Perkahwinan bersama Wanita Kitabiah dan bukan Kitabiah menurut Islam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Mengikut pengistilahan Islam, Wanita Kitabiah merujuk kepada status wanita yang beragama Yahudi ataupun Kristian (Nasrani) sama ada dia dari bangsa asal agama tersebut (yakni dari keturunan Yahudi) ataupun dari bangsa yang lain. Manakala wanita bukan Kitabiah adalah wanita yang bukan beragama Yahudi ataupun Kristian (Nasrani). Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh para Mufti Malaysia dalam Persidangan Mufti Malaysia kali ke-10 dan ke-14 serta daripada keputusan Muzakkarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-18 yang bertarikh 29-30 April 1975, 14 Julai 1977 dan 14 Mei 1980, ahli Majlis Syura Fatwa tersebut telah menetapkan keputusan bahawa seseorang wanita yang beragama Kristian yang berkahwin dengan lelaki Muslim maka nikahnya tidak sah kecuali Kafir Kitabi (dari keputusan Fatwa kali ke-10 yang bertarikh 29-30 April 1975).

Manakala dari keputusan Fatwa kali ke-14 pada 14 Julai 1977 telah memutuskan takrifan Kafir Kitabi seperti takrifan pengistilahan seperti di atas, tetapi hukum berkahwin bersama Wanita Kitabiah perlulah mengikut ketetapan Muzakkarah seperti berikut:

  • 1. Wanita Kitabiah itu yang datang dari keturunan Nabi Yaakub a.s., jika tidak diketahui datuk nenek dari susur galur keturunannya adalah dari pemeluk agama Kitabi (Yahudi, Nasrani, Islam) selepas dinasakhkan(dimansuhkan) oleh agama yang berikutnya mengikut susur agama Nabi Ibrahim seperti diatas. Secara ringkasnya penyataan ini boleh difahami dengan contoh berikut:
Seseorang wanita yang disahkan mempunyai datuk neneknya dari susur galur keturunan Nabi Yaakub a.s, maka ia tidak mengetahui bahawa datuk neneknya yang terdahulu pernah menganuti agama Kitabi yakni bermula dari agama Yahudi kemudian agama Nasrani dan selepas itu agama Islam dimana apabila setiap satu agama Kitabi itu telah dibatalkan sebaik saja agama Kitabi lain mula disyariatkan untuk dianuti secara sah dari para rasul yang menyampai ajaran agama Kitabi tersebut.
  • 2. Atau, yang bukan berketurunan Nabi Yaakub a.s, jika wanita itu mengetahui datuk neneknya pemeluk agama Kitabi sebelum dinasakhkan (dibatalkan).

Maka dalam kedua-dua kes diatas adalah dihalalkan berkahwin dengan wanita Kitabiah seperti di atas. Adapun begitu, wanita Yahudi atau Nasrani yang tidak diklasifikasikan seperti di atas adalah haram dikahwini sehinggalah wanita itu benar-benar memeluk agama Islam.

Bagaimanapun, dalam Muzakkarah kali ke-18 yang bertarikh 14 Mei 1980, fatwa berkenaan perkara ini telah diambil keputusan yang berlainan mengikut syarat-syarat seperti berikut:

  1. Pernikahan dan perkahwinan dengan wanita Kitabiah yang bukan asal adalah tidak sah mengikut Mazhab Syafie.
  2. Pernikahan dan perkahwinan dengan wanita Kitabiah yang bukan asal yang telah dilakukan pada masa yang lalu adalah harus mengikut pandangan sesetengah Ulama dengan syarat perkahwinan asal itu diakad penuh sempurna mengikut kaedah Islam, dan keluarga itu hidup dengan mempraktikkan ajaran Islam sehari-harian dengan sempurna termasuklah dalam didikan anak-anak mereka. Maka jika syarat-syarat itu tidak dituruti maka perkahwinannya itu hendaklah dibatalkan dan diselesaikan mengikut kaedah perkahwinan dan kekeluargaan Islam yang betul dan sempurna mengikut kehendak syarak.
  3. Perkahwinan antara kedua-dua pasangan hidup yang beragama Kristian (Kitabi), kemudian si suami memeluk Islam, maka pernikahannya yang lalu adalah dikira sah sekiranya si isteri turut setuju memeluk Islam dan mengamalkan ajaran Islam dalam Kehidupan berumahtangga mereka.

Selanjutnya, bagi mana-mana wanita yang bukan kitabiah pada era kini samaada dari agama atau bangsa asalnya (seperti wanita Cina yang beragama Buddha atau wanita India yang beragama Hindu) yang hendak berkahwin dengan lelaki Muslim maka perlulah wanita itu memeluk agama Islam terlebih dahulu, jika tidak perkahwinannya itu adalah dianggap tidak sah.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Buku Keputusan Fatwa Kebangsaan Siri 1, m/s 31-33, cetakan ke-2 2007, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ISBN 983-042-293-3.
  • Sumber Fatwa yang diperolehi dari: Al-Quran Nul Kareem, Hadis Nabawiyyah, Ijma, Qias dan Ijtihad Ahli Fuqaha Semasa.