Pereput otak

Pereput otak (bahasa Inggeris: brain rot) ialah istilah slanga yang merujuk kepada kemerosotan mental atau intelektual seseorang akibat pendedahan berlebihan terhadap kandungan digital yang cetek, berulang atau tidak berkualiti, terutamanya di internet dan media sosial.[1] Istilah ini mendapat perhatian global selepas dipilih sebagai Perkataan Tahun 2024 oleh Oxford University Press melalui undian awam.[1][2]
Definisi
[sunting | sunting sumber]Menurut Kamus Oxford, brain rot ditakrifkan sebagai kemerosotan keadaan mental atau intelektual seseorang, khususnya akibat menghabiskan terlalu banyak masa mengakses dan menyerap kandungan yang kurang bernilai atau dangkal, terutamanya kandungan dalam talian.[1] Dalam konteks budaya internet, istilah ini digunakan secara tidak rasmi untuk menggambarkan keadaan obsesi terhadap hiburan digital sehingga mengganggu tumpuan, emosi dan rutin harian.[3]
Istilah ini bukan diagnosis perubatan atau klinikal, namun sering digunakan dalam perbincangan awam untuk menggambarkan kesan negatif penggunaan skrin dan media sosial secara berlebihan.[4]
Sejarah dan asal usul
[sunting | sunting sumber]Penggunaan terawal istilah brain rot direkodkan pada tahun 1854 dalam karya Walden; or, Life in the Woods oleh Henry David Thoreau, di mana beliau mengkritik masyarakat yang merendahkan nilai pemikiran mendalam dan idea kompleks.[1][5]
Dalam era moden, istilah ini kembali popular dan digunakan sebagai slanga internet, terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial. Sepanjang tempoh 2023 hingga 2024, penggunaan frasa ini meningkat sebanyak 230 peratus, mencerminkan kebimbangan terhadap kesan kandungan digital jangka pendek yang berlebihan.[1]
Reputan otak dalam budaya digital
[sunting | sunting sumber]Fenomena reputan otak sering dikaitkan dengan kandungan video pendek seperti TikTok dan YouTube Shorts yang bersifat pantas, berulang dan berasaskan rangsangan segera.[4]Kandungan sedemikian melatih otak untuk bergantung kepada maklumat ringkas dan hiburan segera, sekali gus mengurangkan keupayaan memberi tumpuan dalam jangka masa panjang.
Ahli linguistik turut melihat fenomena ini sebagai cerminan realiti sosial dan budaya generasi digital, di mana bahasa, meme dan hiburan ringan membentuk cara berfikir serta berinteraksi.[5]
Fenomena "Italian Brain Rot"
[sunting | sunting sumber]Salah satu variasi budaya reputan otak yang tular ialah fenomena Italian Brain Rot, iaitu trend hiburan yang berasal daripada video TikTok dan meme dengan gaya visual hiperaktif, audio menjerit dan kandungan yang tidak masuk akal.[6]
Antara contoh popular termasuk Tung Tung Sahur, Trallallero Trallala, Bombardiro Crocodilo dan Ballerina Cappucina. Kandungan ini direka untuk menarik perhatian secara agresif melalui keanehan dan pengulangan.[6]
Kesan terhadap kanak-kanak
[sunting | sunting sumber]Pendedahan berlebihan kepada kandungan reputan otak, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, dikaitkan dengan pelbagai kesan negatif terhadap perkembangan kognitif dan emosi.[4][6]
Antara kesan yang dikenal pasti termasuk:
- Tumpuan yang pendek dan sukar fokus
- Kemunduran perkembangan bahasa
- Kurang minat terhadap aktiviti dunia sebenar
- Tanda awal ketagihan digital
- Perubahan tingkah laku dan emosi
- Kemerosotan prestasi akademik[6]
Kanak-kanak yang terlalu terdedah kepada kandungan pantas dan berulang juga cenderung menunjukkan tingkah laku agresif, tantrum serta kesukaran bersosial.[4]
Tanda-tanda reputan otak
[sunting | sunting sumber]Antara tanda-tanda umum yang sering dikaitkan dengan reputan otak ialah:[2]
- Jangka masa perhatian yang pendek
- Masalah daya ingatan
- Ketidakstabilan emosi
- Kesukaran membuat keputusan
- Ketagihan terhadap peranti berskrin
Pencegahan dan langkah kawalan
[sunting | sunting sumber]Langkah pencegahan reputan otak menekankan kepentingan keseimbangan penggunaan teknologi, khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Ibu bapa digalakkan untuk memantau kandungan tontonan, mengehadkan masa skrin dan menggunakan platform yang lebih terkawal seperti YouTube Kids.[4]
Antara langkah lain yang disarankan termasuk:
- Amalan detoks digital secara berkala
- Galakan aktiviti fizikal dan sosial
- Pendidikan literasi digital
- Pengukuhan hubungan sosial bersemuka[2]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c d e "Oxford pilih 'brain rot' sebagai perkataan tahun 2024". Astro Awani. 2 Disember 2024.
- ^ a b c ""Brain Rot": Fenomena Digital yang Menggemparkan Dunia pada 2024". negara.my. 3 Disember 2024.
- ^ "Brainrot: Bila Hiburan Ringan Menjadi Obsesi". Ellemen. 13 Ogos 2025.
- ^ a b c d e "Pengaruh 'Brain Rot' makin berleluasa, cara mudah ibu bapa padam kartun di 'shorts' YouTube, cegah sebelum terlewat". Majoriti.com.my. 24 Jun 2025.
- ^ a b Dr. Nik Nur Ainin Soffiya binti Nik Mat (14 Disember 2025). "From 'rizz' to 'brain rot': Examining trends in language" (dalam bahasa Inggeris). MalaysiaGazette.
- ^ a b c d "Fenomena "Tung Tung Sahur"". eCentral. 22 Mei 2025.