Pertempuran Marj Dabiq

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Pertempuran Marj Dabiq
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah–Mamluk (1516–17)
مرج دابق محاربه سى (عثمانلى).jpg
Serangan kavalri Uthmaniyyah
Tarikh 24 Ogos 1516[1]
Lokasi Dabiq, berhampiran Aleppo, Kesultanan Mamluk (Syria moden)
Hasil
Pihak yang terlibat
Fictitious Ottoman flag 1.svg Empayar Uthmaniyyah Mameluke Flag.svg Kesultanan Mamluk
Komandan
Fictitious Ottoman flag 1.svg Selim I Mameluke Flag.svg Al-Ashraf Qansuh al-Ghawri 
Kekuatan
60,000 20,000
  • 5,000 Mamluk
    • 944 diraja Mamluk
Korban
Tidak diketahui Tidak diketahui

Pertempuran Marj Dābiq (Bahasa Arab: مرج دابق‎, bermaksud "padang rumput Dābiq"; Bahasa Turki: Mercidabık Muharebesi) merupakan pertempuran yang tercetus di Timur Tengah pada 24 Ogos 1516 berhampiran Dabiq yang terletak kira-kira 44 km dari Aleppo (Syria moden). Pertempuran ini sebahagian daripada peperangan antara Empayar Uthmaniyyah dan Kesultanan Mamluk yang berakhir dengan kejayaan Uthmaniyyah dan penaklukan ke atas Timur Tengah oleh Uthmaniyyah sekali gus membawa kepada keruntuhan Kesultanan Mamluk. Kejayaan ini juga membolehkan Sultan Selim berkuasa ke atas keseluruhan kawasan Syam dan ia merintis kepada penaklukan Mesir.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Gambaran kavalri Mamluk.

Empayar Uthmaniyyah dan Kesultanan Mamluk mengambil dasar berkecuali pada abad ke-14 dan ke-15. Kedua-dua kerajaan ini hanya bertempur dalam konflik di sempadan antara tahun 1485 dan 1491. Perang yang singkat ini berakhir dengan jalan buntu dan kedua-dua pihak ini telah menandatangani perjanjian damai. Namun, keamanan ini tidak bertahan lama kerana kebangkitan Safawiyyah dan agama Syiah telah mengubah keseimbangan kuasa di rantau ini. Mamluk berharap kerajaan Safawiyyah dan Uthmaniyyah berperang sesama mereka. Semasa Shah Ismail I mengirim utusan ke negara-negara Eropah untuk memohon penubuhan pakatan anti-Uthmaniyyah pada tahun 1500-an, Mamluk hanya membiarkan usaha itu berjaya. Pihak Uthmaniyyah tahu akan hal ini dan bertindak menekan Mamluk supaya tidak membenarkan utusan tersebut dapat pulang kepada Shah Ismail. Setelah Safawiyyah tewas secara muktamad kepada Uthmaniyyah dalam Pertempuran Chaldiran pada tahun 1514, maka jelaslah kepada Sultan Al-Ghawri bahawa beliau merupakan sasaran Uthmaniyyah yang seterusnya. Kemudian, beliau telah menerima tawaran daripada Shah Ismail untuk menjadi satu sekutu pada tahun 1516. Sultan Al-Ghawri berarak ke Syam dan meninggalkan wazirnya, Tuman Bay di Kaherah. Lalu, tercetuslah Perang Uthmaniyyah-Mamluk.

Malangnya bagi Sultan Mamluk kerana kerajaan Uthmaniyyah sedang berdamai dengan kerajaan-kerajaan Eropah di samping Shah Ismail tidak memiliki kekuatan tentera yang ampuh untuk mengancam Uthmaniyyah. Jadi, Sultan Selim telah mengumpulkan seluruh pasukannya untuk menentang Safawiyyah dan Mamluk. Pada bulan April, Uthmaniyyah menghantar wazirnya, Sinan Pasha bersama dengan pasukan hadapan untuk menguasai jalan penting yang melewati Pergunungan Taurus. Namun, pasukan kavalri berat Sultan Al-Ghawri lebih pantas dan mengambil alih jalan lintasan tersebut. Sinan Pasha terpaksa menunggu Sultan Selim yang tiba di kota Konya pada bulan Julai. Sultan Uthmaniyyah tersebut memutuskan beliau tidak ingin bertempur dalam laluan atau jalan yang sempit. Pada titik ini, sumber Uthmaniyyah berbeza dengan sumber-sumber Arab dan Parsi yang mendakwa bahawa Shah Ismail telah berjaya menghantar pasukannya untuk membantu Mamluk tetapi pasukan ini telah ditewaskan oleh Uthmaniyyah di timur Anatolia. Seterusnya, Sultan Selim melewati Pergunungan Taurus dan bergerak ke kota Malatya. Pada masa yang sama, al-Ghawri bertindak untuk berundur dari kedudukannya ke Aleppo. Selim bersama pasukannya kini berarak ke selatan. Walaupun Mamluk cuba menawarkan rundingan damai, pihak Uthmaniyyah mengabaikannya bahkan membunuh utusan Mamluk seperti yang dilaporkan oleh sumber Arab.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua pihak bertemu di tempat yang dipanggil Marj Dabiq pada 24 Ogos. Mamluk memiliki kekuatan tentera dari 20,000 hingga 50,000 tentera manakala Selim mempunyai bilangan tenteranya antara 30,000 hingga 60,000. Mamluk mempunyai bilangan senjata serbuk letupan yang terhad dan tidak mempunyai artileri tetapi mereka memiliki kavalri berat yang ramai dan tidak pernah tertewas di medan terbuka.

Sultan Mamluk telah meletakkan kavalrinya dalam susunan bulan sabit terbalik manakala infantrinya pula diletakkan di barisan kedua. Beliau berada di tengah diikuti oleh gabenor Damsyik di sebelah kanan dan gabenor Aleppo di sebelah kiri. Sementara itu, tentera Uthmaniyyah telah meletakkan tentera berkuda mereka di barisan tepi. Seterusnya di barisan kedua pula, terdapat meriam ringan di sebelah kiri diikuti sultan bersama pengawalnya di tengah manakala janissari yang bersenjatakan serbuk letupan di sebelah kiri. Meriam Uthmaniyyah diletakkan di dalam gerabak yang telah disusun di barisan belakang.

Tentera Mamluk berada dalam formasi mudah alih dan formasi tersebut telah digunakan semasa awal pertempuran. Mamluk memulakan serangan awal dalam bentuk bulan sabit dan menggerakkan pasukan sayap kirinya maju ke medan pertempuran. Serangan ini berhasil kerana pasukan sayap kanan Uthmaniyyah dipaksa untuk berundur ekoran serangan hebat oleh kavalri Mamluk. Sementara itu, pasukan sayap kiri Uthmaniyyah juga menghadapi situasi yang sama dan turut terpaksa berundur setelah menerima tamparan sengit oleh pasukan tengah dan pasukan sayap kanan Mamluk. Pasukan sayap kiri Mamluk terus melancarkan asakan tetapi sambutan hentaman meriam ringan Uthmaniyyah telah memaksa mereka mengundurkan tenteranya. Mamluk merapatkan barisannya dan mengasak tentera pusat Uthmaniyyah. Sultan Selim seterusnya mengarahkan tenteranya itu berundur ke belakang di sebalik gerabak-gerabak. Meriam berat Uthmaniyyah kemudian melepaskan tembakan ke atas musuh dan membuatkan tentera Mamluk terkejut sebelum berundur. Pada masa yang sama, pasukan sayap kanan Mamluk telah berjaya memaksa pasukan kavalri Uthmaniyyah berundur tetapi mereka disambut oleh tembakan dari tentera elit janissari.

Al-Ghawri memerintahkan pasukan sayap kirinya berundur sebelum melancarkan serangan ke atas Uthmaniyyah dari arah tepi dan belakang tetapi perintah ini diabaikan. Sumber-sumber tidak begitu jelas tetapi kelihatan gabenor Aleppo telah mengkhianati sultan atau beliau merasakan pasukannya akan dikalahkan. Gabenor Aleppo itu meninggalkan medan pertempuran bersama dengan infantrinya. Kekacauan yang berlaku dalam pasukan Mamluk telah diambil kesempatan oleh Uthmaniyyah. Akhirnya, kebanyakan dari mereka telah dikepung dan terkorban termasuklah Sultan al-Ghawri.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Jumlah angka korban tidak jelas namun korban nyawa di pihak Uthmaniyyah setidaknya seramai 10,000 manakala pasukan kavalri elit Mamluk hancur. Sultan Selim berjaya menakluk Syam dengan mudah kerana banyak garison Mamluk telah ditewaskan di Marj Dabiq.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Muir, William (1896). The Mameluke; Or, Slave Dynasty of Egypt, 1260–1517, A. D. Smith, Elder. Rencana ini mengandungi teks dari sumber ini yang berada dalam domain awam.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Hawting, G.R. (2005) Muslims, Mongols and Crusaders. Routledge. ISBN 0-415-45096-9
  • Petry, Carl F. (2008) The Cambridge History of Egypt: Islamic Egypt, 640-1516 (Volume I). Cambridge University Press. ISBN 0-521-47137-0
  • Waterson, James (2007) The Knights of Islam: The Wars of the Mamluks. Greenhill Books, London. ISBN 978-1-85367-734-2