Portal:Kanada/Pendahuluan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Unjuran benua Amerika Utara dengan negara Kanada ditandakan dengan warna hijau
Unjuran benua Amerika Utara dengan negara Kanada ditandakan dengan warna hijau

Kanada (Jawi: كنادا; Inggeris dan Perancis: Canada) ialah sebuah negara yang terdiri daripada sepuluh buah negeri dan tiga buah wilayah. Terletak di bahagian utara benua Amerika Utara, Kanada menjangkau dari Lautan Atlantik di timur hingga ke Lautan Pasifik di barat serta Lautan Artik di utara. Ia merupakan negara kedua paling luas di dunia selepas Persekutuan Rusia. Sempadan Kanada dengan Amerika Syarikat di bahagian selatan dan barat laut merupakan sempadan antarabangsa terpanjang di dunia.

Kanada merupakan sebuah negara persekutuan yang ditadbir mengikut sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dengan Ratu Elizabeth II selaku ketua negara dan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan. Ia adalah sebuah negara dwibahasa yang menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi di peringkat persekutuan. Dengan mencatat Indeks Pembangunan Insan kelapan tertinggi di dunia, Kanada adalah antara negara yang menikmati taraf hidup yang tertinggi di dunia. Selain itu, negara ini juga menjadi anggota dalam beberapa pertubuhan sedunia seperti Kumpulan Lapan (G8), Kumpulan Dua Puluh Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat (G-20), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).