Perkahwinan Diraja Perak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perkahwinan diraja Perak pernah dicatatkan dalam buku Misa Melayu oleh Raja Chulan. Perkahwinan yang sempurna melibatkan lima peringkat yang mesti diadakan sebagaimana adat-istiadat Kesultanan Perak yang terdahulu.

Adat Merisik[sunting | sunting sumber]

Penjodohan anak-anak raja melibatkan persetujuan antara ayahanda dan bonda kepada putera atau puterinya . Wakil-wakil akan dilantik bagi merisik bakal suami atau bakal isteri serta ibu bapa keluarga. Pada zaman dahulu, unsur kekerabatan amat diutamakan. Kekerabatan akan menentukan bakal pewaris tahta kerajaan negeri Perak dan semakin kukuh peluang untuk menjadi Sultan Perak.

Istiadat Meminang[sunting | sunting sumber]

Upacara perkahwinan Diraja Perak bermula dengan adat istiadat meminang, bagaimanapun sebelum istiadat ini disempurnakan, seorang wakil ditugaskan untuk merisik kedua-dua belah pihak.

Selepas diketahui pinangan itu diterima, sirih peminangan dihantar sebagai tanda.

Peralatan sirih peminang bergantung kepada kemampuan seseorang, tetapi lazimnya tidak melebihi 16 bingkisan, iaitu lapan puan (bekas) keemasan yang bertetampan berisi sirih dan lapan bundi keemasan yang bertetampan berisi selengkap persalinan.

Jenis persalinan ialah kain benang emas jong sarat, kain benang emas bertabur, kain benang emas bertelepuk, kain benang emas Batu Bahara, kain limau benang emas, kain tengerarun, kain beras patah dan kain anak misal.

Sekiranya peralatan sirih peminang itu memuaskan hati waris perempuan, maka peminangan itu diterima sebagai meletak tanda atau bertaruh kata.

Dalam adat peminangan seorang puteri diraja pula, peralatan sirih dibawa diiringi sepucuk warkah untuk dipersembahkan ke bawah Duli Tuanku Paduka Seri Sultan.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan dititah membaca dan membalas warkah itu sama ada hajat itu diperkenankan ataupun sebaliknya.

Istiadat Akad Nikah[sunting | sunting sumber]

Istiadat Akad Nikah akan berlangsung pada tarikh yang ditetap dan dipersetujui kedua-dua belah pihak. Pada hari berkenaan, pengantin lelaki berpakaian sederhana dan dipersilakan bersemayam di atas cior keemasan yang disediakan di hadapan petarakna diiringi oleh pengapit yang membawa mahar atau mas kahwin.

Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri akan dititah mewakili pihak pengantin perempuan sekiranya seorang puteri diraja, dan duduk berkumpul di hadapan pengantin lelaki bersama-sama dengan beberapa orang alim ulama sebagai saksi.

Mas kahwin dikira untuk memastikan bahawa jumlah adalah sama dengan jumlah yang ditetapkan dan kemudiannya dipersembahkan kepada waris perempuan.

Selepas itu, Mufti Perak akan memulakan upacara akad nikah dengan membaca khutbah nikah disusuli dengan keterangan mengenai rukun nikah sebelum upacara ijab kabul disempurnakan yang diikuti dengan bacaan doa selamat serta selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebanyak tiga kali berturut-turut.

Pengantin dipandu masuk ke puri peraduan puteri untuk istiadat membatalkan air sembahyang dengan menyentuhkan jarinya ke atas dahi isterinya.

Serentak itu diadakan pula istiadat memutus kerajat, iaitu membuang atau menghalau pelak jembalang atau puaka daripada kedua pengantin. Kedua-dua pengantin dipakaikan dengan kain jong sarat yang dilapiskan dengan kain putih dan bertengkolok sering lalu dikalungkan dengan benang pertukal.

Kemudian dicacakkan dua batang dian (lilin) sembang di atas cermin muka di hadapannya lalu dipercikkan air tepung tawar, ditabur bertih dan beras kunyit.

Ini diikuti dengan istiadat mengeratkan rambut sedikit daripada kedua-dua pengantin dengan gunting dan diandamkan tengkoknya oleh Raja Cik Muda (iaitu pawang diraja) sebelum istiadat Berlimau dijalankan.

Istiadat Berlimau[sunting | sunting sumber]

Istiadat Berlimau ini terbahagi kepada dua peringkat, iaitu Istiadat Berlimau Besar (atau dikenali sebagai istiadat bersiram khutbah) dan Istiadat Berlimau Kerana Hendak Menampal Inai.

Kedua-dua istiadat ini biasanya dijalankan pawang darat dan pawang jahir mengikut jawatan dan kuasanya didahului oleh Raja Cik Muda.

Air yang digunakan untuk istiadat ini diambil daripada tujuh kuala sungai dan diisikan ke dalam geluk emas atau perak mengikut taraf masing-masing.

Geluk dihiasi dengan daun nyior muda berjari lipan, diarak dan diiringi dengan nobat nafiri dan sebuah dulang yang berisi tiga ceper yang mengandungi beras kunyit, beras basuh dan berteh, empat batil berisi tepung tawar, air sintuk, air limau, air bunga panca persada dan sebatil bekas kemenyan serta bekas perasap.

Istiadat mengambil air ini dilakukan oleh pawang sesama dengan istiadat mengambil air untuk istiadat bersiram tabal.


Istiadat Berlimau Besar atau Bersiram Khutbah:

Istiadat Berlimau Besar dijalankan selepas upacara akad nikah oleh pawing (bomoh tempatan) di sebuah balai khas dipanggil Balai Punca Logam, iaitu sebuah Balai Panca Persada yang kecil.

Kedua pengantin dipersemayamkan di atas petarakna dan dipersalinkan dengan kain basahan lalau disiram dan dikenakan bedak langir serta air limau dan air sintuk oleh kerabat diraja yang berdekatan.

Ini diikuti dengan menyiram air nyior dan air tawar menerusi kain putih yang dibentangkan di atas ulu pengantin berkenaan oleh empat orang penggawa.

Bunga mayang dan bunga selimpat dicurahkan ke atas kain putih itu. Selesai istiadat persiraman, dipakaikan pula kalung benang pelucut panca warna atau kain pertukal ke leher pengantin untuk menolak bala.

Sambil berdiri dan bercermin dengan pasangan, dua batang lilin sambaing dikelilingi ke seluruh tubuh pengantin sebanyak tiga kali.

Kemudian punca benang itu dibakar dan disuruh pengantin itu memadamkannya. Abunya disapukan ke kening dengan membawa maksud memutuskan perjanjian.

Selesai itu, kedua pengantin diarak balik ke istana dan disemayamkan di atas petarakna untuk bersantap nasi.


Istiadat Berlimau Kerana Hendak Menampal Inai

Istiadat Berlimau Kerana Hendak Menampal Inai, pada lazimnya, dijalankan tiga hari selepas istiadat berlimau besar.

Di sebelah paginya dijalankan istiadat mengambil air daripada tujuh kuala sungai mengikut istiadat dan cara serta perarakan seperti yang dilakukan untuk bersiram khutbah mahupun bersiram tabal.

Tempat bersiram dan bedak langsir serta sintuk limau pun tidak berbeza kecuali istiadat memutuskan tolak bala dan memutuskan perjanjian sahaja yang ditinggalkan.

Mengikut adat lama, inai yang ditampalkan ke tangan pengantin, diisikan ke dalam badan lembaga seekor lembu merak diarak dari kediaman Orang Kaya Besar Maharaja Diraja di sebelah petang, dan pada waktu malam selepas berlimau, pengantin lelaki dinaikkan ke atas perarakan dan dijalankan istiadat merenjis tepung tawar dan menampal inai dibawa masuk ke tempat peraduan.

Ini diikuti oleh pengantin perempuan. Istiadat menampal inai ini hanya mengambil syarat saja, iaitu dicalitkan di atas jari atau tapak tangan. Mengikut adat, kebiasaannya biduanda pun menyanyikan lagu olek-olek anak raja beradu.

Istiadat Bersanding[sunting | sunting sumber]

Apabila tiba hari yang ditetapkan, kedua pengantin berpakaian istiadat dan diarak hingga ke istana lalu disambut waris pengantin dengan penuh istiadat. Kedua pengantin akan dipimpin dan disemayamkan di atas petarakna untuk Istiadat Bersanding.

Ketika bersanding, istiadat menepung tawar dijalankan oleh beberapa orang Raja dan Orang Besar-Besar yang diikuti dengan melayani santap nasi adap-adapan dan bersuap-suapan oleh isteri Raja-raja yang berusia.

Selepas itu, Bidan Raja akan mengangkat tangan kiri pengantin lelaki dan tangan kanan pengantin perempuan lalu dikaitkan jari kelingking keduanya dan ditutup pula dengan kain keemasan.

Kedua-dua pengantin kemudiannya bangkit dan masuk ke dalam pelamin peraduan, dan tirai dewangga pun dilabuhkan. Inang pengasuh dayang menunggu di luar dan biduanda yang mempunyai suara merdu akan menyanyikan lagu olek-olek anak raja beradu.

Bersiram Sampat[sunting | sunting sumber]

Selepas tiga hari tiga malam istiadat bersanding, kedua-dua pengantin dipersalinkan dengan selengkap pakaian kerajaan dan diarakkan dengan jawat nobat ke Balai Panca Persada untuk menyempurnakan Istiadat Bersiram Sampat.

Pada zaman dulu, Balai Panca Persada, yang berbentuk empat persegi bertingkat tujuh, sembilan atau sebelas, didirikan di pertengahan sungai, tetapi kini memadai di tepi sungai atau di tengah padang.

Ia berkisi di sekeliling, bertangga dan kemuncaknya bertungkup dengan kain keemasan dan daun budi.

Pada empat bucunya dibangunkan Balai Persetakala iaitu tempat perkakas nobat, perkakas pawing, perkakas persiraman dan tempat biduanda berpantun seloka. Selepas kedua pengantin disemayamkan di atas petarakna, maka pawing-pawang diketuai oleh Raja Cik Muda memulakan persiraman.

Kemudian, Bidan Raja mengenakan benang pertukal panca warna dilingkungkan pada kedua leher pengantin bersimpul pulih. Apabila benang pertukal itu diputuskan oleh Bidan Raja, maka tamatlah istiadat bersiram sampat.

Kedua pengantin selepas itu diarak balik ke istana dan dipakaikan dengan pakaian pengantin, disemayamkan di atas petarakna dan diberi santap nasi adap-adapan beras takona (iaitu nasi pulut).

Selesai bersantap, mereka dibawa menyembah atau memberi hormat kepada mentua dan ayahanda bonda kedua. Setelah selesai, dikurniakan sembah itu dengan wang emas dan lain-lain dinamakan lapik sembah oleh orang yang terkena sembah.

Rujukan[sunting | sunting sumber]