Pertempuran Arongan Ya'akub

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Arongan Ya'akub (Tempat mengharung/menyeberang sungai)
Sebahagian daripada Perang Salib

Runtuhan kubu tentera salib di Arongan Ya'akub.
Tarikh1179
Lokasi
Keputusan Kemenangan Kerajaan Ayyubiyyah
Pihak yang terlibat
Kerajaan Baitulmaqdis Tentera Ayyubiyyah
Komandan dan pemimpin
Baldwin IV dari Baitulmaqdis Saladin
Kekuatan
Sekitar 1500 Tidak diketahui
Kerugian dan korban
800 orang terbunuh,
700 orang ditawan
tidak diketahui

Baitulmaqdis dianggap sebagai salah satu kota paling suci di dunia dari zaman dahulu hingga sekarang. Kerana itu, orang Kristian dan Islam berperang untuk menguasai kota suci tersebut selama beberapa abad. Sekitar tahun 1095, orang-orang Kristian dari Eropah berarak ke Tanah Suci untuk menakluki Baitulmaqdis. Pada tahun 1099, tentera-tentera Salib mencapai matlamat mereka dan merampas Baitulmaqdis daripada orang Islam. Walaupun pergolakan tercetus di kota suci tersebut selepas Perang Salib Pertama, tentera-tentera Salib terus menerus mematahkan serangan dari mana-mana pasukan tentera yang menentang mereka selama beberapa tahun. Salahuddin, salah seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah orang Islam, dapat menawan kembali Baitulmaqdis pada tahun 1187 setelah hampir seabad berada dalam cengkaman pemerintahan orang Kristian. Ramai sarjana percaya bahawa penawanan semula kota suci tersebut oleh orang Islam bermula dengan kemenangan orang Islam terhadap tentera Salib di Arongan Ya'akub di Syria yang berlaku pada tahun 1179 antara sultan orang Islam, Salahuddin dan raja orang Kristian, Baldwin IV. Tapak tersebut juga dikenali dengan nama Latin, Vadum Iacob dan nama Ibrani, Ateret.

Para peserta dalam pertarungan 1179 untuk kuasa dan permulaan mereka[sunting | sunting sumber]

Salahuddin, salah seorang pemerintah Islam yang terkenal adalah sultan Mesir dan pada tahun 1174, sultan Syria setelah beliau mengambilalih Damsyik.[1] Setelah merampas kuasa di Syria, Salahuddin berikrar untuk mengukuhkan pemerintahan Islam di sekeliling Baitulmaqdis. Sudah pasti matlamat terakhir adalah untuk menawan kembali kota suci itu dari tangan tentera Salib, satu langkah nyata yang menamatkan jihad. Bagaimana pun, rancangan sebegitu akan menawan Tanah Suci tanpa pertelagahan ketenteraan besar-besaran. Baldwin IV menaiki takhta Kerajaan Baitulmaqdis pada usia 13 tahun setelah kematian bapanya, Amalric I pada tahun 1174, tahun yang sama Salahuddin berkuasa. Baldwin adalah seorang penganut yang patuh pada ajaran Kristian dan, hasilnya, masalah terbesar bagi Salahuddin. Walaupun Baldwin kaya dan berkuasa, dia diserang penyakit kusta pada usia yang masih muda.

Setelah hampir tiga tahun menduduki takhta di Baitulmaqdis, Baldwin berhadapan dengan cabaran ketenteraan yang pertama. Salahuddin memasuki kerajaan Kristian itu pada sekitar tahun 1177 untuk menjejaki tentera Salib. Walaupun Salahuddin hampir 20 tahun lebih tua dan lebih berpengalaman daripada Baldwin, raja Kristian muda itu tidak mengelabah dalam situasi tertekan. Baldwin dan tentera Salibnya menewaskan tentera Islam dengan muslihat di Mont Gisard pada 25 November 1177.[2] Seorang sarjana Perang Salib menulis mengenai Mont Gisard, “ini merupakan pencapaian yang mengejutkan - satu-satunya kekalahan dalam pertempuran berkhemah yang dialami Salahuddin sebelum kedatangan Richard Berhati Singa dan Perang Salib Ketiga.”[3] Pada penghujung pertempuran, Salahuddin terpaksa berundur ke Mesir setelah nyaris-nyaris kehilangan nyawanya. Walaupun kemenangan itu mengakibatkan kehilangan besar askar-askar Baldwin, imejnya bertambah kukuh di seluruh kerajaan itu. Malahan, sebilangan penganut Kristian di Timur Dekat sampai percaya bahawa “'mukjizat' kemenangannya [di Mont Gisard] muncul sebagai satu petanda mandat Ilahi.”[3]

Arongan Ya'akub dan Kota pertahanan Chastellet[sunting | sunting sumber]

Arongan Ya'akub terletak lebih kurang 100 batu dari utara Baitulmaqdis di tebing Sungai Jordan dan merupakan arung-arungan sungai kunci di atas salah satu jalan utama antara Akka dan Damsyik.[4] Arongan Ya'akub juga merupakan salah satu arung-arungan yang paling selamat di Jordan dan disebabkan lokasi dan kepentingannya, digunakan oleh orang Kristian dari Baitulmaqdis dan orang Islam dari Syria sebagai satu persilangan utama antara dua tamadun itu. Pada kurun ke-12, Baldwin dan Salahuddin terus menerus bertarung untuk menguasai kawasan Arongan Ya'akub. Sebagai langkah berani dan strategik dan sebagai hasil kemenangannya di Mont Gisard, Baldwin memutuskan untuk mara ke Arongan Ya'akub dan membina kubu pertahanan di situ. Raja tersebut dan tentera Salibnya beranggapan bahawa kubu pertahanan sebegitu mampu melindungi Baitulmaqdis daripada serangan dari arah utara dan memberi tekanan pada kubu Salahuddin di Damsyik.

Antara Oktober 1178 dan April 1179, Baldwin memulakan peringkat pertama pembinaan barisan pertahanan barunya itu, sebuah kubu pertahanan yang dipanggil Chastellet di Arongan Ya'akub. Ketika pembinaan masih berjalan, Salahuddin sedar akan halangan yang perlu diatasi beliau di Arongan Ya'akub sekiranya beliau hendak melindungi Syria dan dan menawan kembali Baitulmaqdis. Pada ketika itu, beliau tidak mampu menghalang pembinaan Chastellet secara kekuatan tentera kerana sebahagian besar pasukan tenteranya ditempatkan di utara Syria bagi menumpaskan beberapa pemberontakan dalaman.

Seorang pengarang menulis, “Salahuddin sentiasa bersusah-payah memaparkan dirinya sebagai juara Islam terhadap penceroboh dari Eropah, meski pun pada hakikatnya beliau menghabiskan banyak kariernya dengan terlibat dalam perang dengan orang Islam yang lain.”[5] Akibatnya, Salahuddin beralih pada rasuah dan menawarkan 60,000 dinar pada Baldwin untuk menghentikan pembinaan kubu pertahanan Chastellet di Arongan Ya'akub. Baldwin menolak, namun Salahuddin menawarkan 100,000 dinar .[6] Raja Kristian itu menolak lagi dan meneruskan pembinaan Chastellet. Pada musim panas 1179, tentera Baldwin membina tembok batu dalam saiz yang besar.

“Kota pertahanan itu kini mempunyai tembok kukuh setinggi 10m - yang kemudiannya digambarkan catatan Arab sezaman sebagai 'benteng batu dan besi yang kebal' - sebuah menara tunggal, tetapi ia masih dalam pembinaan.”[7]

Perancangan dan taktik[sunting | sunting sumber]

Setelah Baldwin menolak rasuah-rasuah itu, Salahuddin mengubah tumpuan beliau daripada pemberontakan di utara Syria kepada Arongan Ya'akub dan Istana kota Chastellet. Beliau sedar bahawa sebarang tawaran atau rundingan lanjut hanya akan menjadi sia-sia dan sedar bahawa lebih banyak beliau habiskan, lebih banyak masa Baldwin habiskan untuk menyiapkan pertahanan besarnya itu. Pada 1179, hanya beberapa bulan selepas pembinaan Chastellet bermula, Salahuddin menggerakkan sebuah pasukan tentera Islam mara ke arah tenggara menuju ke Arongan Ya'akub. Perancangannya mudah: kepung istana kota itu dan penghuninya sebelum ketibaan sebarang tentera bantuan dari Baitulmaqdis atau wilayah jirannya. Pada masa yang sama, Baldwin berada di Tiberias, wilayah yang terletak di atas Tasik Galilee, lebih kurang setengah hari perjalanan dari Arongan Ya'akub. Sekiranya projeknya itu diserang, tentera bantuan akan mampu tiba dengan agak pantas. Malahan, pertahanan di Arongan Ya'akub setakat yang disiapkan agak kukuh dan mampu bertahan sehingga bantuan tiba sekiranya ia dikepung. Seperti yang ditegaskan dan disoal seorang penulis tentera salib, “kepungan itu pada hakikatnya adalah satu perlumbaan - mampukah orang Islam memecahkan pertahanan kubu ini sebelum tentera Latin sampai?”[7]

Pertempuran di Arongan Ya'akub dan Kemenangan Salahuddin[sunting | sunting sumber]

Medan pertempuran Arongan Ya'akub (1179) yang dilihat dari pintu masuk utama Chastelle ke timur sepanjang Sungai Jordan
Sudut timur laut Chastellet

Pada 23 Ogos 1179, Salahuddin tiba di Arongan Ya'akub dan mengarahkan tenteranya supaya memanah istana kota itu, lalu memulakan kepungan ke atas istana kota itu. Ketika pemanah-pemanah mengalih perhatian tentera yang berada di dalam kubu pertahanan itu, pelombong-pelombong sedang menggali terowong untuk memecahkan batu-batu dan dinding besi di sudut timur laut Chastellet. Apabila terowong siap digali, tentera Salahuddin meletakkan batang-batang kayu besar di dalam terowong itu lalu dibakar. Proses ini yang dipanggil rabutan adalah kaedah yang membuatkan penyokong-penyokong terowong dibakar lalu memaksa tembok runtuh pada akhirnya kerana beratnya sendiri.[8] Pada mulanya rabutan Salahuddin gagal. Jadi tentera-tenteranya dikerahkan untuk memadamkan api dengan beberapa timba air dan dibayar sekeping duit emas untuk setiap timba.[8] Setelah api berjaya dipadamkan, para pelombong itu diarahkan supaya menghidupkan kembali api. Pada masa yang sama, setelah mengetahui berita serangan itu, Baldwin memanggil tentera bantuan dari Baitulmaqdis. Bagaimana pun, perhubungan antara Baldwin dan Chastellet adalah lembap dan pada kali ini, kepungan itu telah berjalan selama beberapa hari.

Tentera Baldwin di dalam istana kota itu mula memperkuatkan pertahanan di pintu-pintu masuk utama di sekitar istana kota. Tidak lama kemudian, tentera Islam menghidupkan api semula di dalam terowong di bawah istana kota lalu menyebabkan tembok kota runtuh. Akibatnya, cubaan tentera salib untuk mempertahankan istana kota itu lagi menjadi sia-sia dan lebih kurang enam hari setelah kepungan bermula, Salahuddin dan tenteranya memasuki Chastellet. Pada 30 Ogos 1179, tentera Islam menjarah istana kota di Arongan Ya'akub dan membunuh ramai penghuninya. Pada hari yang sama, kurang daripada seminggu selepas tentera bantuan dipanggil, Baldwin dan tentera sokongannya bertolak dari Tiberias, hanya mampu melihat asap menyelubungi ufuk yang betul-betul berada di atas Chastellet. Ternyata mereka sudah terlambat untuk menyelamatkan 700 orang kesatria, arkitek dan pekerja pembinaan yang terbunuh dan 800 orang lagi yang ditawan.[8] Baldwin dan tentera bantuan berpatah balik ke Tiberias manakala Salahuddin mengarahkan saki-baki kubu pertahanan itu dimusnahkan.

Akibat[sunting | sunting sumber]

Walaupun Salahuddin menang di Chastellet, tenteranya menjadi mangsa musuh lain. Sebaik sahaja kepungan berakhir, 700 orang tentera salib yang terbunuh di Arongan Ya'akub dicampakkan ke dalam satu liang. Disebabkan kepanasan bulan Ogos, mayat-mayat di dalam liang itu mula membusuk dan akibatnya wabak menyebabkan kehilangan nyawa beberapa pegawai tentera Salahuddin; lebih kurang 10 orang pegawai tentera terkorban akibat wabak itu.[9] Bagaimana pun, kematian mereka tidak mengurangkan kekuatan ketenteraan Salahuddin. Pada tahun 1180, Salahuddin dan Baldwin menandatangi satu perjanjian.[10] Kemudian, selepas tujuh tahun aman yang terjadi antara orang Islam dan tentera salib, Salahuddin menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan orang Kristian selepas menang dalam Pertempuran Hattin pada tahun 1187.[11] Seperti yang diura-urakan sesetengah sarjana, ekoran kejayaan Salahuddin di Arongan Ya'akub pada tahun 1179, Baitulmaqdis amat terdedah pada penawanan kerana “pintu masuk ke kerajaan itu melalui arukan Jordan betul-betul di selatan Tasik Tiberias...yang telah digunakan Salahuddin pada tahun 1182, 1184 dan 1187 boleh dikatakan tiada pertahanan.”[12] Kejayaan ketenteraan dan politik Salahuddin berkekalan di Timur Dekat selepas menawan Baitulmaqdis hinggalah pertembungan dengan Richard Berhati singa berlaku yang menyebabkan beliau membuat perjanjian damai pada tahun 1192. Beliau meninggal dunia pada tahun berikutnya. Manakala Baldwin ke-4 gagal membuat sebarang serangan balas. Penyakit kusta menyeksa raja yang muda itu dan dia mangkat pada usia 23 tahun pada tahun 1185, dengan gagal menebus kembali kekalahannya dan tentera salib di Arongan Ya'akub.[13]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Antony Bridge. The Crusades. (New York: Franklin Watts, 1982), 186.
  2. ^ Thomas Madden, ed., Crusades: An Illustrated History. (University of Michigan Press, Ann Arbor, 2004), 72.
  3. ^ a b Thomas Asbridge. "The Crusaders’ Lost Fort: Battle at Jacob’s Ford." Available from http://www.bbc.co.uk/history/programmes/timewatch/article_crusader_01.shtml; Internet; (accessed 17 February 2008).
  4. ^ Alan V. Murray, ed., “Jacob’s Ford.” in The Crusades: An Encyclopedia, 2006 ed., 649.
  5. ^ Madden, Crusades, 70.
  6. ^ Asbridge, “The Crusaders.’” Murray, “Jacob’s,” 649
  7. ^ a b Asbridge, “Crusaders.’”
  8. ^ a b c David B. Green. "A Plum Conquest Gone Bad." The Jerusalem Report (1998): 40. [database on-line] Available from LexisNexis(accessed 17 February 2008).
  9. ^ Green, “A Plum.”
  10. ^ Bridge, The Crusades, 189
  11. ^ John L. Esposito, ed., “Saladin.” In The Islamic World: Past and Present. Available from Oxford Islamic Studies Online, http://www.oxfordislamicstudies.com/article/opr/t243/e293?_hi=1&_pos=1 (accessed 17 February 2008).
  12. ^ R.C. Smail, “Crusaders’ Castles of the Twelfth Century,” Cambridge Historical Journal 10, no. 2 (1951): 138.
  13. ^ Bridge, The Crusades, 197.