Pertempuran Otlukbeli

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Otlukbeli

Lukisan yang menggambarkan Pertempuran Otlukbeli di Musée Jacquemart-André (1616)
Tarikh11 Ogos 1473
Lokasi
Keputusan Kemenangan muktamad Uthmaniyyah[1]
Pihak yang terlibat
Empayar Uthmaniyah Empayar Uthmaniyyah Aq Qoyunlu
Komandan dan pemimpin
Mehmet II
Mustafa
Bayezid II[2]
Davud Pasha[3]
Uzun Hasan
Ughurlu Muhammad
Zayn-al-Abidin bin Ahmed
Kekuatan
70,000 - 100,000[4] 80,000 - 110,000[4]
Kerugian dan korban
1,000[5] 20,000 - 34,000[5]

Pertempuran Otlukbeli atau Pertempuran Otluk Beli merupakan konflik yang terjadi antara Ak Koyunlu dan Empayar Uthmaniyyah pada 11 Ogos 1473.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Situasi di Anatolia mula semakin meruap. Empayar Uthmaniyyah telah menguasai sebahagian besar kawasan Anatolia hasil penyatuan negeri-negeri lindungan Turkik. Namun, dinasti Turkik yang lain dikenali sebagai Aq Qoyunlu telah mengukuhkan kedudukannya di timur kerajaan Uthmaniyah dan kewujudan mereka telah mencetuskan pemberontakan di dalam beylik Turkik. Sultan Aq Qoyunlu iaitu Uzun Hasan sangat bercita-cita dan beliau telah berkahwin dengan anak perempuan Maharaja Empayar Trebizond untuk membentuk satu sekutu. Beliau gagal untuk membantu Trebizond pada tahun 1461 disebabkan oleh konfliknya menentang Empayar Timuriyyah. Kejatuhan Empayar Timuriyyah merupakan salah satu alasan yang menyemarakkan kebencian Uzun Hasan terhadap Sultan Muhammad al-Fatih.

Uzun Hasan memerlukan pelabuhan bagi membolehkannya untuk mengakses perdagangan dengan Eropah. Oleh itu, sasarannya ialah bertumpu kepada wilayah Beylik Karaman. Pada lewat 1460-an, Sultan Muhammad al-Fatih dan Uzun Hasan masing-masing bersaing untuk menempatkan calon mereka bagi merebut takhta beylik. Pada tahun 1471, Sultan Muhammad al-Fatih telah menghantar pasukannya untuk mengambil alih beylik. Uzun Hasan seterusnya bertindak mengadakan pakatan dengan Venezia. Republik yang berpusat di Itali itu berjanji untuk memberikan sokongan dan mengirim senjata serbuk letupan kepada Uzun Hasan bagi memerangi Uthmaniyah.

Pada tahun 1471, Tentera Laut Venezia menyerang İzmir manakala 20,000 tentera Aq Qoyunlu menyerang dan menceroboh wilayah Karaman. Ketua Ay Qoyunlu menghantar kiriman ke istana Uthmaniyah untuk menuntut tanah Karaman dan Trebizon tetapi tuntutan tersebut telah ditolak oleh Uthmaniyah. Sementara itu, senjata serbuk letupan dari Venezia tidak dapat diangkut kepada tentera Uzun Hasan setelah mereka telah ditawan oleh Tentera Laut Uthmaniyyah.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Pertempuran ini dianggap sengit dan penting. Kedua-dua belah pihak memiliki kekuatan antara 100,000 hingga 150,000 tentera tetapi Uthmaniyyah memiliki sedikit kelebihan kerena mereka lengkap dengan senjata dan artileri. Di samping itu, tentera Ak Qoyunlu pula terdiri daripada tentera Turk tradisional yang tidak jauh beza dengan tentera Seljuk yang pernah bertapak di kawasan Anatolia pada empat kurun lampau.

Barisan hadapan tentera Sultan Muhammad al-Fatih yang mempunyai kekuatan seramai 20,000 orang akhirnya bertembung dengan tentera Ak Qoyunlu pada 1 Ogos 1473. Kedua-dua pihak ini dipisahkan oleh Sungai Euphrates. Uzun Hasan bersama tenteranya telah menyeberangi sungai sebelum melancarkan serangan ke arah musuh. Setelah pertempuran awal, tentera Ak Qoyunlu berundur sambil dikejar oleh kavalri Uthmaniyah melalui jambatan sungai. Sejurus selepas kavalri Uthmaniyah menyeberangi sungai, sekumpulan kecil unit tentera Ak Qoyunlu memusnahkan jambatan sebelum mereka menyerang kavalri musuh dari arah belakang. Pada masa yang sama, saki baki pasukan Uzun Hasan beralih dan melancarkan serangan serentak. Kavalri Uthmaniyah kemudiannya diserbu dan sebanyak 5,000 nyawa terkorban. Uzun Hasan cuba mengejar saki baki tentera hadapan Uthmaniyah yang lain tetapi gagal.

Sepuluh hari kemudian, Sultan Muhammad al-Fatih bersama saki baki tenteranya tiba di sebuah tempat yang dikenali sebagai Otlukbeli. Kedua-dua belah pihak kini memiliki kekuatan tentera sebanyak 100,000 tentera dan masing-masing sedia untuk bertempur. Kavalri Uthmaniyah menjadi pasukan sayap manakala tentera elit janissari membarisi pasukan tengah manakala tentera Ak Qoyunlu kebanyakannya terdiri daripada kavalri ringan. Tentera Ak Qoyunlu dipecahkan kepada empat pasukan dominan dan satu pasukan kecil. Pasukan kecil ini diarahkan untuk ke arah barat bagi menghalang kemungkinan pengunduran tentera Uthmaniyah.

Pertempuran bermula oleh pasukan sayap kanan Uthmaniyah yang melancarkan serangan. Tentera Uzun Hasan berjaya bertahan dari serangan awal manakala pasukan sayap kanannya diarahkan untuk melancarkan serangan ke atas pasukan sayap kiri Uthmaniyah. Pertempuran berlangsung dengan seimbang sehinggalah Sultan Ak Qoyunlu mengirimkan pasukan simpanannya untuk menyerang pasukan sayap kiri Uthmaniyah. Tentera sipahi Uthmaniyah seolah-olah kelemasan kerana dihimpit asakan hebat oleh tentera musuh. Namun, Sultan Muhammad al-Fatih menghulurkan bantuan ketenteraan kepada pasukannya dengan mengirimkan sebahagian tentera janissari dari pasukan tengah Uthmaniyah.

Uzun Hasan mengambil peluang di kala beliau merasakan pasukan tengah Uthmaniyah kini menjadi lemah dengan menghantarkan seluruh pasukannya ke medan pertempuran. Namun, kavalri Uzun Hasan dimusnahkan oleh serangan senapang dan artileri Uthmaniyah yang melepaskan tembakan ke arah musuh. Sesetengah pihak berpendapat Uzun Hasan berundur dalam keadaan panik. Pendapat lain pula mendakwa kuda tunggangannya terbunuh dan panji yang dibawanya telah tumbang yang mencetuskan keadaan huru-hara. Selepas pasukan tengah Ak Qoyunlu telah ditewaskan, pasukan tengah Uthmaniyah menuju ke pasukan sayap mereka yang sedang bergelut bertahan daripada asakan musuh.

Tentera Uthmaniyah akhirnya meraih kemenangan muktamad dan menanggung sedikit kerugian manakala pasukan musuh pula telah kehilangan kira-kira 25,000 nyawa. Kemenangan Uthmaniyah di Otlukbeli telah memastikan kawasan Anatolia diperintah oleh Uthmaniyah. Bahkan, tiada kuasa dari timur yang mengganggu gugat kedudukan mereka selama empat dekad berikutnya.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Somel, Selçuk Akşin, Historical dictionary of the Ottoman Empire, (Scarecrow Press Inc., 2003), xc.
  2. ^ Babinger, Franz (1992). Mehmed the Conqueror and His Time. Princeton University Press. m/s. 315. ISBN 978-0-691-01078-6. Dicapai pada 10 April 2011.
  3. ^ Har-El, Shai (1995). Struggle for domination in the Middle East: the Ottoman-Mamluk War, 1485-91. BRILL. m/s. 149. ISBN 978-90-04-10180-7. Dicapai pada 6 October 2010.
  4. ^ a b Diyanet İslam Ansiklopedisi, Otlukbeli Maddesi,Erhan Afyoncu c.34, s.5
  5. ^ a b Franz Babinger, Fatih Sultan Mehmet ve Zamanı, çev. Dost Körpe, Oğlak Yayınları, İstanbul 2003