Pilihan Raya dalam Pelaksanaan Demokrasi di Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Pengenalan[sunting | sunting sumber]

Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Bahagian VIII memperuntukkan tentang perkara-perkara berkaitan pilihan raya. Umumnya, peruntukan-peruntukan tersebut memperlihatkan tentang pengaplikasian konsep demokrasi menerusi pilhan raya dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebelum melihat dengan lebih lanjut tentang pilihan raya dalam pelaksanaan demokrasi di Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kita perlu memahami terlebih dahulu apakah pengertian demokrasi dan pilihan raya itu sendiri. Demokrasi merupakan sebuah pentadbiran yang dipegang oleh rakyat. Secara amnya, demokrasi boleh difahami sebagai sebuah bentuk kerajaan yang dijalankan dengan melaksanakan pemerintahan berdasarkan suara rakyat. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai ketua negara.[1] Di peringkat negeri pula, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri merupakan Pemerintah Berperlembagaan bagi negeri-negeri berkenaan. Terdapat beberapa ciri-ciri demokrasi. Antaranya ialah perlembagaan yang menjadi panduan kepada cara perjalanan sesebuah kerajaan, pilihan raya yang menentukan pemimpin-pemimpin dalam sesebuah kerajaan dan hak-hak kebebasan untuk rakyat di dalam negara tersebut secara umum. Antara prinsip lain yang biasa kita lihat dalam pengaplikasian demokrasi tanpa mengira jenis demokrasi yang digunapakai ialah: 1. Adanya peruntukan bagi perubahan kerajaan secara aman. 2. Cara-cara pemilihan kerajaan mestilah munasabah dan adil untuk semua parti-parti politik dan juga calon-calon yang bertanding. 3. Pihak berkuasa yang adil dan saksama yang dilantik oleh kerajaan yang memerintah perlu memastikan bahawa pilihan raya yang dijalankan hendaklah berada dalam keadaan yang bersih. 4. Angkatan tentera dan perkhidmatan keselamatan tidak boleh masuk campur dalam pilihan raya. 5. Semua manusia mempunyai hak ke atas perlindungan di bawah undang-undang tanpa sebarang diskriminasi. Pilihan raya membawa maksud pemilihan umum yang diadakan untuk memilih wakil di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk memilih wakil rakyat di Parlimen untuk memerintah negara dan wakil rakyat di DUN untuk memerintah negeri. Pilihan raya merupakan sebuah salah satu ciri yang menunjukkan bahawa adanya elemen demokrasi dalam sesebuah negara dan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan pilihan raya menunjukkan bahawa ianya merupakan sebuah perkara yang penting bagi negara kita. Pilihan yang tidak bebas dan tidak adil berkait secara langsung dengan kewujudan kerajaan yang tidak berkesan dan tidak dapat mentadbir dengan baik

Pelaksanaan Demokrasi melalui pilihanraya[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1952, pilihan raya pertama telah diadakan di Kuala Lumpur bagi mengendalikan pemilihan ahli-ahli majlis bandaran Kuala Lumpur. Pilihan raya ini juga diadakan pada ketika negara sedang berada dalam keadaan darurat. Pada ketika itu, matlamat utama Parti Perikatan UMNO-MCA adalah untuk mencapai kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu. Perikatan sejak itu juga telah melakari sejarah negara sebagai simbol penyatuan tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang tercapai atas dasar tolak ansur dengan satu matlamat iaitu kemerdekaan daripada penjajah British dan mentadbir negara sendiri. Ini jelas membuktikan bahawa pilihan raya paling awal negara ini bermula di peringkat akar umbi dan merupakan asas kepada sebuah negara yang berdemokrasi. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Dalam sistem demokrasi, pilihan raya merupakan elemen penting dalam menentukan tahap demokrasi sesebuah negara. Walaubagaimanapun, ini bergantung kepada kewujudan dan kualiti prasarana tertentu, khususnya yang berhubung dengan kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan sepertimana yang telah dinyatakan di dalam perlembagaan persekutuan iaitu di bawah Perkara 10. Oleh itu, pilihan raya yang hendak diadakan haruslah menepati syarat-syaratnya. Menurut Perkara 113 yang temaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, antara syarat pilihan raya termasuklah penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut Perkara 114 yang merupakan badan kesatuan khas yang bertanggungjawab dalam menguruskan dan memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar. Pilihan raya diadakan 5 tahun sekali. Menerusi perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, dapat kita lihat bahawa pelaksanaan demokrasi itu terbukti apabila adanya persempadanan semula. Di Malaysia, sebanyak enam kali proses persempadanan semula telah dilakukan iaitu pada tahun 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, dan 2003 yang merupakan sejarah pilihanraya di negara ini. Melalui persempadanan semula ini, pilihan raya yang diadakan akan membahagikan kawasan pilihan raya mengikut jumlah penduduk dan membolehkan semua penduduk atau pengundi di setiap kawasan untuk memilih wakil rakyat masing-masing. Ini bermakna setiap undian diambilkira. Justeru itu, persempadan semula mempunyai banyak kebaikan kerana termasuklah memupuk demokrasi di negara ini dengan mengutamakan suara dan kehendak rakyat untuk memilih pemimpin sebagai wakilnya. Perkara 118 pula menyatakan tentang cara bagi mencabar pemilihan terhadap Dewan Rakyat atau Dewan Undangan. Pemilihan hanya boleh dipersoalkan melalui petisyen pilihan raya yang dikemukakan kepada Mahkamah TInggi yang mempunyai bidang kuasa ke atas tempat di mana pilihan raya tersebut diadakan. Ini menunjukkan bahawa berdasarkan Perlembagaan, hak untuk mempersoalkan sesebuah pemilihan tidak boleh dicabar sewenang-wenangnya. Hal ini boleh dilihat dalam kes Parti Islam Se-Malaysia & Ors v Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof & Ors. Kes ini dibicarakan di Mahkamah Rayuan. Dalam kes ini, pihak perayu mendakwa responden atas dasar bahawa responden telah menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana mereka melanggar tugas perlembagaan dan statutori mereka berkaitan dengan penyalahgunaan dakwat kekal. Perkara ini telah menyebabkan perayu kehilangan banyak kerusi di Parlimen. Mahkamah Tinggi mendapati bahawa inti pati tuntutan plaintif adalah untuk mendapatkan suatu perintah mengisytiharkan keputusan PRU13 sebagai batal dan tidak sah dan bahawa pliding pelbagai punca tindakan terhadap responden adalah semata-mata untuk meletakkan asas untuk meminta perintah sedemikian. Mahkamah memutuskan bahawa, ia adalah tanpa ragu-ragu jelas dari bahasa perkara 118 Perlembagaan bahawa pilihan raya hanya boleh dipersoalkan oleh hakim pilihan raya yang membicarakan petisyen pilihan raya. Kesan daripada peruntukan itu adalah bahawa Mahkamah Tinggi telah dikecualikan daripada menjalankan apa-apa bidang kuasa ke atas semua perkara-perkara pilihan raya yang dipersoalkan sama ada Dewan Rakyat atau ke Dewan Undangan Negeri. Jelas di sini bahawa proses pilihan raya itu sendiri dibuat oleh rakyat bagi memilih para pemimpin mereka secara tidak langsung melalui parti yang bertanding, maka ianya tidak boleh dengan mudahnya dipersoalkan di mahkamah.

Seterusnya perkara 119 (1) pula menyebut tentang kelayakan bagi individu yang ingin mengundi dalam pilihan raya. Perkara tersebut memberi peluang kepada semua warganegara yang telah berumur 21 pada tarikh kelayakan, seorang yang bermastautin di dalam mana-mana bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan dan didaftarkan sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia bermastautin di bawah mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan pilihan raya. Rasionalnya perkaitan perkara ini dengan pelaksanaan demokrasi menerusi pilihan raya ialah, setiap warganegara berhak untuk mengundi bagi memilih kerajaan yang mereka inginkan apabila telah cukup menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Warganegara didefinisikan dalam perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan sebagai warganegara Persekutuan. Penetapan had umur mengundi pada usia 21 tahun, memberi gambaran bahawa warganegara Persekutuan yang telah dewasa sahaja diberikan hak untuk mengundi kerana telah mencapai usia dewasa dan arif dalam memikirkan masa depan bagi negara mereka sendiri. Klausa 1 (b), menunjukkan lagi bahawa hanya individu yang menetap di sesebuah kawasan pilihan raya tersebut sahaja yang boleh mendaftar sebagai pengundi. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat diberikan peluang untuk mengundi di tempat mereka menetap dan tidak dipengaruhi oleh individu lain yang tinggal di kawasan pilihan raya yang berbeza bagi menentukan pemimpin di kawasan mereka sendiri. Masalah Pelaksanaan Demokrasi Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Melalui Pilihan Raya. Proses pilihan raya secara dasarnya telah digariskan di dalam Perkara 113 sehingga Perkara 120 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, secara amnya pilihan raya merupakan salah satu ciri penting sistem demokrasi yang diguna pakai di Negara kita. Namun begitu, terdapat beberapa permasalahan untuk melaksanakan pilihan raya secara demokrasi berdasarkan perlembagaan persekutuan. Permasalahan yang pertama ialah tempoh berkempen. Hal ini telah ditetapkan oleh Akta Pilihan Raya 1958 bahawa tempoh berkempen bagi setiap parti yang bertanding ialah selama 9 hari dan aktiviti kempen ini perlu dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.. Seharusnya tempoh itu perlu dikekalkan atau ditetapkan untuk menjamin pilihan raya yang telus dan memberi masa yang secukupnya bagi setiap calon untuk berkempen. Namun, permasalahan timbul apabila pilihan raya tahun 2004 dimana tempoh berkempen bagi calon-calon yang bertanding hanya dibenarkan selama 8 hari sekali gus menjadikan tempoh masa berkempen yang paling singkat dalam sejarah pilihan raya Negara. Oleh itu, menjadi persoalan bagaimanakah proses yang seharusnya dilaksanakan secara demokrasi tetapi tidak diamalkan sebegitu rupa

Seterusnya, permasalahan yang kedua ialah pada Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan yang menerangkan mengenai keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya seterusnya menimbulkan isu mengenai ketelusan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Perkara ini jelas dilihat dalam pilihan raya tahun 2004. Sepatutnya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia melaksanakan tugas mereka dengan jujur dan telus namun kepincangan dan kelompongan tugas jelas terlihat ketika pilihan raya tahun 2004. Kejadian seperti terlalu banyak kehilangan nama pengundi, pengundi yang tidak pernah mendaftar tetapi nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih dan bagi yang sudah mendaftar namun tesenarai dalam daftar di kawasan undi yang jauh dari alamat tinggal mereka. Tidak dilupakan bagi yang berdaftar dan pernah mengundi tetapi tidak diberi notis akan pemindahan ke pusat lain. Kejadian-kejadian seperti ini telah menimbulkan persoalan mengenai ketelusan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia ketika melaksanakan tugas mereka. Sekiranya senario seperti ini berterusan bagaimanakah kita hendak mengamalkan proses pilihan raya secara demokrasi setiap empat tahun sekali. Selain itu, Perkara 114(3) yang menerangkan mengenai tiada seorang Suruhanjaya Pilihan Raya boleh dipecat melainkan dengan alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Adakah releven seorang Suruhanjaya Pilihan Raya di sama tarafkan dengan seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Bahkan skop kerja serta etika kedua-dua individu juga berlainan. Hal ini disebabkan, bagaimana kita ingin menghakimi sifat dan sikap seseorang Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa mereka tidak mewakili atau mempunyai perasaan pilih kasih terhadap sesuatu parti. Isu mampu mengganggu gugar sistem demokrasi yang seharusnya menjadi garis pandu untuk mencapai kemakmuran Negara. Tidak dilupakan dengan isu peggunaan dakwat kekal. Dakwat kekal telah digunakan ketikan Pilhan Raya Umum ke-13 dengan tujuan untuk menggelakkan undian dilakukan lebih daripada sekali oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun apa yang menjadi persoalan sejauh manakah keberkesanan penggunaan dakwat kekal ini mampu membantu proses demokrasi yang dilakukan lima tahun sekali. Terdapat beberapa isu yang dapat dibangkitkan apabila penggunaan dakwat kekal ini sebenarnya boleh dibasuh dan dihilangkan. Perkara ini akan membawa kepada pengundian lebih daripada sekali seterusnya berlawanan dengan tujuan pengenalan dakwat kekal itu sendiri. Isu mengenai ketidak telusan mengenai ada dakwat kekal yang boleh hilang dan ada yang tidak boleh hilang mampu menyebabkan hasil pengundian tidak dilkakukan dengan telus seterusnya tidak mencerminkan aspek demokrasi yang diamalkan oleh pentadbiran Negara selama ini. Permasalahan yang keempat ialah pada Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tentang kelayakan pemilih iaitu tiap-tiap warganegara yang telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan. Hal ini menjadi masalah kerana perlunya untuk di naikkan umur minimum mengundi kepada 23 tahun. Ini disebabkan, ketika seseorang itu mencapai umur 21 tahun, pada dasarnya indivdu itu baru sahaja menamatkan zaman persekolahan. Oleh itu, mentaliti dan pemikiran mereka mudah dipengaruhi terutama dengan aspek-aspek pembacaan yang kurang pasti sukebenarannya. Ini bukan sahaja akan menjejaskan kemakmuran Negara malah mampu mengganggu gugat sistem demokrasi yang telah sebati dengan sistem pentadbiran Negara kita. Selain itu, berdasarkan Perkara 113(2)(i) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan persempadan semula di Malaysia berikutan penambahan penduduk atau pembangunan yang dilakukan di sesuatu kawasan. Isu yang terlibat ialah mengenai konsep satu pengundian satu undi. Hal ini dapat diilustrasikan dengan jumlah pegundi bagi dua kawasan dalam negeri Selangor iaitu Kawasan Kapar dan Sabak Bernam. Jumlah pengundi bagi kawsan Kapar ialah seramai 144,369 pengundi manakala jumlah pengundi bagi kawasan Sabak Bernam hanya 37,390 pengundi. Dapat disimpulkan bahawa jumlah pengundi di Kapar adalah 4 kali ganda lebih daripada jumlah pengundi Sabak Bernam. Jelaslah disini isu mengenai persempadanan semula perlu dititik beratkan untuk menjamin konsep demokrasi seterusnya ketelusan ketika proses pengundian dilakukan. Kesan Positif dan Negatif Pelaksanaan Demokrasi Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan melalui Pilihan Raya

Kesan Positif 1. Kelancaran perjalanan pilihan raya dapat dipastikan. Kewujudan badan yang mentadbir perjalanan pilihan raya iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membolehkan proses sebelum dan semasa pilihan raya itu menjadi lancar kerana suruhanjaya ini memainkan beberapa peranan yang penting seperti menentukan sempadan pilihan raya, menjalankan pendaftaran pemilih dan menjamin kebebasan pilihan raya. Dengan ini, tiada sebarang kekhuatiran tentang ketidaklancaran perjalanan pilihan raya kerana wujudnya sebuah badan bersifat bebas yang dapat mengawal perjalanan semasa pilihan raya. 2. Ketidakseimbangan penduduk bagi seluruh daerah yang mengundi dapat dikurangkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berperanan dalam mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya setiap lapan tahun dan tidak melebihi 10 tahun. Kajian semula persempadanan kawasan ini amat penting bagi menjamin keseimbangan penduduk berikutan oleh penambahan jumlah penduduk atau pembangunan yang berlaku di sesuatu kawasan dari semasa ke semasa. Persempadanan kawasan pilihan raya ini dapat memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilih pada masa hadapan. 3. Mana-mana pihak boleh mengemukakan rayuan atau bantahan kepada mahkamah pilihan raya sekiranya berlaku keraguan di dalam pilihan raya dan keputusannya. Menurut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, tiada pemilihan ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara boleh dipersoalkan melainkan dengan mengemukakan petisyen pilihan raya kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya diadakan. Seksyen 35, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) juga menjelaskan petisyen pilihan raya boleh dibuat sekiranya pempetisyen merasakan perisytiharan bahawa pilihan raya tidak sah, orang itu tidak dipilih dengan sewajarnya atau sepatutnya telah tidak dilapor pilih dan suatu tafahus, jika kerusi dituntut untuk seseorang calon yang tidak berjaya atas alasan dia mendapat majoriti. Permohonan petisyen ini boleh menyelesaikan keraguan yang berlaku dalam pilihan raya dan keputusannya. 4. Keputusan yang diperoleh daripada orang yang mengundi semasa pilihan raya adalah benar dan tidak cacat. Hal ini demikian kerana, individu yang layak mengundi perlulah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan seperti yang telah dijelaskan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Perkara tersebut memperuntukkan individu yang layak mengundi mestilah seorang warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan, bermastautin di bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan atau jika tidak bermastautin, merupakan “pengundi tidak hadir” dan didaftarkan di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengn pilihan raya dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempatnya bermastautin pada tarikh kelayakan. Di bawah perkara ini juga telah dijelaskan bahawa seseorang individu itu hilang kelayakan untuk mengundi sekiranya akal fikirannya tidak waras atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan atau telah disabitkan atas kesalahan di mana-mana bahagian Komanwel dan dijatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh melebihi dua belas bulan dan pada tarikh itu dia masih menjalani apa-apa hukuman bagi kesalahan itu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa keputusan undian yang diperoleh adalah dibuat daripada orang yang betul-betul layak dan tidak mempunyai sebarang tuntutan undang-undang. Maka, keputusan yang diperoleh itu adalah benar, diyakini dan seterusnya dapat membentuk sebuah kerajaan yang berdemokrasi. Kesan negatif 1. Ketelusan badan yang mengawal kelancaran pilihan raya sentiasa dipersoalkan. Ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya sering dipersoalkan apabila berlakunya isu-isu seperti “blackout” semasa waktu pengiraan undian dan pemalsuan daftar pemilih. Kita semua mahukan negara Malaysia ini benar-benar menikmati pilihan raya yang adil dan sistem yang telus . Hal ini amat penting bagi membentuk sebuah kerajaan yang betul-betul mampu mentadbir negara dengan baik. Namun, ketelusan ini boleh berubah sekiranya berlaku korupsi terhadap badan yang mengawal perjalanan pilihan raya itu sendiri. 2. Timbul isu “Gerrymandering” daripada proses persempadanan semula. “Gerrymandering” terjadi apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dimanipulasi secara tidak adil dan tidak seimbang untuk memberi manfaat politik kepada sesebuah parti politik. Sebagai contoh, dengan melihat dua kawasan dalam negeri Selangor, iaitu kawasan Kapar mempunyai seramai 144,369 pengundi. Di Sabak Bernam pula (negeri yang sama), jumlah pengundi hanya 37,390. Tetapi, jumlah pengundi di Kapar adalah 4 kali ganda lebih banyak daripada pengundi Sabak Bernam. Oleh itu, nilai undi seorang pengundi di Sabak Bernam adalah sama dengan nilai undi 4 orang pengundi di Kapar. Hal ini akan menyebabkan ketidakseimbangan nilai undi kerana ia bercanggah dengan sistem 1 pengundi, 1 undi. 3. Rakyat hanya dihidangkan dengan ‘menu’ pemimpin. Hal ini demikian kerana walaupun rakyat memiliki kebebasan untuk memilih, namun dari segi pencalonan wakil bukanlah daripada pandangan dan kehendak rakyat sendiri. Sebagai contoh, kawasan A yang mana adanya dua calon yang bertanding, mereka ini telah dipilih oleh ahli di dalam parti yang diwakili oleh mereka. Pencalonan ini bukanlah dibuat secara bersepakat yang mana pemilihannya hanya dibuat oleh sekumpulan pihak yang jumlahnya tidak sampai satu pertiga daripada jumlah penduduk di kawasan tersebut. 4. Negeri yang ditawan oleh kerajaan parti pembangkang akan dipinggirkan oleh kerajaan pusat. Maksud negeri yang ditawan oleh kerajaan parti pembangkang ini adalah kawasan atau negeri yang dimenangi oleh pihak berhaluan kiri atau pihak pembangkang. Hal ini kemudian akan mengakibatkan pihak kerajaan pusat untuk menganaktirikan negeri yang dimenangi pembangkang dengan tidak memberi peruntukan atau dana yang secukupnya bagi melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut. Selain itu, pihak kerajaan yang diwakili parti pemerintah juga akan cuba menakut-nakutkan pelabur tempatan supaya tidak membuat pembangunan di negeri yang ditakluki parti pembangkang. Tindakan pihak pemerintah ini bertujuan untuk memberi gambaran kepada umum bahawa parti pembangkang tidak berjaya dan tidak mampu membangunkan negeri mereka. Justeru, alasan-alasan ini juga digunakan bagi menunjukkan kepada umum tentang betapa daifnya negeri yang dimenangi pihak pembangkang. Kerajaan yang mengamalkan demokrasi tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian kerana walaupun negeri tersebut dimenangi pembangkang, pihak kerajaan wajib memberi peruntukan yang sepatutnya dalam memajukan negeri tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan mengabaikan kebajikan rakyat sedangkan kebajikan rakyat merupakan keutamaan pemimpin.

Rumusan[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, untuk melicinkan pentadbiran negara dan memilih pucuk pimpinan yang baik, negara ini memberi hak kepada rakyat untuk memilih berdasarkan undian yang dibuat menerusi proses pilihan raya. Di dalam konteks ini, ia lebih memfokuskan bagaimana pilihan raya itu dijalankan mengikut Perlembagaan Persekutuan dibawah perkara 113 hingga perkara 120 yang menjelaskan tentang bagaimana proses pilihan raya itu bermula dan juga kelayakan yang perlu ada bagi calon yang bakal diundi. Matlamatnya adalah untuk melicinkan perjalanan pengundian dan proses pilihan raya itu sendiri tanpa melanggar sebarang undang-undang dan juga untuk memberikan hasil yang baik tanpa ada sebarang masalah lain yang timbul. Ianya menunjukkan pilihan raya ini dilakukan dengan sistematik berpandukan Perlembagaan Malaysia yang juga merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Dalam menjalankan proses pilihan raya, badan-badan yang terlibat seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah bagi memudahkan perjalanan proses mengundi dan juga mengelakkan jenayah rasuah bertukar tangan supaya keputusan yang terhasil adalah telus dan adil bagi semua pihak. Pelaksanaan pilihan raya ini juga memberi ruang kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka supaya masa hadapan mereka di negara ini tidak dicabul oleh pucuk pimpinan yang zalim. Tujuan pemilihan yang dijalankan ini bertujuan untuk kebbajikan rakyat di negara ini lebih terjamin dengan pemilihan pemimpin yang betul, kerana pentadbiran negara sistemak adalah untuk kesenangan rakyat pada akhirnya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]