Perbadanan Harta Intelek Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perbadanan Harta Intelek Malaysia
Kerajaan Malaysia
Intisari agensi
Dibentuk3 Mac 2003; 21 tahun yang lalu (2003-03-03)
JenisKerajaan
Ibu pejabatAras 5, Menara MyIPO, PJ Sentral, Lot 12, Persiaran Barat, Seksyen 52 Petaling Jaya, 46200 Petaling Jaya, Selangor
Menteri bertanggungjawab
  • YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Agensi induk
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Dokumen penting
Laman sesawang
www.myipo.gov.my

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ialah sebuah perbadanan yang bertanggujawab untuk membangun dan mengurus sistem harta intelek di Malaysia.[1] Ia telah diperbadankan mengikut Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002 pada 3 Mac 2003 oleh Dewan Negara Malaysia. Tujuan perbadanan ini ialah mewujudkan satu badan berkanun bagi menguruskan permohonan pendaftaran seterusnya menyelia beberapa akta perlindungan bagi semua komponen harta intelek. MyIPO dianggotai oleh 8 anggota perbadanan yang berkuasa bagi membuat sebarang keputusan tertinggi dengan seorang Ketua Pengarah yang mempunyai kuasa eksekutif dengan bantuan dua timbalan ketua pengarah operasi dan harta intelek.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebelum tahun 1983, hak-hak harta intelek di Malaysia telah ditadbir oleh Pejabat Cap Dagangan dan Jaminhak. Pejabat ini kemudiannya telah ditukar namanya kepada Pejabat Cap Dagangan dan Paten dalam tahun 1983 dan telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Pada 27 Oktober 1990, Kementerian telah membuat penyusunan semula dan seterusnya Pejabat ini telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan ditukar nama kepada Bahagian Harta Intelek (BHI). Bahagian ini bertanggungjawab mentadbir Akta Paten 1983, Akta Cap Dagangan 1976 dan Akta Hakcipta 1987.

Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 telah mula dikuatkuasakan pada 1999, disusuli pada tahun 2000 dengan Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000. Seterusnya pada tahun 2001, Akta Petunjuk Geografi 2000 dikuatkuasakan.

Pengkorporatan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM)

Bahagian Harta Intelek telah digubal menjadi badan berkanun berikutan penguatkuasaan Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002 (Akta 617) pada 3 Mac 2003 dan dikenali sebagai Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM). Langkah ini merupakan tindak balas terhadap keperluan untuk sebuah entiti yang lebih dinamik dan responsif terhadap perkembangan dalam bidang harta intelek.

Transformasi ke MyIPO

Pada 25 April 2005, PHIM mengalami transformasi besar-besaran dengan mengubah nama kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Transformasi ini dilakukan untuk memberi penekanan pada komersialisasi peranan MyIPO dan pengiktirafan antarabangsa. MyIPO muncul sebagai entiti yang lebih proaktif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perlindungan harta intelek.

Hari Harta Intelek Negara

Satu lagi tonggak bersejarah adalah pelancaran Hari Harta Intelek Negara pada 3 Mac 2005. Dengan tema "Penjana Ekonomi Masa Kini," MyIPO bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan dan peranan harta intelek dalam meningkatkan ekonomi negara.

Menyertai Triti Kerjasama Paten

Pada 16 Mei 2006, Malaysia menyertai Triti Kerjasama Paten (PCT), menandakan langkah penting dalam membuka akses kepada sistem hak paten secara global. Keanggotaan ini memberi peluang kepada pemohon paten Malaysia untuk mendapatkan perlindungan hak paten di peringkat antarabangsa.

Penubuhan Mahkamah Harta Intelek

Sejajar dengan usaha meningkatkan sistem perundangan berkaitan harta intelek, kerajaan meluluskan penubuhan Mahkamah Harta Intelek pada 6 Jun 2007, yang kemudiannya dirasmikan pada 17 Julai 2007. Mahkamah ini memberikan ruang untuk penyelesaian pertikaian harta intelek dengan lebih adil dan cekap.

Dasar Harta Intelek Negara (DHIN)

MyIPO terus memainkan peranan strategik dengan pelancaran Dasar Harta Intelek Negara (DHIN) pada 27 April 2007. DHIN bertujuan membentuk landskap harta intelek Malaysia dan memberi dorongan kepada inovasi dalam pelbagai sektor ekonomi.

Malaysia Menyertai Perjanjian Nice dan Vienna

Penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Nice dan Vienna pada 2007 menyaksikan negara ini menjadi ahli dalam dua perjanjian antarabangsa yang penting, membentuk asas bagi klasifikasi barangan dan perkhidmatan.

Pensijilan MS ISO 9001:2008

MyIPO mengukuhkan komitmen terhadap kualiti dengan menerima pensijilan MS ISO 9001:2008 pada 9 Mac 2012. Ini menandakan langkah proaktif MyIPO dalam meningkatkan pengurusan kualiti dalam pemeriksaan paten dan cap dagangan.

Global IP Valuation

Sebagai inisiatif pertama dalam menilai nilai harta intelek di peringkat global, MyIPO menganjurkan Global Intellectual Property Valuation (GIPVC) pada 6 dan 7 November 2013. Program ini menjadi pemangkin dalam memahami dan menilai harta intelek dengan lebih holistik.

Dana Harta Intelek

Pada tahun 2016, MyIPO memperkenalkan Dana Pemfailan Harta Intelek (Dana IP) di bawah Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMKe-11). Dana ini diperuntukkan untuk memberi dorongan kewangan kepada pemilik harta intelek dalam memajukan inovasi mereka.

Sistem Pengurusan Harta Intelek (SPHI)

Menghadapi tuntutan teknologi dan pengurusan yang semakin kompleks, MyIPO memperkenalkan Sistem Pengurusan Harta Intelek (SPHI) yang mula beroperasi pada 10 Disember 2018. SPHI membawa efisiensi dalam proses penyelenggaraan dan perlindungan harta intelek.

Akta Cap Dagangan

Pada 23 Julai 2019, Parlimen Malaysia telah meluluskan Rang Undang-Undang Cap Dagangan 2019, memansuhkan Akta Cap Dagangan 1976. Pindaan ini menandakan perubahan signifikan dalam landskap undang-undang perdagangan di negara ini. Akta baru memberikan kerangka undang-undang yang lebih relevan dan sesuai dengan keperluan semasa dalam aspek cap dagangan.

Protokol Madrid

Sejajar dengan usaha Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam bidang harta intelek antarabangsa, Malaysia telah mendepositkan instrumen penyertaan Protocol Relating to the Madrid Agreement Concerning the International Registration of Marks, atau lebih dikenali sebagai Protokol Madrid, pada 27 September 2019. Penyertaan ini membuka pintu kepada pemilik perniagaan Malaysia untuk mendapatkan perlindungan cap dagangan mereka secara antarabangsa.

Pindaan Akta Diluluskan Parlimen

Tahun 2021 menyaksikan sebuah kejayaan yang membanggakan bagi MyIPO, di mana tiga Rang Undang-Undang (RUU) Harta Intelek berjaya diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Pencapaian ini dikenali sebagai "hatrik," dan merangkumi pindaan kepada tiga akta utama, iaitu:

·        Rang Undang-undang Paten (Pindaan) 2021

·        Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021

·        Rang Undang-undang Petunjuk Geografi 2021

Triti Budapest

Pada tahun 2022, Malaysia telah mendepositkan instrumen penyertaan bagi Budapest Treaty on the International Recognition of the Deposit of Microorganisms for the Purposes of Patent Procedure, atau lebih dikenali sebagai Triti Budapest.

Triti Marrakesh

Pada 31 Mac 2022, Malaysia juga telah menyertai Marrakesh Treaty. Triti ini memberikan pengecualian kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan daripada memerlukan kebenaran pemunya hak cipta untuk membuat dan mengedarkan bahan bacaan dalam format boleh akses (accessible format copy).

Dengan penyertaan dalam kedua-dua Triti Budapest dan Triti Marrakesh, Malaysia menegaskan peranannya sebagai pemain proaktif dalam memajukan kerjasama dan perlindungan harta intelek di peringkat global. Langkah ini juga sejajar dengan hasrat negara untuk menyokong pembangunan sosioekonomi yang mampan melalui inovasi dan inklusiviti.

Menara MyIPO

Ibu pejabat MyIPO mula beroperasi secara rasmi di Menara MyIPO pada 10 April 2023.

Ketua Pengarah[sunting | sunting sumber]

Nama Tempoh Perkhidmatan
Tuan Ismail Jusoh Mac 2003 - April 2005
Datuk Haji Shuib Md Yusop Julai 2005 - Jun 2007
Tuan Kamel Mohamad November 2007 - Mei 2010
Dato’ Azizan Mohamad Sidin Julai 2010 - Jun 2013
Dato’ Shamsiah binti Kamaruddin September 2014 - Julai 2018
Dato’ Mohd Roslan bin Mahayudin Januari 2019 - Mac 2021
Tuan Abdul Haris bin Haji Lakar Oktober 2021 - Jun 2023
Tuan Kamal bin Kormin Julai 2023 - kini

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Intelectual Property Corperation of Malaysia". Expat.com.my. T/A. Dicapai pada 2009-11-17. Check date values in: |year= (bantuan); External link in |publisher= (bantuan)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]