Pergi ke kandungan

Perang Emu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perang Emu
Seorang askar memegang bangkai seekor emu yang ditembak mati
Tarikh2 November – 10 Disember 1932
LokasiDaerah Campion, Australia Barat
Juga dikenali sebagai
Perang Emu Besar
HadirinBurung emu
Sir George Pearce
Mejar G.P.W. Meredith
Artileri Diraja Australia
HasilLihat Akibat

Perang Emu (Emu War, juga dikenali dengan nama Great Emu War[1]) merupakan suatu operasi dilaksanakan dan dikendalikan kerajaan Australia pada hujung tahun 1932 bagi menyelesaikan masalah pencerobohan kawanan burung emu yang meliar di ladang-ladang pertanian serata kawasan Campion, Australia Barat.

Penggiatan ini diberi jolokkan sedemikian kerana keadaan para peladang yang cuba mengekang populasi kawanan burung ini dengan pengunaan senjata api seumpama mesingan.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Ramai bekas askar Australia termasuk beberapa veteran British kembali ke Australia selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama untuk memulakan hidup baru sebagai petani kecil terutamanya dalam kawasan Australia Barat. Apabila kemelesetan ekonomi melanda rantau tersebut pada tahun 1929, peladang-peladang ini digalakkan kerajaan tempatan mempertingkat jumlah pengeluaran tanaman gandum untuk mendapatkan bantuan subsidi kepada mereka; namun, janji ini gagal ditunaikan oleh kerajaan. Harga gandum terus menjunam dengan menjelang Oktober 1932 lalu meruncingkan para peladang yang mengugut untuk tidak menghantar dan menjual gandum yang sudah matang dan sedia dituai.[2]

Seekor burung emu (Dromaius novaehollandiae)

Kesusahan yang dialami peladang-peladang ini semakin meruncing apabila lebih 20,000 ekor emu tiba di kawasan tersebut.[3] Unggas-unggas ini biasanya berhijrah selepas musim pembiakannya ke arah pantai dari kawasan pedalaman. Keberadaan tanah yang terbuka luas serta sumber air tambahan dibina para peladang menarik perhatian kawanan burung ini yang merasakan ia sesuai menjadi habitat membiak. Burung-burung tersebut mula merebak terutamanya ke ladang-ladang kecil sekitar Campion dan Walgoolan[2] memakan dan merosakkan tanaman serta melubangbesarkan pagar menghalang kemasukan arnab perosak.[4]

Para peladang yang kebimbangan bertemu dengan Menteri Pertahanan, Sir George Pearce dengan suatu penyelesaian yang difikirkan berdasarkan pengalaman peperangan mereka - di mana mereka meminta agar bekalan senjata api secukupnya disediakan untuk memburu burung-burung ini. Dengan pengalaman mereka dalam Perang Dunia Pertama, peladang-peladang ini tahu keberkesanan mesingan dan meminta senjata tersebut dikerahkan. Pearce bersetuju, tetapi dengan beberapa syarat yang diutamakan beliau:

  • senjata-senjata api tersebut hanya boleh digunakan oleh kakitangan tentera
  • pengangkutan tentera akan dibiayai oleh kerajaan Australia Barat
  • peladang-peladang akan menyediakan makanan, tempat kediaman, dan bayaran bagi amunisi.[2][5]

Pearce juga menyokong kerahan ini kerana berpendapat burung-burung ini boleh dijadikan latihan sasaran yang baik,[6] namun ada yang mengatakan sesetengah pihak dalam kerajaan melihat tindakan ini sebagai satu cara mengharumkan nama kerajaan yang dilihat membantu peladang-peladang tersebut.

Sir George Pearce, tokoh bertanggungjawab ke atas penakaian populasi emu oleh tentera.[7]

Penglibatan tentera dijadualkan bermula pada Oktober 1932.[5] "Perang" ini dikendalikan di bawah arahan Mejar G.P.W. Meredith daripada Pasukan Meriam Berat Ketujuh Artileri Diraja Australia;[2][6] Meredith mengarahkan dua askar dengan dua Mesingan Automatik Lewis[8] dan 10,000 butir peluru.[6] Namun, operasi ini ditangguh kerana hujan turun buat beberapa hari dan menyebabkan emu-emu ini terserak di kawasan yang lebih luas.[5] Hujan mula berkurang menjelang 2 November 1932,[2][5] ketika mana askar-askar dikerah dengan arahan untuk membantu peladang-peladang dan, menurut satu laporan surat khabar, untuk mengumpul 100 kulit emu supaya bulu-bulunya boleh digunakan untuk membuat topi untuk penunggang kuda ringan.[9]

Cubaan pertama

[sunting | sunting sumber]

Pada 2 November, mereka bergerak ke Campion, di mana 50 emu telah dilihat.[2] Oleh sebab burung-burung ini berada di luar julat senjata-senjata api ini, penduduk-penduduk tempatan cuba untuk mengkelompokkan emu-emu ini untuk satu serang hendap, tetapi burung-burung ini berpecah menjadi kumpulan-kumpulan kecil lalu berlari, menyebabkan mereka sukar untuk disasar.[6] Meskipun begitu, walaupun tembakan bertalu-talu daripada mesingan tidak berkesan disebabkan jarak sasaran, serangan kedua berjaya untuk membunuh "beberapa ekor" burung. Pada hari yang sama, sekelompok burung lagi ditemui, dan "lebih kurang sedozen" burung telah terbunuh.[2]

Kejadian penting seterusnya berlaku pada 4 November. Meredith telah menyediakan satu serang hendap berdekatan satu empangan tempatan, dan kira-kira seribu emu telah dilihat menghala ke arah mereka. Kali ini, para penembak menunggu sehingga burung-burung ini berada pada jarak yang cukup dekat sebelum mula menembak. Namun, senjata-senjata api yang digunakan tersekat selepas hanya dua belas ekor emu terbunuh, dan burung-burung yang lain bertempiaran sebelum banyak lagi sempat dibunuh. Tiada lagi burung dilihat pada hari tersebut.[2]

Pada hari-hari seterusnya, Meredith memilih untuk bergerak ke selatan di mana burung-burung "dilaporkan agak jinak",[10] namun tidak banyak kejayaan diperolehi meskipun usaha beliau.[2] Dalam satu tahap, Meredith mengambil langkah drastik iaitu meletakkan salah satu senjata api di atas trak: satu langkah yang kemudiannya didapati tidak efektif kerana trak tersebut tidak dapat mengejar emu-emu dan jalan yang dilalui sangat tidak rata menyebabkan penembak tidak dapat menembak.[2] Menjelang 8 November, enam hari selepas operasi pertama dijalankan, 2,500 butir peluru telah ditembak.[6] Bilangan burung yang telah ditembak tidak begitu diketahui: satu laporan mengatakan hanya 50 burung yang dibunuh,[6] tetapi laporan-laporan lain memberikan angka di antara 200 hingga 500, dan angka 500 tersebut diberikan oleh penduduk kawasan tersebut. Laporan rasmi Meredith mengatakan tidak ada sesiapa yang kehilangan nyawa.[2]

Untuk meringkaskan penakaian tersebut, ahli ornitologi Dominic Serventy mengatakan:


Harapan penembak-penembak mesingan untuk menembak kawanan rapat emu-emu pada jarak dekat kemudiannya hilang. Pemerintah tentera Emu jelas telah mengarahkan taktik gerila, dan tenteranya yang besar kemudiannya berpecah kepada unit-unit kecil yang tidak terkira banyaknya yang menyebabkan penggunaan peralatan tentera tidak ekonomikal. Pasukan lapangan yang murung kemudiannya berundur daripada kawasan pertempuran selepas sebulan.[11]

Pada 8 November, wakil-wakil rakyat di Dewan Perwakilan Australia membincangkan operasi ini.[6] Susulan kepada liputan negatif kejadian ini dalam media tempatan[12] yang turut mendakwa "hanya beberapa" emu telah dibunuh,[4] Pearce menarik semula pegawai-pegawai tentera dan senjata-senjata api pada hari tersebut.[4][6][13][14]

Selepas pengunduran tersebut, Mejar Meredith membandingkan emu-emu ini kepada orang Zulu dan menyentuh tentang kebolehgerakan emu-emu tersebut meskipun setelah tercedera.

Andainya kita ada divisyen tentera dengan kemampuan menerima peluru seperti burung-burung ini, mereka akan dapat menghadapi sebarang tentera di dunia... Mereka boleh berdepan mesingan dengan kekebalan kereta kebal. Mereka ini seperti orang Zulu yang peluru dumdum sekalipun tidak dapat hentikan.[15]

Cubaan kedua

[sunting | sunting sumber]

Selepas pengunduran tentera, serangan emu terhadap tanaman berterusan. Peladang-peladang sekali lagi meminta bantuan, dengan menyebut bahawa cuaca panas dan kemarau telah membawa beribu-ribu emu ke ladang-ladang. James Mitchell, Premier Australia Barat, turut menyokong pengembalian bantuan ketenteraan. Tambahan lagi, satu laporan daripada Komander Pengkalan menunjukkan bahawa 300 ekor emu telah terkorban dalam operasi pertama.[14] Daripada hasil perburuan inilah maka Kementerian Pertahanan meluluskan pihak tentera untuk meneruskan operasi mereka.[14] Beliau mempertahankan keputusan beliau di senat dengan menjelaskan mengapa askar-askar diperlukan untuk menentang ancaman agrikultur yang serius oleh populasi emu yang besar.[4] Meskipun pada mulanya tentera bersetuju untuk meminjamkan senjata api kepada kerajaan Australia Barat dengan jangkaan mereka boleh menyediakan orang-orang yang perlu, Meredith sekali lagi dihantar kerana ketiadaan penembak mesingan di negeri tersebut.[2]

Tentera turun padang pada 13 November 1932 dan memperoleh beberapa kejayaan pada dua hari pertama; mereka berjaya membunuh kira-kira 40 ekor emu. Pada hari ketiga, 15 November, operasi mereka kurang berjaya, tetapi menjelang 2 Disember, senjata-senjata api mereka berjaya membunuh kira-kira 100 ekor emu setiap minggu. Meredith dipanggil semula pada 10 Disember, dan dalam laporannya beliau mendakwa telah membunuh 986 emu dengan 9,860 peluru pada kadar tepat 10 butir peluru bagi setiap emu. Tambahan lagi, Meredith mendakwa 2,500 ekor emu yang tercedera telah mati disebabkan kecederaan dialami penembakan sedemikian.[2]

Meskipun masalah-masalah yang telah dialami sewaktu operasi penakaian, para peladang kawasan tersebut sekali lagi meminta bantuan ketenteraan pada 1934, 1943 dan 1948, dan setiap kali kerajaan Australia menolak.[2] Sebaliknya, sistem hadiah yang telah dimulakan pada 1923 telah diteruskan dan ia terbukti berkesan: 57,034 ganjaran telah dituntut dalam tempoh enam bulan pada 1934.[6]

Menjelang Disember 1932, kisah Perang Emu telah tersebar luas sehingga ke Great Britain. Beberapa penyokong pemuliharaan di sana memprotes tindakan ini, mendakwa ia adalah "penghapusan emu yang jarang".[16] Dr. Dominic Serventy, ahli ornitologi terkemuka Australia, menggambarkan tindakan ini sebagai "satu percubaan penghapusan besar-besaran burung-burung ini".[17]

  1. ^ Shuttlesworth, Dorothy Edwards (1967). The Wildlife of Australia and New Zealand. University of Michigan Press. m/s. 69.
  2. ^ a b c d e f g h i j k l m n Johnson, Murray (2006). "'Feathered foes': soldier settlers and Western Australia's 'Emu War' of 1932". Journal of Australian Studies (88): 147–157. ISSN 1444-3058.
  3. ^ Gill, Frank B. (2007). Ornithology (ed. 3rd). Macmillan. m/s. xxvi. ISBN 978-0-7167-4983-7.
  4. ^ a b c d ""Emu War" defended". The Argus. 19 November 1932. m/s. 22.
  5. ^ a b c d "Rain Scatters Emus". The Argus. 18 October 1932. m/s. 7.
  6. ^ a b c d e f g h i Robin, Libby; Joseph, Leo; Heinshohn, Rob (2009). Boom and Bust: Bird Stories For a Dry Country. CSIRO Publishing. m/s. 256. ISBN 978-0-643-09606-6.
  7. ^ "Over the Speakers Chair". The Canberra Times. Canberra, Australian Capital Territory. 19 November 1932. Dicapai pada 10 January 2010.
  8. ^ Arthur, Jay Mary (2003). The Default Country: A Lexical Cartography of Twentieth-century Australia. UNSW Press. m/s. 123–124. ISBN 978-0-86840-542-1.
  9. ^ "Machine Guns Sent Against Emu Pests". The Argus. 3 November 1932. m/s. 2.
  10. ^ West Australian, 4 March 1932, quoted in Johnson (2006), p152
  11. ^ "casuariiform". Encyclopædia Britannica. 2009. Dicapai pada 16 August 2009.
  12. ^ "Elusive Emus". The Argus. 5 November 1932. m/s. 4.
  13. ^ "War on Emus". The Argus. 10 November 1932. m/s. 8.
  14. ^ a b c "Emu War Again". The Canberra Times. 12 November 1932. m/s. 1.
  15. ^ "New Strategy In A War On The Emu". The Sunday Herald. 5 July 1953. m/s. 13.
  16. ^ Jenkins, C.F.H. (1988). The Wanderings of an Entomologist. Cornell University Press. m/s. 8. ISBN 0-7316-2888-8.
  17. ^ Serventy, Dominic Louis; Herbert Massey Whittell (1948). A Handbook of the Birds of Western Australia (with the exception of the Kimberley Division). Patersons Press; Original: University of Wisconsin Press. m/s. 63.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]