Perkahwinan Tunku Abdul Halim dan Tunku Bahiyah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perkahwinan Tunku Abdul Halim dan Tunku Bahiyah
Istiadat berinai
Tarikh9 Mac 1956; 68 tahun yang lalu (1956-03-09)
TempatIstana Besar Seri Menanti
LokasiSeri Menanti, Negeri Sembilan, Persekutuan Tanah Melayu
Hadirin

Perkahwinan Tunku Abdul Halim dan Tunku Bahiyah telah berlangsung pada 9 Mac 1956 di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan. Pengantin putera, Raja Muda Tunku Abdul Halim, ialah ahli kaum kerabat diraja Kedah; pengantin puteri, Tunku Bahiyah, ialah ahli kaum kerabat diraja Negeri Sembilan. Perkahwinan ini dilihat sebagai penyatuan dua kerabat diraja terpenting buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Tunku Abdul Halim, 24 (kemudian Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah) ialah paduka putera sulung Sultan Kedah pada ketika itu, Sultan Badlishah. Manakala, Tunku Bahiyah (kemudian Tuanku Hajah Bahiyah) ialah paduka puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada ketika itu, Tuanku Abdul Rahman. Tunku Bahiyah merupakan puteri Negeri Sembilan yang pertama untuk mengahwini orang yang tidak senegeri dengan baginda.[1] Pada tahun 1954, baginda berdua berkenalan di England. Pada ketika itu, Tunku Abdul Halim berada dalam kursus pentadbiran manakala Tunku Bahiyah melanjutkan pengajiannya di Universiti Nottingham dalam bidang sains sosial.

Pada asalnya, Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar memutuskan paduka cucundanya Tunku Abdul Rahman untuk mengahwini Tunku Bahiyah pada hari perkahwinan paduka kakandanya, Tunku Mahmud namun membatalkan hasrat baginda apabila mengenali Tunku Bahiyah telah masuk meminang dengan Tunku Abdul Halim.[2] Perkahwinan baginda berdua kemudian diatur setelah berangkat kembali ke tanah air dari England. Persiapan perkahwinan diraja ini disusun oleh sebuah jawatankuasa enam orang yang dipengerusikan oleh paduka ayahanda saudara pengantin lelaki, Tunku Kassim, telah dilantik oleh kerajaan negeri.[3]

Pernikahan[sunting | sunting sumber]

Pasangan diraja bersentuh tangan.

Tunku Abdul Halim berangkat kembali ke Kedah untuk memohon perkenan restu daripada paduka ayahandanya untuk berkahwin. Pada 25 Disember 1955, rombongan putera yang terdiri daripada 11 orang dan diketuai ayahanda saudaranya, Tunku Kassim, berangkat tiba di Seremban untuk tujuan melamar. Pada hari seterusnya, mereka berangkat ke Istana Seri Menanti mengadap Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Abdul Rahman, Tunku Ampuan, Tunku Kurshiah dan para undang untuk melamari Tunku Bahiyah. Permintaan untuk mengahwini Tunku Bahiyah telah ditulis oleh Sultan Kedah yang disimpan di dalam cepu emas terukir dan dibaca oleh Kadi Kuala Pilah. Rombongan pengantin putera telah menyembahkan sebentuk cincin pertunangan intan, sepersalinan busana lengkap dan papah sirih adat. Yang di-Pertuan Besar berkenan mengurniakan restu maka baginda berdua bertunang. Baginda berdua bernikah pada hari tersebut walaupun tidak berada bersama-sama untuk bersemayam di istiadat pernikahan itu.[4]

Sebelum perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Pada pagi 7 Mac 1956, Tunku Abdul Halim yang memakai sut urusan bersama rombongan 34 orang kaum kerabat, rakan dan pembawa alat kebesaran diraja dengan 8 buah kereta yang dipimpin juga oleh ayahanda saudaranya, berangkat ke Seremban yang diiringi oleh skuad polis khas untuk istiadat perkahwinan. Salah satu kereta itu membawa mahar dua dulang perak Siam berat yang diliputi sutera kuning terdapat lambang Kedah disulami benang emas. Keberangkatan pergi baginda di istana disaksikan oleh Sultan, Sultanah dan sekitar 100 ahli kaum kerabat diraja Kedah yang lain. Setelah sehari beristirahat beradu di Kuala Lumpur, rombongan berkenaan sambung berangkat dan disambut oleh rombongan pengantin puteri di Beranang, sempadan Selangor–Negeri Sembilan pada jam 2.30 petang.[5] Tunku Kassim berjumpa dengan rombongan puteri manakala Tunku Abdul Halim kekal bersemayam seorang diri di dalam kereta Rolls-Royce milik paduka ayahandanya sejak berangkat dari Kuala Lumpur ke Seri Menanti. Setelah berangkat tiba di Seri Menanti, baginda diberikan lapan das tembakan meriam sebagai tanda hormat oleh kerabat diraja Negeri Sembilan di Istana Lama iaitu tempat persemyaman baginda sepanjang istiadat perkahwinan itu.[6] Pada waktu itu, Tunku Bahiyah menunggu di dalam Istana Besar bersama dengan dang pewara manakala suaminya bersiap sedia di Istana Lama beberapa separuh kilometer jauh.

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Video luar
Ikon video Malayan Wedding (1956) sebuah dokumentari oleh British Pathé
Ikon video Royal Malay Wedding (1956) sebuah dokumentari oleh British Pathé

Proses perkahwinan baginda berdua adalah mengikut adat istiadat silam yang dimulai dengan majlis merisik, meminang, hantar belanja dan mas kahwin, akad nikah serta kenduri kahwin.[7]

Pada hari Jumaat, baginda berdua berkahwin dengan mahar $1001. Tunku Abdul Halim bersemayam bersila dan bersabda menuturkan kalimat di hadapan mufti tanpa bakal isterinya di bilik solat Istana Lama. Mufti berkenaan menuturkan penebusan takzim dalam bahasa Arab sebelum Raja Muda menuturkan dalam satu nafas. Tunku Abdul Halim mengucup tangan paduka bonda tiri baginda Sultanah Asma.

Baginda berdua bersemayam bersanding di atas takhta berhias di balairung seri di hadapan kaum kerabat, pemerintah dan pegawai tinggi. Baginda berdua diapiti dua pengapit dengan kipas dan dikelilingi pembawa alat kebesaran diraja. Tunku Bahiyah memperagakan busana bersulam emas dan stawberi yang cantik. Manakala pasangannya mengenakan tengkolok yang beratnya hampir 3kg dengan tempaan daun emas dan bertatahkan berlian pada hulu baginda. Tunku Abdul Halim juga mengenakan gelang kana berbentuk daun emas dengan jata diraja Kedah tercetak timbul pada kedua-dua belah. Di leher, terletaknya tiga rantai emas berat dengan memakai tali pinggang lebar berkepala emas besar. Baginda memegang keris Kedah kuno bersarung emas dengan batu berlian dan delima pada hulu keris.[8]

Istiadat merenjis air istiadat ke atas pasangan diraja telah dilakukan oleh kaum kerabat dan tetamu kehormat seperti, paduka ayahanda, paduka ayahanda saudara iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu. Kek kahwin besar juga telah dipotong oleh pengantin.

Baginda berdua berangkat ke Panca Persada dengan Takhta Rencana yang berhias dan bercat kuning untuk istiadat penyucian yang terakhir selama tiga pagi berturut-turut. Pasangan mencelup jari mereka pada campuran air dan minyak wangian yang suci. Mengikut adat Negeri Sembilan, silat dipersembahkan selepas setiap penyucian.

Kemuncak istiadat ialah pada pagi ketiga apabila berlangsungnya upacara mandi-manda iaitu aktiviti simbah-menyimbah air. Acara ini diadakan di pentas khas yang dipanggil Panca Persada. Baginda berdua saling menyiram air dan istiadat ini turut disertai rakyat jelata.[9] Bergelen-gelen air turut dikenakan pada pasangan pengantin diraja semasa berangkat pulang namun diselamatkan oleh pembawa ubur-ubur diraja.

Hadirin kehormat perkahwinan.

Selepas perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Tunku Abdul Halim dan Tunku Bahiyah berangkat kembali ke Kedah pada 18 Mac. Sambutan tiga hari telah diadakan bermula pada Isnin 19 Mac untuk meraikan perkahwinan baginda berdua. Pada hari pertama, dua persantapan kurniaan Sultan dan Sultanah Kedah untuk menandakan keberangkatan balik pengantin baru telah dihadiri oleh 400 tetamu termasuk Tunku Abdul Rahman.[10] Sambutan kemuncaknya ialah pesta air di Sungai Kedah.[11] Polis tambahan telah dipanggil dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk mengawal kesesakan lalu lintas sepanjang sambutan negeri ini. Pawagam di Alor Setar telah memberi percuma tayangan dan kemasukan percuma ke Great World Park.

Pada hari kedua, 450 tetamu telah menghadiri pesta taman di Istana Anak Bukit.

Pada hari terakhir, tarian singa dipersembahkan untuk pengantin diraja yang baru.[12] Baginda berdua berangkat ke majlis persantapan 500 ela dengan tongkang berhias yang diiring empat perahu lumba.[13]

Satu majlis persantapan untuk pengantin baru di Balai Besar, Alor Setar setelah baginda berdua berangkat kembali ke Kedah. Seramai 200 tetamu telah dijemput untuk menghadiri majlis persantapan ini. Raja Muda, Tunku Ampuan dan Sultan Kedah adalah antara yang bersantap di meja utama persantapan malam. Makanan yang disediakan ialah koktel limau gedang, sup konsome, ketam Langkawi bakar dan ayam belanda Kedah sumbat panggang dihidang dengan kentang panggang, kubis bunga berkrim dan kacang hijau. Pancaragam dari Rejimen Askar Melayu Diraja telah membuat persembahan di persantapan malam itu dengan 12 skor termasuk Czech Polka Johann Strauss, Bless The Bride Vivian Ellis dan Sizilietta Franz Von Blon.[8]

Kehidupan selepas[sunting | sunting sumber]

Dua tahun kemudian, Tunku Abdul Halim naik takhta singgahsana kerajaan negeri Kedah berikutan kemangkatan paduka ayahandanya pada tahun 1958. Baginda berdua dikurniakan tiga puteri dan seorang puterinya Tunku Soraya mengikuti jejak mereka dengan mengahwini seorang putera daripada kerabat diraja Perak iaitu Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Zulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah. Sultan Abdul Halim turut naik takhta kerajaan Persekutuan Malaysia sebanyak dua kali dari 1970 hingga 1975 dan 2011 hingga 2016. Baginda berkahwin lagi dengan seorang rakyat kebanyakan Tuanku Hajah Haminah.

Sultanah Bahiyah mangkat pada 26 Ogos 2003 di Istana Kuala Cegar manakala Sultan Abdul Halim mangkat pada 11 September 2017 di Istana Anak Bukit.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Zubaidah Abdul Rahman (23 Februari 1966). "Baginda Sultan dan Sultanah mempunyai banyak keistimewaan Sultanah giat dalam kerja2 kebajikan". NewspaperSG. Berita Harian. Dicapai pada 11 Ogos 2018.
  2. ^ "Mrs. X to harass Johore Royalty" [Puan X menyerang Kerabat Johor]. NewspaperSG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 19 Januari 1956. Dicapai pada 11 Ogos 2018.
  3. ^ "A royal wedding is arranged" [Perkahwinan diraja disusun]. Newspaper SG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 25 Januari 1956. Dicapai pada 3 Ogos 2019.
  4. ^ Kenny Fernandez (5 Januari 1956). "Tengku woos and wins—with 11 assistants" [Tunku memikat dan menang—dengan 11 penolong]. NewspaperSG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. Dicapai pada 11 Ogos 2018.
  5. ^ Chan Beng Soon (7 Mac 1956). "Raja Muda drives to meet his bride" [Raja Muda memandu untuk berjumpa dengan pengantinnya]. NewspaperSG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. Dicapai pada 11 Ogos 2018.
  6. ^ Harry Miller (9 Mac 1956). "A royal romance is sealed" [Cinta diraja termeterai]. NewspaperSG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. Dicapai pada 11 Ogos 2018.
  7. ^ Ahmad Syahir Kassim; Norlida Akmar Idros (2012). "Salasilah Kesultanan Kedah". KOSMO!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-09. Dicapai pada 9 Ogos 2018.
  8. ^ a b Alan Teh Leam Seng (27 Mei 2018). "A royal wedding to rival Harry's and Meghan's" [Perkahwinan diraja menyaingi perkahwinan Putera Harry dan Meghan]. New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 13 Januari 2019.
  9. ^ "Nostalgia Istiadat Perkahwinan Sultan Abdul Halim dan Sultanah Bahiyah Tahun 1956". Orang Kedah. 9 Ogos 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-12-25. Dicapai pada 9 Ogos 2018.
  10. ^ "Homecoming" [Keberangkatan balik]. NewspaperSG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 19 Mac 1956. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  11. ^ "A gondola ride for the bride" [Perjalanan gondola untuk pengantin puteri]. NewspaperSG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 8 Mac 1956. Dicapai pada 11 Ogos 2018.
  12. ^ "A royal welcome for a royal couple" [Sambutan keberangkatan balik untuk pasangan diraja]. NewspaperSG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 16 Mac 1956. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  13. ^ "River cruise for a royal couple" [Pelayaran sungai untuk pasangan diraja]. NewspaperSG (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 23 Mac 1956. Dicapai pada 13 Ogos 2018.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]