Pergi ke kandungan

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)

[sunting | sunting sumber]

Pengenalan

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) merupakan salah sebuah pertubuhan seni silat Melayu terbesar di Malaysia. Ia diasaskan pada 28 Disember 1965 oleh Ustaz Hanafi Ahmad[1], seorang tokoh yang penting mengembangkan seni silat di alam Melayu.

Etimologi Silat Cekak

[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa maksud Cekak[2] antaranya;

Makan Cekak sebuah peribahasa lama masyarakat Melayu Kedah bermaksud bertanggungjawab. Ertinya silat ini mengajar para penuntutnya erti dan sifat bertanggungjawab.

Cekak ertinya sedikit atau ringkas dalam loghat Jawa. Ertinya mata pelajaran Silat Cekak walaupun sedikit dan bersifat ringkas namun ia boleh digunakan untuk mempertahankan diri.

Cekak juga merupakan genggaman yang Padu. Ilmu silat ini bersifat padu merangkumi asuhan zahir dan batin.

Secekak ertinya mengenggam erat iaitu silat yang mengenggam amanah yang diberikan.

Sengenggam ertinya memegang erat sesuatu agar tidak terlepas seperti mana Segemal padi yang dicekak kedua-dua belah tangan agar tidak terlepas. Ia juga melambangkan sifat padi makin berisi makin tunduk, iaitu makin berilmu makin merendahkan diri[3].

Secekak juga bererti sekepal. Buah Silat Cekak dikepal erat menunjukkan perbuatan bersungguh-sungguh menjaga atau mempertahankan hak.

Cakak dalam dialek Minangkabau bermaksud Gaduh. Ertinya silat ini boleh dibawa bergaduh atau bertarung [4]. Namun silat ini tidak mengajar para penuntutnya supaya jadi "Pencakak" atau "Kaki Gaduh" kerana ia sifat penceroboh.

Sejarah Asal-Usul

[sunting | sunting sumber]

Silat Cekak telah diamalkan oleh para panglima kanan kesultanan Melayu Kedah sejak abad ke 18. Antara tokoh awal yang mengasas dan membawa ilmu silat ini adalah Panglima Ismail bin Long atau nama sebenarnya Laksamana Wan Ismail bin Wan Muhammad Long.[5]

Beliau merupakan seorang Laksamana kesultanan Melayu Kedah di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804-1843). Kemunculan silat ini bermula ketika era Perang Musuh Bisik (1821-1842), yang mana Laksamana Wan Ismail berpengkalan di mukim Kerian [6]

Setelah perang tersebut berakhir ilmu persilatan ini diwariskan pula kepada Panglima Tok Rashid; seorang Penghulu Mukim dari Yan, Kedah yang pernah terlibat dengan projek penggalian terusan Wan Mat Saman sepanjang tahun 1885-1896. Beliau menerima amanah membawa ilmu ini pada tahun 1897 hingga 1925 setelah berhijrah ke Kerian bagi mengelak dari penularan wabak taun dan malaria yang terus menjangkiti para pekerja terusan dan rakyat Kedah. Kebetulan projek terusan tersebut tamat sekitar tahun 1896 dan setelah kematian Perdana Menteri Wan Mat Saman. [7]

Ilmu silat ini seterusnya diamanahkan penjagaannya kepada Encik Yahya bin Said di Kerian pada 1925 dengan amanat;

"Jika ada anak cucuku dari Kedah hendak mempelajari ilmu ini, hendaklah engkau pulangkan kembali".

Selama 40 tahun ilmu silat ini dipendam oleh Yahya bin Said di Batu Kurau, Perak tanpa ada murid yang berjaya tamat mempelajarinya. Keadaan ini disebabkan oleh suasana keselamatan negara yang tidak menentu akibat ancaman dalam dan luar negara [8]

Akhirnya Ustaz Hanafi in Haji Ahmad mempelajari ilmu persilatan ini pada 28 Disember 1965 dan tamat lalu diangkat sebagai Guru silat ini pada tahun 1966.

Di awal perkembangannya Silat Cekak digerakkan menerusi Perkumpolan Seni Sari Budaya Seri Kedah (PSSBSK). Ustaz Hanafi telah menubuhkan Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia (PSSCKM) pada 1967.

Pada 1970, semasa di Kuala Lumpur Silat Cekak dan PSSCKM digerakkan menerusi Persatuan Bawaen Putra. Ustaz Hanafi kemudiannya menjenamakan PSSCKM kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) didaftarkan secara rasmi pada 19 Ogos 1971'[9] dan [10]

Silat Cekak juga dikenali sebagai Silat Papan Sekeping merujuk kepada keunikan silat ini berdiri lurus dalam mempertahankan diri tanpa banyak gerakan ke kiri, ke kanan, berundur atau melompat[11]. Sebaliknya maju melakukan serangan umpama berdiri di atas sekeping papan [12]. Ia diamalkan bagi menanam keyakinan dan keberanian.[13]

Nama ini diperkenalkan oleh Pengasas PSSCM pada tahun 1975 sewaktu persembahan di Festival Silat ASEAN [14]. Pada 24 September 1983, PSSCM telah terlibat secara langsung dalam penubuhan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bersama-sama Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Persatuan Seni Gayong Fatani Malaysia dan Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia[15].

Ustaz Hanafi bin Ahmad menghembus nafasnya pada 13 Ogos 1986 dan digantikan oleh Ishak bin Itam sebagai Guru Utama dan Presiden PSSCM dengan sokongan dan mandat dari Ahli Jawatankuasa Pusat dan Negeri serta ahli-ahli PSSCM seluruh negara[16].

Guru-Guru Utama dan Presiden PSSCM

[sunting | sunting sumber]

1. Yang Mulia Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad (1965-1986)

2. Yang Mulia Ustaz Haji Ishak bin Itam (1986-2009)[17].

3. Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah (2009-kini)[18].

Salasilah Guru-Guru Silat Cekak

PSSCM Masakini

[sunting | sunting sumber]

PSSCM merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang kini mempunyai lebih dari 120 pusat latihan dan kelas latihan termasuk di institusi pengajian tinggi, sekolah, ma'ahad tahfiz dan agensi kerajaan di Malaysia.

Selain mengajar ilmu persilatan, PSSCM turut memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan kerohanian[19], pemilikan hartanah, khidmat komuniti [20], pengakademikan ilmu persilatan Melayu dan sebagainya di negara ini.[21]

Pada 15 Jun 2022, PSSCM menerima penaungan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang menjadikan ilmu silat Melayu dan Silat Cekak sebagai ilmu yang berdaulat[22].

Sementara pada 14 Mei 2025, PSSCM turut menerima perkenaan KeBawah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah sebagai Timbalan Penaung PSSCM[23].

Sehingga kini PSSCM memiliki lebih 100,000 keahlian sejak 1965 serta ahli aktif bersilat dan berpersatuan seramai 3,000 orang pada setiap minggu termasuk kelas-kelas TUNAS bagi para pesilat kanak-kanak dan remaja berumur 7 hingga 15 tahun.

Selain itu, terdapat lebih 110 buah kajian ilmiah berkaitan ilmu silat ini yang ditulis oleh ahli-ahli PSSCM seluruh negara dimuatkan di sesawang facebook penyelidikan dan pembangunan (R&D) PSSCM[24]. Ia sebagai usaha wakaf ilmu ke arah merealisasikan Silat Cekak Silat Akademik yang boleh dirujuk melalui Goggle Scholar Silat Cekak Malaysia[25].

Sistem Pembelajaran Seni Silat Cekak Malaysia (SSCM)

[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa peringkat pembelajaran SSCM iaitu;

  1. - Sijil Rendah (Peringkat Tamat)
  2. - Sijil Menengah (Jurulatih)
  3. - Sijil Tinggi (Guru Utama)

PSSCM mempunyai silibus dan ko-kurikulum yang tersusun, ditetapkan oleh Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) PSSCM sejak 1970an dengan beberapa peringkat. Ia bertujuan mengawal selia sistem pembelajaran ilmu persilatan ini agar berjalan secara sistematik, telus dan terkawal[26].

Beberapa kaedah akan diajar di dalam SSCM merangkumi beberapa peringkat[27] iaitu;

1.'Kaedah asas' diajar iaitu cara-cara menangkis serangan tanpa membalas serang. Terdapat 4 kaedah asas dinamai kaedah A, B, C dan kaedah D.

2.Peringkat asas - Pelajar akan diajar 20 'buah' atau teknik asas silat cekak berdasarkan 'kaedah asas'.

3.Peringkat jatuh - Pelajar akan diajar sambungan kepada teknik asas untuk menjatuhkan dan mengunci pihak lawan.

4.Peringkat potong - Pelajar diajar cara menangkis teknik Silat Cekak sendiri jika Silat Cekak digunakan oleh pihak lawan.

5.Peringkat umum - Pelajar diajar mempraktikkan teknik silat bagi melawan seni bela diri yang lain

Teknik-Teknik Asas

[sunting | sunting sumber]

Silat Cekak mempunyai keunikan tersendiri iaitu menangkis serangan tangan kosong, tendangan serta serangan senjata tajam dengan berdiri lurus sambil menyerang, sambil menangkap. Buah-buah ini diajar dalam peringkat asas, jatuh dan potong dalam silibus SSCM.

  1. Buah Pertama
  2. Buah Keputusan Gayung Patani
  3. Buah Keputusan Sendeng Atas
  4. Buah Kilas Belakang
  5. Buah Kilas Hadapan
  6. Buah Kidong Kiri
  7. Buah Kuntau Jatuh
  8. Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung
  9. Buah Kuntau Kanan Gantung
  10. Buah Hentak @ Keputusan Silat Harimau
  11. Buah Ali Patah Atas
  12. Buah Ali Patah Sudah
  13. Buah Selendang
  14. Buah Gari & Gari Gunting
  15. Buah Paras
  16. Buah Keputusan Pasung Kemanga
  17. Buah Keputusan Terlak
  18. Buah Keputusan Lintau
  19. Buah Hempok
  20. Buah Luncur
  21. Buah Siku Potong

Para penuntut juga diajar cara menggunakan buah silat dengan tangan kosong bagi menangkis serangan-serangan tongkat serta pisau.

Dalam peringkat umum, terdapat beberapa buah rahsia akan diajar kepada para penuntut bagi menangkis serangan buah-buah khusus dan istimewa dari ilmu bela diri lain.

Selain mempelajari ilmu persilatan para penuntut SSCM turut didedahkan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bagi pembinaan sahsiah dan kemahiran insaniah. Ini bertujuan melahirkan seorang pesilat yang berkemahiran bagi membantu pembangunan diri sesuai dengan aspirasi negara[28].

Parang Lading Senjata Rasmi PSSCM

[sunting | sunting sumber]

Parang Lading merupakan senjata asli masyarakat Melayu Kedah Darul Aman sejak abad ke 16 dan menjadi senjata rasmi bagi ilmu persilatan Seni Silat Cekak Malaysia sejak didedahkan secara akademik kepada umum oleh Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad semasa Konvensyen Silat Melayu 1973 di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Pemilikan tersebut seterusnya diperkuatkan melalui fakta-fakta sejarah berkaitan pewarisan permainan parang lading serta kajian-kajian saintifik dan akademik oleh ahli-ahli PSSCM [29].

Selain itu, terdapat juga kajian akademik ahli PSSCM berkaitan parang lading dari sudut etimologi[30], tipologi dan morfologi[31] dan kearifan tempatan [32].

Terdapat beberapa usaha mengesahkan pemilikan parang lading oleh PSSCM dilakukan melalui tindakan perundangan sejak 1971 di dalam Peraturan 4 dan Fasal 3 (B): Bendera dan Lambang dan Perlembagaan PSSCM (2018:33) Cetakan Kelima Fasal 23.2.2. dalam pengertian lambang yang menyatakan ‘parang lading dua bilah bererti senjata rasmi Seni Silat Cekak yang merupakan senjata asli silat Melayu yang khas digunakan untuk mempertahankan diri[33].

PSSCM juga telah mempaternkan parang lading sebagai senjata rasminya pada 23 Jun 1994 melalui sebuah badan harta intelek; The Pattern Office berpengkalan di South Wales, United Kingdom dengan nombor pendaftaran 2037410, rujukan 20422896 di Great Britain.

Malah sejak 1973, PSSCM turut berusaha mempromosi parang lading di peringkat nasional melalui wacana akademik, penerbitan khas, penganugerahan dan penyerahan senjata parang lading kepada ahli-ahli PSSCM dan pihak muzium untuk dipamerkan kepada umum secara kronologi dan konsisten sejak tahun 1973 hingga kini. PSSCM juga aktif dalam mempromosikan sejarah asal-usul parang lading sebagai warisan dan senjata asli miliknya menerusi penerbitan pelbagai artikel khas dan siaran media [34].

Dari segi kaedah dan permainan buah Seni Silat Cekak Malaysia (SSCM) juga sesuai dengan penggunaan parang lading. Silat Cekak menanti serangan musuh dengan berdiri lurus. 99 peratus mata pelajarannya menanti serangan, hanya 1 peratus menyerang. Parang lading digunakan untuk menangkis dan menghiris anggota musuh ang menyerang tersebut[35]. Kaedah permainan ini diwarisi oleh Laksamana Wan Ismail dan para pendekar Kedah sejak zaman berzaman.

Rujukan Ilmiah

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ "PSSCM optimis, terus perkukuh seni Silat Cekak". Wilayahku. Disember 29, 2020. Dicapai pada 31 Januari 2022.
  2. ^ Janudin, S., (2023). Etimologi Asal-Usul dan Makna Cekak dalam Rumpunan Bahasa dan Persilatan Melayu. Jurnal Dunia Pengurusan 5(3), 1-14.,
  3. ^ PSSCM. (1975). Suara Cekak Bil 1 Ed. 2007 Kuala Lumpur: Penerbit PSSCM
  4. ^ Ab Majid Ismail (2016). Silat Ilmu Gaduh yang Tidak Perlu Bergaduh, dalam prosiding 6th International Conference on Local Knowledge 2016. Local Wisdom: Universal Heritage, Sekretariat Kearifan Tempatan, Universiti Sains Malaysia, 377-385.
  5. ^ Janudin, S., & Yusoff, Z. (2019). Tokoh Pahlawan Kedah; Dato’ Seri Paduka Raja Laksamana Wan Ismail Serta Perkaitannya Dengan Panglima Ismail Dan Panglima Tok Rashid; Panglima Pembawa Silat Cekak Dalam Persejarahan Negeri Kedah Sepanjang 1800–1925. Voice of Academia (VOA), 15(3), 72-95.
  6. ^ Janudin, S., & Yusoff, Z. (2020). Laksamana Wan Ismail bin Wan Muhammad Long: Pahlawan Kedah di Kerian dalam Perang Musuh Bisik 1821-1842. Jurnal Dunia Pengurusan, 2(3), 47-61.
  7. ^ Aziz, M. (2011). Warisan Kesultanan Melayu: Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid dan Ekonomi Kedah.
  8. ^ Janudin, S., & Yusoff, Z. (2021). Hubungan Persekitaran Zaman Pra dan Pasca Kemerdekaan Dengan Perkembangan Silat Melayu: Kajian Terhadap Seni Silat Cekak di Malaysia. Jurnal Dunia Pengurusan, 3(3), 1-14.
  9. ^ Ahmad, H. H. (1978). Seni silat cekak Malaysia.
  10. ^ Janudin, S. (2018). Peranan Seni Silat Cekak Malaysia Dalam Pembangunan Seni Warisan.
  11. ^ https://psscmklputrajaya.blogspot.com/2011/03/silat-cekak-silat-papan-sekepingilham.html
  12. ^ Ismail, A. M. (2002). Penerapan jati diri melalui ilmu bela diri: Pendekatan Seni Silat Cekak Malaysia. Prosiding Persidangan Kebangsaan Ke~ a Sosial, 13-15.
  13. ^ Ismail, A. M., & Ahmad, S. (2011). Terpinggirnya Adab dan Adat dalam Kehidupan Bangsa di Malaysia: Pengalaman Pengamal Budaya Persilatan, Seni Silat Cekak Malaysia. In Prosiding Kongress Antarabangsa Bahasa dan Budaya (pp. 273-293).
  14. ^ PSSCM. (1976). Suara Cekak Bil 2 Ed. 2007 Kuala Lumpur: Penerbit PSSCM.
  15. ^ Janudin, S., & Samah, A. A. (2020). Peranan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Di dalam Pembangunan Komuniti Melayu-Muslim Berteraskan Ilmu Persilatan.
  16. ^ Ishak Itam. (2015). “Tenang Dalam Perjuangan.” Dalam Nota Rancangan Kokurikulum Kebudayaan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Sains Malaysia. Pulau Pinang: Unit Pembangunan dan Penerbitan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Pulau Pinang
  17. ^ https://www.silatcekak.org.my/ym-ustaz-ishak-bin-itam/
  18. ^ https://www.silatcekak.org.my/ym-datuk-haji-maideen-bin-kadir-shah/
  19. ^ Ezani, N. E., Salleh, N., Ezani, N. E., & Salleh, N. (2021). The Ideology of Spiritual Practices in Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM). ESENSIA: Jurnal Ilmu-Ilmu Ushuluddin, 22(1), 77-89
  20. ^ Janudin, S., & Samah, A. A. (2020). Peranan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Di dalam Pembangunan Komuniti Melayu-Muslim Berteraskan Ilmu Persilatan.
  21. ^ Ab Majid, A. H. (Ed.). (2023). Kesejagatan Warisan Silat Melayu: Rungkaian Kearifan. Penerbit USM.
  22. ^ PSSCM. (2023). Laporan Tahunan 2022 Mesyuarat Agung Perwakilan kali ke 51 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia 17 Jun 2023 (Sabtu), 28 Zulkaedah 144H Bangunan Silat Cekak, Sentul dan Hibrid. Penerbit PSSCM
  23. ^ PSSCM. (2025). Laporan Tahunan 2024 Mesyuarat Agung Perwakilan kali ke 53 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia 28 Jun 2025 (Sabtu), 2 Muharram 1446 Kompleks Datuk Haji Maideen Seremban. Penerbit PSSCM
  24. ^ https://www.facebook.com/profile.php?id=61573248131239
  25. ^ https://scholar.google.com/scholar?hl=en&as_sdt=0%2C5&q=silat+cekak+malaysia&oq=
  26. ^ Lah, S. C., & Esa, N. (Eds.). (2015). Ilmu, Tradisi Dan Kelestarian Dalam Kearifan Tempatan (Penerbit USM). Penerbit USM.
  27. ^ Halim, A. H. A., Shafawi, M. H. S., Farook, R., Rejab, M. R. A., Abuzar, S. A., & Salim, M. S. (2023, November). Training Efficiency Application for Buah Pertama Seni Silat Cekak Malaysia Using Motion Capture Approach. In International Conference on Innovation and Technology in Sports (pp. 197-207). Singapore: Springer Nature Singapore.
  28. ^ Zainun, N., & Bidin, M. O. (Eds.). Pelestarian Silat Melayu antara Warisan dengan Amalan (Penerbit USM). Penerbit USM.
  29. ^ Ismail, AM., Moinser, MA., Shamsuddin, HS.(2009). Parang Lading Senjata Asli Melayu: Sejarah, Pemilikan, Teknologi Pembuatan dan Falsafah Persilatannya, 9th ICLK International Conference on Local Knowledge: Imagineering Technology and Heritage.ISBN 978-967-12163-5-4
  30. ^ Janudin,S.(2024). Etimologi Asal Usul Parang Lading: Senjata Asli Melayu Kedah dan Senjata Rasmi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM). Simposium Silat Cekak Silat Akademik (SCSA) Universiti Kebangsaan Malaysia, 4 November 2024.
  31. ^ Majidi, H.M.H.H., (2025) The Parang Lading as a Medium of Visual Cultural Communication: A Semiotic and Iconological Perspective
  32. ^ Majidi, H.M.H.H., (2025)."The Wisdom of the Malay Pandai Besi in crafting Traditional Weapons: A Comparative Study on the Parang Lading". Prosiding Seminar Antarabangsa Kedah: Historiografi Nusantara, Perpustakaan Digital, Alor Setar
  33. ^ PSSCM.(1975). Perlembagaan Silat Cekak Cetakan Pertama, PSSCM
  34. ^ https://www.silatcekak.org.my/senjata-rasmi/
  35. ^ Hamid, R. A. (Ed.). (2015). Kearifan Tempatan: Dari Lisan Ke Aksara Dan Media (Penerbit USM). Penerbit USM