Pergi ke kandungan

Pisang olah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pisang olah
Beberapa tandan pisang olah
GenusMusa
SpesiesMusa × paradisiaca
Keturunan kacukanM. acuminata × M. balbisiana
Kumpulan kultivarKultivar daripada sebilangan kumpulan, termasuk Kumpulan AAA, Kumpulan AAB dan Kumpulan ABB
AsalAsia Tenggara[1]
Plantain untuk dijual
Sesikat pisang olah (guineo) di sebelah kiri, dan sebiji plantain terpisah di sebelah kanan dari Morovis, Puerto Rico

Pisang olah atau pisang olahan ialah sekumpulan kultivar pisang dalam genus Musa yang buahnya sering dipakai untuk memasak. Ia tidak dimakan mentah, dan selalunya berkanji.[1] Ia turut dirujuk sebagai plantain atau pisang tanduk.[2][3] Dalam kegunaan botani, istilah "plantain" hanya dipakai untuk "plantain betul", sedangkan kultivar berkanji lain yang dipakai untuk memasak dipanggil "pisang olah".[4] Plantain betul ialah kultivar masakan yang tergolong dalam Kumpulan AAB, sedangkan pisang olah merangkumi mana-mana kultivar masakan yang tergolong dalam Kumpulan AAB, AAA, ABB atau BBB.[4] Nama saintifik terkini yang diterima untuk semua kultivar dalam kumpulan ini ialah Musa × paradisiaca.[4] Pisang tongkat langit (Musa × troglodytarum) dari Kepulauan Pasifik sering dimakan dengan cara dipanggang atau direbus dan secara tidak rasmi dirujuk sebagai "plantain gunung", tetapi ia tidak tergolong dalam mana-mana spesies yang menjadi asal usul semua kultivar pisang moden.

Penerangan

[sunting | sunting sumber]
Dari kiri ke kanan: plantain, pisang merah, pisang rastali dan pisang Cavendish.
Pisang nipahMusa 'Saba' (Kumpulan ABB)

Plantain mengandungi lebih banyak kanji dan kurang gula berbanding pisang pembasuh mulut, jadi ia selalu dimasak atau setidaknya diproses sebelum dimakan. Ia selalunya direbus atau dibakar ketika dimakan muda, dan boleh dijadikan tepung selepas diproses dan diubah menjadi produk bakar seperti kek, roti dan lempeng. Plantain muda turut sesuai direbus dan dipatikan lalu dijadikan pemekat dalam kuah.[5] Isi plantain muda selalunya keras dengan kulit yang sangat kejap dan harus dipotong dengan pisau untuk dibuang.[6]

Plantain kuning yang matang boleh dikupas seperti pisang pembasuh mulut biasa; isinya lebih lembut berbanding buah muda yang belum matang dan sebahagian kanjinya ditukar menjadi gula. Ia boleh dimakan mentah tetapi tidak sebegitu berperisa seperti pisang pembasuh mulut, jadi ia sering dimasak. Ketika digoreng, plantain kuning cenderung terhangus lalu berubah warna perang keemasan. Ia turut digoreng, dibakar, dimasak dalam ketuhar atau dipanggang di atas arang, sama ada dikupas atau tidak.[7]

Plantain menjadi makanan ruji di rantau tropika dunia, menduduki tempat kesepuluh sebagai makanan ruji paling penting di dunia. Sebagai makanan ruji, plantain diolah dengan cara yang hampir sama dengan kentang, dengan perisa neutral dan tekstur yang mirip ketika buah muda dimasak dengan cara dikukus, direbus atau digoreng.[7]

Memandangkan plantain berbuah sepanjang tahun, ia menjadi makanan ruji yang boleh diandalkan, terutamanya di negara-negara membangun dengan teknologi penyimpanan, pengawetan dan pengangkutan makanan yang terhad. Di Afrika, plantain dan pisang menyediakan lebih 20 peratus keperluan kalori bagi lebih 70 juta orang.[8] Ladang plantain terjejas dengan kemusnahan akibat taufan kerana spesies Musa tidak tahan terhadap angin kencang.[9]

Plantain sederhana menyediakan sekitar 920 kilojoule (220 kilocalorie) tenaga makanan dan menjadi sumber kalium dan serabut diet yang baik.[10] Getah daripada kulit buah serta seluruh tumbuhan boleh meninggalkan kesan pada pakaian dan tangan, dan sukar untuk ditanggalkan.[11]

Taksonomi

[sunting | sunting sumber]

Carl Linnaeus pada asalnya mengelaskan pisang ke dalam dua spesies berdasarkan penggunaannya sebagai makanan: Musa paradisiaca untuk plantain dan Musa sapientum untuk pisang pembasuh mulut. Kededuanya kini diketahui merupakan kacukan antara spesies Musa acuminata (genom A) dan Musa balbisiana (genom B). Nama terbitan awalnya, Musa × paradisiaca, kini digunakan sebagai nama saintifik untuk semua kacukan tersebut. Kebanyakan plantain moden ialah triploid mandul yang tergolong dalam Kumpulan AAB, yang terkadang dikenali sebagai "Kumpulan Plantain". Kumpulan pisang olah lain yang penting dari segi ekonomi termasuk pisang Tanah Tinggi Afrika Timur (subkumpulan Mutika/Lujugira) daripada Kumpulan AAA dan plantain Pasifik (termasuk subkumpulan Popoulo, Maoli, dan Iholena), juga daripada Kumpulan AAB.[12]

Pisang goreng ialah salah satu kudapan daripada plantain yang digoreng jeluk dalam minyak kelapa. Pisang goreng boleh disalut dengan tepung sadur atau digoreng terus tanpa tepung. Ia kudapan yang banyak ditemukan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.[13]

Di negara-negara Amerika Tengah dan Kepulauan Karibia, plantain digoreng, direbus atau dimasukkan ke dalam sup. Di Kerala, plantain yang ranum dikukus dan dimakan sebagai sarapan. Di Ghana, plantain dijadikan sebagai masakan rebus. Selain itu, plantain ranum yang digaul dengan rempah digoreng dengan minyak sawit atau minyak kacang tanah.

Di selatan Amerika Syarikat, terutama di Texas, Louisiana dan Florida, plantain dibakar di atas penyalai. Di Guatemala, plantain direbus, dilenyek dan disumbat dengan kacang hitam yang dimaniskan. Kemudian, ia digoreng bersama minyak jagung atau minyak bunga matahari. Di Puerto Rico, Republik Dominica dan Cuba, plantain direbus, dilenyek dan kemudian dimakan bersama telur goreng sebagai sarapan.

Plantain, mentah
"Musa × paradisiaca" (Nilai Harian)
Nilai pemakanan per 100 g (3.5 oz)
Tenaga 510 kJ (120 kcal)
Karbohidrat 31.89 g
- Gula 10 g
- Serabut diet 2.3 g
Lemak 0.37 g
Protein 1.3 g
Vitamin A setara 56 μg (7%)
- beta-karotena 457 μg (4%)
Tiamina (vit. B1) 0.052 mg (5%)
Riboflavin (vit. B2) 0.054 mg (5%)
Niasin (vit. B3) 0.686 mg (5%)
Asid pantotenik (B5) 0.26 mg (5%)
Vitamin B6 0.299 mg (23%)
Folat (vit. B9) 22 μg (6%)
Kolina 13.5 mg (3%)
Vitamin C 18.4 mg (22%)
Vitamin E 0.14 mg (1%)
Vitamin K 0.7 μg (1%)
Kalsium 3 mg (0%)
Besi 0.6 mg (5%)
Magnesium 37 mg (10%)
Fosforus 34 mg (5%)
Kalium 499 mg (11%)
Natrium 4 mg (0%)
Zink 0.14 mg (1%)
Air 65.3 g
Full Link to USDA Database entry
Peratusan dianggarkan
menggunakan syor A.S. untuk orang dewasa.
Sumber: USDA Nutrient Database

Plantain mengandungi 32% karbohidrat dengan 2% serabut diet dan 15% gula, 1% protein, 0.4% lemak, dan 65% air, dan membekalkan 510 kilojoule (122 kilocalorie) tenaga makanan dalam 100-gram (3 12-auns) hidangan rujukan (jadual). Plantain mentah adalah sumber vitamin B6 (23% DV) dan vitamin C (22% DV) yang baik (20% atau lebih Nilai Harian, DV), dan sumber magnesium dan kalium yang baik (10–19% DV).

Dengan kandungan beta-karotena yang sedikit (457 mikrogram per 100 gram), plantain bukanlah sumber vitamin A yang baik (jadual).

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b "Plantain | Description, Uses, History, & Facts". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-10-03.
  2. ^ Xiaofeng (23 Disember 2020). "Pisang Tanduk, The Gigantic Banana". Malaysia Vegetarian Food. Dicapai pada 2022-09-06.
  3. ^ "plantain". Kamus Inggeris-Melayu Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2012.
  4. ^ a b c Advancing Banana and Plantain R and D in Asia and the Pacific. International Plant Genetic Resources Institute. 2000. m/s. 55–60. ISBN 9789719175131.
  5. ^ "Can you eat raw plantains?". Emborahome. 10 November 2020. Dicapai pada 2021-06-14.
  6. ^ Rodriguez, Hector (2020-03-25). "The Right Way to Peel a Plantain". The Spruce Eats (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2019. Dicapai pada 2021-04-05.
  7. ^ a b Albert, Steve (2009-07-01). "Plantains: Kitchen Basics". Harvest to Table (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2021. Dicapai pada 2021-04-05.
  8. ^ UNCST (Julai 2007). "THE BIOLOGY OF BANANAS AND PLANTAINS" (PDF). Uganda National Council for Science and Technology in collaboration with PBS – a US Agency for International Development (USAID). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 16 Disember 2011.
  9. ^ Morse, Sarah. "Banana Tree Wind Damage". Home Guides | SF Gate (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Oktober 2014. Dicapai pada 2021-04-05.
  10. ^ "Plantains". Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Januari 2013. Dicapai pada 25 Ogos 2009.
  11. ^ "La mancha de plátano". El Nuevo Dia (dalam bahasa Sepanyol). 15 April 2011. Dicapai pada 30 Julai 2019.
  12. ^ Randy C. Ploetz; Angela Kay Kepler; Jeff Daniells; Scot C. Nelson (2007). "Banana and plantain – an overview with emphasis on the Pacific island cultivars" (PDF). Species Profiles for Pacific Island Agroforestry. Dicapai pada 5 Jun 2011.
  13. ^ Goldstein, Darra (2015). The Oxford companion to sugar and sweets. Oxford. ISBN 978-0-19-931361-7. OCLC 905969818.