Piama

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Piama (Jawi: ڤيام) atau piantan (Jawi: ڤيانتن‎)[1][2] ialah suatu cara pertakwiman digunakan masyarakat Melayu Kedah utara Semenanjung Melayu untuk menentukan kegiatan bercucuk tanam sawah padi atau menangkap ikan. Aturan ini mula dikembangkan berdasarkan pemerhatian masyarakat setempat ini terhadap peredaran dan perubahan cuaca sekitar seperti curahan hujan dan tiupan angin serta keadaan tanah sama ada sesuai untuk menanam padi.[3]

Takwim ini terdiri dari 12 bulan dimulakan pada musim kemarau yang melanda kawasan Kedah sekitar November hingga April; bulan April menjadi tumpuan bermulanya menanam benih padi seiring musim hujan (atau "musim piama")[2] yang tiba di negeri tersebut. Pengiraan tempoh ini masih diaturkan Takwim Dan Waktu Ibadah Bagi Seluruh Negeri Kedah Darul Aman disediakan Jabatan Mufti negeri tersebut.[4]

Penghitungan[sunting | sunting sumber]

Bulan-bulan ini dibahagikan kepada dua musim yakni:[5]

  • musim timur yang kering dari November hingga Januari
  • musim barat atau musim piama "muda" (Jun-Julai) dan "tua" (Ogos-Oktober)

Pada dahulunya, nama bulan-bulan ini diberikan terus daripada urutan kedudukannya sebelum kemudiannya diselaraskan ilmu falak Arab mengikut zodiak atau rasi langit dengan buruj utama dinampakkan pada ketika ini. Setiap bulan piama ditetapkan dalam tempoh tertentu mempunyai petanda utama yang diamati dari persekitaran agar melakukan pekerjaan bersesuaian masa:[6]

Nama bulan Rasi dinampakkan Tempoh dalam
takwim Gregorius
Petanda alam diperhatikan
Lama Baru
Sa Kaus
Jawi: قوس
Pemanah 23 November–22 Disember Pokok gelenggang besar berbunga
Dua Jadi
Jawi: جدي
Kambing Duyung 23 Disember–21 Januari Air banjir menyurut, ikan dan tuntung kembali ke bendang sawah
Tiga Delu
Jawi: دلو
Timba 22 Januari–20 Februari Pokok macang berbunga, angin timur mula bertiup
Empat Hut
Jawi: حوت
Ikan 21 Februari–21 Mac Bunga durian berkembang, angin timur meniup kencang, pokok janggus berbuah
Lima Hamal
Jawi: حمل
Bebiri 22 Mac–21 April Tiada bayang terlihat serembang matahari
Enam Saur/Thaur
Jawi: ثور
Jantan 22 April–22 Mei Kelopak bunga keranji berguguran ("hujan")
Tujuh Jauza
Jawi: جوزاء
Kembar 23 Mei–22 Jun
Lapan Sar(a)tan
Jawi: سرطان
Ketam 23 Jun–23 Julai Bintang-bintang boleh dilihat di langit pada waktu subuh
Sembilan Asad
Jawi: أسد
Singa 24 Julai–23 Ogos
Sepuluh Sunbulah
Jawi: سنبلة
Perawan 24 Ogos–23 September Tiada bayang terlihat serembang matahari
Sebelas Mizan
Jawi: ميزان
Neraca 24 September–23 Oktober Kedengaran bunyi burung balai
Dua Belas Akrab
Jawi: عقرب
Kala 24 Oktober–23 November Kedengaran bunyi burung ruak-ruak

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Wilkinson, Richard James (1932). "piama". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 265, 266 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  2. ^ a b "piama". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017. musim yg baik utk memulakan penanaman padi, musim hujan
  3. ^ Alan Teh Leam Seng (24 Jun 2019). "Invoking the rice spirit". New Straits Times. m/s. 36.
  4. ^ "Sinopsis Kitab Turath Falak". Buletin al-Falak. Jabatan Mufti Negeri Kedah (1): 16. 2015.
  5. ^ Muhammad Haji Salleh (2012). "Persepsi dan Pengukuran Waktu di Negeri-Negeri Utara Malaysia". Dalam Abu Talib Ahmad (penyunting). Utara Semenanjung Malaysia: Esei-Esei Warisan. Penerbit Universiti Sains Malaysia. m/s. 24–48.
  6. ^ Rahimah A. Hamid (2010). "Piama dan petua tradisi: Ilmu menanam padi masyarakat Melayu di utara semenanjung Malaysia". SARI: Jurnal Alam dan Tamadun Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia. 28 (2): 211–233. ISSN 0127-2721.