Perumahan awam di Brunei

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Perumahan awam di Brunei merangkumi program pembangunan kerajaan yang bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Brunei untuk memiliki tanah atau rumah sendiri.[1][2] Ianya ditadbir oleh Jabatan Kemajuan Perumahan, sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan. Terdapat tiga jenis program perumahan awam di Brunei, iaitu Rancangan Perumahan Negara (RPN), Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) dan Rancangan Perpindahan Negara.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Perumahan awam mula diperkenalkan dalam tahun 1950-an oleh kerajaan dalam bentuk program perpindahan secara beramai-ramai untuk penduduk yang tinggal di Kampong Ayer, petempatan atas air di Sungai Brunei.[3] Dalam dekad tersebut telah berlaku wabak kolera dan cacar yang menjejaskan kehidupan penduduk; pada masa itu lebih ramai penduduk menetap di sepanjang tebing sungai daripada di kawasan tengah sungai dan oleh itu lebih terdedah kepada jangkitan penyakit tersebut.[3] Oleh itu, tujuan asal program perumahan ialah untuk memindahkan penduduk ke tempat di darat yang mana ianya kurang terdedah kepada merebaknya wabak tersebut.[3]

Walau bagaimanapun, program tersebut telah berubah tujuannya iaitu untuk memberi peluang kepada penduduk Kampong Ayer untuk memiliki rumah di darat.[3] Program perpindahan yang pertama dijalankan pada tahun 1952 yang mana sebuah kawasan perumahan awam telah dibangunkan di Kampung Bunut.[1] Kemudiannya ianya disusuli dengan beberapa program perpindahan pada beberapa dekat yang seterusnya, dan oleh itu beberapa kawasan perumahan awam telah dibangunkan di Daerah Brunei dan Muara.[4]

Pada tahun 1970-an, kerajaan telah melaksanakan analisis terhadap keperluan perumahan dalam negara dan hasil daripada analisis tersebut ialah program perumahan yang ada sekarang.[1][4] Lambak Kanan menjadi kawasan pertama yang dibangunkan sebagai kawasan perumahan di bawah Rancangan Perumahan Negara bermula pada tahun 1984.[1]

Program[sunting | sunting sumber]

Walaupun terdapat tiga jenis program kemajuan perumahan kerajaan, hanya dua sahaja yang sedang dilaksanakan, iaitu Rancangan Perumahan Negara dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati.

Rancangan Perumahan Negara[sunting | sunting sumber]

Rancangan Perumahan Negara (biasanya disingkatkan sebagai 'RPN') adalh untuk memberi peluang memiliki rumah untuk rakyat Brunei tanpa mengira latar belakang etnik mahupun bangsa. Rumah-rumah diberikan mengikut giliran mengikut tahun permohonan oleh pemohon.[1]

Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati[sunting | sunting sumber]

Skim Tanah Kurnia Rakyat Kurnia Rakyat Jati (biasanya disingkatkan sebagai 'STKRJ') juga merupakan jenis program Rancangan Perumahan Negara iaitu bagi rakyat Brunei tetapi program ini dikhususkan untuk rakyat jati atau bumiputera untuk memiliki tanah, yang biasanya disertai dengan rumah yang telah siap dibina.[1]

Rancangan Perpindahan Negara[sunting | sunting sumber]

Rancangan Perpindahan Negara merupakan program perumahan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu penduduk Kampong Ayer untuk menetap semula di darat. Pada masa ini ianya tidak aktif atau telah diserapkan sebagai sebahagian daripada dua program perumahan di atas.

Kawasan perumahan[sunting | sunting sumber]

Kawasan perumahan awam adalah dibangunkan di kesemua empat daerah di Brunei, biasanya sebagai sebahagian dari kampung atau kawasan ukur yang telah wujud, atau berdekatan dengannya. Setiap kawasan perumahan hanya terdiri dari satu jenis program perumahan sahaja. Walau bagaimanapun, sesebuah kampung atau kawasan mungkin mempunyai lebih dari satu jenis kawasan perumahan. Beberapa kawasan perumahan juga mungkin mempunyai penduduk yang cukup dan boleh dibandingkan dengan petempatan kampung, dan oleh itu ditetapkan sebagai sub-pembahagian peringkat kampung, pembahagian pentadbiran peringkat ketiga dan terbawah iaitu di bawah mukim. Ada di antara kawasan perumahan tersebut juga yang mempunyai jumlah penduduk yang terlalu besar dan oleh itu dibahagikan dan ditetapkan menjadi lebih dari satu sub-pembahagian kampung.

Setiap sub-pembahagian bagi sesebuah kawasan perumahan tersebut berfungsi sebagai sebuah kampung biasa, yang mana ianya mempunyai seorang ketua kampung sebagai ketua komuniti penduduk serta Majlis Perundingan Kampung sebagai persatuan komuniti. Mungkin terdapat juga kemudahan komuniti seperti sekolah rendah dan pusat kemasyarakatan. Oleh kerana majoriti penduduk Brunei adalah beragama Islam, sebuah masjid juga mungkin dibina untuk penduduk Islam bagi melaksanakan sembahyang Jumaat, serta sekolah agama yang menyediakan pendidikan rendah agama Islam yang wajib bagi murid-murid di Brunei.[5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f "Jabatan Kemajuan Perumahan - Mengenai Rancangan Perumahan Negara (RPN)". www.mod.gov.bn. Dicapai pada 1 Julai 2018.
  2. ^ Bandial, Quratul-Ain (17 Mac 2016). "National housing scheme is only for Bruneians". btarchive.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Julai 2018.
  3. ^ a b c d "An evolving plan to meet demand for public housing". Oxford Business Group (dalam bahasa Inggeris). 30 November 2014. Dicapai pada 1 Julai 2018. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  4. ^ a b "Brunei-Muara District" (PDF). www.information.gov.bn. m/s. www.information.gov.bn. Dicapai pada 1 Julai 2018.
  5. ^ Yahya, Salawati. "Perkasa pendidikan Islam". Media Permata Online. Dicapai pada 1 Julai 2018.