Pertempuran Otranto

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Pertempuran Otranto
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah di Eropah
dan Perang Uthmaniyyah–Hungary
Otranto castello.jpg
Kubu Otranto
Tarikh 28 Julai 1480 – September 1481
Lokasi Otranto, Kerajaan Naples
Hasil Tentera Uthmaniyyah merebut kota tersebut sebelum ditawan semula oleh tentera Kristian
Pihak yang terlibat
Fictitious Ottoman flag 4.svg Empayar Uthmaniyyah

Negeri-negeri Paus Negeri-negeri Paus

Komandan
Gedik Ahmed Pasha
Kekuatan
  • 18,000 infantri
  • 700 kavalri
  • 128 kapal
  • Tidak diketahui
  • Hungary: 2,100 kavalri berat Hungary[1]
Korban
Tentera garison menyerah kalah Tidak diketahui
Kecederaan awam:
  • 12,000
  • kira-kira 1,600 orang Hungary (kebanyakannya hamba)

Pertempuran Otranto berlaku pada tahun 1480 dan 1481 di kota Itali, Otranto yang terletak di Apulia, selatan Itali. Tentera Uthmaniyyah melancarkan serangan dan mengepung kota Otranto. Menurut laporan tempatan, lebih daripada 800 orang penduduk kota telah dipancung setelah pengepungan Uthmaniyyah berhasil. Martir Otranto masih lagi disambut di Itali. Setahun kemudian, garison Uthmaniyyah terpaksa menyerah kalah berikutan pengepungan kota yang dijalankan oleh tentera Kristian termasuklah campur tangan Paus yang dipimpin oleh Paolo Fregoso.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Dengan kematian Skanderbeg, Venezia telah mengambi alih sebahagian besar kawasan perairan Balkan. Perkara ini merupakan rentetan daripada peristiwa Perang Uthmaniyyah-Venezia yang berlarutan dari tahun 1463 hingga 1479. Kesannya, Venezia menanggung kerugian yang tinggi dan dipaksa untuk memeterai Perjanjian Constantinople. Sultan Muhammad al-Fatih berjaya menguasai kawasan Euboea, Lemnos dan sebahagian besar Albania. Konflik Uthmaniyyah dengan putera Moldavia, Stefan III telah mereda. Jadi, Uthmaniyyah mula menumpukan sasarannya ke arah Kerajaan Hungary yang pada masa itu diperintah oleh Matthias I. Hungary boleh dikatakan sebagai salah satu kerajaan terkuat di Eropah sambil memiliki legenda Tentera Hitam yang mempertahankan kerajaan tersebut. Beberapa siri penyerbuan ke atas Transylvania dan Wallachia oleh Uthmaniyyah telah dijalankan pada masa itu. Akhirnya, Matthias telah mengurniakan voivode Transylvania kepada Stefan V Báthory. Stefan memiliki jumlah tentera yang cukup menyamai tentera Uthmaniyyah dalam Pertempuran Breadfield pada 13 Oktober 1479.

Oleh kerana Uthmaniyyah sering menggunakan sempadan negeri lindungannya untuk melancarkan serangan-serangan kecil, serangan ke atas Hungary telah ditunda berikutan kekalahan Uthmaniyyah dalam Pertempuran Breadfield. Sultan Muhammad al-Fatih telah menetapkan untuk mengukuhkan kedudukannya di Mediterranean dan merancang untuk menakluk Itali. Menurut beberapa sumber, kota Rom merupakan sasaran Sultan Muhammad al-Fatih setelah beliau berjaya menguasai kota Constantinople. Perpecahan yang berlaku di Itali dan tanah Albania yang baru diperoleh Uthmaniyyah dapat dijadikan sebagai batu loncatan mereka. Perjanjian damai dengan Venezia turut membantu Uthmaniyyah kerana Tentera Laut Uthmaniyyah tidak perlu bertempur dengan Tentera Laut Venezia yang menggerunkan lagi.

Pada Mei 1480, Uthmaniyyah telah melancarkan serangan ke Rhodes tetapi Knights Hospitaller berjaya menangkis serangan Uthmaniyyah walaupun jumlah tentera Uthmaniyyah jauh lebih ramai.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Pada masa yang sama, serangan Uthmaniyyah ke atas Itali bermula pada Julai 1480. 20,000 tentera Uthmaniyyah di bawah pimpinan Gedik Ahmed Pasha berlepas menuju ke Kerajaan Naples sebelum mendarat berhampiran Otranto. Tentera garison pada awalnya menjangkakan ia hanyalah satu serbuan kecil. Kelihatan ramai tentera Uthmaniyyah telah mendarat di kawasan pesisir pantai, tentera pertahanan kota kemudiannya diasak dan dipaksa untuk berundur ke dalam kota Otranto. Komander Uthmaniyyah telah mengirim seorang ke dalam kota untuk menyerah kalah dan memeluk agama Islam. Penduduk kota dan tentera pertahanan yang memiliki kekuatan seramai 2,000 orang telah menolak permintaan tersebut dan mereka telah menghantar utusan untuk meminta bantuan.

Sementara itu, meriam Uthmaniyyah telah mendarat dari kapal. Pada 29 Julai, tentera Uthmaniyyah telah mengepung kota Otranto dan meriam-meriam telah digunakan melepaskan tembakan mengebom tembok dan kubu pertahanan kota. Oleh kerana tentera garison yang begitu kecil untuk mempertahankan kubu pertahanan yang luas, mereka telah berundur ke benteng yang lebih kecil di dalam kota. Tentera Uthmaniyyah dengan pantasnya mengambil alih dan membakar kota tersebut. Meriam Uthmaniyyah seterusnya dibawa untuk mengebom benteng yang terdapat di dalam kota. Pengepungan berlangsung selama 15 hari. Pada 11 Ogos, artileri Uthmaniyyah berjaya meruntuhkan benteng kota dari arah timur laut sekali gus memberikan laluan kepada tentera Uthmaniyyah untuk memasuki kota melalui benteng yang telah runtuh.

Kira-kira 10,000 orang telah dibunuh beramai-ramai dan ribuan telah dijadikan sebagai hamba. Menurut sumber-sumber, 800 orang telah dibiarkan hidup dan Uthmaniyyah cuba memaksa mereka untuk memeluk agama Islam tetapi telah ditolak. Mereka kemudiannya telah dipancung. 800 orang tersebut telah menjadi martir dan kematian mereka telah dijadikan sebagai panji perpaduan tentera-tentera Kristian.

Penawanan semula[sunting | sunting sumber]

Tentera Uthmaniyyah kemudian menyerang kota Lecce, Taranto, Brindisi dan Vieste. Kebanyakan tentera Uthmaniyyah telah pulang ke Albania dan mereka telah meninggalkan seramai 1,500 tentera sebagai garison di Otranto. Kerajaan Naples, Sicily dan Hungary telah bertindak mengepung kota Otranto pada Mei 1481. Apabila Sultan Muhammad al-Fatih meninggal dunia pada 3 Mei 1481, tiada bantuan telah disalurkan kepada garison Uthmaniyyah yang bertahan daripada dikepung tentera Kristian. Pada bulan Ogos, kota tersebut akhirnya jatuh semula ke tangan tentera Kristian.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Csaba Csorba; János Estók; Konrád Salamon (1999). Magyarország Képes Története. Budapest, Hungary: Magyar Könyvklub. m/s. 62. ISBN 963-548-961-7.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]