Politik Jerman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jerman

Rencana ini sebahagian daripada siri:
Politik dan pemerintahan
Jerman



Negara-negara lain · Atlas
 Portal Politik

Jerman ialah sebuah republik persekutuan yang mengamalkan demokrasi berperwakilan dan berparlimen. Sistem politik di Jerman beroperasi dalam rangka kerja satu dokumen bertaraf perlembagaan yang dipersetujui pada tahun 1949 yang dipanggil Grundgesetz (Hukum Asas). Dengan memanggilnya Grundgesetz dan bukannya Verfassung (perlembagaan), penulis-penulisnya ingin menyampaikan hasrat bahawa dokumen ini akan digantikan dengan sebuah perlembagaan yang lebih elok tatkala seluruh Jerman disatukan dalam sebuah negara. Pindaan-pindaan ke atas Grundgesetz selalunya memerlukan majoriti dua pertiga di dalam parlimen dan juga Majlis Persekutuan. Namun bagi perkara-perkara yang menjamin hak asasi manusia, pengasingan kuasa, rangka persekutuan dan hak menentang usaha menggulingkan perlembagaan adalah kekal dan tidak boleh dipinda.[1] Walaupun penggunaannya hanya dirancang sehingga penyatuan semula, Grundgesetz masih lagi terus digunakan sehingga hari ini dengan beberapa pindaan-pindaan kecil.

Presiden Jerman, Horst Köhler.

Ketua Negara Jerman ialah Bundespräsident (Presiden Persekutuan). Penjawat ke jawatan ini - ketika ini ialah Horst Köhler - dilantik oleh Bundesversammlung (Majlis Perhimpunan Persekutuan), iaitu sebuah institusi yang mengandungi anggota-anggota parlimen dan perwakilan negeri-negeri. Jawatan kedua tertinggi di Jerman mengikut aturan ialah Bundestagpräsident (Presiden Parlimen) yang dilantik oleh parlimen dan berperanan mengawalselia sesi harian badan itu. Jawatan seterusnya pula ialah canselor yang dicalonkan oleh Presiden Parlimen setelah diundi oleh ahli-ahlinya. Canselor boleh digulingkan melalui satu undian tidak percaya yang membina. Membina di sini bermaksud parlimen boleh melantik penggantinya yang baru dengan serta-merta.

Canselor Jerman, yang ketika ini dijawat oleh Angela Merkel, adalah ketua kerajaan dan beliau menjalankan kuasa-kuasa eksekutif, sama seperti seorang Perdana Menteri di demokrasi berparlimen yang lain. Kuasa perundangan terletak di bahu Parlimen dan Majlis Persekutuan dan kedua-duanya membentuk satu badan perundangan yang unik. Parlimen dipilih melalui pilihan raya yang mengamalkan sistem perwakilan bercampur yang bernisbah (Inggeris: mixed-member proportional system). Ahli-ahli Majlis Persekutuan pula mewakili kerajaan-kerajaan negeri malah turut menganggotai kabinet negeri. Mereka ini bertugas seperti seorang duta negeri dan boleh dipecat atau digantikan oleh kerajaan negeri pada bila-bila masa.

Sejak tahun 1949 sistem politik di Jerman didominasi oleh Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) dan juga Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD). Namun, terdapat juga beberapa parti kecil seperti Parti Demokratik Bebas yang liberal, Pakatan '90/Hijau dan Parti Kiri yang turut diwakili di parlimen juga memainkan peranan penting.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Perkara 79, Hukum Asas Republik Persekutuan Jerman (dalam bahasa Jerman) Bundesministerium der Justiz. Dicapai pada 10 Jun 2008