Pertempuran Yehuling

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Yehuling
Sebahagian daripada Perang Mongol–Jin

Ilustrasi pertempuran di Yehuling
TarikhOgos – Oktober 1211
Lokasi
Keputusan Kemenangan muktamad Mongol
Pihak yang terlibat
Empayar Mongol Dinasti Jin
Komandan dan pemimpin
Genghis Khan
Muqali
Jebe
Ögedei
Yelü Tuhua
Wanyan Yongji
Wanyan Chengyu
Zhuhu Gaoqi
Hushahu
Wanyan Jiujin 
Tushan Yi
Shimo Ming'an #
Kekuatan
90,000–110,000 tentera berkuda[1]

350,000 infantri

150,000 tentera berkuda
Kerugian dan korban
Sederhana Sangat ramai

Pertempuran Yehuling, merupakan pertempuran sengit antara pihak Empayar Mongol dan Dinasti Jin ketika kempen penaklukan Mongol ke atas Dinasti Jin. Pertempuran ini berlaku dari bulan Ogos sehingga Oktober 1211 di Yehuling (野狐嶺), yang sekarang terletak di Daerah Wanquan, Zhangjiakou, Hebei. Pertempuran ini berakhir dengan kemenangan muktamad tentera Mongol dan diikuti dengan pembunuhan Maharaja Jin, Wanyan Yongji oleh salah seorang jeneralnya. Kekacauan ini sedikit sebanyak telah melemahkan pemerintahan Dinasti Jin.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Pada awal abad ke-10, sebuah suku yang berasal daripada proto-Mongol iaitu Khitan telah mengasaskan sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Dinasti Liao. Orang Khitan terlibat dengan banyak peperangan di Korea, China dan Asia Tengah tetapi pada tahun 1125, mereka telah dikalahkan oleh Dinasti Jin di China. Setelah tewas, mereka telah berpindah untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru yang disebut Liao Barat.

Di Mongolia, sekumpulan suku nomad telah bersatu membentuk satu gabungan yang dikenali sebagai Khamag Mongol, yang boleh diterjemahkan sebagai 'Seluruh Mongol'. Salah satu suku yang termasuk dalam gabungan itu ialah Borjigin. Wakil suku tersebut telah mengundi pemimpin (khan) mereka beberapa kali pada abad ke-12. Khamag Mongol menyimpan permusuhan dengan suku nomad yang lain di kawasan itu iaitu Tartar. Keadaan ini telah melemahkan Mongol apabila permusuhan ini hampir melenyapkan gabungan ini pada pertengahan abad ke-12. Ketua puak Borjigin pada masa itu, Yesugei berusaha untuk menyatukan puak-puak Mongol yang lain sekali lagi. Pada tahun 1171, beliau telah mengaturkan perkahwinan antara anaknya yang pada masa itu baru berusia sembilan tahun, Temujin dengan Börte yang berasal daripada suku Mongol yang lain. Sesetengah sumber menyatakan bahawa Yesugei telah diracun oleh orang Tartar ketika majlis perkahwinan berlangsung. Temujin segera mengambil peluang untuk diangkat menjadi pemimpin sukunya sama seperti bapanya tetapi keinginannya tidak tercapai apabila beliau telah dibuang daripada keluarga. Buat selama enam tahun, Temujin hidup dalam keadaan yang miskin bahkan, beliau pernah menjadi hamba.

Akhirnya, Temujin berjaya membentuk puaknya sendiri melalui bantuan abang kandungnya, Jamukha dan pemimpin suku Kerait, Toghrul Khan. Temujin bersama Jamukha bersama-sama menewaskan puak-puak yang lain. Namun, mereka berdua akhirnya bersengketa antara satu sama lain. Jamukha menyokong sistem tradisional aristokrasi Mongolia sementara Temujin telah memberikan kedudukan kuasa kepada orang yang lebih berkebolehan tetapi berasal dari puak yang lain. Diancam oleh peningkatan pengaruh Temujin, Jamukha telah menyerangnya pada tahun 1187 dengan kekuatan 30,000 orang. Temujin bersama dengan 20,000 orang telah ditewaskan dalam pertempuran Dalan Balzhut.

Selepas sepuluh tahun, kehidupan Temujin tidak dapat diketahui tetapi pada tahun 1197, beliau telah menjadi panglima tentera bagi puak yang telah bersatu iaitu Mongol dan Kerait. Beliau telah mengetuai puaknya dalam peperangan menentang puak Tartar yang telah dimulakan oleh Dinasti Jin. Temujin berjaya menuntut bela maruah bapanya dalam konflik tersebut. Pemimpin puak Tartar telah terkorban manakala golongan bukan aristokrat telah direkrut menyertai pasukan Temujin.

Pada tahun 1201, sebuah majlis politik dan ketenteraan Mongol yang dikenali sebagai Kurultai telah mengisytiharkan Jamukha sebagai 'Khan'. Hal ini telah mencetuskan konflik antara Jamukha dan Temujin selama lima tahun sebelum Temujin mengalahkan abang kandungnya dalam pertempuran Tiga Belas Sisi. Pada tahun yang sama, Temujin telah menghimpunkan satu lagi majlis untuk mengangkat beliau sebagai pemimpin yang baru. Hal ini membolehkan beliau mendapat nama Genghis Khan, pemimpin kepada semua. Buat pertama kali, puak-puak nomad bersatu sebagai sebuah kerajaan di bawah satu panji dan kekuasaan.

Pada tahun 1209, tentera Mongol menceroboh sebuah kerajaan yang berkuasa di selatan, Kerajaan Liao Barat. Perincian konflik ini tidak berapa jelas tetapi dilihat Genghis Khan berjaya memimpin tenteranya dalam pertempuran yang terbuka tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk menguasai kota yang dilengkapi pertahanan yang kukuh dan kuat. Namun secara perlahan-lahan, kota-kota tersebut akhirnya menyerah kepada tentera Mongol apabila telah dilanda wabak penyakit dan kelaparan. Maharaja Liao tunduk akan kekuasaan Genghis Khan dan menjadi naungannya.

Persiapan[sunting | sunting sumber]

Sehingga ke tahap ini, Dinasti Jin meremehkan puak Mongol yang dianggap sebagai pengganggu di kawasan sempadan mereka. Ketika kerajaan Liao diserang tentera Mongol, Dinasti Jin menolak untuk menghantar bantuan dan pertolongan. Pada tahun 1211, Dinasti Jin menghadapi satu ancaman yang besar. Mereka menuntut keakuran dan penyerahan Mongol sekali gus membawa kepada satu peperangan.

Pada Mac 1211, Genghis Khan mengumpulkan seluruh ketua puak Mongol untuk melancarkan peperangan menentang China. Dinasti Jin mempunyai kerahan askar yang ramai dan besar sehingga 800,000 infantri. Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan petani yang tidak terlatih bersama moral yang rendah. Dinasti Jin juga mempunyai 150,000 tentera berkuda berat yang handal dan mahir. Angkatan tentera yang besar ini telah berkubu di Tembok Besar China dan berjaga di setiap kubu yang berlainan.

Sementara itu, tentera Mongol mempunyai 90,000 tentera berkuda yang dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu tentera berkuda ringan, pemanah berkuda bersama busur campuran dan tentera berkuda berat bersenjatakan tombak dan pedang melengkung. Kesemua tentera Genghis Khan telah dilatih dengan rapi dan mempunyai semangat perjuangan yang tinggi.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Selepas tentera Mongol berjaya melepasi Tembok Besar, mereka telah berpecah kepada dua pasukan. Pasukan utama diketuai oleh Genghis Khan sendiri bersama kekuatan seramai 60,000 orang. 30,000 orang lagi dipimpin oleh anak Genghis Khan, Ogedei untuk menyerang kota Datong. Genghis Khan menuju ke Genting Juyong yang mengelingi kota Beijing. Namun, perjalanan beliau dihalang di genting Yehuling apabila sejumlah besar tentera Jin menunggunya di situ. Selama beberapa bulan, tentera Mongol menunggu tentera Jin untuk bergerak tetapi mereka masih tetap bertahan. Sementara sedang menunggu, Genghis Khan menghantar jeneral terbaiknya iaitu Jebei dan Subutai untuk mengetuai tentera yang kecil menyerang kubu Wusha (烏沙堡). Angkatan tentera Jin telah dimusnahkan dalam serangan ini.

Setelah pasukan Jebei dan Subutai bergabung dengan angkatan Mongol semula di Yehuling, mereka melancarkan serangan ke atas tentera Jin di kawasan pergunungan sekali gus memaksa tentera Jin untuk berundur. Seterusnya, Genghis Khan menghantar tentera-tenteranya ke puncak gunung untuk mengelilingi kawasan genting yang dianggap oleh panglima tentera Jin sebagai satu hal yang mustahil bagi membolehkan tentera Mongol menyerang mereka dari dua arah yang berlainan.

Jebei, salah satu jeneral Mongol terbaik membuat satu helah yang popular digunakan oleh tentera Mongol iaitu pura-pura berundur. Selepas tentera Mongol bertempur, mereka meninggalkan harta rampasan dan berpura-pura untuk berundur. Tentera Jin yang termakan umpan dengan segera mengejar tentera Mongol selepas mereka meninggalkan kubu pertahanan. Akhirnya, tentera Jin terjerat dalam satu perangkap apabila ribuan daripada mereka terkorban selepas diserang oleh pemanah Mongol dari pelbagai arah.

Selepas pintu masuk ke China telah terbuka, Genghis Khan mula menyerang kawasan luar bandar sebelum beliau berhenti seketika ketika menjelang musim sejuk.

Kemaraan Mongol[sunting | sunting sumber]

Tentera Mongol memasuki kota Beijing.

Pada tahun 1213, ketika tentera Mongol melancarkan serangan lagi, tentera Jin tidak mampu menghalang kemaraan tentera musuh setelah mereka tidak dapat menyusun satu kumpulan penentangan yang lebih berorganisasi gara-gara kawasan setempat mereka telah dimusnahkan tentera Mongol sebelum ini. Tentera Mongol mula mengepung banyak kota dan kubu. Mereka hanya menunggu tindakan tentera pertahanan Jin untuk memecahkan pengepungan supaya mereka dapat diserang tentera Mongol sebelum dikalahkan. Tentera Mongol bertempur secara gerila di tempat yang asing. Penduduk di dalam kota yang tunduk dan menyerah kepada tentera Mongol akan dibunuh atau menjadi hamba. Walau bagaimanapun, jurutera, guru, doktor, artis, pedagang, pentadbir dan pendeta akan selamat dan diminta untuk menyertai gerombolan Mongol. Ramai yang lain akan dibawa dan digunakan sebagai perisai manusia untuk kempen pertempuran dan pengepungan yang lain. Mereka akan berarak untuk mempertahankan barisan hadapan tentera Mongol daripada serangan anak panah oleh musuh.

Setelah menguasai semua kawasan milik Dinasti Jin di utara Sungai Kuning, Genghis Khan mara ke ibu kota Beijing dan mengepungnya. Tentera Mongol cuba untuk memastikan kota tersebut dilanda kebuluran tetapi selepas beberapa bulan, kem mereka dilanda epidemik. Hal ini memaksa mereka untuk berunding dengan Maharaja Jin, Xuanzong. Beliau bersetuju dengan rundingan keamanan selain membuat pertukaran dengan harta, kuda, tenaga manusia dan anak perempuannya bersama dengan 'Khan' Mongol. Tentera Mongol akhirnya pergi meninggalkan China untuk kembali ke Mongolia bersama dengan harta mereka. Namun, semasa berada di luar Tembok Besar, seorang utusan telah menyampaikan satu berita kepada Genghis Khan. Maharaja Jin telah memindahkan istananya ke Kaifeng di selatan. Berita ini membuatkan Genghis Khan berasa sangat marah kerana ia menandakan Dinasti Jin akan merancang untuk membalas dendam. Tentera Mongol kemudian dengan pantasnya mengepung kota Beijing hasil bantuan ribuan jurutera Cina. Kota tersebut telah dikepung dan dimusnahkan. Ribuan gerobak telah mengangkut harta-harta peperangan kepunyaan tentera Mongol dari China ke Mongolia. Kota tersebut telah dibakar selama sebulan manakala penduduknya pula telah dibunuh.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mongol Warrior 1200–1350 Publisher: Osprey Publishing