Pertempuran Yaunis Khan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Yaunis Khan
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah–Mamluk (1516–17)
Tarikh28 Oktober 1516
Lokasi
Keputusan Kemenangan Uthmaniyyah[1]
Pihak yang terlibat
Empayar Uthmaniyyah Kesultanan Mamluk
Komandan dan pemimpin
Hadım Sinan Pasha Janbirdi al-Ghazali (WIA)

Pertempuran Yaunis Khan (Turki: Han Yunus Muharebesi) berlaku pada 28 Oktober 1516 antara Empayar Uthmaniyyah dan Kesultanan Mamluk. Kavalri Mamluk yang diketuai oleh Janbirdi al-Ghazali telah menyerang tentera Uthmaniyah yang cuba melewati Gaza dalam perjalanan mereka menuju ke Mesir. Tentera Uthmaniyah yang dipimpin oleh Wazir Hadım Sinan Pasha berjaya menangkis serangan kavalri Mamluk. Al-Ghazali tercedera ketika pertempuran sengit sebelum pasukannya diarahkan untuk berundur ke Kaherah.[2]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Setelah Pertempuran Marj Dabiq, kempen penaklukan Syam oleh Sultan Selim menjadi mudah. Lebih-lebih lagi, majoriti garison Mamluk di Marj Dabiq telah ditewaskan oleh Uthmaniyah. Sultan Selim seterusnya memerlukan sedikit masa untuk menjamin kedudukannya dan memerlukan bekalan melalui tentera laut Uthmaniyah yang akan menyertainya di Syam. Jadi, beliau telah menghantar wazirnya iaitu Sinan Pasha sebagai pemimpin barisan hadapan pasukan untuk menguasai istana-istana penting yang terletak di perairan pantai. Sementara itu di Kaherah, Tuman Bay menjadi sultan Mamluk yang baru dan beliau mula merekrut tentera-tentera baru. Beliau telah menolak tawaran untuk bernaung di bawah kekuasaan Uthmaniyah yang disampaikan oleh utusan Uthmaniyah sebelum beliau membunuh utusan tersebut. Tuman Bay tahu bahawa kubu-kubu merupakan pilihan yang terbaik untuk bertahan daripada serangan Uthmaniyah di kawasan teluk. Jadi, beliau telah mengirim pasukannya ke kawasan itu.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua pasukan bertembung antara satu sama lain di tempat yang dipanggil Khan Yunis pada bulan Oktober. Pertempuran bermula selepas artileri Uthmaniyah melepaskan tembakan. Jeneral Mamluk, al-Ghazali sedar bahawa pasukan kavalrinya tidak mampu bertahan dengan serangan meriam Uthmaniyah dengan begitu lama. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan pasukannya melancarkan serangan. Namun, ia hanyalah satu serangan palsu oleh Mamluk. Selepas pergelutan awal, tentera Mamluk mula berundur ke arah selatan melalui lembah. Gerakan Mamluk telah diekori oleh kavalri Uthmaniyah. Kedua-dua unit kavalri dari kedua-dua belah pihak tersebut bertempur sesama mereka di kawasan lembah. Oleh kerana ramai pejuang elit Mamluk telah terkorban dalam pertempuran di Marj Dabiq, pasukan yang baru ini dibarisi tentera yang tidak berpengalaman dalam pertempuran. Pertempuran mula seimbang sejurus selepas ketibaan meriam Uthmaniyah tiba ke kawasan lembah. Meriam Uthmaniyah menjalankan peranan dengan melepaskan tembakan ke arah musuh dari arah tepi. Pertempuran akhirnya berakhir yang telah mengorbankan kira-kira 5,000 tentera Mamluk manakala kerugian yang ditanggung oleh Uthmaniyah agak sedikit.

Setelah tumpas kepada Uthmaniyah, tentera Mamluk yang tersisa dipanggil untuk bertumpu di kota Kaherah.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Dupuy, R. Ernest and Trevor N. Dupuy, Harper Encyclopedia of Military History, 4th Edition, (HarperCollins Publishers, 1993), 540.
  2. ^ "History and Chronology of Battle of Yaunis Khan in Turkey". datesofhistory.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-02-15. Dicapai pada 2007-02-15.