Perahu kolek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perahu kolek
Spesifikasi
LayarTiada
Panjang m kaki inci
Lebar m kaki inci
Tinggi m kaki inci
Anak kapal minima 1 maksima 3
Penerangan
Perahu kolek biasanya hanya digunakan dalam kawasan air tenang.

Perahu kolek merupakan salah satu pengangkutan perahu orang Melayu. Perahu kolek biasanya hanya digunakan dalam kawasan air tenang. Ia biasanya merujuk kepada perahu kecil yang digunakan di kawasan persisiran pantai. Diantara jenis-jenis perahu kecil dalam kelompok koleh adalah perahu gelibat, kueh kecil, licung, kueh, pengail, kolek, dan kolek buatan barat. Perahu lain seperti perahu bedar, perahu anak bedar[1] dan perahu payang adalah bersaiz lebih besar.

Sejarah perahu kolek di Kelantan[sunting | sunting sumber]

Perahu kolek ini dibina dan didatangkan khas dari wilayah Pattani, Thailand Selatan. Pemilik dan nelayan setempat di Kelantan dikatakan sudah tiada lagi kepakaran yang mampu membina perahu kolek ini dari awal pembuatan sehingga akhir pembuatan. Kepakaran mengecat perahu kolek juga tidak dapat menandingi hasil karya tukang cat dari wilayah Langkasuka. Perahu kolek juga dieja sebagai "Kolea" di Pattani, dikatakan mampu bertahan sehingga 30 tahun kerana ia dibuat 100% daripada kayu cengal yang terkenal dengan ketahanan terhadap suhu dan cuaca persekitaran setempat.

Ciri-ciri percampuran motif bangau, okok dan caping[sunting | sunting sumber]

Motif fauna pada bangau perahu terkenal sebelum kemasukan agama Islam di rantau ini. Ketika zaman agama Hindu dan Buddha menguasai rantau ini, bangsa Melayu telah menerapkan unsur-unsur keagamaan dalam seni ukiran. Karakter dewa dari beberapa epik Hindu dan Buddha telah diambil dan diterjemahkan dalam seni ukiran. Motif burung gagak Sura digunakan untuk upacara diraja. Makhluk mitos seperti Garuda merupakan kenderaan Tuhan mengikut fahaman sebelum Islam. Setelah kemasukan Islam di rantau ini, motif-motif haiwan telah digarapkan dengan bijak dan hasil akhir ukiran tersebut menunjukkan motif berbagai rupa haiwan yang telah diabstrakkan. Bangau adalah ukiran pada bahagian haluan perahu nelayan yang mempunyai pelbagai bentuk yang dipengaruhi daripada Hindu (Brahma-Vishnu-Siva). Siti Zainon Ismail (1985) menyatakan kepercayaan Hindu sangat kuat dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu. Bangau diletakkan pada perahu dan bertindak sebagai alat panduan untuk tentukan arah.

Aspek kepercayaan bangsa Melayu dapat ditemui pada sesetengah peralatan yang mereka cipta kerana mempunyai hubungan dengan kepercayaan atau kuasa tertentu. Contohnya, kepala perahu nelayan diukir menggunakan motif bangau kerana bagi mereka bangau adalah haiwan yang sangat cekap menangkap ikan dan boleh membawa kepada keuntungan dan keselamatan di laut. Selain itu, dalam kegiatan harian orang Melayu dalam kalangan masyarakat desa menggunakan bentuk ukiran seperti bunga telur, daun sesayap, daun menalu, bunga tikam seladon, kekaras dan sebagainya pada bangau sebagai sumber rezeki yang lumayan. Sejak kedatangan Islam ke nusantara yang dipercayai datang dari negeri Arab, Parsi dan India dalam kurun ke 14 Masihi. Sesetengah pihak yang komited pada agama akan mengelak dari mengukir imej yang menyerupai manusia dan binatang, selain menekankan ukiran yang berbentuk ayat al-Quran, seperti yang dilakukan tukang rumah. Bahagian perahu yang tidak sesuai diukirkan ayat al-Quran seperti pada kayu penyangga layar yang biasa dikenali sebagai bangau yang mungkin akan dilangkah berulangkali oleh pekerja, ayat al-Quran akan diganti dengan ukiran awan larat yang mempunyai motif umbi, sulur, daun dan bunga yang membawa nilai keindahan dan simbolisme yang sama, iaitu kemakmuran dan keabadian Tuhan. Dalam kalangan orang yang masih kuat berpegang kepada anamisme, peralatan seperti "Bangau" dan "Okok" akan memaparkan figura tokoh-tokoh wayang kulit seperti Raja Bota. Penampilan awan larat adalah alternatif dan inovasi menggantikan penampilan manusia dan haiwan seperti yang berlaku di Thailand, Kemboja dan Bali.

Caping perahu merupakan pengaruh dari Barat yang dihasilkan agak sederhana dan menggunakan motif bunga teratai. Bangau, okok dan caping perahu berubah setelah kedatangan kapal dari Eropah dan bagi mengelakkan kapal peronda yang menguatkuasakan monopoli perdagangan Inggeris dan Belanda. Perubahan bentuk perahu itu disusuli perubahan jenis kemudi dari kemudi dari birai kepada kemudi tetap dilinggi belakang. Perubahan-perubahan itu adalah sebahagian daripada peniruan dan penyesuaian dengan berpandukan model kapal-kapal India, China, Arab dan Eropah yang sampai ke Alam Melayu seiring dengan perkembangan perdagangan.

Selain bangau, okok dan caping perahu, terdapat beberapa peralatan tambahan dipasang pada perahu Melayu, khususnya yang digunakan nelayan sekarang. Peralatan dimaksudkan adalah lunas bilga dalam istilah tempatan dipanggil pisang yang berfungsi untuk mengurangkan olengan perahu. Pisang ini adalah pengubahsuaian dari katir yang terdapat pada perahu di Alam Melayu dan Polinesia. Dalam industri pembinaan perahu Melayu, pisang telah digunapakai sekitar tahun 1970-an dan kemungkinan dipengaruhi oleh perahu Siam. Seterusnya, caping perahu yang berbentuk seperti daun sireh di bahagian hujung atas banyak dipengaruhi oleh Islam. Bangau perahu juga mempunyai campuran budaya Jawa contohnya menggunakan watak Sinta Dewi wayang Ramayana dan beberapa watak dewa.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Sumber utama
  • Abdul Halim Nasir. 1986. Ukiran Kayu Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Abdul Halim Nasir & Hashim Haji Wan Teh. 1997. Warisan Seni Bina Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Coatalen, Paul J. 1982. The Decorated Boats of Kelantan. Penang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
  • Farish A. Noor & Khoo, Eddin. 2003. Spirit of Wood: The Art of Malay Woodcarving. Singapore: Periplus Editions.
  • Syed Ahmad Jamal. 2007. The Encyclopedia of Malaysia: Volume 14. Crafts and The Visual Arts. Singapore: Editions Didiet Miller.