Proton Waja

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Proton Waja
ڤروتون واج
Proton Waja sebelum perubahan wajah.
Maklumat
PengilangProton
Juga dikenaliProton Impian
Pengeluaran2000–Jun 2011
PendahuluProton Wira
PenggantiProton Persona
KelasKereta kompak
Gaya badanSedan 4 pintu
PelantarFF
Enjin1.6 L Mitsubishi 4G18 I4
1.6 L Proton Campro S4PHI4
1.8 L Renault F4P I4
2.0 L Mitsubishi 6A12 V6
Jarak roda2600 mm
Panjang4465 mm
Lebar1740 mm
Tinggi1420 mm
Berat Curb1175 kg
BerkaitMitsubishi Carisma
Volvo S40

Proton Waja, juga dipanggil Proton Impian di Eropah, merupakan kereta sedan keluaran syarikat automotif nasional Malaysia, Proton, yang juga merupakan kereta pertama direka sendiri tetapi dengan casis yang direka berpandukan casis Mitsubishi Carisma. Dilancarkan pada Mei 2000, Proton Waja menggunakan enjin Mitsubishi 4G18 1.6L sebelum menggunakan enjin Campro pada tahun 2006. Pada penghujung tahun 2005, satu lagi varian eksklusif Waja dengan tapak roda yang lebih panjang iaitu Proton Waja Chancellor dilancarkan, digerakkan oleh enjin 6A12 2.0L V6 yang turut digunakan pada Proton Perdana.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pembangunan Proton Waja bermula pada penghujung dekad 1990-an bersama-sama enjin Campro tetapi enjin tersebut masih dalam peringkat pembangunan semasa Proton Waja dilancarkan, oleh itu Proton menggunakan enjin 4G18 dari Mitsubishi untuk digunakan pada Waja. Ia dilancarkan pada Mei 2000 bersama-sama dengan logo korporat baru Proton.

Pada tahun 2002, varian 1.8L dilancarkan, digerakkan oleh enjin Renault F4P yang turut digunakan pada kereta Renault Laguna II. Ia menawarkan teknologi pacu melalui wayar (drive-by-wire) serta pemasaan injap boleh laras, tetapi pengeluaran dihentikan pada tahun berikutnya berikutan kurangnya jualan dalam kalangan pembeli tempatan yang lebih biasa dengan enjin buatan Jepun berbanding enjin buatan Eropah.

Pada penghujung 2005, Proton memperkenalkan satu lagi varian eksklusif yang dikenali sebagai Proton Waja Chancellor yang turut digunakan oleh para perwakilan negara-negara ASEAN semasa persidangan di KLCC sebelum pelancarannya. Model tersebut menggunakan enjin 6A12 2.0L V6 yang turut digunakan pada Proton Perdana.

Hanya pada tahun 2006 barulah enjin Campro digunakan pada Proton Waja. Enjin tersebut lebih berkuasa sedikit berbanding enjin yang digunakan pada Proton Gen-2 disebabkan sistem kemasukan udara yang berbeza serta ECU yang dipeta semula. Pada tahun 2008 pula, Proton Waja digerakkan oleh enjin Campro CPS yang lebih berkuasa serta dilengkapi sistem pemasaan injap boleh laras.

Proton Waja mengalami perubahan rupa bentuk sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 2006 dan pada tahun 2007. Model tahun 2007 turut menyertakan ciri keselamatan seperti beg udara, ABS dan EBD yang sebelum ini menjadi ciri pilihan dalam model sebelumnya sebagai ciri utama.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]