Perlanggaran LRT Kelana Jaya 2021

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kemalangan LRT Kelana Jaya 2021
کمالڠن ايل. ار. تي. کلان جاي 2021
Bombardier Innovia Metro 300, jenis tren LRT yang terlibat dalam kemalangan
Map
Butiran
Tarikh24 Mei 2021; 2 tahun yang lalu (2021-05-24)
20:45 MYT (Waktu Malaysia)
Koordinat03°09′41″N 101°42′28″E / 3.16139°N 101.70778°E / 3.16139; 101.70778Koordinat: 03°09′41″N 101°42′28″E / 3.16139°N 101.70778°E / 3.16139; 101.70778
LokasiDi antara Stesen LRT Kampung Baru dan Stesen LRT KLCC
NegaraMalaysia
Laluan/landasanLaluan LRT Kelana Jaya
PengendaliRapidKL
Jenis insidenPerlanggaran depan tren
SebabDalam siasatan
Perangkaan
Kereta api2 (tren nombor 40 dan 81)
Meninggal duniaSunting ini di Wikidata
Tercedera213 penumpang tercedera:
  • 47 cedera parah
  • 166 cedera ringan
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Perlanggaran LRT Kelana Jaya 2021 (Tulisan Jawi: ڤلڠݢرن ايل. ار. تي. کلان جاي 2021) ialah kemalangan kereta api yang berlaku pada 24 Mei 2021, 20:45 waktu Malaysia, apabila dua buah tren transit aliran ringan (LRT) bertembung di laluan Kelana Jaya di antara Stesen LRT Kampung Baru dengan Stesen LRT KLCC.[1] Kemalangan tersebut mencederakan 213 orang penumpang, termasuk 166 orang cedera ringan dan 47 orang cedera parah.[2]

Kemalangan ini merupakan kemalangan pertama yang berlaku di laluan Kelana Jaya sejak perkhidmatannya bermula pada 1998 dan kemalangan kereta api terburuk di Malaysia setakat ini.[3][4]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Fasa awal laluan Kelana Jaya telah disiapkan pada tahun 1998. Laluan LRT Kelana Jaya merupakan laluan transit rel yang kelima dan juga sistem rel automatik sepenuhnya tanpa pemandu pertama di kawasan Lembah Klang serta merupakan sebahagian daripada Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang. Dengan perkhidmatan di 37 stesen, laluan ini mempunyai sistem trek bertingkat sejauh 46.4 km yang bergerak di laluan bawah tanah dan jejambat. Dahulunya dikenali sebagai PUTRA LRT, ia kini dikendalikan oleh Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia. Laluan ini dinamakan sempena bekas terminalnya, stesen Kelana Jaya. Laluan tersebut bernombor 5 dan berwarna merah delima di peta transit rasmi. Bahagian yang berlakunya kemalangan tersebut terletak di bawah tanah dan sebahagian daripada sambungan ke stesen LRT Gombak yang dibuka pada tahun 1999.

Laluan tersebut menggunakan sistem Bombardier Innovia Metro, iaitu LRT tanpa pemandu yang beroperasi menggunakan gred pengautomatan tahap 4 (GoA-4). Ketika kejadian ini, salah sebuah tren yang terlibat (tren Bombardier Innovia Metro nombor 81) membawa 213 orang penumpang dari Stesen LRT KLCC ke arah Stesen LRT Gombak, manakala yang sebuah lagi (tren Bombardier Innovia Metro nombor 40) sedang menjalani pandu uji dan dipandu secara manual.[2][5]

Siasatan[sunting | sunting sumber]

Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk mengenal pasti punca kemalangan.[6] Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengatakan bahawa laporan awal kemalangan akan dihantar ke Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada pagi keesokannya, 25 Mei 2021. Beliau juga menganggarkan proses penyiasatan akan mengambil masa dua minggu bagi mengenal pasti punca kemalangan ini sama ada akibat kesilapan manusia, kegagalan komunikasi atau kegagalan sistem perisyaratan.[5]

Meskipun begitu, beliau bertegas dengan anggapan bahawa perlanggaran itu berlaku akibat kesilapan pemandu tren 40; beliau berkata bahawa tren itu sepatutnya bergerak ke arah selatan (ke stesen Dang Wangi), tetapi sebaliknya dipandukan ke arah bertentangan lalu melanggar tren 81.[7] Kenyataan ini menimbulkan persoalan oleh beberapa pihak, terutamanya bekenaan kegagalan peranan pusat pengendalian dan sistem perisyaratan rel sehingga menyebabkan pemandu tersalah arah.[8]

Reaksi[sunting | sunting sumber]

Muyiddin Yassin Twitter
@MuhyiddinYassin

Saya telah dimaklumkan oleh YB Menteri Pengangkutan @weekasiongmp bahawa telah berlaku kemalangan yang melibatkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru petang tadi.

24 Mei 2021

Muyiddin Yassin Twitter
@MuhyiddinYassin

Keutamaan sekarang harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan, dan saya telah mengarahkan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan yang menyeluruh memandangkan kita juga berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang meningkat naik.

24 Mei 2021

Kenyataan awal daripada pegawai daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah menyatakan bahawa kemalangan tersebut berkemungkinan berpunca daripada masalah komunikasi dari pusat pengendalian.[5]

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan kemalangan tersebut merupakan kemalangan yang pertama dalam 23 tahun pengendalian sistem tersebut.[5] Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Prasarana Malaysia turut akan membincangkan jumlah insurans yang akan diberikan kepada mangsa kemalangan.[9] Pengerusi Prasarana Malaysia, Dato' Sri Tajuddin Abdul Rahman pula mengatakan bahawa Prasarana Malaysia akan memberikan bantuan khas RM1,000 setiap seorang kepada 213 orang mangsa kemalangan di Laluan Kelana Jaya. Pada sidang media yang diadakan pada keesokan harinya, beliau selanjutnya menyatakan bahawa Prasarana akan menanggung perbelanjaan perubatan semua mangsa sehingga mereka didiscaj.[10]

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan kesemua penumpang yang tercedera dalam kemalangan tren tersebut di Laluan LRT Kelana Jaya pada malam itu dirawat terlebih dahulu.[11]

Kritikan terhadap reaksi[sunting | sunting sumber]

Pelbagai pihak menyuarakan kritikan terhadap respons bagi perlanggaran ini, terutamanya kepada ketua syarikat Prasarana serta Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman. Pada awalnya, Tajuddin dikritik kerana tidak turun padang pada momen kejadian itu. Tajuddin menjelaskan bahawa dirinya sedang berada dalam pertemuan bersama dengan pihak sebuah syarikat pada masa itu serta bersiap sedia untuk memperoleh dos kedua vaksin COVID-19-nya yang dijadualkan pada keesokan hari, dan lewat menerima berita tentang kejadian itu.[12] Seterusnya, sidang medianya pada pagi 25 Mei menambahkan lagi kutukan terhadapnya kerana tidak memperlihatkan keseriusan terhadap kemalangan itu. Sidang itu dicemari dengan jenaka tidak wajar terhadap kemalangan,[13] komen berbaur xenofobia/rasis anti-Cina oleh Tajuddin dan perbuatannya yang tidak memakai pelitup muka (sebaliknya memakai pelindung muka lutsinar) dalam situasi pandemik COVID-19 negara sehingga dijadikan kes oleh pihak polis.[14][15][16]

Masalah ini mendorong tekanan oleh pelbagai lapisan masyarakat agar Tajuddin segera meletak jawatan sebagai ketua eksekutif Prasarana, tetapi Tajuddin menyatakan hasrat untuk kekal dengan jawatan itu.[13][17] Bekas Presiden UMNO Najib Razak pula berkata bahawa Tajuddin mengakui kesilapannya dalam sidang media itu, dan berkata bahawa Tajuddin bakal meletak jawatannya pada tarikh yang akan ditentukan oleh pihak UMNO.[18] Menjelang hujung hari itu, Tajuddin disahkan dipecat daripada jawatan itu oleh badan kerajaan pengawal Prasarana (Kementerian Kewangan) susulan isu ini.[19]

Selain itu, kecaman turut dituju kepada jumlah pampasan terhadap mangsa terlibat yang disifatkan terlalu sedikit dan "menghinakan".[13]

Kesan[sunting | sunting sumber]

Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi pada jam 6 pagi keesokan harinya dengan menggunakan satu landasan serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara di kawasan yang terjejas.

Bahagian landasan dari stesen LRT Damai ke stesen LRT Pasar Seni ditutup (arah selatan dari stesen LRT Gombak). Lima unit bas dua tingkat terdiri daripada Alexander Dennis Enviro500 dan Volvo B8L milik RapidKL dikendalikan dari stesen LRT Pasar Seni ke stesen LRT Ampang Park secara percuma pada waktu puncak. Bas-bas percuma ini beroperasi setiap 15 hingga 20 minit dan akan membawa penumpang dari stesen LRT Pasar Seni dan stesen Ampang Park ke mana-mana stesen. LRT disasarkan kembali beroperasi seperti biasa sepenuhnya tiga hari selepas kemalangan.[20]

Ekoran daripada pengurangan kekerapan tren, perkhidmatan LRT menjadi lebih sesak. Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati dan kebimbangan dalam kalangan netizen mengenai amalan penjarakan sosial ketika negara terus melihat peningkatan kes COVID-19.[21]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Radzi, Fazli (2021-05-24). "47 mangsa cedera parah, tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung". Malaysia Dateline (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-05-24.
  2. ^ a b Azman, Fareez. "47 parah, 166 cedera ringan LRT bertembung berhampiran Stesen KLCC". Astro Awani. Dicapai pada 2021-05-24.
  3. ^ Perimbanayagam, Kalbana; Chan, Dawn; Basyir, Mohamed; Krishnan, Dhesegaan Bala (2021-05-25). "First incident in Kelana Jaya LRT line's 23-year history | New Straits Times". NST Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-05-26.
  4. ^ "First time LRT accident results in serious injuries to passengers". The Edge Markets (dalam bahasa Inggeris). 2021-05-25. Dicapai pada 2021-05-26.
  5. ^ a b c d Yusof, Amir (May 24, 2021). "More than 210 people injured after 2 LRT trains collide in Kuala Lumpur". channelnewsasia.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada May 24, 2021.
  6. ^ Rosli, Fahmy A. (2021-05-25). "Insiden tren: Siasatan terperinci, telus perlu dijalankan". Berita Harian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-05-25.
  7. ^ Maria Chin, Emmanuel Santa (25 Mei 2021). "Transport minister affirms human error behind LRT train collision". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Mei 2021.
  8. ^ "Kemalangan LRT: Tindakan 'salahkan pemandu' undang bantahan". Malaysiakini. 26 Mei 2021. Dicapai pada 26 Mei 2021.
  9. ^ "MOT to set up special task force to probe into cause of LRT collision - Wee". BERNAMA (dalam bahasa Inggeris). 25 Mei 2021. Dicapai pada 25 May 2021.
  10. ^ "LRT train mishap: RM1,000 assistance each to 213 victims, says Prasarana". The Star (dalam bahasa Inggeris). 2021-05-25. Dicapai pada 2021-05-25.[pautan mati kekal]
  11. ^ "Muhyiddin orders priority in treatment of LRT train accident passengers". BERNAMA (dalam bahasa Inggeris). 2021-05-25. Dicapai pada 2021-05-25.
  12. ^ Bunyan, John (25 Mei 2021). "Prasarana chairman explains his absence from scene of last night's LRT train collision". The Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Mei 2021.
  13. ^ a b c "'Tren saling bercium' - Gesaan agar Tajuddin dipecat meningkat". Malaysiakini. 26 Mei 2021. Dicapai pada 26 Mei 2021.
  14. ^ Adam, Ashman (26 Mei 2021). "Public transport group slams Prasarana chairman Tajuddin's 'rude, disgusting' conduct during press conference". The Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Mei 2021.
  15. ^ Adreena, Iylia (26 Mei 2021). "Netizens Are Angry With How Prasarana And Tajuddin Handled The #LRTKelanaJaya Accident". Rojak Daily (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Mei 2021.
  16. ^ Adam, Ashman (26 Mei 2021). "Cops probing Prasarana chairman Tajuddin for failure to wear face mask during press conference on LRT crash". The Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Mei 2021.
  17. ^ Thomas, Jason (25 Mei 2021). "Prasarana chairman Tajuddin dismisses calls to quit". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-05-25. Dicapai pada 26 Mei 2021.
  18. ^ "Najib says Tajuddin sorry for being insensitive, will quit when Umno says so". Malaysiakini. 26 Mei 2021. Dicapai pada 26 Mei 2021.
  19. ^ "Perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana ditamatkan serta-merta - Kementerian Kewangan". Astro Awani. 26 Mei 2021. Dicapai pada 31 Mei 2021.
  20. ^ "Operasi LRT Laluan Kelana Jaya Diteruskan Dengan Sokongan Perkhidmatan Bas Perantara Percuma - Media Releases | MyRapid Your Public Transport Portal". www.myrapid.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-05-25. Dicapai pada 2021-05-25.
  21. ^ "Commuters alarmed by packed trains after reduced frequency". Malaysiakini (dalam bahasa Inggeris). 25 May 2021. Dicapai pada 25 May 2021.