Perjanjian 29 Oktober 1830
| Perjanjian 29 Oktober 1830 | |
|---|---|
| Jenis | Perjanjian Dua Hala |
| Ditandatangani | 29 Oktober 1830 di Pulau Penyengat, Riau |
| Penandatangan | |
| Pihak | |
| sunting | |
Sebahagian daripada siri tentang |
|---|
| Sejarah Malaysia |
| Portal Malaysia |
Sebahagian daripada siri tentang |
|---|
| Sejarah Singapura |
| Portal Singapore |
Sebahagian daripada siri tentang |
|---|
| Sejarah Indonesia |
| Portal Indonesia |
Perjanjian 29 Oktober 1830 atau lebih dikenali sebagai Perjanjian Johor-Belanda 1830 atau Perjanjian Riau-Belanda 1830 merupakan satu perjanjian antara Kesultanan Johor Lama dengan Belanda yang bertujuan untuk menguatkuasakan wilayah pengaruh antara Belanda dengan British di Alam Melayu seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 (juga dikenali sebagai Perjanjian London) antara British dengan Belanda yang telah ditandatangani oleh mereka di London, United Kingdom pada 17 Mac 1824.
Pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut ialah Kesultanan Johor Lama yang diwakili oleh Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar dan pihak Belanda yang diwakili oleh Residen Belanda di Riau, Cornelis Pieter Jacob Elout. Walaupun Sultan Johor, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dinamakan sebagai pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut, baginda tidak menghadiri istiadat menandatangani perjanjian tersebut dan baginda diwakili oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar. Istiadat tersebut diadakan di Istana Raja Jaafar yang terletak di Pulau Penyengat, Riau.
Perjanjian tersebut membawa kesan yang sangat besar kepada Kesultanan Johor Lama kerana negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah lalu membawa kepada pengakhiran Kesultanan Johor Lama yang telah wujud selama 300 tahun. Dan dalam perjanjian tersebut, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah mula digelar sebagai "Raja Lingga dan Riau" dan "Yang Dipertuan Besar Riau dan Lingga" lalu secara tidak langsung bermulanya Kesultanan Riau-Lingga dan baginda secara rasmi menjadi Sultan Riau-Lingga pertama.
Sebab Berlakunya Perjanjian 29 Oktober 1830
[sunting | sunting sumber]Tindakan Sir Thomas Stamford Raffles yang membina loji (pejabat syarikat perniagaan yang dibuat berkubu) Syarikat Hindia Timur Inggeris di Singapura pada tahun 1819 telah menimbulkan kemarahan Belanda lalu menyebabkan hubungan antara British dengan Belanda bertambah buruk. Belanda mendakwa bahawa Perjanjian 6 Februari 1819 antara Raffles dengan Sultan Hussein Muhammad Shah adalah tidak sah dan Kesultanan Johor Lama berada di bawah pengaruh Belanda. Hak perdagangan Belanda di India British dan bekas tanah jajahan Belanda di wilayah tersebut juga menjadi punca pertikaian antara mereka. Pada tahun 1820, atas desakan para pedagang British yang mempunyai kepentingan di Timur Jauh, rundingan untuk menjelaskan keadaan di Asia Tenggara dimulakan.
Rundingan antara British, yang diwakili oleh Setiausaha Luar Negeri Britain, Robert Stewart, dengan Belanda, yang diwakili oleh Penasihat Negara Belanda dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Raja Belanda kepada Raja Britain, Hendrik Fagel, bermula pada 20 Julai 1820. Belanda bertegas bahawa British perlu meninggalkan Singapura tetapi Stewart sendiri tidak pasti bagaimana British memperoleh Singapura. Pada mulanya, mereka bersetuju dengan isu-isu yang tidak kontroversi seperti hak pelayaran bebas dan penghapusan lanun. Rundingan mengenai perkara utama digantung pada 5 Ogos 1820 dan tidak disambung semula sehingga tahun 1823 apabila British menyedari dan memahami nilai komersial Singapura.
Rundingan mereka disambung pada bulan Disember 1823 dan isu yang dirunding ialah penetapan sempadan pengaruh mereka yang jelas di Alam Melayu. Apabila Belanda menyedari bahawa Singapura semakin berkembang pesat sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan dan Belanda tidak dapat menghalang kemajuan Singapura tersebut, Belanda mendesak satu pertukaran di mana mereka akan melepaskan tuntutan mereka ke atas utara Selat Melaka dan tanah jajahan mereka di India sebagai pertukaran untuk pengesahan tuntutan mereka ke atas selatan Selat Melaka termasuk Bengkulu yang merupakan tanah jajahan British. Akhirnya, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani pada 17 Mac 1824 oleh wakil British iaitu Setiausaha Luar Negeri Britain, George Canning, dan Presiden Lembaga Pesuruhjaya Hal-Ehwal India, Charles Williams-Wynn, dan wakil Belanda iaitu Penasihat Negara Belanda dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Raja Belanda kepada Raja Britain, Hendrik Fagel, dan Menteri Arahan Awam, Industri Negara dan Tanah Jajahan Belanda, Anton Reinhard Falck. Perjanjian tersebut disahkan oleh British pada 30 April 1824 dan oleh Belanda pada 2 Jun 1824. Pertukaran dokumen pengesahan tersebut dilakukan di London pada 8 Jun 1824.
Memandangkan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani oleh British dan Belanda sahaja, perjanjian tersebut tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang kepada Kesultanan Johor Lama kerana perjanjian tersebut dibuat tanpa penglibatan dan persetujuan Sultan Johor, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan para pembesar Kesultanan Johor Lama yang merupakan pemilik sebenar wilayah pengaruh politik yang ingin dibahagikan oleh British dan Belanda.[1][2] Oleh sebab itu, walaupun perjanjian tersebut mungkin sah di sisi undang-undang British dan Belanda, mereka tidak boleh menguatkuasakan perjanjian tersebut ke atas Kesultanan Johor Lama dan jajahan takluknya yang kawasannya terlibat dalam wilayah pengaruh politik mereka.[3] Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan para pembesar Kesultanan Johor Lama yang tidak pernah menurunkan tandatangan mereka dalam perjanjian tersebut juga tidak terikat dengan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut.[4][5]
Namun, pada tahun 1825, pegawai Belanda yang bernama Van Angelbeek memaklumkan Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar mengenai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.[6] Ini menyebabkan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar berada dalam dilema kerana beliau telah melanggar adat-istiadat Melayu apabila beliau menabalkan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama pada tahun 1812 yang mengakibatkan beliau terpaksa membayar harga yang mahal dengan menandatangani Perjanjian 26 November 1818 dengan Belanda.[7] Bukan itu sahaja, beliau juga menabalkan semula Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah mengikut adat-istiadat Melayu pada bulan November 1823 selepas beliau mendapatkan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama yang dirampas daripada saudaranya, Engku Puteri Raja Hamidah dengan bantuan Belanda.[8] Bantuan Belanda telah menyebabkan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar terikat dengan perjanjian mereka dan terhutang budi kepada mereka.[9] Namun, kedudukan beliau sebagai pembesar utama Kesultanan Johor Lama membuatkan beliau tidak boleh memberikan sokongan kepada usaha Belanda dan British untuk membahagikan wilayah Kesultanan Johor Lama yang akan memisahkan Sultan Johor di Lingga daripada para pembesar dan rakyat baginda di Semenanjung Tanah Melayu.[10]
Setelah Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar berfikir semasak-masaknya dan mempertimbangkan secara serius permintaan Belanda, beliau akhirnya membuat keputusan untuk menerima sahaja syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memandangkan beliau tidak ada pilihan lain selain terpaksa bersetuju dengan kehendak Belanda.[11] Kemudian, satu lagi perjanjian antara beliau dengan Belanda telah ditandatangani pada 29 Oktober 1830.[12] Berikut merupakan petikan penting Perjanjian 29 Oktober 1830:
Perjanjian 17 Mac 1824 ini di London, antara Yang di-Pertuan Besar atas Netherland dengan Yang di-Pertuan Besar atas Great Britain dan Ireland, kerana sebab Perjanjian itu, jadi Johor dan Pahang, tiada lagi di bawah Yang di-Pertuan Besar Lingga. Maka pada sekarang ini perjanjian yang lama, yang dibuat oleh Govermen Netherland dengan Yang di-Pertuan Besar Johor dan Pahang dan Riau dan Lingga dan segala takluknya itu, tiadalah boleh dipakai begitu.[13][14]
Dengan termeterainya Perjanjian 29 Oktober 1830, maka Kesultanan Johor Lama telah bersetuju untuk menerima Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 bagi tujuan penguatkuasaannya di Alam Melayu.[15] Ini mengakibatkan negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan Kesultanan Johor Lama telah melepaskan hak kedaulatannya ke atas dua wilayah tersebut.[16] Secara tidak langsung, Perjanjian 29 Oktober 1830 telah membubarkan Kesultanan Johor Lama yang telah memerintah selama 300 tahun dan mewujudkan Kesultanan Riau-Lingga sebagai penerus dan pengganti Kesultanan Johor Lama tetapi berada di bawah naungan Belanda.[17]
Walaupun Temenggung Johor di Johor dan Bendahara Johor di Pahang tidak lagi dinaungi oleh Sultan Johor di Lingga, para pembesar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu masih lagi bertuankan baginda.[18] Ini boleh dibuktikan apabila Sultan Riau-Lingga, Sultan Muhammad II Muazzam Shah telah mengadakan satu istiadat yang dihadiri oleh para pembesar dari seluruh bekas wilayah Kesultanan Johor Lama.[19] Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Ali telah menabalkan Tengku Mahmud (kemudian Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) sebagai Tengku Besar (pewaris takhta) dan Tun Mutahir (kemudian Bendahara Tun Mutahir) sebagai Bendahara Muda (pewaris Bendahara Johor dan Raja Bendahara Pahang) dalam istiadat tersebut.[20] Selain itu, berdasarkan surat balasan Bendahara Tun Ali kepada Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah pada tahun 1855, mereka langsung tidak mengetahui tentang Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.[21] Terdapat kemungkinan besar bahawa Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian 29 Oktober 1830 dirahsiakan daripada mereka untuk suatu tempoh yang lama iaitu kira-kira 30 tahun.[22]
Isi Kandungan Perjanjian 29 Oktober 1830
[sunting | sunting sumber]Berikut merupakan teks asal Perjanjian 29 Oktober 1830:[23]
(Nota: Satu halaman dalam salinan asal surat perjanjian yang mengandungi Fasal 1, 2 dan 3 telah hilang.)
iaitu Sultan Mahmud Shah, kerana sudah fikir atas perjanjian yang diperbuat pada 17 Mac 1824 di London, antara Yang Dipertuan Besar atas Netherland dengan Yang Dipertuan Besar atas negeri Great Britain dan Ireland.
Oleh kerana sebab perjanjian itu, jadi Johor dan Pahang tiada lagi di bawah perintah Yang Dipertuan Besar Riau-Lingga, adanya.
Fasal yang Keempat
[sunting | sunting sumber]Apabila mangkat Paduka Seri Sultan, tiadalah lain ganti kepadanya akan menjadi Yang Dipertuan Besar Kerajaan Riau dan Lingga itu, melainkan keturunan Paduka Seri Sultan juga; tetapi jika tiada ada keturunannya, maka tiada boleh hulubalang dan menteri pilih akan suatu jua pun, hanyalah dengan diserahkan juga pemerintahan Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland, adanya.
Maka pada tiap-tiap waktu apabila ada Yang Dipertuan Besar baharu naik atas takhta kerajaannya, dia entah sendirikah, entah dengan wakil mutlak, hendaklah bersumpah tinggal setia kepada Government; maka menerima dan akan diturutnya perjanjian ini.
Maka inilah persumpahan yang diterima oleh Residen Riau, Government atas tanah Hindia Netherland, iaitu pemerintahan Yang Maha Tinggi atas rantau Kerajaan Netherland di bawah angin, telah sudah menyertai bersama-sama dengan Paduka Seri Sultan Abdul Rahman Shah, Yang Dipertuan Besar atas negeri Riau dan Lingga dengan segala daerah takluknya, ibni Paduka Seri Sultan Mahmud Shah. Maka kedua pihak itu sudah fikir atas perjanjian yang diperbuat kepada tujuh belas hari bulan Mac, tahun 1824 di London.
Perjanjian 17 Mac, 1824 ini di London, antara Yang Dipertuan Besar atas Netherland dengan Yang Dipertuan Besar atas Great Britain dan Ireland, kerana sebab perjanjian itu, jadi Johor dan Pahang, tiada lagi di bawah Yang Dipertuan Besar Lingga.
Maka pada sekarang ini perjanjian yang lama, yang dibuat oleh Government Netherland dengan Yang Dipertuan Besar Johor dan Pahang dan Riau dan Lingga dan segala takluknya itu, tiadalah boleh dipakai begitu.
Syahadan lagi, kerana daripada dibuat perjanjian lama itu, telah sudah ditambah dan diubah akan barang perkara di dalamnya itu, maka oleh sebab berdua itu yang tersebut di atas ini, ada kehendak akan membuat perjanjian baharu, supaya segala perkara yang patut akan diubah maka diubahkanlah di dalamnya. Maka supaya inilah, perjanjian yang baharu meneguhi dan menetapi akan segenap yang kena képada sebelah menyebelah.
Maka telah sudah berdua memberi kuasa akan menjadi wakil mutlaknya, pada membuat perjanjian baharu ini, iaitu pemerintahan Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland telah memberi kuasa itu kepada Tuan Lieutenant Colonel dalam angkatan perang Residen lama di Riau, sekarang disuruh ke daerah Goverment di pesisir barat Pulau Perca. Maka Paduka Seri Sultan Abdul Rahman Shah telah sudah memberikan kuasa itu kepada Seri Paduka di dalam Fasal ini, apa lagi di dalam Fasal yang ketujuh, adanya.
Syahadan lagi, Government bersama-sama dengan Paduka Seri Sultan, menjadi suka akan ditentukan pada waktu ini, seboleh-boleh Raja Muda itu akan dipilih antara keturunan Raja Muda yang sekarang ini, iaitu Raja Jaafar.
Fasal yang Kelima
[sunting | sunting sumber]Paduka Seri Sultan ada juga janji dia mahu memegang kerajaan dengan antero pada sendirinya. Maka tiada dia mau serahkan itu, atau sepotong tanah daripada kerajaan itu kepada seorang jua pun, jikalau tiada mendapat izin akan membuat yang demikian oleh pemerintahan Yang Maha Tinggi atas Hindia Netherland.
Syahadan lagi, Paduka Seri Sultan tiada akan membuat perjanjian dengan bangsa yang lain, sebelum juga diterima perbuatan yang demikian itu oleh Government Netherland.
Fasal yang Keenam
[sunting | sunting sumber]Pemerintahan Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland mengaku daripada hal kerajaan Riau dan Lingga dengan segala daerah takluknya, diterima oleh Goverment itu akan jadi di bawah perlindungannya. Maka Government pun janji kepada Seri Sultan, kerajaannya akan tinggal dialah empunya, turun temurunnyalah empunya selama-lama raja-raja itu ada melakukan barang apa-apa yang patut dan harus dia melalui olehnya, iaitu turut perjanjian ini. Apa lagi Government pun janji kepada mencari kebajikan kerajaan Paduka Seri Sultan dengan seboleh-bolehnya, apabila waktu yang baik pada melakukan kebajikan itu, adanya.
Fasal yang Ketujuh
[sunting | sunting sumber]Seperti yang telah sudah pada purbakala, waktu Paduka Nenek Moyang Seri Paduka Sultan, perintah atas segala hal-ehwal kerajaan, antero dipegang di bawah Paduka Seri Sultan oleh Raja Muda akan sesuatu, demikianlah pada sekarang ini ditentukan pula, tiada boleh diganti akan adat istiadat itu.
Maka Raja Muda itu akan pernah dipilih antara keturunan raja-raja Bugis; maka Raja Muda itu digelarkan Yang Dipertuan Riau. Maka dia bertakhta di Penyengat. Maka apabila mangkat Raja Muda itu, maka Paduka Seri Sultan hendaklah menunjuki pada pemerintah Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland, siapa yang akan ganti pada Raja Muda; tetapi Paduka Seri Sultan tiada akan memberi kedudukan itu, sebelum lagi dia mendapat tahu entah Government pun redha dengan yang dipilih oleh Paduka Seri Sultan, entah barangkali tiada Government suka pada raja itu; melainkan Paduka Seri Sultan janji dalam perkara itu, dia pun akan turut ajaran Government, adanya.
Fasal yang Kedelapan
[sunting | sunting sumber]Daripada pihak Government Netherland, tiada dapat tiada akan tinggal juga seseorang yang mempunyai kuasa, iaitu Residen. Maka dialah yang jadi utusan Government kepada Yang Dipertuan Besar atas kerajaan Lingga dan Riau dan segala daerah takluknya, melainkan inilah gelarannya, iaitu Residen Riau. Maka tempat kedudukannya itu tinggal di Tanjung Pinang. Maka pemerintahan Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland, janjikan memberi kedudukan itu seboleh-bolehnya kepada orang yang tahu bahasa dan adat istiadat negeri yang di bawah angin, seboleh-boleh yang mengertinya, jikalau tiada uzur yang berat, menjadi sebab kerana tiada boleh melakukan perkara ini daripada perjanjiannya itu, adanya.
Fasal yang Kesembilan
[sunting | sunting sumber]Tetapi jikalau tiada diharap menjadi yang demikian itu, melainkan kalau-kalaulah Paduka Seri Sultan atau Raja Muda kurang suka, kerana suatu pun yang dibuat, atau dilakukan Residen, maka bolehlah Paduka Seri Sultan mengambil akan jalan yang patut kepadanya, akan mengadu pada pemerintah Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland. Maka tiada usah Paduka Seri Sultan, atau Yang Dipertuan Riau beritahu kepada Residen daripada pengaduan itu; melainkan di luar daripada perkara itu. Maka Paduka Seri Sultan dengan Yang Dipertuan Riau hendaklah tampakkan kepada Residen bagai wakil mutlak perintah Yang Maha Tinggi. Maka segala bicara yang kena kepada Government, atau kepada Kerajaan Paduka Seri Sultan, maka hendaklah dibuka kepada Residen akan barang sesuatu pun yang Paduka Seri Sultan atau Yang Dipertuan Muda jadi suka pada memberitahu kepada Government, maka hendaklah dibuka kepada Residen. Maka jangan berkirim surat atau utusan itu, melainkan dengan mesyuarat Residen.
Fasal yang Kesepuluh
[sunting | sunting sumber]Yang mempunyai kuasa putus bicara dan hukum pada antara orang, segala yang duduk di dalam Kerajaan Riau dan Lingga dan segala daerah takluknya, melainkan Paduka Seri Sultan yang punya kuasa itu. Maka telah diserahkan olehnya, kerana adat isțiadat negeri kepada Yang Dipertuan Muda Riau; walakin, tetapi Paduka Seri Sultan, apa lagi Yang Dipertuan Muda, janji dalam perkara hukum, tinggallah dibuang dan dihapuskan hukuman seksa yang membuat kudung. Maka apabila seseorang dihukum dengan hukuman mati, maka dengan kerislah dibunuh orang itu, atau dengan hukuman sesuatu jenis supaya jangan lambat mati.
Syahadan lagi, kalau-kalau jadi hukuman yang berat patut dihukum atas orang, bahawa Paduka Seri Sultan, atau Yang Dipertuan Riau, mahu juga beritahu dari perkara itu kepada Residen, maka mendengar ajarannya atas perkara itu. Tambahan lagi ada kuasa Paduka Seri Sultan yang tersebut di dalam perkara ini, adanya.
Fasal yang Kesebelas
[sunting | sunting sumber]Segala orang yang dari Eropah dan Amerika dan lain-lain dari atas angin itu, apa lagi segala rakyat pada Government Netherland yang duduk di dalam Kerajaan Paduka Seri Sultan, istimewa pula orang yang tinggal di Tanjung Pinang, tempat kedudukan Residen; maka ditentui watas Tanjung Pinang itu dengan surat pada 5 April 1830, akan segala orang yang tersebut itu, tiada di bawah kuasa undang-undang hukum Paduka Seri Sultan, melainkan Residen Netherland di Riau yang mempunyai akan hukum atas orang itu.
Syahadan apabila seseorang yang tersebut itu ada di luar watas Tanjung Pinang itu, maka hendaklah diserahkan lantas juga kepada polis yang di bawah Residen. Tambahan pula di Tanjung Pinang, di dalam watas yang tersebut itu tadi; tiada boleh seseorang duduk, hanyalah dengan izin Residen, adanya.
Fasal yang Kedua Belas
[sunting | sunting sumber]Bahawa suatu kecuali juga pada Fasal Yang Kesembilan, iaitu pada segala orang yang duduk di atas Pulau Bintan, ada di bawah bicara Residen di dalam perkara yang kena cukai, bia, dan pak, yang sudah ditaruh atau akan ditaruh lagi oleh Government Netherland.
Maka orang sekalian yang duduk di Bintan itu, tidak boleh tidak mesti turut undang-undang itu; dan apabila seseorang membuat akan yang tiada patut dengan perkara itu, maka dihukumlah akan dia oleh Residen. Maka tiada boleh barang siapa yang melawan kuasa Residen di dalam perkara itu; melainkan Paduka Seri Sultan janji akan tolong dan meneguhi akan kuasa Residen dalam perkara itu, adanya.
Fasal yang Ketiga Belas
[sunting | sunting sumber]Demikian juga segala perkara dari perkara niaga; jikalau kena kepada orang atas angin, maka bicara itu jadi di tempat dalam kerajaan Paduka Seri Sultan, di mana tiada seorang duduk dari pihak Government Netherland, maka bicara itu tiada boleh diputuskan oleh kepala tempat itu, melainkan diberitahu olehnya kepada Yang Dipertuan Riau. Maka Yang Dipertuan Riau pula hendaklah memberitahu kepada Residen Riau. Maka kedua-dua ini akan menyertai bersama-sama pada putus bicara itu.
Syahadan, jikalau kapal atau perahu yang mempunyai orang Eropah atau lain dari atas angin, atau orang rakyat kepada Government Netherland, apa lagi Cina kena kandas atau pecah, maka Paduka Seri Sultan dengan Yang Dipertuan Riau, tiada akan mengambil tawanan barang suatu jua pun, melainkan di mana-mana jadi yang demikian itu, kepala-kepala tempat itu, lantas beritahu kepada Yang Dipertuan Riau. Maka Yang Dipertuan Riau itu memberitahu kepada Residen Riau, supaya berdua dia selesaikan hal itu turut undang-undang yang dibuat pada perkara itu oleh Komisaris Jeneral pada 26 haribulan Julai tahun 1829. Maka surat itu nombor 19, yang termaktub di dalam surat undang-undang Staat Blad No. 54, adanya.
Fasal yang Keempat Belas
[sunting | sunting sumber]Maka segala tempat di dalam Kerajaan Riau dan Lingga dengan segala daerah takluknya, di mana ada bendera Netherland, maka di mana duduk seorang daripada pihak Government, di situlah pemerintah Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland yang mempunyai kuasa akan menentukan cukai dan bia. Maka tiada boleh seseorang peduli pada perkara itu, hanya barang siapa yang disuruh Government juga.
Di tempat-tempat lain di dalam Kerajaan Paduka Seri Sultan, ialah yang taruh cukai bia bagaimana kesukaan dia; walakin, tetapi hendaklah juga mendengar dahulu akan kerajaan Residen, apa lagi Tuan Sultan janji tiada akan taruh bia baharu, atau mengambil lebih daripada adat pada sekarang ini daripada kapal dagangan yang masuk atau keluar, hanya dengan suka Residen itu, sesudahnya dia mesyuarat dengan Yang Dipertuan Riau.
Fasal yang Kelima Belas
[sunting | sunting sumber]Daripada pihak pemerintah Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland, serta dengan sekalian orangnya, bebaslah dia dengan pergi di dalam Kerajaan Riau, dan hingga akan mengerat tiang dan kayu-kayan dan barang sebagainya. Jikalau bagi dia sendiri pergi mengeratnya atau dengan diupahnya boleh jua, tiada akan jadi larangan, tak usah pun dia membayar akan suatu jua pun; tetapi tiada pernah nanti dibuat ini, melainkan dengan diketahui dan muafakat dengan Paduka Seri Sultan, atau yang menggantikan akan dia, supaya tiada sekali-kali jadi ini rugi kepada rakyatnya, dan seberapa boleh tiada dengan rosak kayu-kayan itu, adanya.
Fasal yang Keenam Belas
[sunting | sunting sumber]Perintah Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland tanggung daripada sekali-kali tiada akan berhenti, keluarkan pada tiap-tiap bulan kepada Paduka Seri Yang Dipertuan Muda akan wang seperti yang telah sudah dikeluarkan sampai sekarang ini, kerana itu milik Yang Dipertuan itu, sebab diserahkan olehnya kepada Government hak akan ditaruhi cukai dan bia.
Maka demikian juga jikalau pada kemudian harinya Government menjadi suka duduk di tempat yang lain di dalam kerajaan Paduka Seri Sultan. Maka jikalau oleh kerana kedudukan itu, Paduka Seri Sultan atau barang siapa yang di bawahnya itu, barangkali ada kurang hasil, tak dapat tiada Government gantikan kurangan itu dengan adil, maka dengan suka sebelah menyebelah jua, adanya.
Syahadan lagi, Pulau Penyengat itu, iaitu tempat kedudukan Yang Dipertuan Riau, demikianlah Pulau Lingga itu tempat kedudukan Paduka Seri Sultan. Maka kerana sebab pulau dua itu kecil, iaitu tiada luas tempatnya, apalagi kerana sebab pulau dua itu tempat perkuburan raja-raja, maka oleh sebab itulah Government Netherland tiada akan taruh orang daripada pihak dia; istimewa pula tiada ditaruh soldadu di pulau itu, hanya kalau disukai oleh Paduka Seri Sultan atau Paduka Seri Yang Dipertuan. Tambahan pula akan supaya zahir sekali, apabila jadi juga taruh orang di situ dengan suka raja kedua itu, maka Government janji tiada akan menjadi niat daripada pihak dia sendiri, melainkan menanti juga permintaan, keluar daripada pihak Paduka Seri Sultan, atau Yang Dipertuan Riau itu, adanya.
Fasal yang Ketujuh Belas
[sunting | sunting sumber]Paduka Seri Sultan janjikan pada sekarang ini, dia sendiri dengan Yang Dipertuan Riau, apalagi segala Orang-orang Besar yang di bawahnya sungguh-sungguh, maka dengan sekuasa-kuasa hendak tolong menolong kepada Government Netherland akan melarang dan menghapuskan perbuatan merompak. Maka tiada akan diberi bersembunyi atau perlindungan di dalam suatu tempat di bawah kerajaan Riau dan Lingga dengan segala daerah takluknya, kepada orang yang membuat pekerjaan itu, atau kepada orang yang sekira-kira suruh kepada kawannya akan membuat pekerjaan itu, kerana dianya pula keluar untung daripada itu; walakin, tetapi segala orang yang demikian itu, Paduka Seri Sultan janji akan disuruh tangkap dan serahkan kepada Government supaya dihukumnyalah dengan hukuman yang keras.
Tambahan pula Paduka Seri Sultan janji akan cari akal dilarang dan dihapuskan sekali akan perbuatan yang jahat itu. Maka Paduka Seri Sultan janji juga, perintah akan diberi olehnya, supaya bersama-sama dengan orang perang Government Netherland turut perahu; dan orang Paduka Seri Sultan itu pergi ke mana-mana yang patutnya, dan beberapa kali berhajat akan mencari orang yang jahat itu, adanya.
Fasal yang Kedelapan Belas
[sunting | sunting sumber]Bahawa kapal itu kici yang di bawah bendera Paduka Seri Sultan, apabila sampai di mana-mana tempat yang tersebut perintah Hindia Netherland, tiada akan bayar bia dan cukai lain, atau lebih daripada yang dibayar oleh kapal yang orang Government Hindia Netherland sendiri, iaitu jikalau kapal yang tersebut ini ada membawa surat akan jadi tanda dia berlayar di laut dengan kurnia Paduka Seri Sultan; walakin, tetapi Paduka Seri Sultan hendaklah jangan mengurniakan surat yang demikian kepada seorang jua pun, sebelum didengar atas permintaan orang itu keajaran Residen Riau.
Maka jikalau tiada ada sebab, kerana Residen minta kepada Paduka Seri Sultan, janganlah diberi surat itu kepada si anu-si anu; bahawa Residen akan zahirkan surat ini dengan cap dan tandatangan.
Syahadan, jikalau tiada cap tandatangan Residen Riau pada surat laut itu, kapal-kapal tiada akan ditampak bagai Seri Paduka Sultan dan rakyatnya empunya; tetapi ditampakkan dan diterima bagai orang asing, maka patut bayar lebih bia dan cukai, adanya.
Fasal yang Kesembilan Belas
[sunting | sunting sumber]Akan supaya dilarang sekali jangan orang pakai bendera Seri Paduka Sultan yang tiada hak atasnya. Hendaklah Paduka Seri Sultan beri perintah pada segala jeragan perahu yang mengambil pas pada tiap tahun, di dalam surat itu akan disebut nama perahu dan nama jeragan dan jumlah anak perahunya, dan jenis senjatanya, dan berapa ubat bedil dan peluru.
Maka pada surat pas tahun itu, akan ditaruh cap juga dengan tapak tangan Residen Riau, atau jikalau kepada kemudian harinya, ada orang di pihak Government duduk di tempat lain di dalam Kerajaan Paduka Seri Sultan, oleh itu juga boleh taruh cap dan tapak tangannya. Maka Residen Riau atau orang yang tersebut itu, ada juga kuasa pada memeriksa sendiri, atau suruh orang lain memeriksa akan hal-ehwal segala perahu yang minta surat pas tahụn itu, supaya zahir kepadanya semua dengan sepertinya, maka perahu itu tiada niat akan buat rugi atau helah kepada hal ehwal berniaga dan bayar orang banyak, apalagi kalau jadi pencuri bia dan cukai Government, adanya.
Fasal yang Kedua Puluh
[sunting | sunting sumber]Apabila kemudian menjadi akan suatu perkara yang tiada tersebut di dalam perjanjian ini, melainkan diselesaikan perkara itu dengan suka sebelah menyebelah jua. Maka oleh wakil mutlak dari sebelah menyebelah yang membuat perjanjian ini, telah sudah ditaruh cap dan tapak tangannya kepada surat ini akan menjadi zahir. Inilah surat perjanjian yang akan diturut sekarang.
Syahadan daripada surat ini diperbuat empat. Adapun satu akan tinggal kepada pemerintah Yang Maha Tinggi atas tanah Hindia Netherland; dan yang satu kepada Yang Dipertuan Riau; dan yang satu kepada Residen Riau; demikian itulah, adanya.
Bermula kepada malam Ahad bulan Jamadilawal, pergi memeriksa jalan Kontrak. Kata orang itu, dari Fasal yang Kesepuluh, surat tersebut mafhum kuasa, tiada boleh Residen kuasa sendiri keputusan, maka hukuman itu semuanya daripada kita, dan perintahnya kita juga punya perintah; kecuali orang yang di atas angin, adanya.
Fasal yang kesebelas, maka orang yang diam di Tanjung Pinang itu, iaitu di bawah kuasa Residen.
Bermula, adalah Fasal yang kedua belas, orang yang diam di Pulau Bintan itu, adalah keputusannya, dan perintahnya, dan hukumnya kepada kita jua; dan daripada pihak cukainya, dan bia dan pak, maka iaitu kuasa Residen, adanya.
Adapun daripada Fasal yang Keempat Belas, adalah mafhumnya itu jika ada buka negeri baharu, serta taruh satu asisten Residen pada tempat itu, maka dagang yang keluar masuk, dialah yang menentukan cukainya dan bianya dikumpulkannya. Kemudian hasilnya itu berbahagilah dengan kita; itupun hendak bermesyuarat juga dengan Yang Dipertuan, sama-sama suka maka jadi juga tempat itu.
Adapun segala anak-anak sungai yang di dalam takluk daerah Riau, maka iaitu sudah habis mafhumnya kepada Fasal yang Kesepuluh, adanya. Syahida 'ala Zalika.
Ringkasan Syarat Penting Perjanjian 29 Oktober 1830
[sunting | sunting sumber]Antara syarat penting isi kandungan Perjanjian 29 Oktober 1830 ialah:[24]
- Johor dan Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang kini menjadi Sultan Riau-Lingga. (Fasal Ketiga)
- Perubahan status hubungan Kesultanan Riau-Lingga dengan Belanda di mana sebelum ini Kesultanan Johor Lama adalah sahabat Belanda menurut Perjanjian 26 November 1818 tetapi kini Kesultanan Riau-Lingga diletakkan di bawah naungan Belanda. (Fasal Keenam)
- Kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau dikukuhkan lagi dengan status barunya sebagai pentadbir utama Riau. (Fasal Kesepuluh)
- Keturunan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar diutamakan dalam pelantikan Yang Dipertuan Muda Riau pada masa akan datang. (Fasal Keempat)
Kesan Perjanjian
[sunting | sunting sumber]- Negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang berpusat di Lingga lalu menandakan berakhirnya Kesultanan Johor Lama.
- Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga kekal di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang kini menjadi Kesultanan Riau-Lingga.
- Para pembesar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Bendahara Johor di Pahang dan Temenggung Johor di Johor tidak lagi dinaungi oleh Sultan Johor yang kini menjadi Sultan Riau-Lingga dan mereka kini menjadi pentadbir utama di kawasan pegangan mereka.
- Para pembesar Bugis di Riau semakin berkuasa dan berpengaruh apabila pemimpin mereka iaitu Yang Dipertuan Muda Riau kini menjadi pentadbir utama Riau.
- Belanda kini menjadi penaung kepada Kesultanan Riau-Lingga manakala British bebas untuk meluaskan kuasa dan pengaruhnya di Semenanjung Tanah Melayu.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Sejarah Johor Moden
- Perjanjian Setia 1855
- Perjanjian Pahang-Johor 1861
- Kesultanan Johor Lama
- Sultan Johor
- Bendahara Johor
- Temenggung Johor
- Kesultanan Riau-Lingga
- Sultan Riau-Lingga
- Yang Dipertuan Muda Riau
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- A. Samad Ahmad (1985). Kerajaan Johor-Riau. Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789834611538.
- Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. (26 Januari 2024). Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura. Berita Harian. Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
- Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof. (2023). Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence]. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences, 6 (3). pp. 245-261. E-ISSN 2600-9080
Nota kaki
[sunting | sunting sumber]- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 214
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 253
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 226
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 226
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 220
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219-220
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 220
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (26 Januari 2024), Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 254
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 255
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 221
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 244
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 243
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 244
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 222
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 243-244
- ^ A. Samad Ahmad (1985), Kerajaan Johor-Riau, halaman 150-159
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 221-222
