Pertempuran di Kampar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pertempuran Kampar (30 Disember 1941 - 2 Januari 1942) merujuk kepada pertempuran yang berlaku di bandar Kampar, yang ketika itu merupakan sebuah bandar melombong bijih timah di negeri Perak, Malaysia. Dengan kegagalan tentera British menghalang kemaraan tentera Jepun di Jitra dan Gurun dalam kempen penjajahan Jepun di Tanah Melayu, pihak British telah menubuhkan barisan pertahanan di Kampar sebagai usaha menyekat kemaraan tersebut.

Bandar Kampar telah dipilih oleh Leftean-Jeneral Arthur E. Percival, commander-in-chief bagi pasukan British di Malaya kerana kedudukannya di kaki Gunung Bujang Melaka setinggi 1,206 meter dengan rabungnya yang mengarah bandar Kampar. Pada 23 Disember 1941, batalion Percival telah menduduki tiga rabung rendah di utara Kampar: rabung Hijau, rabung Thompson Ridge dan rabung Kubur yang mengarah jalan raya utama dan landasan kereta api. Selain itu permukaan bumi yang rata di sebelah barat bandar Kampar turut merupakan kedudukan yang selesa bagi meriam pertahanan - ini kerana pihak Birtish mempunyai kelebihan artileri berbanding pihak Jepun.

Sehingga petang Krismas 1941, batalion British masih bertungkus lumus menyediakan tempat pertahanan bagi menghadapai kemaraan tentera Jepun yang mereka tahu semakin menghampiri kedudukan mereka setiap jam. Sungguh pun begitu, mereka sempat menikmati hidangan krismas dengan ayam belanda, ayam dari pasar Kampar, roti segar, cokelat dan juga minuman keras. Selain itu setiap masa yang tinggal diisi dengan tugasan menggali sistem kubu perparitan, sarang mesingan, dan pos pemerhati. Di antara pasukan berikat yang bertahan di situ adalah Batalion Punjab dari Brigade India ke-16, Batalion Hyderabad ke-4 dan ke19 Hyderabad dan Batalion Punjab ke-2 dan ke-5 dari Brigade India ke-12 dan ke-18, Batalion Kedua Argyll dan Sutherland Highlanders dan unit Gurkha dari Brigade India ke-28.

Selama tujuh hari, seramai 2,000 tentera berkerja keras dari subuh sehingga maghrib, menggali sistem kubu perparitan, sarang mesingan, dan pos pemerhati yang sebahagiannya masih dapat dilihat di rabung Hijau.

Serangan Jepun[sunting | sunting sumber]

Pada subuh 30 Disember dua hari selepas tentera Jepun menawan Ipoh, pasukan meriam mereka mulai membedil rabung Kampar dari kedudukan di jalan Malim Nawar yang dibalas oleh pasukan meriam tentera British. Ini merupakan permulaan kepada pertempuran Kampar yang dengan sengitnya berlangsung selama empat hari. Sungguhpun tentera Jepun seramai 9,000 orang dengan sokongan 200 kereta kebal dan 100 meriam artileri, mereka gagal menembusi barisan pertahanan British pada mulanya. Bagaimanapun dengan kelebihan yang mereka ada, tentera Jepun mampu menggantikan tentera barisan hadapan mereka setiap 48 jam berjuang, sementara pihak British terpaksa bertahan dengan semua anggota yang ada.

Ini disebabkan oleh periuk api yang telah ditanam ditempat strategik, pagar kawat berduri padat dan tembakan mesingan dari kedudukan sarang mesingan yang strategik. Memandangkan tentera British hanya mempunyai masa selama tujuh hari dan hanya mempunyai peralatan ringan seperti penyodok, pertempuran Kampar menunjukkan apa yang dapat dicapai oleh satu pasukan yang mempunyai kedudukan yang strategik berbanding pasukan yang lebih besar.

Pasukan Jepun cuba menguji barisan pertahanan British, dan mengalami jumlah korban yang tinggi, tetapi pada hari Tahun Baru 1942, pasukan pemerintah Jepun memutuskan serangan besar-besaran pada bahagian timur rabung Thompson. Mereka berjaya menumpaskan beberapa kedudukan British kerana senjata pasukan yang bertahan lekat apabila larasnya menjadi merah pijar tanpa gantian.

Pada sebelah petang pihak British memutuskan bagi menghantar Regimen Jat/Punjab di bawah pemerintahan Kapten John Graham dan timbalan pemerintahnya, Leftenan T. Lamb, untuk menyerbu dan mengundurkan Jepun. Kesemua mereka memasang boynet dan menyerbu dengan diketuai oleh Kapten Graham.

Ketika mereka menyerbu cerun terbelakang dirabung tersebut, mereka melaungkan ‘Sat Siri Akal’, laungan perang Punjabi bererti ‘Glory to God’. Pakar sejarah British, Sir Compton MacKenzie merakamkan bahawa tentera Jepun membunuh ramai dari tentera tersebut, tetapi mereka tetap mara. Leftenan Lamb terbunuh dalam serbuan kedua. Hanya beberapa jam kemudian barulah pihak British mampu menawan kembali sebahagian daripada kedudukan tersebut, selepas korban jiwa yang besar dan dua kali serbuan.

Apabila mereka tiba ke barisan terakhir, Kapten Graham kudung kedua belah kakinya akibat letupan motar Jepun, sungguhpun begitu, beliau tetap berdiri dan meneriakkan kata-kata semangat kepada orang-orangnya. Mereka akhirnya berjaya merampas kubu perparitan tersebut dari tentera Jepun dan membawa Kapten Graham ke pos rawatan. Bagaimanapun Kapten Graham meninggal di hospital tentera di Tanjung Malim.

Dalam pertempuran tersebut yang berlangsung antara 30 Disember 1941 sehingga 2 Januari 1942, keberkesanan pasukan meriam British, kemungkinannya termasuk meriam 25 paun pasukan Leftenan Hartley, mengakibatkan jumlah korban yang tinggi dikalangan tentera Jepun.

Pasukan Ghurka turut berjuang dalam pertempuran jarak dekat secara berhadapan dangan menggunakan kukri. Pasukan Argyll mematahkan beberapa serangan sengit tentera Jepun. Pasukan Punjab turut melakukan serbuan bayonet melalui tembakan mesingan dan motar.

Pengunduran[sunting | sunting sumber]

Pertempuran di Kampar merupakan salah satu dari pertempuran yang paling sengit semasa Kempen Tanah Melayu, tetapi pada 2 Januari mereka dipintas dan laluan ke Singapura terputus dibelakang mereka. Dengan perlindungan oleh tembakan meriam, kemungkinannya membabitkan Bateri ke 501, tentera British berundur sepanjang jalan utama ke kedudukan yang telah disediakan di Trolak, sekitar lima batu di utara Slim River. Di situ mereka dikejutkan dan dimusnahkan oleh kereta kebal tentera Jepun dalam Pertempuran di Slim River.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]