Peperangan nuklear

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bom atom di Nagasaki pada 9 Ogos 1945

Perang nuklear adalah peperangan yang melibatkan penggunaan senjata nuklear. Dalam sejarah tamadun manusia, senjata neklear hanya dua kali digunakan, iaitu penggunaan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada penghujung Perang Dunia II. Pada ketika itu, hanya pihak Amerika Syarikat sahaja yang mempunyai bom atom.

Dalam penggunaan sekarang, Perang Nuklear merujuk kepada perbalahan di mana kedua-dua pihak yang bertelingkah mempunyai simpanan senjata nuklear. Ramai yang takutkan pencetusan perang nuklear akan mengakibatkan kemusnahan menyeluruh duniawi dan akan menyebabkan kepupusan kehidupan di dunia.

Jenis Perang Nuklear[sunting | sunting sumber]

Perang Nuklear Terhad melibatkan penggunaan senjata nuklear taktikal dalam bilangan yang kecil dan ditujukan keseluruhannya kepada pasukan tentera musuh. Walaupun kesan sampingan akan dirasai penduduk awam, kemalangan jiwa akan terhad kepada anggota-anggota tentera yang diserang. Sasaran utama melibatkan kedudukan dan perkubuan tentera dan akan melibatkan penggunaan senjata nuklear berkuasa rendah (low yield weapons). Contohnya adalah cadangan penggunaan senjata nuklear untuk menghentikan kemaraan tentera China semasa Perang Korea.

Negara-negara kuasa nuklear semuanya mempunyai senjata nuklear berkuasa rendah untuk kegunaan taktikal untuk kegunaan oleh pemerintah medan. Walaupun berkuasa rendah, senjata nuklear taktikal masih jauh lebih bertenaga berbanding dengan senjata konvensional.

Perang Nuklear Terbuka melibatkan penggunaan bilangan senjata yang banyak melibatkan serangan di seluruh pelosok sesebuah negara, melibatkan sasaran tentera dan sasaran awam. Serangan jenis ini bertujuan melumpuhkan sepenuhnya keupayaan ekonomi, menghancurkan sepenuh struktur sosial dan ketenteraan negara yang diserang.