Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

MAYC KEBANGSAAN

Sejarah MAYC

Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia yang lebih dikenali dengan nama singkatannya MAYC (Malaysian Association Of Youth Clubs) ditubuhkan pada tahun 1954 yang pada peringkat awal penubuhannya dinamakan Persatuan Pemuda Pemudi Malaya.

Tujuan asal penubuhan MAYC pada zaman itu ialah untuk menyatukan belia-belia didalam negara agar tenaga mereka dapat digunakan dalam kegiatan berbentuk pelajaran sivik, bersukan, rekreasi dan kesenian.

Struktur MAYC pada awal penubuhannya di ambil daripada Nasional Association Of Youth Clubs (NAYC) di United Kindom. MAYC menghadapi masalah untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti pada awal penubuhannya , ini disebabkan oleh proses kelulusan pendaftarannya memakan masa yang agak lama. Pada 19 Oktober 1956 barulah pendaftaran MAYC diluluskan dengan sijil pendaftarannya bernombor 1062 (Selangor). Selepas diluluskan MAYC mula bergerak diseluruh pelusuk semenanjung dan persatuan yang pertama bergabung dengan MAYC ialah Persatuan Belia Labis, Negeri Johor.

Mesyuarat Agung yang pertama diadakan pada 4hb Februari 1956 bertempat di Rumah Persekutuan, Kuala Lumpur, ketika itu sebanyak 17 kelab telah bergabung dengan MAYC dan Tan Sri Mubin Sheppard telah dilantik sebagai Presiden MAYC yang pertama (1954 – 1955).

Dengan ehsan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah bersetuju mendapatkan sebuah pejabat beralamat di No.2 Jalan Clarke, Kuala Lumpur sebagai Pejabat Operasi MAYC.

Pada tahun 1956, Tunku Abdullah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Presiden MAYC yang kedua (1956 – 1971) menggantikan Tan Sri Mubin Sheppard dan pada tahun yang sama MAYC telah mengembangkan sayapnya untuk menyertai Persidangan Belia Sedunia (WAY) di Berlin, Jerman. Bukan setakat itu sahaja, pada tahun 1960 MAYC telah mengadakan jalinan kerjasama dengan persatuan-persatuan di negara Jepun, Amerika, India, Australia, England dan negara-negara Asia Tenggara. Pada tahun itu juga MAYC telah memperkenalkan Pingat Jasa Cemerlang (JC) untuk dianugerahkan bagi menghargai tokoh-tokoh MAYC dan individu tertentu yang banyak berjasa kepada MAYC.

Dari peringkat ke peringkat, kewibawaan MAYC dalam memperjuangkan dan memartabatkan golongan belia telah menarik perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mana baginda bersetuju menghadiahkan sebidang tanah ditepi Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur. Pada bulan Oktober tahun 1969 terbinalah sebuah bangunan yang dinamakan Wisma Belia dan bangunan tersebut telah dirasmikan pada tarikh 27 Ogos 1970 oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia pada masa itu.

Kepimpinan MAYC bertukar pada tahun 1971, Tuan Syed Ahmad Idid bin Syed Abdullah Idid (1971 – 1973) iaitu seorang hakim telah dilantik sebagai Presiden MAYC yang ketiga dan beliau hanya menjadi presiden selama dua tahun (1 penggal). Pada tahun 1973, MAYC telah dipimpin oleh Tan Sri Sanusi Junid yang merupakan Presiden MAYC yang ke empat. Atas usaha beliau pada tahun 1986 sebuah lagi bangunan dibelakang Wisma Belia telah dibina yang dinamakan Wisma Tunku, diambil sempena nama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Kedua-dua buah bangunan ini dinamakan Kompleks MAYC yang kedudukanya berhampiran dengan Lebuhraya Persekutuan (Kuala Lumpur – Klang). Kompleks ini telah dirasmikan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia pada 10 Ogos 1986.

Pada era Tan Sri Sanusi Junid, beliau telah memperkenalkan konsep mental, jasad dan rohaniah atau singkatannya adalah MENJARO. Apabila mental, jasad dan rohaniah ahli-ahli MAYC semakin kuat, ini memudahkan persediaan mereka untuk menceburi kegiatan Politik, Ekonomi dan Masyarakat (POLEMAS). Semasa kepimpinan beliau MENJARO dan POLEMAS telah sebati didalam jiwa ahli-ahli MAYC pada masa itu. Beliau juga merupakan Presiden MAYC yang paling lama memegang jawatan itu hampir 37 tahun (1973 – 2000) dan pada tahun 2000 beliau telah memberi laluan kepada Tan Sri Syed Hamid Bin Jaafar Albar semasa itu menjawat jawatan Menteri luar dan sebagai Presiden MAYC yang kelima (2000 – 2010). Era persatuan belia yang berdaftar dengan ROS berakhir pada tahun 2007 bermula era baru persatuan belia dinegara kita. Akta Belia diperkenalkan dengan mensyaratkan ahli-ahli mestilah individu yang berumur di bawah 40 tahun.

Disini bermulanya episod baru MAYC, dimana peralihan kuasa diantara Tan Sri Syed Hamid kepada saudara Mustaffa bin Mat Arof (2010 – 2012) telah disempurnakan tanpa ada pertandingan pada tarikh 26 September 2010 . Tetapi peralihan kuasa tersebut telah dicemari oleh sekumpulan mereka-mereka yang berkepentingan yang telah mengadakan Mesyuarat Agung mereka sendiri lebih awal serta membelakangi Perlembagaan MAYC.

Tindakan mereka ini menyebabkan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) terpaksa masuk campur. Bagi meredakan keadaan , pada tarikh 10 Januari 2011 pihak ROY telah mengambil keputusan untuk menggantung kedua-dua pihak dari menerajui MAYC. Dan pergantungan ini berlanjutan hampir 1 tahun, ini menyebabkan banyak aktiviti-aktiviti MAYC yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan.

Setelah menunggu hampir I tahun, pada tarikh 11 Oktober 2011, Yang Behormat Menteri Belia Dan Sukan telah membuat keputusan berdasarkan akta belia 2007 telah mengesahkan Saudara Mustaffa bin Mat Arof selaku Presiden MAYC. Susulan keputusan tersebut saudara Mustaffa telah mengambil langkah awal dengan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan kali ke-51 pada tarikh 16 Disember 2011 di negeri Melaka untuk mengenalpasti dan memastikan MAYC berada di landasan mengikut perlembagaannya.

Setelah Mesyuarat Agung itu, beliau hanya mempunyai masa yang cukup terhad, sebelum beliau menyerahkan jawatan Presiden atas faktor usia, masa yang terhad itu telah digunakan sebaik mungkin oleh beliau untuk menganjurkan program-program yang tertangguh akibat pergolakkan dan membina kembali perpaduan di kalangan ahli-ahli MAYC. Kalau Tan Sri Sanusi Junid sinonim dengan MENJARO dan POLIMAS, Saudara Mustaffa Mat Arof pula menyeru ahli-ahli MAYC mempraktikkan gaya hidup berpaksikan Niat, Amanah, Jujur, Iktibar dan Berkat (NAJIB) insyallah kehidupan kita akan diberkati oleh Allah S.W.T.

Didalam tempoh Sdr. Mustaffa sebagai Presiden beliau telah mengenal pasti beberapa masalah yang berkaitan dengan sistem pentadbiran dan urusan perniagaan MAYC. Beliau cuba menyusun kembali supaya semua masalah tersebut dapat dirungkai dengan sistematik. Hasilnya di penghujung tempoh beliau menjawat jawatan Presiden sebahagian besar masalah tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

Pada tanggal 7 Julai 2012 , Mesyuarat Agung Kali Ke-53 menyaksikan peralihan kuasa kepimpinan MAYC iaitu Sdr. Mohd Hasri bin Mohd Hadzir ditabalkan selaku Presiden MAYC yang ke-7 dimana sejarah MAYC berulang iaitu seorang Setiausaha Agung di angkat menjadi Presiden seperti di era Tan Sri Sanusi Junid dahulu.

Di era Sdr. Mohd Hasri beliau lebih menekankan konsep Gagasan 1Malaysia dikalangan ahli-ahli MAYC yang mana konsep ini telah disemaikan didalam MAYC sejak penubuhannya dahulu. Dengan berlatar belakangkan kerjayanya sebagai Pegawai di Biro Tatanegara JPM beliau juga akan memastikan setiap program di rangka seiring dengan budaya transformasi kearah semangat kenegaraan diterapkan didalam jiwa para ahli MAYC.

Segala usaha yang telah digagaskan oleh Sdr. Mustaffa disambung oleh beliau agar memastikan supaya perjalanan pentadbiran MAYC dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Beliau yakin dengan perpaduan yang telah wujud sedikit demi sedikit MAYC akan mengorak langkah dengan lebih maju dimasa hadapan. “ buang yang keruh, ambil yang jernih” itulah falsafah orang-orang tua yang sering digunakan supaya dikalangan para ahli MAYC lebih kuat dengan bersatu, berganding bahu dan lebih berdaya maju dimasa hadapan.