Pergi ke kandungan

Perjanjian Pahang-Johor 1861

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perjanjian Pahang-Johor 1861 merupakan satu perjanjian antara Bendahara Tun Mutahir yang memerintah negeri Pahang dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang memerintah negeri Johor. Perjanjian ini bertujuan untuk meredakan pergolakan politik bangsawan Melayu akibat pelanggaran adat-istiadat Melayu. Perjanjian ini juga merupakan usaha Bendahara Tun Mutahir untuk menyelamatkan adat-istiadat Melayu semampu yang boleh. Perjanjian ini turut mengabsahkan kedudukan Bendahara Tun Mutahir dan warisnya sebagai pemerintah negeri Pahang dan kedudukan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan warisnya sebagai pemerintah negeri Johor di sisi adat-istiadat Melayu.

Sebab Berlakunya Perjanjian Pahang-Johor 1861

[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Setia 1855 antara Sultan Ali Iskandar Shah dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah mengundang kecaman daripada raja-raja Melayu kerana perjanjian tersebut jelas melanggar adat-istiadat Melayu.[1] Sultan Ali Iskandar Shah sebenarnya bukan Sultan Johor yang sah memandangkan ayahandanya, Sultan Hussein Muhammad Shah tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang pada ketika itu, Bendahara Tun Ali.[2] Hal ini demikian kerana Sultan Hussein Muhammad Shah membelakangkan adat-istiadat Melayu apabila baginda ditabalkan tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama lalu menjadikan pertabalannya tidak sah.[3] Keadaan ini menyebabkan Bendahara Tun Ali membuat keputusan untuk mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor memandangkan pertabalannya lebih mengikuti adat-istiadat Melayu daripada pertabalan Sultan Hussein Muhammad Shah.[4] Dalam erti kata lain, Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu tetap bertuankan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang bersemayam di Lingga, bukan Sultan Hussein Muhammad Shah yang bersemayam di Singapura.[5]

Walaupun Perjanjian Setia 1855 telah termeterai, konflik antara Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim masih tidak selesai.[6] Pada tahun 1858, Sultan Ali Iskandar Shah membuat aduan kepada Inggeris di Singapura bahawa pengikut baginda mendapat layanan yang buruk daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim apabila mereka datang ke negeri Johor untuk mencari getah perca dan kayu balak.[7] Temenggung Tun Daeng Ibrahim menjawab tuduhan Sultan Ali Iskandar Shah bahawa apabila pengikut baginda datang ke negeri Johor, mereka perlu mematuhi undang-undang dengan membayar cukai dan memohon surat kebenaran untuk mengutip hasil-hasil hutan.[8] Persengketaan mereka menjadi lebih teruk apabila pengikut Sultan Ali Iskandar Shah mencabar keabsahan Perjanjian Setia 1855 dan meminta Inggeris untuk membatalkan perjanjian tersebut atas alasan bahawa baginda tidak berunding dengan para pembesar Melayu terlebih dahulu mengikut adat-istiadat Melayu.[9] Namun, permintaan mereka ditolak oleh Inggeris.[10]

Setelah pengikut Sultan Ali Iskandar Shah gagal untuk membatalkan Perjanjian Setia 1855, pada tahun 1860, mereka membuat rancangan untuk menyerang negeri Johor untuk mengembalikan negeri Johor kepada Sultan Ali Iskandar Shah.[11] Apabila Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengetahui rancangan tersebut, beliau meminta bantuan daripada Inggeris untuk menghalang rancangan mereka.[12] Inggeris memberi amaran kepada Sultan Ali Iskandar Shah agar tidak mengganggu keamanan di Tanah Melayu selagi baginda bersemayam di Singapura yang berada di bawah kekuasaan Inggeris tetapi amaran Inggeris diabaikan oleh baginda.[13] Menurut berita yang diterbitkan oleh surat khabar The Straits Times pada tahun 1861, lebih daripada 30,000 orang telah bersedia untuk menyerang Johor dan mereka hanya menunggu Sultan Ali Iskandar Shah untuk mengetuai serangan tersebut.[14] Antara pengikut Sultan Ali Iskandar Shah ialah adinda Bendahara Tun Mutahir iaitu Tun Ahmad, pengikut baginda yang bergelar Suliwatang dan ketua-ketua dari daerah Rembau dan Sungai Ujong.[15]

Inggeris kemudian melarang orang-orang Melayu di negeri Melaka daripada meninggalkan negeri mereka untuk pergi ke Muar.[16] Kapal perang Inggeris yang bernama 'Hooghly' dihantar ke Tanjung Gading, Muar untuk meninjau kekuatan pengikut Sultan Ali Iskandar Shah.[17] Inggeris memberi amaran kepada Sultan Ali Iskandar Shah bahawa Perjanjian Setia 1855 telah disahkan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan syarat-syarat dalam perjanjian tersebut tidak boleh diketepikan oleh pihak-pihak yang menandatangani perjanjian tersebut.[18] Inggeris juga melarang baginda pergi ke Muar dan menyekat bekalan senjata dari Singapura.[19] Akhirnya, baginda dan pengikut baginda terpaksa menghentikan rancangan mereka untuk menyerang negeri Johor.[20] Disebabkan tindakan mereka yang mencabar keabsahan Perjanjian Setia 1855 walaupun Sultan Ali Iskandar Shah sendiri yang menandatangani perjanjian tersebut, kedudukan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai pemerintah negeri Johor tergugat.[21]

Perjanjian Setia 1855 telah menyebabkan orang-orang Melayu berpecah-belah.[22] Pengikut Sultan Ali Iskandar Shah mempertikaikan keabsahan perjanjian tersebut manakala pengikut Temenggung Tun Daeng Ibrahim menyokong perjanjian tersebut.[23] Pada tahun 1861, Inggeris menerima bantahan daripada pembesar Melayu Johor yang menolak perjanjian tersebut.[24] Inggeris menolak bantahan mereka dengan alasan bahawa mereka tidak ada hak untuk campur tangan dalam urusan perjanjian tersebut.[25] Keadaan ini membuatkan Temenggung Tun Daeng Ibrahim berasa risau kerana raja-raja dan para pembesar Melayu hanya mengiktiraf kedudukan asal Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu sebagai Temenggung Johor yang ditabalkan oleh Bendahara Tun Ali dengan perkenan Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, yang masih dianggap sebagai Sultan Johor oleh para pembesar Melayu, pada tahun 1841 dan mereka tidak mengiktiraf kedudukan terkini beliau sebagai pemerintah negeri Johor yang disahkan oleh Inggeris pada tahun 1855.[26]

Memandangkan Kesultanan Johor Lama sudah tidak wujud selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dikuatkuasakan di Alam Melayu melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 antara Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar dengan Belanda,[27] dan penggantinya, Kesultanan Riau-Lingga memilih untuk bertuankan Belanda melalui Perjanjian 1 Disember 1857 antara Sultan Riau-Lingga, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah dengan Belanda,[28] timbul persoalan iaitu siapa yang sepatutnya menjadi pemerintah negeri Johor yang sah.[29] Kedudukan terkini Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang rapuh membuka ruang kepada bangsawan Melayu untuk merebut kedudukan beliau.[30] Sultan Ali Iskandar Shah dan bekas Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah menyokong Tun Ahmad merampas kuasa daripada Bendahara Tun Mutahir dengan harapan bahawa sekiranya Tun Ahmad berjaya, beliau akan melantik mereka sebagai Sultan Johor atau Sultan Pahang.[31] Mereka tidak menyokong Bendahara Tun Mutahir kerana beliau tidak mahu campur tangan dalam kemelut politik di negeri Johor dan beliau tidak mahu merajakan sesiapa pun di negeri Pahang kerana beliau sendiri adalah pemerintah negeri Pahang yang sah dan beliau mewarisi kerajaan negeri Pahang daripada ayahandanya, Bendahara Tun Ali sejak tahun 1847.[32]

Maka, Temenggung Tun Daeng Ibrahim berpendapat bahawa beliau perlu menyokong Bendahara Tun Mutahir demi mempertahankan kedudukan beliau sebagai pemerintah negeri Johor kerana Bendahara merupakan ketua hakim dan penjaga adat-istiadat Melayu dan keputusan Bendahara mempunyai nilai yang tinggi.[33] Dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim tidak boleh membiarkan Tun Ahmad merampas kuasa daripada Bendahara Tun Mutahir kerana kedudukan beliau sebagai pemerintah negeri Johor akan tergugat sekiranya Tun Ahmad menang dan kemudian merajakan Sultan Ali Iskandar Shah atau Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah sebagai Sultan Johor atau Sultan Pahang.[34] Akhirnya, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memujuk Bendahara Tun Mutahir untuk mengiktiraf kedudukan terkini beliau berdasarkan Perjanjian Setia 1855 dan pada bulan Disember 1861, satu perjanjian persahabatan ditandatangani oleh Bendahara Tun Mutahir dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[35] Melalui perjanjian tersebut, Bendahara Tun Mutahir mengiktiraf Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai pemerintah negeri Johor yang sah dan beliau tidak memihak kepada Sultan Ali Iskandar Shah.[36]

Sebab sebenar Bendahara Tun Mutahir melakukan tindakan sedemikian adalah untuk menyelamatkan adat Pahang dan Johor semampu yang boleh walaupun pada hakikatnya adat raja-raja Melayu sudah menjadi bercelaru pada ketika itu.[37] Ketika Kesultanan Johor Lama masih wujud, Temenggung Johor diamanahkan untuk mentadbir Johor dan Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya manakala Bendahara Johor diamanahkan untuk mentadbir Pahang.[38] Apabila Kesultanan Johor Lama tidak lagi wujud, pembesar-pembesar Melayu yang masih tinggal di Tanah Melayu ialah Bendahara Johor di Pahang dan Temenggung Johor di Johor.[39] Pengganti Kesultanan Johor Lama, Kesultanan Riau-Lingga yang diterajui oleh Sultan Riau-Lingga dan Yang Dipertuan Muda Riau telah memilih untuk bertuankan Belanda dan mereka tidak lagi berurusan dengan Johor dan Pahang.[40]

Bendahara Tun Mutahir tidak mengiktiraf Sultan Ali Iskandar Shah sebagai Sultan Johor kerana bukan sahaja baginda dan ayahandanya, Sultan Hussein Muhammad Shah bukan Sultan Johor yang sah, malahan baginda juga menyerahkan Johor secara sukarela sebanyak dua kali iaitu kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah pada tahun 1853 dan kemudian kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim pada tahun 1855.[41] Selain itu, tindakan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah yang membantu Tun Ahmad untuk merampas kuasa daripada Bendahara Tun Mutahir telah menyebabkan Pahang berada dalam keadaan huru-hara.[42] Bendahara Tun Mutahir tidak melayan permintaan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah yang ingin ditabalkan sebagai Sultan Pahang selepas baginda disingkirkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga kerana Pahang bukan milik baginda tetapi telah dikurniakan kepada keluarga Bendahara Johor sejak zaman Bendahara Tun Abdul Majid.[43] Baginda tidak pernah meminta untuk ditabalkan sebagai Sultan Johor berkemungkinan kerana baginda bimbang dengan ancaman Inggeris di Singapura.[44]

Oleh sebab itu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim merupakan satu-satunya pilihan terbaik yang ada untuk Bendahara Tun Mutahir.[45] Memandangkan keluarga Temenggung Johor merupakan pentadbir negeri Johor bagi pihak Kesultanan Johor Lama dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah diiktiraf sebagai Temenggung Johor pada tahun 1841 ditambah pula dengan Kesultanan Johor Lama yang sudah tidak wujud selepas tahun 1830, maka Bendahara Tun Mutahir membuat keputusan untuk mengiktiraf Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Raja Temenggung Johor yang bertaraf Raja Kecil.[46] Pengiktirafan tersebut merupakan satu tindakan yang terbaik dan paling munasabah bagi Bendahara Tun Mutahir.[47] Walaupun Temenggung Tun Daeng Ibrahim akhirnya berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai pemerintah negeri Johor yang sah, namun pengiktirafan tersebut tidak menjadikan beliau sebagai Sultan Johor.[48]

Isi Kandungan Perjanjian Pahang-Johor 1861

[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan teks asal Perjanjian Pahang-Johor 1861:[49][50][51]

Bahawa pada menyatakan perjanjian saudara bersaudara yang setiawan dan perdamaian serta muafakat selama-lamanya yang tiada boleh mungkir sekali-kali, iaitu di antara Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja Pahang ibni Raja Bendahara Sewa Raja Pahang dengan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor ibni Raja Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja Johor kerana kedua pihak saudara yang tersebut itu ada bersama-sama suka membuat perjanjian bagaimana yang tersebut itu dari hal masing punya tuntutan dan mempunyai negeri dengan segala daerahnya kerajaan Pahang dengan kerajaan Johor. Dan lagi supaya boleh menetapkan dan meneguhkan muafakat dan perdamaian saudara bersaudara yang setiawan dengan selamat sempurnanya di antara kedua pihak saudara yang tersebut itu dari masa sehinggalah kepada penghabisan dunia.

Fasal yang pertama

[sunting | sunting sumber]

Bahawa tetaplah muafakat dan perdamaian saudara bersaudara di antara Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja Pahang dengan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor sampai kepada keturunan warisnya yang akan menggantikan kedua pihak selama-lamanya.

Fasal yang kedua

[sunting | sunting sumber]

Pada menyatakan perjanjian Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja. Jikalau ada pergaduhan di dalam negeri Johor atau raja yang lain negeri datang hendak merosakkan kerajaan Johor, maka dengan segeranya Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja datang membawa bala tenteranya membantu Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja serta melawankan musuh yang hendak membinasakan kerajaan Johor, adanya.

Fasal yang ketiga

[sunting | sunting sumber]

Adalah perjanjian Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja, jikalau ada pergaduhan di dalam negeri Pahang atau raja yang lain-lain negeri datang hendak merosakkan kerajaan Pahang, maka dengan segeranya Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja datang membawa bala tenteranya membantu Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja serta melawankan musuh yang hendak membinasakan kerajaan Pahang, adanya.

Fasal yang keempat

[sunting | sunting sumber]

Adalah perjanjian Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja dengan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja, jikalau sesuatu pergaduhan di antara kita saudara bersaudara, iaitu Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja dengan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja, maka kita berdua bersaudara haraplah akan Governmen Inggeris menyelesaikan serta mendamaikan antara kita saudara bersaudara, adanya.

Fasal yang kelima

[sunting | sunting sumber]

Adalah perjanjian Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja dengan Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja, jikalau ada kesusahan atau pergaduhan, Governmen Inggeris yang di dalam Singapura melainkan kedua berserta membantu kesusahan atau pergaduhan Governmen Inggeris yang di dalam Singapura itu, adanya.

Fasal yang keenam

[sunting | sunting sumber]

Adalah perjanjian Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja Pahang dengan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja, tiadalah boleh sekali-kali salah sesesorang itu akan membuat sesusatu muafakat kepada raja-raja yang lain daripada kita saudara bersaudara, adanya.

Fasal yang ketujuh

[sunting | sunting sumber]

Adalah perjanjian Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja Pahang dengan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor tiada boleh sekali-kali yang lain menjadi raja melainkan keturunan Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja Pahang menjadi raja di dalam Pahang, dan keturunan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor menjadi raja di dalam negeri Johor. Selama-lamanya.

Fasal yang kedelapan

[sunting | sunting sumber]

Tiadalah apa-apa yang tertulis atau tersebut di dalam surat perjanjian ini boleh dikatakan atau disangkakan mengubah atau mencacatkan perkara-perkara di antara Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja Pahang dengan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor sahlah seperti yang tersebut ini, sebab sungguh dengan nyatanya serta suka sama suka masing-masing ada membubuh tandatangan serta meteraikan cop di bawah syatar ini di hadapan saksinya. Tamat termaktub surat perjanjian ini di dalam negeri Johor Iskandar Puteri kepada dua puluh satu (21) haribulan Rabi’ul Akhir tahun seribu dua ratus tujuh puluh tujuh sanat (1277).

Ringkasan Isi Kandungan Perjanjian Pahang-Johor 1861

[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah ringkasan isi kandungan Perjanjian Pahang-Johor 1861:

1. Perdamaian dan Persaudaraan Kekal:

  • Bendahara Tun Mutahir dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim serta waris keturunan mereka kekal berdamai dan bersaudara antara satu sama lain untuk selama-lamanya.

2. Bantuan Ketenteraan Pahang kepada Johor:

  • Sekiranya berlaku kekacauan di Johor atau Johor diserang oleh negeri lain, Bendahara Tun Mutahir akan menghulurkan bantuan ketenteraan dengan kadar segera kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim untuk membantu beliau mempertahankan negeri Johor.

3. Bantuan Ketenteraan Johor kepada Pahang:

  • Sekiranya berlaku kekacauan di Pahang atau Pahang diserang oleh negeri lain, Temenggung Tun Daeng Ibrahim akan menghulurkan bantuan ketenteraan dengan kadar segera kepada Bendahara Tun Mutahir untuk membantu beliau mempertahankan negeri Pahang.

4. Penyelesaian Persengketaan:

  • Sekiranya berlaku persengketaan antara Bendahara Tun Mutahir dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim, mereka akan merujuk kepada Kerajaan British di Singapura untuk menyelesaikan persengketaan dan mendamaikan mereka.

5. Kerjasama dalam Menyelesaikan Masalah di Singapura:

  • Sekiranya berlaku masalah atau kekacauan di Singapura, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Bendahara Tun Mutahir akan bersama-sama membantu Kerajaan British di Singapura untuk menyelesaikan masalah atau kekacauan tersebut.

6. Larangan Rundingan dengan Negeri Lain tanpa Persetujuan Bersama:

  • Bendahara Tun Mutahir dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim tidak boleh berunding secara bersendirian dengan negeri lain tanpa persetujuan antara satu sama lain.

7. Penetapan Keabsahan Warisan Pemerintahan:

  • Hanya waris keturunan Bendahara Tun Mutahir berhak memerintah negeri Pahang dan hanya waris keturunan Temenggung Tun Daeng Ibrahim berhak memerintah negeri Johor untuk selama-lamanya.

8. Keabsahan dan Pemeteraian Rasmi Perjanjian:

  • Isi kandungan perjanjian ini sah dan tidak bercanggah dengan persetujuan antara Bendahara Tun Mutahir dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan perjanjian ini ditandatangani dan dicap secara rasmi pada 21 Rabiulakhir 1277 Hijrah bertempat di Iskandar Puteri, Johor.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  • Ahmad Fawzi Basri (1988). Johor 1855-1917, Pentadbiran dan Perkembangannya.
  • Buyong Adil (2020). Sejarah Johor: Edisi Semakan.
  • Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863.
  • Suzana Haji Othman (n.d.). Triti 1861 Mengikat Dinasti Bendahara & Temenggong. Blog Khazanah Bendahara Seri Maharaja.

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 258
  2. ^ Ibid., halaman 200
  3. ^ Ibid., halaman 198, 207, 212 & 247
  4. ^ Ibid., halaman 197-198
  5. ^ Ibid., halaman 200 & 209
  6. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 262
  7. ^ Ibid.
  8. ^ Ibid.
  9. ^ Ibid.
  10. ^ Ibid.
  11. ^ Ibid., halaman 263
  12. ^ Ibid.
  13. ^ Ibid.
  14. ^ Ibid., halaman 264
  15. ^ Ibid.
  16. ^ Ibid.
  17. ^ Ibid., halaman 264-265
  18. ^ Ibid., halaman 265
  19. ^ Ibid.
  20. ^ Ibid.
  21. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 331
  22. ^ Ibid., halaman 332
  23. ^ Ibid.
  24. ^ Ibid., halaman 333
  25. ^ Ibid.
  26. ^ Ibid., halaman 333-334
  27. ^ Ibid., halaman 220-222
  28. ^ Ibid., halaman 264-265
  29. ^ Ibid., halaman 334-335
  30. ^ Ibid., halaman 334
  31. ^ Ibid., halaman 336
  32. ^ Ibid., halaman 336-337
  33. ^ Ibid., halaman 337
  34. ^ Ibid.
  35. ^ Ibid.
  36. ^ Ibid., halaman 338
  37. ^ Ibid.
  38. ^ Ibid.
  39. ^ Ibid.
  40. ^ Ibid., halaman 335
  41. ^ Ibid., halaman 340
  42. ^ Ibid., halaman 340-341
  43. ^ Ibid., halaman 341
  44. ^ Ibid.
  45. ^ Ibid., halaman 339
  46. ^ Ibid.
  47. ^ Ibid.
  48. ^ Ibid., halaman 340
  49. ^ Ahmad Fawzi Basri (1988), Johor 1855-1917, Pentadbiran dan Perkembangannya, halaman 33-34
  50. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 337
  51. ^ Suzana Haji Othman (n.d.), Triti 1861 Mengikat Dinasti Bendahara & Temenggong, diambil daripada http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/triti-1861-mengikat-dinasti-bendahara--temenggong.html