Please Give Me a Job!

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Please Give Me a Job!
GenreRancangan pertandingan realiti
PenciptaAhmad Izham Omar
PengacaraAzah Yasmin
Negara asalMalaysia Malaysia
Bilangan musim1
Bilangan episod9
Penyiaran
Saluran asal8TV
Siaran asal15 April 200710 Jun 2007

Please Give Me a Job! ialah rancangan realiti terbitan Red Communications Sdn Bhd dan 8TV yang memaparkan 10 orang graduan baru mencuba sedaya upaya dengan harapan mampu memuaskan majikan berpotensi mereka. Setiap episod rancangan realiti ini menyaksikan para siswazah baru ini bertanding secara berkumpulan dan menduga pelbagai tugasan.

Rancangan ciptaan Ahmad Izham Omar yang ditaja oleh Kolej SEGi ini diacarakan oleh Azah Yasmin. Datuk Clement Hii sebagai ketua pegawai eksekutif SEGi juga memainkan peranan dalam rancangan ini sebagai mentor kepada para peserta yang memberi taklimat kecil yang menyisipkan kata-kata hikmat kepada mereka pada permulaan setiap episod.

Format[sunting | sunting sumber]

Tidak seperti rancangan realiti berformat penyingkiran umpama The Apprentice yang mengecaikan impian seorang demi seorang, Please Give Me a Job! "menyingkirkan" pesertanya dengan menempah pekerjaan baginya setelah berlalunya setiap cabaran. Sapanjang rancangan ini, para peserta dikehendaki menduga cabaran-cabaran yang berbeza dalam syarikat-syairkat yang berlainan bidangnya. Setelah habisnya sesuatu cabaran, majikan syarikat akan memilih beberapa orang peserta untuk ditemu duga dan seorang daripada yang ditemu duga itu akan dipastikan tempat pekerjaan dalam syarikat tersebut.

Musim pertama[sunting | sunting sumber]

Peserta[sunting | sunting sumber]

Nama (Umur) Kelayakan akademik, Institusi Diambil kerja (Episod, Syarikat)
Nurul Ain @ Katina Latif (21) Sarjana Muda Seni Persembahan, Universiti Tasmania (?) [1]
G. Justin Frances (24) Sarjana Muda Perundangan, Program Universiti London di Kemayan ATC Episod 9 (diberi biasiswa SEGi sebagai saguhati)
Juliet John (24) Sarjana Muda Psikologi, Universiti Australia Selatan Episod 9, Royal Selangor
Mohd Farez Atan (24) Ijazah Komunikasi & Pengajian Media (Kehormatan dalam Pengiklanan) Episod 8, Kolej SEGi
Hisham Albakri Abdullah (24) Sarjana Muda Multimedia (Pengajian Media), Universiti Teknologi Swinburne Episod 7, Metropolitan TV Sdn Bhd
Krystle Lim Xin Ee (22) Sarjana Muda Communications (Komunikasi Persuasif), Program Universiti Sains Malaysia di Kolej Taylor's Episod 6, Meda Inc. Berhad
Mike Cheng (22) Sarjana Muda Komunikasi Massa & Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Queensland Episod 5, Kumpulan Andaman
Azira Mustafa (24) Rekabentuk Dalaman, Kolej Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing Episod 4, Red Communications
Natalia Chan (21) Sarjana Muda Komunikasi dalam Pengiklanan & Pemasaran Episod 3, MindShare
Charlene Rayna Sebastian (24) Sarjana Muda Sains dalam Psikologi, Sarjana Muda Sains dalam Komunikasi, Kolej SEGi Episod 2, Media Prima
  1. ^ Dalam episod 9 adalah didapati bahawa Katina ini sebenarnya seorang pelakon yang dimasukkan ke pertandingan oleh penerbit

Senarai episod[sunting | sunting sumber]

Episod 1 (disiarkan 15 April 2007)

Sepuluh orang peserta tiba di bangunan Kolej SEGi untuk memulakan perjalanan dalam pertandingan ini. Mereka diuji untuk menjalani temu duga pertama mereka serta menghasilkan résumé yang bermutu di hadapan seorang penilai. Ujian ini telah menyaksikan beberapa pertelingkahan dengan penilai yang disifatkan sebagai tegas dengan kehendaknya. Kemudian, mereka memastikan penampilan mereka melalui pilihan pakaian mereka di 1 Utama.

Episod 2 (disiarkan 22 April 2007)

Episod inilah yang menyaksikan cabaran pertama mereka sepanjang pertandingan ini, iaitu menghasilkan iklan promo yang dibintangi oleh dua orang juruhebah terkenal dari Fly FM, Phat Fabes dan Ben. Mereka dibahagikan kepada dua pasukan — sepasukan diketuai oleh Farez manakala pasukan yang lain oleh Charlene, dan dinilai oleh dua orang pengurus atasan Rangkaian Radio Media Prima.
Sungguhpun maklum balas daripada pengurus tersebut terhadap mutu iklan kedua-dua pasukan kurang memuaskan, namun mereka memilih pasukan Charlene sebagai pemenang lalu memilih ketuanya bersama Azira dan Hisham dari pasukan itu untuk ditemu duga.
Akhirnya Charlene ditawarkan pekerjaan di Media Prima lalu menamatkan perjalannya dalam pertandingan.

Episod 3 (disiarkan 29 April 2007)

Sembilan orang peserta yang tinggal dibahagikan kepada dua pasukan lagi, kali ini masing-masing diketuai Farez dan Krystle. Mereka ditugaskan untuk membentangkan idea kepada syarikat pengiklanan MindShare bagi promosi filem Pirates of the Carribean: At World's End. Idea dan pembentangan mereka dinilai oleh dua orang pegawai atasan syarikat tersebut. Keputusannya, pasukan Krystle menang dalam cabaran ini kerana menurut para penilai, sikap bekerjasama antara ahli-ahli pasukan itu lebih menyerlah berbanding pasukan Farez. Ketua pasukannya Krystle dan dua orang ahlinya yang lain Hisham dan Natalia dipilih untuk ditemu duga pihak MindShare.
Natalia ditawarkan pekerjaan oleh MindShare lalu menamatkan perjalanannya dalam pertandingan.

Episod 4 (disiarkan 6 Mei 2007)

Lapan orang peserta yang tinggal dibahagikan kepada dua kumpulan yang masing-masing diketuai Juliet dan Mike, lalu ditugaskan untuk menghasilkan klip video yang bertemakan kesedaran AIDS bagi syarikat pembikinan filem dan rancangan televisyen Red Communications. Setelah penilaian dibuat oleh para pengurus Red Communications, sungguhpun kurang puas hati dengan pengurusan masa dan agihan kerja kedua-dua kumpulan, namun Mike dan dua ahli kumpulannya Azira dan Hisham (buat kali ketiga) dipilih untuk temu duga. Akhirnya, walaupun kurang berpengalaman dalam bidang media, Azira ditawarkan pekerjaan di syarikat tersebut.

Episod 5 (disiarkan 13 Mei 2007)

Dengan tinggalnya tujuh orang pencari kerja bertanding (bagaimanapun, Katina tidak hadir kerana jatuh sakit), tugasan seterusnya ialah untuk mempromosikan the Cova, projek pembangunan baru Kumpulan Andaman kepada para pelanggan serta membentangkan idea kepada para pengurus syarikat. Farez dan Hisham menjadi ketua kumpulan.
Satu peristiwa yang penting dalam episod ini ialah apabila Farez cuba menujar mengenai menawarkan perkhidmatan feng shui bagi seorang pelanggan yang memerlukannya lalu merunsingkan para pengurus Andaman setelah tahu mengenainya. Namun begitu kumpulan Farez yang turut terdiri daripada Krystle and Mike menang lalu ditemu duga. Akhirnya Mike ditawarkan untuk bekerja di Andaman.

Episod 6 (disiarkan 20 Mei 2007)

Enam orang peserta yang tinggal dibantu oleh Azira dan Natalia yang dibawa kembali untuk masing-masing membantu kumpulan Justin dan Katina basi tugasan pengurusan acara sempena Hari Wanita Sedunia di Summit USJ. Seperti biasa, pihak pengurusan Meda Inc. Berhad, pemaju Summit USJ. Episod ini menyaksikan kisah drama persengketaan dan kekusutan antara ahli pasukan Justin.
Akibat masalah yang menimpa pasukan lawan, pasukan Katina menang maka ketua kumpulan itu serta Krystle diambil untuk ditemu duga. Akhirnya Krystle diberi ruang untuk bekerja di Meda.

Episod 7 (disiarkan 27 Mei 2007)

Tinggal lima orang peserta, tetapi Mike dikembalikan untuk memastikan kumpulan Hisham dan Juliet seimbang bagi tugasan masing-masing mengadakan sidang media bagi rancangan-rancangan 8TV iaitu So You Think You Can Dance dan Project Runway Malaysia. Kumpulan Juliet didiapati tidak mengikut prosedur yang digariskan oleh pengarah 8TV, lalu menyebabkan Juliet berasa kurang puas hati lalu hampir memarahi seorang pengarah syarikat televisyen itu.
Kumpulan Hisham menang pusingan ini kerana para pengarah 8TV mendapati kerjasama antara ahli kumpulan itu lebih memuaskan. Namun begitu, para pengarah itu memutuskan untuk membawa ketua-ketua kedua-dua kumpulan untuk ditemu duga. Akhirnya Hisham diberi kerja di 8TV.

Episod 8 (disiarkan 3 Jun 2007)

Krystle dan Charlene kembali untuk masing-masing membantu gandingan Katina dan Justin, dan gandingan Juliet dan Farez bagi melakukan tugasan yang diberi oleh Bruce Lim, Pengarah Kanan Pemasaran Kolej SEGi untuk mempromosi kampus baru kolej tersebut di Kota Damansara. Kedua-dua pasukan bergantung kepada seorang jurugambar yang sama, dan pasukan Juliet yang menggunakan perkhidmatannya tewrlebih dahulu mengalami kesukaran mengawalnya lalu menyebabkan pasukan katina lewat menerima jurugambar tersebut.
Pasukan Katina memenangi cabaran ini kerana para eksekutif mendapati idea promosi mereka lebih efektif , maka ketua pasukan itu dipilih untuk ditemu duga. Namun, Farez turut terpilih lalu memenangi peluang pekerjaan di SEGi.

Episode 9 (disiarkan 10 Jun 2007)

Episod terakhir musim ini bermula dengan pendedahan menejut bahawa Katina sebenarnya seorang pelakon bernama Nurul Ain yang dimasukkan ke pertandingan oleh penerbit untuk bergaul dan bekerja dengan para peserta. Maka tinggalnya Juliet dan Justin untuk meraih ruangan terakhir di Royal Selangor, masing-masing dengan bantuan Natalia dan Hisham, dengan menjual sebanyak hasil piuter buatan syarikat tersebut kepada para selebriti tempatan dalam satu acara tertutup.
setelah melalui perbincangan oleh enam orang pengarah Royal Selangor, Juliet dipilih untuk mengisi ruangan dalam syarikat itu, manakala Justin yang gagal menempah pekerjaan dari pertandingan ini diberi biasiswa oleh SEGi untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat Sarjana.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]