Proses Pembentukan Persekutuan Malaysia 1963

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Sebahagian daripada satu siri tentang
Sejarah Malaysia
Kemerdekaan Malaya dan proklamasi penggabungan Borneo Utara dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.
 
Portal Malaysia

Keadaan Malaysia sekarang lebih stabil keadaan ekonomi dan sosialnya walaupun terdapat beberapa isu yang timbul pada masa sekarang. Telah berlaku beberapa tahap perubahan yang Tanah Melayu harus lalui yang mana perjalanannya telah menggunakan masa dan tenaga daripada pelbagai pihak untuk menjayakan pembentukan Persekutuan Malaysia. Setelah mencapai kemerdekaan, Parti Perikatan yang memerintah Tanah Melayu mendapati keadaan politik yang tidak tenteram di negara-negara jiran boleh memberi kesan kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Justeru, Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyuarakan idea pembentukan Gagasan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Faktor-faktor pembentukan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Mengelakkan ancaman dan pengaruh komunis[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bimbang akan pengaruh komunis yang semakin bertapak dan juga berkembang di Asia Tenggara. Pengaruh komunis dapat dilihat mula meresap masuk ke dalam fahaman parti yang memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Aktiviti dan fahaman komunis juga kelihatan semakin bertapak dengan kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong.

Hal ini disokong apabila kawasan Hong Lim dan Anson di Singapura menunjukkan peningkatan fahaman komunis yang aktif dan semakin merebak pada tahun 1961. Pihak Tunku Abdul Rahman Al-Haj khuatir akan perkembangan fahaman komunis bilamana pada satu tahap, ia akan menguasai pentadbiran Singapura dan boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu kerana kedudukan geografi kedua-dua negara ini yang berdekatan. Oleh itu, beliau berpendapat penubuhan negara Malaysia akan menjadi rintangan perkembangan fahaman komunis daripada semakin merebak di Singapura.

Memberi kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura[sunting | sunting sumber]

Tubuhnya Persekutuan Malaysia dapat memberikan negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura kemerdekaan yang lebih awal daripada yang dijangkakan daripada jajahan British. Hal ini disebabkan negara-negara tersebut masih lagi di bawah jajahan pihak British semasa cadangan ini ditimbulkan dan diketengahkan oleh pihak Tunku Abdul Rahman Al-Haj. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai negeri naungan.

Dalam perancangan merealisasikan Persekutuan Malaysia, Persekutuan Malaysia dijangka akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun. Namun, sekiranya Sabah dan Sarawak berusaha untuk mencapai kemerdekaan secara berasingan, dijangkakan kemungkinan yang besar bahawa kemerdekaan itu tidak akan digapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun sebaliknya oleh mereka. Oleh itu, dengan penyertaan menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, ia akan memberi peluang kepada Sabah dan Sarawak untuk mencapai kemerdekaan dengan kadar yang lebih cepat.

Sememangnya dalam jangka tahun 1960-an, kerajaan British mempertimbang untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Tetapi British mengganggap kemerdekaan masih belum boleh diberikan kepada Sabah dan Sarawak disebabkan keadaan politik dan pergerakan ekonomi Sabah dan Sarawak yang masih belum memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa kerajaan British bercadang untuk tidak memberikan kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat termasuklah dalam tempoh lima tahun lagi.

Pendapat ini juga dipertimbangkan secara serius oleh pihak British bahawa sekiranya Sabah dan Sarawak tidak diberi kemerdekaan, maka cengkaman fahaman komunis akan semakin kuat di kedua-dua wilayah tersebut. Hal juga akan menyebabkan pihak British kehilangan kedudukannya dari segi kepentingan ekonomi dan juga pengaruh sosial pada masa akan datang. Selain itu, hal ini juga disokong apabila kuasa-kuasa luar seperti Filipina dan juga Indonesia turut menunjukkan minat terhadap sumber yang berada di wilayah Sabah, Sarawak dan Brunei.

Perkongsian faedah ekonomi[sunting | sunting sumber]

Persekutuan Malaysia membolehkan wilayah-wilayah anggotanya berada dalam posisi di mana mereka harus mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk mendapat keuntungan bersama. Selain itu, wilayah-wilayah anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pula akan menjadi tunjang utama pembangunan ekonomi negara-negara berkenaan. Hal ini kerana Tanah Melayu penuh dengan hasil sumber bahan mentah dan Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya. Pada masa yang sama, keselamatan Singapura pula akan lebih terjamin iaitu dari segi ekonomi.

Pembelaan hak masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak[sunting | sunting sumber]

Keadaan Sabah dan Sarawak sebelum penyertaan ke dalam Malaysia ialah penduduk di wilayah ini tidak mempunyai tawaran hak yang sama penduduk di Semenanjung Tanah Melayu, terutama golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dikawal dan dijawat oleh warga asing. Selain itu, majoriti penduduk asal hanya terlibat dalam sektor domestik seperti pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem penanaman tetap. Sekiranya kedua-dua wilayah ini menyertai ke dalam Persekutuan Malaysia, kebarangkalian penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk mendapat layanan istimewa adalah lebih tinggi.

Struktur perhubungan di kedua-dua wilayah ini yang daif yang mana infrastrukturnya masih bergantung pada sungai-sungai dan perjalanan udara untuk sampai ke sesuatu tempat. Keadaan geografi sebegini menyebabkan rintangan untuk membangunkan sistem perhubungan darat secara besar-besaran. Seterusnya, kedudukan golongan Bumiputera di kedua-dua wilayah ini juga akan diberi perhatian yang lebih bilamana mereka tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan British manakala warga-warga asing mendapat layanan yang berbeza. Justeru kelihatan, tahap pendidikan, kedudukan penguasaan ekonomi dan pengisian jawatan kerajaan lebih tinggi di kalangan warga asing yang mana ia menghadkan kemajuan warga Bumiputera.

Menjaga kepentingan dan hak kaum bumiputera[sunting | sunting sumber]

Tunku Abdul Rahman juga pernah menyatakan kepentingan pembentukan Malaysia untuk menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei dan bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Sekiranya, Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, kedudukan penduduk Melayu sebagai warga majoriti akan hilang kerana warga Singapura kebanyakannya ialah penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, warga bukan Melayu akan menjadi golongan majoriti menggantikan warga Melayu.

Reaksi negara-negara jiran[sunting | sunting sumber]

Pembentukan Malaysia mendapat tentangan yang hebat daripada 2 buah negara iaitu Filipina dan Indonesia. Hal yang dipertikaikan kedua-dua buah negara ini melibatkan kedudukan geografi, sumber asli dan juga perancangan tersendiri mereka. Seterusnya, hal ini menyebabkan Filipina membantah kewujudan Malaysia dan Indonesia pula cuba menghalang pembentukan Malaysia.

Filipina[sunting | sunting sumber]

Isu yang disentuh oleh Presiden Macapagal selaku Presiden Filipina ketika itu ialah pendakwaan bahawa Sabah ialah sebahagian daripada milik negaranya. Sekiranya pembentukan Malaysia diteruskan, maka proses tuntutan hak milik Filipina terhadap Sabah akan terganggu dan lebih sulit. Walaupun setelah pungutan suara telah dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold dan ternyata majoriti rakyat wilayah Sabah sendiri memilih untuk menyertai Malaysia, kerajaan Filipina terus membantah keputusan itu. Seterusnya, tindakan drastik yang diambil oleh Filipina sebagai bantahan keputusan tersebut ialah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Indonesia[sunting | sunting sumber]

Indonesia merupakan negara yang terdekat dengan Tanah Melayu mengikut kedudukan geografi, namun pembentukan Malaysia dibantah sekeras-kerasnya oleh kerajaan pada ketika itu. Hal ini dapat dilihat dengan lebih jelas apabila Presiden Sukarno selaku Presidan Indonesia ketika itu yang mana beliau telah mengumumkan dasar konfrantasinya pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Presiden Sukarno telah menyatakan sebab konfrontasinya bahawa protes tersebut adalah kerana Tanah Melayu membelakangkan Indonesia semasa penubuhan Malaysia. Tambahan lagi bagi pihak pentadbiran Indonesia, pembentukan Malaysia mengancam idea pembentukan empayar Indonesia Raya.

Pembantahan terhadap Pembentukan Malaysia naik kepada satu tahap yang lebih tinggi apabila Presiden Sukarno mengarahkan penghantaran Tentera Indonesia untuk memasuki sempadan Sabah dan Sarawak. Seterusnya, tentara Indonesia mendarat di pantai barat Johor supaya pengintipan terhadap perkembangan pembentukan Malaysia dapat dilakukan namun tindakan ini dapat dihalang sehingga perancangan Presiden Sukarno itu menjadi semakin lemah dan akhirnya gagal. Presiden Sukarno telah digulingkan oleh Jeneral Suharto pada tahun 1965 dan tindakan proaktif diambil oleh pihak Indonesia apabila Menteri Luarnya, Adam Malik membuat perjanjian damai bagi menamatkan konfrantasi pada bulan ogos 1966.

Proses pembentukan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Pembentukan Malaysia telah melalui proses yang lama dan merumitkan, namun proses ini penting untuk mengetahui pendapat rakyat sebelum proses penyediaan struktur asas Malaysia dapat disediakan. Pembentukan Malaysia turut memerlukan kerjasama daripada semua pemimpin dan ahli parti politik tersebut untuk menjayakan penstrukturan Malaysia. Seterusnya, proses ini juga melibatkan pembentukan jawatankuasa yang memudahkan pungutan suara dibuat dan pendirian rakyat diambil kira sebelum Malaysia dapat dibentuk.

Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Kaum (JPPK)[sunting | sunting sumber]

Satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Sabah telah diadakan di Singapura pada bulan Julai 1961. Selain itu, semasa mesyuarat ini berlangsung, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut dan tujuan utama penerangan ini dijalankan adalah untuk mengurangkan dan mengelakkan salah faham tentang konsep.

Penerangan ini penting kerana ia melibatkan kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Ekoran daripada langkah ini, ia telah menyebabkan persefahaman yang kukuh yang mana mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Kaum. Mereka juga telah berbincang dan bersetuju bahawa Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh wakil dari wilayah-wilayah yang terlibat dalam pembentukan.

Pengerusi Jawatankuasa tersebut yang dipersetujui ialah Donald Stephens kecuali bagi pihak Brunei yang telah mengambil keputusan untuk bertindak sebagai pemerhati sahaja kerana mereka tidak bersedia untuk menyertai pembentukan Malaysia.

Tambahan lagi, Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menerangkan dengan lebih teliti dan secara jelas akan konsep negara Malaysia kepada rakyat, khususnya rakyat Sabah, Sarawak dan Brunei. Oleh itu, Jawatankuasa tersebut mengambil langkah mengumpul dan membandingkan idea-idea berkaitan dengan struktur pembentukan Malaysia yang dikumpul. Penerangan secara lebih teliti dan diskusi berkaitan dengan struktur Malaysia juga dilakukan lebih kerap supaya rancangan untuk merealisasikan penubuhan Malaysia dapat dicepatkan.

Ahli Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Kaum ini dianggotai oleh:

-Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Lee Kuan Yew (Singapura), Dato' Mustapha Dato' Harun (Sabah), Temenggung Jugah Anak Berieng (Sarawak) dan Dato' Setia Pangeran Ali (Brunei).

Ahli Jawatankuasa tersebut turut mencari jalan untuk mendapat persetujuan daripada semua pemimpin-pemimpik politik di semua daerah yang terbabit. Jawatankuasa ini telah direkod mengadakan pertemuan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.

Suruhanjaya Cobbold[sunting | sunting sumber]

Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961 dan ahlinya dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Ahli-ahli suruhanjaya ini terdiri daripada Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai pemimpin, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Nama Cobbold ialah sempena ketua jawatankuasa tersebut nama Cobbold.

Tujuan utama Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan adalah untuk mengumpul serta mengenal pasti pendapat rakyat Sabah dan Sarawak berkenaan pembentukan Malaysia dan sepanjang Februari hinggga April 1962,Suruhanjaya ini telah berjaya menemui lebih 4000 orang serta menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai memberikan pandangan masing-masing terhadap gagasan Malaysia.

Suara-suara rakyat ini membuktikan sokongan mereka melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang juga telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu. Di samping itu, laporan Suruhanjaya Cobbold turut memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya tersebut berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang telah diterimanya.

Pada 21 Jun 1962, laporan Suruhanjaya ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan setelah dikaji laporan tersebut, kedua-dua kerajaan telah bersetuju menerima hampir kesemua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold. Perdana Menteri Tanah Melayu pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra juga telah menerima serta mengkaji laporan Suruhanjaya Cobbold.

Sebuah Jawatankuasa telah dibentuk oleh Tunku Abdul Rahman untuk mengkaji laporan itu dengan lebih mendalam yang juga dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang terdiri daripada Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Secara keseluruhan, bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu 1/3 daripada kedua-dua buah negara ini menyokong penuh penggabungan tanpa syarat. Selain itu, 1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu dan 1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British.

Jawatankuasa Antara Kerajaan[sunting | sunting sumber]

Setelah Suruhanjaya Cobbold berjaya memberikan laporannya yang agak memuaskan, hal ini disambung dengan merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci. Hal ini telah dilaksanakan oleh sebuah Jawatankuasa yang lain iaitu Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.

Jawatankuasa ini berjaya mereka satu perlembagaan yang melibatkan hasrat rakyat Sabah dan Sarawak berdasarkan memorandum yang diterima oleh parti politik di kedua-dua wilayah tersebut.

Antara perkara yang dibincangkan untuk menjadi elemen utama dalam perlembagan tersebut ialah agama Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak. Kedua ialah bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia

Ketiga ialah hak berkenaan imigresen di Sabah dan Sarawak diserahkan kepada kerajaan negeri walaupun statut mengatakan ia di bawah kuasa pusat. Keempat ialah struktur pembelajaran tetap sehinggalah Majlis Negeri membuat pindaan dan kelima ialah Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah kerusi.

Referendum Singapura[sunting | sunting sumber]

Singapura turut mengadakan satu pungutan suara yang dipanggil Referendum Singapura yang mana fungsinya adalah untuk mendapatkan pandangan rakyat Singapura berkaitan isu Penubuhan Malaysia. Pungutan suara ini diadakan walaupun dengan majoriti parti politik menyokong penubuhan Malaysia supaya suara minoriti yang tidak bersetuju juga akan diambil kira.

Rakyat Singapura telah diberi 3 pilihan undi yang pilihan undi pertamanya mendapat 397 626 undi kerana pilihan pertama menyebut bahawa rakyat Singapura bersetuju untuk bergabung dengan Malaysia sekiranya syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 diikuti. Pilihan keduanya mendapat 9442 undi yang mana ia menyatakan rakyat bersetuju untuk bergabung dengan Malaysia tanpa mengenakan sebarang syarat dan kedudukan Singapura adalah sama dengan wilayah anggota lain.

Seterusnya ialah pilihan ketiga yang mendapat 144 077 undian yang mana pilihan ini mengatakan bahawa rakyat Singapura bersetuju untuk bergabung dengan syarat rakyat Singapura juga haruslah mendapat faedah yang sama dengan wilayah lain.

Secara amnya, Referendum Singapura telah diadakan pada 1 November 1962 dan setelah referendum selesai, ia menunjukkan bahawa 71% rakyat Singapura menyokong pembentukan Malaysia.

SHARON[sunting | sunting sumber]

Satu kata sepakat dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Pada 31 Ogos 1963, satu persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Pada 16 September 1963, upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan tersebut telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Pengisytiharan ini juga turut dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Beliau kemudiannya melaungkan ayat keramat `Merdeka’ sebanyak tujuh kali diselang-seli dengan laungan oleh rakyat yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Rujukan[sunting | sunting sumber]