Pilihan raya kecil Ketari 2002

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pilihan raya kecil Ketari 2002 diadakan pada 31 Mac 2002 . Pilihan raya kecil Ketari diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Loke Koon Kam, 59, pada 3 Mac 2002 akibat barah rahang. Barisan Nasional/MCA mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Pahang dengan majoriti undi lebih besar apabila calonnya, Yum Ah Ha menewaskan Choong Siew Onn dari DAP. Dewan Undangan Negeri Pahang kini kembali 30 kerusi manakala pembangkang kekal lapan kerusi iaitu PAS (enam) dan DAP serta Parti Keadilan Nasional (Keadilan), masing-masing satu kerusi.

Yum Ah Ha (51 tahun) yang juga muka baru menang dengan majoriti 2,204 undi. Pada Pilihan raya umum Malaysia 1999, BN menang dengan majoriti 231 undi. Ah Ha memperoleh 7,153 undi manakala Siew Onn, 34, meraih 4,949 undi. Sebanyak 149 undi rosak. Ini adalah kekalahan ketiga Siew Onn selepas tewas dalam Pilihan raya umum Malaysia 1995 dan Pilihan raya umum Malaysia 1999 di kawasan yang sama.

Kemenangan Ah Ha juga bermakna BN menang lima daripada enam kerusi pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 1999. Kecuali Pilihan raya kecil Lunas, Kedah, BN menang di empat kerusi yang dipertandingkan iaitu di DUN Sanggang, Pahang; Parlimen Telok Kemang, Negeri Sembilan; DUN Likas, Sabah dan DUN Indera Kayangan di Perlis.

Keputusan diumumkan di Dewan Sultan Ahmad Shah, Majlis Daerah Bentong, Bentong,Pahang . Turut hadir meraikan kemenangan ialah Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob (Pengerusi BN Pahang) ; Presiden Gerakan Datuk Seri Lim Keng Yaik ; Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu; Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon ; Timbalan Presiden MCA Datuk Lim Ah Lek ; Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhammad Muhd Taib ; Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Khalil Yaakob dan Presiden PPP Datuk M. Kayveas. [1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]