Peristiwa Blomberg-Fritsch

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Kiri ke kanan: Jeneral Gerd von Rundstedt, Jeneral Werner von Fritsch dan Kolonel Jeneral Werner von Blomberg; Neue Wache, Berlin, 1934

Peristiwa Blomberg–Fritsch, juga dikenali sebagai krisis Blomberg–Fritsch (Jerman: Blomberg–Fritsch–Krise), adalah dua skandal yang berkaitan pada awal tahun 1938 yang menyebabkan penguasaan penuh Adolf Hitler ke atas Wehrmacht (Angkatan Tentera Jerman). Seperti yang tercatat dalam Memorandum Hossbach, Hitler tidak berpuas hati dengan dua orang pegawai tentera berpangkat tinggi berkenaan, Werner von Blomberg dan Werner von Fritsch, dan menganggap mereka terlalu teragak-agak dalam persiapan perang yang beliau arahkan. Hitler kelak mengambil kesempatan situasi tersebut dengan menggantikan beberapa jeneral dan menteri dengan orang yang lebih setia kepadanya.

Hitler mengambil alih sendiri pemerintahan angkatan tentera menerusi Oberkommando der Wehrmacht (OKW) yang baru ditubuhkan dan selepas kekalahan tentera Jerman di luar Moscow pada Disember 1941 beliau mengambil alih pula jawatan Ketua Oberkommando des Heeres (OKH) selepas Walther von Brauchitsch dipecat dan dipindahkan ke bahagian simpanan (Führerreserve). Hitler kemudian mula campur tangan di OKW, yang mana Wilhelm Keitel tidak pernah berani melawannya.

Perkahwinan Blomberg[sunting | sunting sumber]

Peristiwa Blomberg–Fritsch bermula tidak lama selepas perkahwinan Menteri Perang merangkap Panglima Angkatan Tentera iaitu Generalfeldmarschall Werner von Blomberg dengan Erna Gruhn pada 12 Januari 1938, apabila pihak polis Berlin mendapati perempuan itu mempunyai rekod jenayah yang panjang dan telah bergambar lucah. Menurut keterangan yang diberikan kemudian pada Perbicaraan Nuremberg, maklumat yang diterima oleh Pesuruhjaya Polis dalam masa beberapa hari juga menunjukkan bahawa "isteri Marsyal von Blomberg sebelum ini telahpun didaftarkan sebagai seorang pelacur didalam fail-fail tujuh bandar besar Jerman; dia berada didalam fail jenayah Berlin... Dia juga telah dihukum oleh mahkamah Berlin kerana mengedarkan gambar-gambar tidak senonoh."[1] Perkahwinan dengan seseorang yang mempunyai rekod jenayah seperti itu telah melanggar standard tingkah laku yang diharapkan daripada pegawai-pegawai seperti yang ditakrifkan oleh Blomberg sendiri dan muncul sebagai satu kejutan buat Hitler — Ketua Luftwaffe Generaloberst Hermann Göring telah menjadi pengapit Blomberg, dan Hitler sendiri menjadi saksi pada majlis pernikahan. Hitler dan Göring melihat perkembangan ini sebagai satu peluang untuk menyingkirkan Blomberg.[2] Hitler mengarahkan Blomberg untuk membatalkan perkahwinan itu bagi mengelakkan skandal dan untuk memelihara integriti tentera. Blomberg enggan membatalkan perkahwinan itu tetapi, selepas Göring mengancam untuk menyebarkan tingkahlaku isterinya kepada umum, pada 27 Januari 1938 beliau akhirnya meletakkan jawatan.

Fritsch[sunting | sunting sumber]

Peristiwa yang menyelubungi perkahwinan Blomberg telah memberi ilham kepada Hermann Göring dan Reichsführer-SS Heinrich Himmler untuk membuat perkara yang sama kepada Panglima Tentera Darat Generaloberst Werner von Fritsch. Göring tidak mahu Fritsch menjadi pengganti kepada Blomberg dan dengan itu menjadi orang atasannya. Himmler mahu melemahkan Wehrmacht dan terutamanya para jeneral bangsawan dalam usaha untuk mengukuhkan Schutzstaffel sebagai pesaing kepada Tentera Darat tetap Jerman (Heer). Pada tahun 1936, Reinhard Heydrich telah menyiapkan satu fail mengenai Fritsch dengan tuduhan kehomoseksualan dan telah menyerahkan maklumat itu kepada Hitler, tetapi Hitler menolaknya dan mengarahkan Heydrich memusnahkan fail tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak berbuat demikian.[3] Sekarang tahun 1938, Heydrich membangkitkan semula fail lama Fritsch, yang sekali lagi dituduh sebagai homoseks oleh Himmler dan SSnya.[4] Dilaporkan bahawa Fritsch telah digalakkan oleh Jeneral Ludwig Beck untuk menjalankan putsch (pemberontakan) tentera terhadap rejim Hitler, tetapi beliau enggan dan meletakkan jawatan pada 4 Februari 1938, digantikan oleh Jeneral Walther von Brauchitsch, orang yang Fritsch cadangkan untuk jawatan ini.[5]

Penyusunan semula[sunting | sunting sumber]

Hitler menggunakan situasi ini untuk memindahkan tugas-tugas Kementerian Perang (Reichskriegsministerium) kepada organisasi baru—Markas Besar Angkatan Tentera (Oberkommando der Wehrmacht, atau OKW)—dan Jeneral Wilhelm Keitel, menjadi Ketua baru OKW pada 4 Februari 1938.[6] Ini melemahkan Markas Besar Tentera Darat (Oberkommando des Heeres) yang kini diletakkan dibawah OKW.

Hitler mengambil kesempatan lagi situasi tersebut dengan menggantikan beberapa jeneral dan menteri dengan orang yang lebih setia kepadanya, mengambil kawalan de facto yang lebih berkesan ke atas Wehrmacht, yang beliau perintah secara de jure. Sesetengah pegawai kanan Wehrmacht membantah perubahan ini, terutamanya Kolonel Jeneral Ludwig Beck, yang mengedarkan petisyen yang ditandatangani oleh Kolonel Jeneral Gerd von Rundstedt dan lain-lain.[petikan diperlukan]

Susulan[sunting | sunting sumber]

Kelak diketahui bahawa tuduhan terhadap Fritsch adalah palsu — maklumat didalam fail itu sebenarnya merujuk kepada seorang Rittmeister (kapten kavalri) bernama Achim von Frisch. Namun Himmler dan Heydrich meneruskan kes tersebut, dengan mudah menemui seorang individu bernama Hans Schmidt untuk menjadi saksi bagi menyokong pertuduhan tersebut. Pihak Wehrmacht menuntut sebuah mahkamah pegawai kehormat memeriksa Peristiwa Blomberg–Fritsch. Prosiding telah dipengerusikan oleh Hermann Göring. Schmidt mendakwa mengenali Fritsch sebagai pegawai yang beliau lihat sedang melakukan perbuatan homoseksual didalam sebuah tandas awam dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai "Bavarian Joe".[7] Namun, Schmidt telah didedahkan sebagai seorang penjenayah terkenal didalam gang Berlin yang pakar dalam peras ugut homoseksual.[8]

Anggota-anggota kumpulan pegawai Jerman telah terkejut dengan layanan buruk ke atas Fritsch dan, dalam mesyuarat seterusnya, Himmler, Göring, dan malah Hitler mungkin telah menerima tekanan daripada mereka kerana kes terhadap Fritsch dilihat sangat lemah.[9] Kejayaan pengilhakan (Anschluss) Austria tidak lama selepas itu mendiamkan kritikan tersebut. Kolonel Jeneral Beck meletakkan jawatan pada 18 Ogos 1938 dan Kolonel Jeneral von Rundstedt mendapat kebenaran untuk bersara pada Oktober 1938.

Pembebasan[sunting | sunting sumber]

Schmidt kemudian menarik balik tuduhan terhadap Fritsch, dan selepas itu dibunuh. Fritsch secara rasmi dibebaskan pada 18 Mac, tetapi kerosakan pada namanya telah berlaku, dan beliau tidak pernah dikembalikan jawatan Panglima Tentera Darat. Walaupun pihak tentera darat menuntut pemulihan dan pengembalian ke jawatan lamanya, Hitler hanya akan melantik beliau sebagai Kolonel Kehormat sebuah rejimen artileri. Sejurus selepas pencerobohan Jerman ke atas Poland, Fritsch yang sedang memeriksa askar barisan depan telah ditembak di kaki dan meninggal dunia. Sesetengah orang percaya bahawa beliau sengaja menempah maut.

Terikat dengan sumpah peribadi kepada Hitler (iaitu Reichswehreid tahun 1934, ironinya diarah oleh Blomberg), ramai anggota Wehrmacht tidak pernah meluahkan (bertindak) perasaan tidak senang hati mereka atas peristiwa tersebut. Selepas itu, pihak tentera darat menjadi alat yang makin kurang dipercayai oleh Hitler.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki dan rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ http://avalon.law.yale.edu/imt/04-25-46.asp
  2. ^ Gerwarth, Robert, Hitler's Hangman: The Life of Heydrich, Yale University Press, 2011, p. 116, ISBN 978-0-300-11575-8
  3. ^ Gerwarth, Hitler's Hangman: The Life of Heydrich, p. 116
  4. ^ Gerwarth, Hitler's Hangman: The Life of Heydrich, pp. 116-117
  5. ^ Wheeler-Bennett, Nemesis, p. 369
  6. ^ Keitel, according to his memoirs, had met Hitler on 26 January 1938 to discuss Blomberg's successor. At this meeting Keitel records that Hitler showed him the indictment against Fritsch under Paragraph 175 of the penal code and explained that despite his efforts to suppress the matter it had now come to a head. See: Irving, In the Service of the Reich, p. 51
  7. ^ Gisevius, Hans, To the Bitter End, p. 229
  8. ^ Gerwarth, Hitler's Hangman: The Life of Heydrich, p. 117
  9. ^ Deutsch, Harold Charles, Hitler and His Generals: The Hidden Crisis, January–June 1938, University of Minnesota Press, 1974, p. 248. ISBN 978-0-8166-0649-8

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Faber, David, Munich, 1938: Appeasement and World War II (2008) pp. 46–75

Pautan luar[sunting | sunting sumber]