Perbadanan Kemajuan Filem Nasional

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) merupakan hasil keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kemajuan Filem Nasional yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 26 Julai 1980 untuk merangka cara-cara bagi memajukan perusahaan filem di Malaysia.

Hasil dari cadangan Jawatankuasa Kemajuan Filem Nasional, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (atau FINAS) ditubuhkan pada 1981, dan mula beoperasi di Jalan Ampang kemudian berpindah ke Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang pada 19 Disember 1988, ketika Tan Sri Abdul Samad Idris menjadi pengerusi Finas.

Bermula dari tarikh 27 Disember 2004, FINAS kemudiannya diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan merupakan agensi Kementerian Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan bermula pada tahun 2008. Mulai April 2008 FINAS diletakkan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Finas terbabit dengan penggalakkan perfileman di Malaysia, dan dengan perlaksanaan Akta Penggalakan Pelaburan, 1986 turut memancu aktiviti pengeluaran filem dan video tempatan. Finas juga turut menubuhkan Akademi Filem pada 1987, yang bertujuan bagi memberikan latihan formal jangka pendek, peringkat sijil dan diploma kepada golongan karyawan yang berminat dalam bidang perfileman. Selain itu pengeluar-pengeluar filem tempatan juga menikmati galakan kewangan kerajaan di bawah Skim Pemberian Galakan melalui Cukai Hiburan. [1]

Bagi menggalakkan perfileman di Malaysia, Finas turut memberikan bantuan dalam bentuk kemudahan pinjaman dan sewaan alat kelengkapan penggambaran serta kemudahan produksi filem, dewan pratonton dan studio. Pihak kerajaan turut membantu pengeluar-pengeluar filem tempatan dengan menawarkan potongan 50% kepada iklan-iklan di televisyen kerajaan oleh Kementerian Penerangan.

Pihak kerajaan juga telah menguatkuasakan syarat Wajib Tayang mulai Januari 1991 dalam usaha membangunkan industri perfileman Malaysia yang ditadbir urus oleh Finas.

Rujukan[sunting | sunting sumber]


Pautan luar[sunting | sunting sumber]