Pertempuran Legnica

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Pertempuran Liegnitz)
Pertempuran Legnica
Sebahagian daripada serangan Mongol ke atas Poland

Raja Henry II terkorban dalam Pertempuran Legnica. Diambil daripada manuskrip 1451.
Tarikh9 April 1241
Lokasi
Keputusan Kemenangan muktamad Mongol
Pihak yang terlibat
Empayar Mongol Kerajaan Poland
Markgrafschaft Mähren
Kesateria Templar
Komandan dan pemimpin
Baidar
Kadan
Orda Khan
Henryk II Pobożny 
Mieszko II Otyły
Sulisław dari Cracow 
Boleslaus Děpolt 
Unit terlibat
Kavalri kebanyakannya pemanah berkuda Infantri, tentera upahan Poland, Bavaria dan tentera berkuda
Kekuatan
Antara 3,000[1] dan 8,000[2] 2,000-3,000,[3] 3,800–4,300,[4][5] 8,000,[6]
65–88 Kesateria Templar[7]
Kerugian dan korban
Tidak diketahui Hampir seluruh tentera dimusnahkan

Pertempuran Legnica (Poland: bitwa pod Legnicą), juga dikenali sebagai Pertempuran Liegnitz (Jerman: Schlacht von Liegnitz) atau Pertempuran Wahlstatt (Jerman: Schlacht bei Wahlstatt) merupakan pertempuran yang tercetus antara Empayar Mongol dan tentera gabungan Eropah di Legnickie Pole (Wahlstatt) berhampiran kota Legnica yang terletak di Silesia pada 9 April 1241.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Selepas Genghis Khan meninggal dunia pada tahun 1229, anaknya iaitu Ogedei menjadi Khan Agung Mongol. Ogedei merupakan seorang pemerintah yang unggul dengan berjaya memperkenalkan dasar cukai dan membangunkan ibu kota kerajaan Mongol, Karakorum. Beliau turut mengembangkan Hukum Yassa, menubuhkan perkhidmatan pos, memperkenalkan penggunaan mata wang kertas, menjalankan peperiksaan kepada semua orang serta menerapkan kebudayaan ke dalam toleransi beragama. Perubahan besar-besaran ini menyaksikan kehidupan masyarakat Mongol bersifat nomad menuju ke kehidupan birokrasi. Hal ini mewujudkan satu tempoh kemakmuran dan keamanan yang dikenali sebagai Pax Mongolica.

Dalam beberapa dekad berikutnya, kempen penaklukan Mongol bertumpu kepada tiga arah utama iaitu China, Asia Tengah seterusnya ke Iran dan Timur Tengah serta Rusia dan Eropah Timur. Pada tahu 1235, Kurultai memutuskan untuk menghantar satu angkatan besar Mongol bagi menyerang Eropah. 130,000 tentera yang diketuai oleh anak kepada Jochi, Batu Khan menuju ke kawasan tersebut. Pada tahun 1237, suku Volga Bulgaria telah ditewaskan Mongol. Seterusnya, kawasan Crimea serta tanah-tanah milik suku Kipchak, Alan dan suku-suku lain yang mendiami kawasan berhampiran menjadi sasaran Mongol berikutnya pada musim panas tahun yang sama. Akhirnya, seluruh kawasan yang terletak di timur Sungai Don berada di bawah kekuasaan Mongol.

Pada bulan November, Batu Khan telah mengirimkan utusannya ke istana Yuri II, putera Vladimir-Suzdal untuk meminta beliau supaya tunduk kepada kekuasaan Mongol. Namun, ia tidak jelas apakah nasib yang melanda kepada utusan Mongol tersebut. Akan tetapi pada Februari 1238, kota Vladimir yang merupakan ibu kota kerajaan Vladimir-Suzdal telah dibakar oleh Mongol. Antara tahun 1238 dan 1239, banyak kerajaan-kerajaan Rus telah dimusnahkan oleh Mongol sebelum ibu kotanya dibumi hanguskan oleh mereka. Tentera Mongol bergerak dengan begitu pantas dan melancarkan penaklukan sepanjang laluan mereka untuk mematahkan harapan Rus menyatukan kembali kerajaan-kerajaannya. Pertempuran terbuka tercetus antara Mongol dengan Rus berhampiran Sungai Sit yang berakhir dengan kemenangan muktamad Mongol. Sementara itu, kota-kota besar yang hanya berjaya terlepas daripada kemusnahan dahsyat ini ialah Novgorod dan Pskov kerana mereka setuju untuk berada di bawah naungan Mongol.

Pada hujung tahun 1239, tentera Mongol kembali menuju ke seberang Sungai Don. Batu telah mengirimkan beberapa pasukannya ke selatan untuk menjalankan kempen penaklukan Caucasus sementara tentera yang dipimpin oleh Mongke dipanggil pulang ke Mongolia. Maka, Mongol menghabiskan musim bunga pada tahun 1240 dengan merekrut suku-suku tempatan untuk menyertai gerombolan mereka. Pada musim panas tahun yang sama, Mongol kembali merencanakan serangannya. Kota kerajaan Rus terbesar dan termakmur pada masa itu, Kiev telah dikepung pada bulan September. Utusan Mongol yang dikirim ke kota itu telah dibunuh. Kiev akhirnya jatuh ke tangan Mongol setelah pengepungan berlangsung selama tiga bulan. 50,000 penghuni kota tersebut telah dibunuh beramai-ramai. Kerajaan-kerajaan Rus kini menjadi milik Golden Horde. Tentera Mongol seterusnya beralih kepada Eropah Tengah.

Pedagang Venice membawakan kerjasama mereka dengan Subutai. Mereka telah menyediakan maklumat berharga tentang kerajaan yang bakal dihadapi oleh Mongol. Perkara ini membolehkan Subutai untuk melancarkan operasi penghancuran terhadap keseluruhan Eropah. Pada Disember 1240, tentera Mongol telah bersedia untuk menyambar Poland dan Hungary. Dua utusan telah dihantar masing-masing kepada Duke Poland, Henry II dan Raja Hungary, Béla IV namun kedua-dua utusan tersebut telah dibunuh.

Tentera Mongol menyerang Eropah Tengah melalui tiga pembahagian pasukan. Pasukan pertama ditugaskan untuk menceroboh Poland yang diterajui oleh Baidar, Kadan dan Orda Khan bersama dengan dua unit Tumen. Pasukan kedua merupakan pasukan yang utama dipimpin oleh Subutai dan Batu Khan bersama dengan tiga hingga empat tumen. Pasukan ini meredah Pergunungan Carpathia melalui Genting Verecke. Pasukan ketiga pula meneruskan kemaraan dengan mengikut laluan Sungai Danube.

Pada akhir tahun 1240, pasukan Mongol pertama mara ke dalam wilayah Poland dengan kelajuan luar biasa iaitu 50 batu/hari. Kota Lublin dan Sandomierz telah dimusnahkan oleh Mongol pada Februari 1241. Kemudian, tentera Mongol berpecah kepada dua pasukan lagi. Pasukan pertama dipimpin oleh Orda mara menuju ke bahagian tengah Poland manakala satu pasukan lagi dipimpin oleh Baidar dan Kadan menuju ke selatan sebelum mereka berjaya mengalahkan tentera Poland dalam Pertempuran Tursko pada lewat Februari 1241. Ibu kota kerajaan Poland iaitu Cracow telah dijarah, dirompak dan dibakar oleh tentera Mongol. Kemudian, tentera Mongol beralih ke kota terpenting di Silesia, Wrocław yang telah dibiarkan tanpa kawalan pertahanan oleh bangsawan Poland. Hal ini demikian kerana bangsawan Poland berharap dapat mengumpulkan lebih ramai tentera walaupun memakan masa yang agak sedikit panjang. Semasa tentera Mongol mengepung kota itu, Baidar dan Kadan mendapat berita bahawa sebuah rombongan tentera yang besar menuju ke arah mereka. Perkara ini membuatkan tentera Mongol berundur dari pengepungan kota Wrocław sebelum mereka bertembung dengan tentera Poland. Namun, tentera Mongol masih sempat untuk menyatukan angkatannya dengan tentera Bohemia yang berada dalam skala yang besar.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua pihak iaitu Mongol dan Poland bertembung di sebuah dataran lapang yang dikenali sebagai Legnica. Tentera Poland diketuai oleh Henry II memiliki kekuatan seramai 7,000 hingga 8,000 tentera yang kebanyakannya berasal dari Poland bersama dengan kontinjen dari Moravia, Bavaria dan Kesatria Templar. Sementara itu, jumlah tentera Mongol di bawah pimpinan Baidar ialah sedikit lebih kecil iaitu sekitar 6,000 perajurit. Tentera Poland terdiri daripada kavalri berat, infantri dan petani manakala tentera Mongol pula terdiri daripada pemanah berkuda serta kavalri berat bersenjatakan tombak. Medan pertempuran ini ialah tanah yang lapang dikelilingi oleh sungai-sungai kecil.

Pertempuran Legnica berdasarkan Legend of Saint Hedwig. Raja Henry sedang bertempur dengan tentera Tatar (Mongol) di medan pertempuran Wahlstatt.

Bahagian tengah tentera Kristian terdiri daripada tiga barisan kavalr. Infantri pula diletakkan di bahagian sayap manakala terdapat tentera kecil yang mengiringi Henry II di bahagian belakang. Di pihak tentera Mongol pula, Baidar telah membahagikan pasukannya kepada empat bahagian. Setiap bahagian tersebut mempunyai pemanah berkuda yang bergabung dengan kavalri berat.

Barisan hadapan tentera Poland iaitu kavalri telah memulakan serangan awal ke atas barisan hadapan Mongol. Namun, tentera Mongol berjaya menangkis serangan awal tersebut sehingga memaksa Henry II mengirimkan semua tentera berkudanya mara ke medan pertempuran. Tekanan yang hebat dikenakan ke atas tentera Mongol ini membuatkan tentera Mongol bertindak untuk berundur. Tentera berkuda Poland terus memburu dan menyerang Mongol sehingga mereka terpisah jauh daripada barisan infantri yang lain. Isyarat segera diberikan oleh panglima Mongol untuk membakar tanaman-tanaman yang tumbuh di padang tersebut lalu menghasilkan asap yang tebal sehingga menyukarkan pandangan untuk dilihat dari kem tentera Kristian. Perkara ini bermakna tentera Kristian tidak dapat mengetahui situasi sebenar medan pertempuran ini dengan jelas kerana pemandangan mereka terbatas dan dihalang oleh asap tebal tersebut. Pada saat tersebut, tentera Mongol mula melancarkan serangan tembakan anak panah ke atas tentera berkuda Poland yang sedang bertempur di tengah-tengah medan pertempuran. Tentera berkuda Poland dilamun kebingungan sambil menjadi tidak tentu arah akibat penghasilan asap tebal yang dilakukan oleh Mongol. Akhirnya, barisan tentera berkuda Poland tersebut dimusnahkan oleh Mongol.

Buat masa ini, baki tentera Poland yang tinggal hanyalah golongan petani yang tidak bersenjata di bahagian sayap. Oleh kerana tiada halangan, tentera Mongol tidak mempunyai masalah untuk menghancurkan pasukan sayap musuhnya. Henry II cuba meninggalkan medan pertempuran namun beliau telah dikejar oleh pasukan berkuda Mongol yang pantas. Beliau akhirnya telah ditangkap dan dipancung. Kepalanya yang putus kemudiannya telah dicacak dengan tombak oleh Mongol di depan gerbang kota Legnica untuk menakutkan penduduk kota.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Gambaran Pertempuran Legnica hasil kerja Matthäus Merian pada tahun 1630.

Tentera Mongol telah melancarkan serangan ke atas Hungary yang dipimpin oleh Batu Khan dan Subutai. Tentera Hungary telah dimusnahkan oleh Mongol dalam Pertempuran Mohi. Dalam jangka masa selama dua hari, kerajaan yang terkuat di Eropah Tengah telah ditundukkan oleh Mongol. Dilaporkan bahawa kerajaan Hungary telah kehilangan populasinya seramai kira-kira 500,000 orang.

Bulgaria dan Serbia seterusnya telah diceroboh oleh tentera Mongol. Tanah-tanah mereka telah dijarah dan Bulgaria dipaksa untuk menjadi negeri naungan kepada kerajaan Mongol buat selama beberapa dekad. Melihat keadaan menjadi bertambah buruk, Paus telah melaungkan seruan Perang Salib anti-Mongol. Sementara itu, Empayar Suci Rom mula mengerahkan tenteranya dan membina pertahanan untuk menghadapi ancaman Mongol.

Mongol merancang untuk meluaskan penerokaan mereka hingga ke Laut Atlantik memandangkan tidak ada kerajaan yang cukup ampuh untuk menandingi kekuatan mereka. Walau bagaimanapun, Khan Agung Mongol iaitu Ogedei telah meninggal dunia pada Disember 1241. Batu bersama dengan sebahagian besar pasukannya harus pulang ke Mongolia untuk terlibat dalam pemilihan pemimpin kerajaan Mongol yang baru. Eropah terselamat daripada ancaman ini.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ John France. "Journal of Medieval Military History, Volume 8". Page 115. Article: "Numbers in Mongol Warfare", by Carl Sverdrup. Published 18 Nov 2010. ISBN 9781843835967
  2. ^ Tartar Relation, Giovanni da Pian del Carpine, ~1248. Page 80.
  3. ^ John France. "Journal of Medieval Military History, Volume 8". Page 115. Article: "Numbers in Mongol Warfare", by Carl Sverdrup. Published 18 Nov 2010. ISBN 9781843835967
  4. ^ Jerzy Maroń. Koczownicy i rycerze. Najazd Mongołów na Polskę w 1241 roku na tle sztuki wojennej Europy XII i XIII wieku. Oficyna Wydawnicza Arboretum. Wrocław. 2001. ISBN 978-83-932793-2-6
  5. ^ Maroń's total includes 250 knights from Silesia, 36 Templar knights, 10 knights from Lesser and Greater Poland, 10 'guest' knights, and a handful heavy cavalry mercenaries
  6. ^ Wacław Korta. Najazd Mongołów na Polskę i jego legnicki epilog. Śląski Instytut Naukowy. Katowice. 1983. ISBN 83-00-00646-X
  7. ^ name="Burzyński, p. 24"

Pautan luar[sunting | sunting sumber]