
Pihak yang terlibat
Republik Rom, sekutu Latin, Campania Samnit, Aequi, Hernici, Etruscan, Umbria, Senone Gaul, sebahagian kota-kota utara Apulia

Peperangan Samnium (yang terbahagi kepada tiga fasa masing-masing dari tahun 343–341 SM, 326–304 SM dan 298–290 SM) tercetus antara Republik Rom dan Samnit yang tinggal di kawasan Pergunungan Apennine hingga ke selatan Rom dan utara Lucania. Perang yang pertama menyaksikan campur tangan Rom untuk menyelamatkan kota Campania, Capua daripada serangan Samnit. Perang yang kedua pula berpunca daripada campur tangan Rom dalam politik kota Naples dan terlibat dalam persaingan untuk merebut kawasan tengah dan selatan Itali. Perang yang ketiga juga melibatkan pergelutan untuk mengambil alih kawasan Itali tersebut. Konflik ini telah berlarutan hampir selama separuh abad. Penduduk-penduduk di timur, utara dan barat Samnium (tanah-tanah milik Samnit) dan juga penduduk di tengah Itali, utara Rom (Etruscan, Umbria dan Picenti) serta Senone Gaul juga memainkan peranan masing-masing dalam peristiwa ini. Samnit merupakan salah satu musuh Rom yang amat digeruni.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Lukisan pahlawan-pahlawan Samnit dari sebuah makam di Nola yang berasal dari kurun ke-4 SM.

Pada pertengahan abad ke-4 SM, Itali masih lagi dibahagikan antara Latin, Yunani, Etruscan dan lain-lain. Kumpulan puak yang paling berkuasa di semenanjung itu ialah Samnit. Puak Samnit merupakan persekutuan puak separa nomad yang berbahasa Osca dan menetap di kawasan tanpa pantai yang terletak di selatan Pergunungan Apennine iaitu Samnium. Kawasan itu pula telah dibahagikan kepada empat unit puak atau toutos dan setiap unit itu telah mendirikan perkampungan mampu diri. Puak-puak itu dikenali sebagai Pentri, Hirpini, Caudini dan Carricini. Keempat-empat puak itu telah mendirikan Liga Samnit, sebuah kesatuan yang kurang berpusat jika dibandingkan dengan Republik Rom di timur. Tidak kurang atau berkemungkinan berat sebelah Livy telah mencatatkan bahawa kesatuan itu ditadbir oleh sebuah majlis pusat yang terdiri daripada keempat-empat puak itu serta terdapat seorang panglima yang akan mendendangkan paluan perintah berperang.

Perang Samnium Pertama[sunting | sunting sumber]

Berdepan dengan musuh dari negeri jiran Volsci, Rom dan Samnit berpakat untuk bekerjasama pada tahun 354 SM tetapi hubungan tersebut dengan pantasnya menjadi renggang. Hanya pada sedekad kemudian, Samnit telah menyerang Sidicini sambil dibantu oleh Campani. Walaupun menjalinkan kerjasama, Rom tidak rela membiarkan pesaingnya memperoleh kuasa hegemoni ke atas tanah Campania yang begitu subur dan makmur. Lalu, pihak Rom mengingkari kerjasama yang terbentuk dan bercampur tangan dalam melindungi Campania daripada dikepung oleh Samnit. Campania pun tunduk kepada kekuasaan Rom. Kemudian, tentera konsul Rom berarak menuju ke peperangan. Pada tahun 343 SM, tentera Rom akhirnya menewaskan Samnit dalam beberapa siri pertempuran di Gunung Gaurus, Saticula dan Suessela.

Sebelum pihak Rom dapat memanfaatkan peluang di sebalik kejayaan ini, beberapa siri pemberontakan yang serius telah dicetuskan oleh golongan Latin di Rom pada tahun 342 SM. Perkara ini telah memaksa pihak Rom dan Samnit mengadakan rundingan damai bersama dan memperbaharui kerjasama mereka yang lalu. Peristiwa ini telah mengubahkan Campani dan Sidicini yang dulunya sebagai sekutu Rom kini bertukar pihak dan menyertai pemberontakan anti-Rom sekali gus mencetuskan Perang Latin. Tentera Rom dengan segeranya meraih kemenangan dalam pertempuran terbesar konflik ini pada tahun 340 SM di Gunung Vesuvius. Namun, serangan kekerasan di tempat yang terpencil terus berlanjutan buat selama beberapa tahun berikutnya sehingga tahun 337 SM. Perkara ini berakhir apabila Rom mengenakan penempatan ke atas kawasan dimiliki oleh pesaingnya yang telah tewas sebelum membentuk semula hubungan antara Rom dengan sekutunya.

Sebuah hierarki telah dibentuk yang mana golongan bawahan Latin Rom tidak lagi perlu berurusan secara ketenteraan dan diplomatik dengan kuasa lain tetapi hanya perlu terikat dengan 'kesetiaan' mereka bersama Rom. Penduduk-penduduk di beberapa buah kota yang setia seperti Lanuvium dan Ariccia telah memperoleh kerakyatan Rom yang penuh. Sementara itu, sesetengah kota yang tidak setia tetapi penting sebagai kedudukan yang strategik seperti Antium telah memperoleh faedah istimewa yang serupa di samping garison Rom berjaya ditempatkan di sana.

Perang Samnium Kedua[sunting | sunting sumber]

Babak-babak Perang Samnium Pertama.

Walau bagaimanapun, permusuhan antara kota-kota mutlak ini dan Liga Samnit bermula pada tahun 328 SM apabila koloni Rom telah didirikan di Fregellae. Kota Fregellae terletak di bahagian timur tebing Sungai Liris dan Samnit menganggap sungai itu sebagai sempadan antara kedua-dua kuasa. Ketegangan ke atas kota Fregellae terus meningkat selama beberapa tahun seterusnya dan kemunculan pengaruh Rom di Campania. Api percikan peperangan akhirnya membara sekali lagi pada tahun 326 SM apabila kumpulan pro-Rom di Neapolis telah mengusir garison Samnit lalu menyerahkan kunci kota kepada penjagaan Rom.

Peperangan bermula selepas serangan deras Rom ke atas bahagian barat Samnium pada tahun yang sama. Semasa berkempen pada tahun itu, Quintus Rullianus bertindak mengingkari arahan lalu menyerang musuh berhampiran untuk meraih kemenangan besar di Imbrinium. Tekanan Rom terus berkembang pada tahun-tahun berikutnya. Pada tahun 321 SM, selepas mengalami kekalahan demi kekalahan, majlis Samnit telah melantik seorang negarawan yang menonjol, Gaius Pontius sebagai komander perang bagi menghadapi kempen tahun tersebut. Beliau telah melakukan ucapan dengan mengutuk sebarang tanggapan penyerahan kalah dan mengisytiharkan keadilan yang merupakan perkara semula jadi dalam peperangan menentang Rom.

Seterusnya, Pontius berarak bersama tenteranya lalu berkhemah di Caudium, pusat utama bagi puak Caudini Samnit. Jeneral Samnit itu cuba memastikan tentera-tenteranya berada dalam keadaan yang bersembunyi. Dari markasnya, beliau telah menghantar sepuluh orang tenteranya untuk menyamar sebagai penggembala kepada tentera konsul Rom yang berkubu berhampiran Calatia. Para penggembala itu menyebarkan khabar angin palsu bahawa kota sekutu Rom, Luceria telah dikepung oleh musuh. Konsul-konsul Rom pada masa itu, Calvinus dan Albinus memilih jalan yang pendek tetapi lebih mencabar menuju ke arah kota yang dikepung itu melalui Cabang Caudine. Kawasan yang mereka lalui itu agak sempit, bukit-bukau berhutan dan curam menganjur di kiri dan kanan mereka.

Unit phalanx Rom yang tidak tersebar merata mula menuruni kawasan bukit melalui genting sempit sebelum sampai ke kawasan dataran kecil. Kemudiannya, mereka mendapati jalan telah disekat oleh halangan musuh. Kira-kira pada masa yang sama, tentera Rom mula menemui pahlawan-pahlawan Samnit berada di kawasan-kawasan tinggi yang kini mengelilingi mereka. Perkara ini menyebabkan konsul Rom mengarahkan untuk berundur dengan menggunakan jalan yang baru mereka gunakan tadi. Apabila berundur, tentera Rom mendapati jalan keluar turut telah disekat sebelum mereka semua dikerumun oleh pahlawan Samnit.

Semasa tentera Rom berada dalam keadaan tidak keruan untuk mencari jalan keluar, Pontius menulis kepada ayahnya, Herennius tentang perkara-perkara yang perlu beliau lakukan. Lalu, Herennius menunggang menyertai tentera Samnit dan segera menasihat anaknya sama ada membunuh semua tentera Rom atau melepaskan tentera-tentera Rom tanpa mencederakan mereka. Hal ini demikian kerana pilihan yang ekstrem itu sama ada boleh membawa kepada keamanan jangka masa panjang ataupun melemahkan Rom dengan teruk. Pontus berasa tidak senang akan pilihan-pilihan tersebut. Beliau bersama ketua puak yang lain berpendapat sekiranya mereka memilih jalan tengah. Kemudian, Herennius berkata kepada mereka; "Rom merupakan bangsa yang tidak tahu berdiam diri di saat kekalahan. Mana-mana penghinaan, keterlaluan itu kini membakar jiwa mereka yang terus menduri selama-lamanya, dan mereka tidak akan biar terus berehat sehingga mereka membuatkan kamu membalas berkali-kali". Selepas itu, Herennius pergi meninggalkan tentera Pontus tetapi ingatannya itu telah diendahkan.

Babak-babak Perang Samnium Kedua.

Selepas tentera Rom melakukan beberapa percubaan untuk melepaskan diri daripada pengepungan, mereka dipaksa untuk berunding dengan Pontus. Sebagai pulangan nyawa-nyawa mereka, tentera Rom menanggung penghinaan yang mana tidak boleh dilupakan sama sekali. Setiap orang tentera Rom tidak kira dari legiun biasa sehingga ke pangkat konsul dipaksa untuk berjalan tertunduk-tunduk di bawah kuk. Seramai 600 orang equites telah dijadikan tahanan perang oleh Samnit sebagai jaminan keamanan manakala ancaman daripada koloni-koloni Rom dapat dipatahkan.

Permusuhan antara Samnit dan Rom terus dingin selama lima tahun selepas penghinaan itu. Hal ini berpunca sama ada keberatan Rom untuk meneruskan peperangan dengan musuh yang pernah menewaskan mereka dengan sangat mudah atau gelaran baru yang dilaksanakan selepas pertempuran di Cabang Caudine. Perkara ini mungkin menandakan saat-saat phalanx Yunani tidak fleksibel yang digunakan Rom digantikan oleh manipulus legiun yang terkenal itu. Tempoh lima tahun yang aman itu telah dimanfaatkan untuk melatih dan memperkasakan tentera Rom dengan gaya ketenteraan baru.

Rom memulakan konflik baru dengan musuhnya dalam bentuk gaya peperangan yang baru pada tahun 315 SM. Tentera Rom dengan pantasnya dapat menguasai Saticula. Namun, Samnit akhirnya bertembung dengan Rom dalam satu pertempuran sengit di Lautulae yang berakhir dengan kemenangan Samnit. Kekalahan Rom itu telah membuka jalan kepada penjarahan wilayah-wilayah Rom oleh Samnit. Legiun Rom kembali mendapat sentuhannya pada awal tahun 314 SM dengan merempuh tentera-tentera Samnit di Terracina. Kejayaan ini terbukti sebagai titik jongket Rom. Tentera Rom yang lain berjaya menawan Luceria dan kawasan-kawasan berhampiran manakala Fregellae pula berjaya dirampas semula pada tahun 313 SM.

Pada tahun berikutnya, Rom mula memantapkan semula kempen penaklukannya dengan mendirikan lebih banyak koloni dan membina Jalan Appia yang terkenal itu untuk memudahkan urusan logistik ketenteraan. Pada masa itu, Samnium kini dikelilingi oleh wilayah-wilayah Rom bersama sekutunya. Akan tetapi, muncul campur tangan saat-saat akhir oleh puak Etruscan yang menyebabkan legiun Rom telah diasak dan perlu berhadapan dengan dua barisan musuh. Musuh Rom yang muncul dari arah utara itu dengan muktamadnya telah dikalahkan di Tasik Vadimo pada 310 SM. Selepas itu, Rom menoktahkan peperangannya menentang Samnium dalam masa setengah dekad sahaja dengan memanfaatkan jaringan sekutu-sekutunya serta rangkaian jalan yang baik untuk menguasai kawasan pergunungan.

Pada tahun 304 SM, puak-puak Samnium menawarkan rundingan damai kepada Rom yang telah menggandakan wilayah-wilayah kekuasannya ketika peperangan. Walaupun Samnit kini boleh menarik nafas lega buat sementara waktu, tetapi penduduk di kawasan sekitarnya tidak begitu bertuah. Antara tahun 302 hingga 298 SM, Kuil Janus terus dibuka dan Rom meneruskan kempen tahunan di Umbria dan Etruria secara serentak. Pada masa itu, perluasan kuasa Rom di Semenanjung Itali telah mencemaskan saki-baki orang yang bebas.

Perang Samnium Ketiga[sunting | sunting sumber]

Babak-babak Perang Samnium Ketiga.

Pada tahun 298 SM, Samnit telah menyeberangi kawasan sempadan selatan mereka lalu menceroboh Lucania dengan menanduskan kawasan itu sekali gus menyebabkan Lucania menghantar utusan panik ke Rom. Bimbang dengan kekuatan Samnit yang terus garang, Rom mengambil peluang ini untuk mengadakan pakatan dengan Lucania atas hanya sebab peperangan. Mereka meminta penceroboh Samnit itu supaya berundur meninggalkan Luceria. Apabila desakan itu telah ditolak, maka konflik Perang Samnit Ketiga bermula.

Konflik ini bermula dengan kemenangan mudah diraih oleh legiun Rom yang melakukan kempen-kempen yang memusnahkan di wilayah Samnit dan Etruscan. Dari sini, jelaslah bahawa pakatan Samnit dan Etruscan perlu melancarkan peperangan bijak ataupun Rom akan bertindak membinasakan mereka semua. Dengan itu, jeneral Samnit iaitu Gellius Egnatius mengambil keputusan meninggalkan tanah airnya lalu berarak bersama pasukannya ke arah utara menuju ke Etruria untuk menyertai tentera Etruscan yang lain di sana. Apabila tentera gabungan pimpinan Egnatius telah ditewaskan dalam satu pertempuran kecil pada tahun 297 SM, terbuktilah bahawa Rom kini menghadapi lebih banyak masalah menghadapi ancaman sedemikian. Perkara ini telah menyebabkan Egnatius untuk merumuskan formasi tentera gabungannya yang besar yang terdiri daripada Samnit, Etruscan dan Umbria bagi mengekang perluasan Rom. Bahkan, Senones Gaul telah dibawa sekali yang berperanan sebagai tentera upahan. Tentera konsul Rom yang melepasi kawasan Pergunungan Apennine menuju ke Umbria pada tahun 295 SM berkemungkinan angkatan tentera Rom terbesar yang pernah dibawa ke medan pertempuran. Pertembungan ini membawa kepada satu pertempuran yang sengit dan hebat di Sentinum.

Dalam pertempuran itu, barisan tentera Samnit habis bercerai-berai dan musnah. Tentera Rom akhirnya berjaya mengatasi musuh saingannya itu dalam pertarungan yang begitu sengit sekali pada setakat ini. Sistem manupulus baru Rom yang diguna pakai terbukti berkesan dan fleksibilitinya. Kemenangan Rom ini bukannya satu kejayaan yang dipandang mudah. Seramai 8,700 tentera Rom terkorban terkujur di atas medan peperangan. Jumlah ini dilihat sebagai takdir bertuah menyebelahi mereka jika dibandingkan dengan musuh iaitu Samnit yang menanggung angka korban seramai 25,000 orang dan 8,000 lagi dibawa sebagai tahanan perang.

Sementara itu, koninjen Rom bukan sahaja berhasil untuk mengumpan tetapi juga mengalahkan unit-unit Umbria dan Etruscan di Etruria yang menghasilkan 3,000 angka korban. Meskipun Samnit mempamerkan keberanian meneruskan perjuangan melancarkan penentangan buat selama separuh dekad berikutnya, pertempuran di Sentinum telah menentukan nasib di Itali berdasarkan catatan oleh Livy. Pada tahun 290 SM, Perang Samnit Ketiga berakhir manakala sebahagian besar Itali kini berada di bawah kekuasaan Rom. Peristiwa ini telah membawa kepada penguasaan penuh Rom ke atas kawasan semenanjung dan juga Mediterranean.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Sumber primer

Dionysus of Halicarnassus, Roman Antiquities, Aeterna Press, 2015, ISBN 978-1785165498

Diodorus Siculus I: The Historical Library in Forty Books: Volume I, Sophron; 1 edition, 2014, ISBN 978-0989783620

Eutropius, Abridgment of Roman History,CreateSpace Independent Publishing Platform, 2014, ISBN 978-1499683073

Frontinus, Stratagems and Aqueducts of Rome (Loeb Classical Library), Loeb, 1989, ISBN 978-0674991927

Livy, Rome's Italian Wars: Books 6–10 (Oxford's World's Classics). Oxford University Press, 2013, ISBN 978-0199564859

Sumber sekunder

  • Cornell, TJ (1995), The Beginnings of Rome — Italy and Rome from the Bronze Age to the Punic Wars (c. 1000–264 BC), New York: Routledge, 1995, ISBN 978-0-415-01596-7
  • Ross Cowan, Roman Conquests: Italy, Barnsley, 2009.
  • Forsythe, Gary (2005), A Critical History of Early Rome, Berkeley: University of California Press, ISBN 0-520-24991-7
  • Lukas Grossmann: Roms Samnitenkriege. Historische und historiographische Untersuchungen zu den Jahren 327 bis 290 v. Chr., Düsseldorf 2009.
  • Oakley, SP (1998), A Commentary on Livy Books VI–X, Volume II: Books VII–VIII, Oxford: Oxford University Press, ISBN 978-0-19-815226-2
  • Oakley, SP (2008), A Commentary on Livy Books VI–X, Volume IV: Book X, Oxford University Press, ISBN 978-0-19-923785-2
  • Salmon, ET (1967), Samnium and the Samnites, Cambridge University Press, ISBN 978-0-521-13572-6

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:Ancient Roman Wars