Pilihan raya umum Brazil 2022

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pilihan raya umum telah diadakan pada 2 Oktober 2022 di Brazil untuk memilih presiden, naib presiden, Kongres Kebangsaan, gabenor, naib gabenor dan dewan perundangan semua unit persekutuan, dan Majlis Daerah Fernando de Noronha. Memandangkan tiada calon presiden—atau gabenor dalam beberapa pilihan raya negeri—menerima lebih separuh daripada undi sah pada pusingan pertama, pilihan raya susulan telah diadakan pada 30 Oktober 2022 bagi jawatan ini. Mahkamah Pilihan Raya Tinggi mengisytiharkan bekas presiden sayap kiri Luiz Inácio Lula da Silva sebagai pemenang pilihan raya, mengalahkan penyandang presiden populis kanan Jair Bolsonaro.

Bolsonaro bertanding bagi jawatan penggal kedua. Beliau pertama kali dipilih pada 2018 sebagai calon Parti Liberal Sosial, tetapi meninggalkan parti itu pada 2019, diikuti dengan peletakan jawatan atau pemecatan ramai menterinya semasa penggalnya. Selepas percubaan gagal untuk mewujudkan Perikatan Brazil, beliau menyertai Parti Liberal pada 2021. Dalam pilihan raya 2022, beliau memilih Walter Braga Netto dari parti sama sebagai pasangannya berbanding penyandang naib presiden Hamilton Mourão. Sebagai tindak balas kepada kelebihan Lula dalam tinjauan prapilihan raya, Bolsonaro membuat beberapa tuduhan mengenai penipuan pilihan raya. Ramai pemerhati mengecam dakwaan ini sebagai palsu, dan menyatakan kebimbangan bahawa ia boleh digunakan oleh Bolsonaro untuk mencabar keputusan pilihan raya atau untuk melaksanakan rampasan kuasa sendiri, dalam strategi yang mencerminkan percubaan membatalkan pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2020 oleh presiden AS ketika itu, Donald Trump.

Lula, ahli Parti Pekerja sayap kiri ialah calon untuk penggal ketiga tidak berturut-turut selepas sebelum ini dipilih pada 2002 dan 2006. Penggantinya dari parti sama, bekas presiden Dilma Rousseff, dipilih pada 2010 dan dipilih semula pada 2014 tetapi telah dicabar dan dilucutkan jawatan pada 2016 oleh kerana tuduhan salah laku pentadbiran. Pencalonan Lula yang diingini pada 2018 tidak dibenarkan kerana sabitan tuduhan rasuah pada 2017, dan penahanan berikutnya; beberapa siri keputusan mahkamah menyebabkan beliau dibebaskan dari penjara pada 2019, diikuti dengan pembatalan sabitan dan pemulihan hak politiknya menjelang 2021. Sebagai calon naib presiden pilihan raya 2022, Lula memilih Geraldo Alckmin yang pernah menjadi calon presiden Parti Demokrasi Sosial Brazil pada 2006 dan 2018, tetapi menukar gabungannya dengan Parti Sosialis Brazil pada 2022.

Lula mendahului dalam pusingan pertama, dengan 48.43% undian kepada Bolsonaro dengan 43.20%. Beliau ialah calon presiden pertama yang memperoleh lebih banyak undi berbanding penyandang presiden di Brazil. Walaupun Lula hampir menang dalam satu pusingan, perbezaan antara dua calon utama adalah lebih hampir daripada apa yang dicadangkan oleh tinjauan pendapat. Namun begitu, bahagian undian Lula adalah prestasi kedua terbaik dalam Parti Pekerja dalam pusingan pertama pilihan raya presiden, hanya dikalahkan oleh rekodnya sendiri sebanyak 48.61% pada 2006. Lula menewaskan Bolsonaro pada pusingan kedua, memenangi 50.9% undian kepada Bolsonaro dengan 49.1%, dengan jurang beza undian paling kecil dalam sejarah pilihan raya presiden Brazil. Lula menjadi presiden pertama yang dipilih secara demokrasi untuk mendapatkan penggal ketiga, dan menerima undi popular tertinggi daripada mana-mana presiden yang dipilih secara demokrasi. Pada masa sama, kekalahan Bolsonaro menjadikannya presiden penggal pertama yang kalah cubaan lanjutan ke penggal kedua sejak presiden penyandang dibenarkan bertanding untuk pemilihan semula serta-merta melalui pindaan perlembagaan 1997.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]