Pulau Besar, Melaka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pulau Besar
Pulau
Koordinat: 2.108556º N,102.327175º E



Pulau Besar dikenali sebagai pulau keramat, pulau fantasi merupakan pulau yang yang terletak di negeri Melaka, Semenanjung Malaysia. Pulau Besar terletak di Selat Melaka, kira-kira 3 batu nautika dari Bandar Hilir, Melaka.

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa resort di sini iaitu :

  • Pandanusa Resort
  • D'Puteri Kurnia Resort (sebelum ini Chandek Kura Hotel).

Cara ke sana[sunting | sunting sumber]

Terdapat 2 cara jika anda ingin kesana. Anda boleh menaiki feri dari Jeti Anjung Batu atau menaiki bot laju dari Jeti Umbai. Perjalanan dengan feri adalah berjadual manakala bot laju pula masa perjalanan pergi/balik bergantung kepada pasang surut laut dan masa yang ditetapkan sendiri oleh penumpang.

Aktiviti yang boleh dijalankan[sunting | sunting sumber]

  • Bersiar-siar di sepanjang pasir pantai yang putih
  • Berenang
  • Kembara hutan.
  • Memancing
  • Menziarah makam-makam

Mitos dan legenda[sunting | sunting sumber]

Pulau Besar adalah merupakan sebuah tempat yang banyak dikaitkan dengan kisah mistik dan lagendanya. Ianya merupakan satu tempat yang bersejarah khususnya dengan kisah awal penyebaran Agama Islam dinusantara. Ianya menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara. Kini, Kerajaan Negeri Melaka telah membina sebuah muzium yang memaparkan kisah-kisah awal dan lagenda Pulau Besar. Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM)juga telah mengambil alih dan membaik pulih beberapa buah makam di pulau ini.

Selain dari menziarahi Makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail, terdapat banyak lagi makam-makam dan tempat-tempat yang menjadi tarikan utama disini, antaranya :-

  • Makam Syarifah Rodziah
  • Makam Tok Janggut
  • Makam Tok Putih
  • Perigi di Kaki Pulau
  • Batu Belayar@Batu Penambat Kapal
  • Batu Tengkorak
  • Pokok Disula
  • Tasik Biawak
  • Batu Belah
  • Keramat Masin Tawar
  • Istana Bunian
  • Perkampungan Bunian
  • Tasik Bunian
  • Gua Yunus
  • Keramat Ular
  • Makam Nenek Kebayan
  • Perigi Tempayan Pecah
  • Makam Tujuh Beradik
  • Makam Seribu
  • Makam Nisan Satu
  • Perigi Nenek Musallimah
  • Tapak Kaki Sultanul Aarifeen
  • Batu Lesung

Makam Sultanul Ariffin[sunting | sunting sumber]

Nama sebenar Sultanul Aarifeen ialah Sheikh Ismail Abdul Qadir (qaddasallahu sirrahu). Beliau adalah keturunan yang ke 18 Rasullullah (S.A.W) dari nasab keturunan Saidina Hassan (r.a). Beliau juga adalah merupakan cicit kepada Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani. Sultanul Ariffin adalah nama yang digelarkan oleh orang ramai terhadap Sheikh Ismail Abdul Qadir. Gelaran tersebut membawa maksud 'Penghulu Orang-Orang Yang Arif'. Sheikh Ismail Abdul Qadir telah dilahirkan pada 17 Rabiul Awal tahun 867H di Baghdad. Bapanya bernama Sheikh Abdul Qadir dan ibunya bernama As Sayyidah Fatimah.

Beliau mempunyai ilmu yang tinggi dalam islam. Menurut riwayat sewaktu beliau ke Madinah menziarah makam Nabi, beliau telah didatangi satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan ilmu Islam di kepulauan Jawa. Sebagai seorang yang taat kepada agama beliau menunaikannya dan beliau telah mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama dengan 43 orang ahli dalam kumpulannya. Di antara orang yang penting dalam kumpulan itu ialah gurunya Sheikh Yusuf Siddiq dan saudaranya Sheikh Ibrahim Abdul Qadir.

Di Pulau Besar ilmunya telah berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai. Sultanul Ariffin telah meninggal dunia pada 17 Rabiul Awal tahun 925H ketika beliau berusia 58 tahun. Selain dari beliau, di situ juga termakam antara 41 hingga 43 orang pengikut-pengikut beliau yang lain. Beliau mempunyai seorang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan.

Sehingga kini makam Sultanul Ariffin terus menjadi tumpuan dan diziarahi oleh orang ramai.

Tapak kaki Sultanul Aarifeen[sunting | sunting sumber]

Tapak kaki ini terletak di dalam kawasan D'Puteri Kurnia Resort. Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa ini adalah tapak kaki Sultanul Ariffin. Tapak kaki yang kelihatan di gambar adalah tapak kaki sebelah kanannya. Manakala tapak kaki kirinya terdapat di Pulau Serimbun.

Perigi di kaki pulau[sunting | sunting sumber]

Perigi ini dipercayai digunakan oleh tentera Jepun untuk memancung kepala orang-orang Cina. Kepala yang telah dipancung akan dilemparkan ke dalam perigi ini. Perigi ini tidak pernah digunakan orang sehingga sekarang.

Di kawasan sekitar perigi ini merupakan kawasan Panglima Hitam. Wajah serta anggota tubuhnya dipercayai berwarna hitam. Di kawasan ini juga merupakan salah satu tempat yang amat keras terutamanya pada waktu senja. Pernah suatu ketika dahulu sepasang kekasih duduk berdua-duaan di kawasan ini dan wanita tersebut diserang histeria.

Sehingga kini, sesiapa sahaja yang bukan muhrim dilarang sama sekali ketika waktu senja duduk berdua-duaan di kawasan ini.

Batu belayar[sunting | sunting sumber]

Sebuah batu yang sederhana besar bentuk seperti kepala kuda. Batu ini dikatakan pada asalnya terletak di dalam laut. Kemudian ia terapung-apung di dasar laut dan tersangkut di pulau ini.

Dipercayai batu ini juga digunakan oleh 7 beradik untuk mengikat tali kapal mereka sebaik sahaja mereka berlabuh di Pulau Besar ini.

Kini batu ini masih jelas kelihatan sebaik sahaja sampai di pulau ini. Ia terletak berhampiran dengan Jeti Pulau Besar.

Batu Tengkorak[sunting | sunting sumber]

Batu ini terletak di kawasan Pandanusa Golf Club dan berhampiran dengan pantai. Jika dilihat dengan teliti, batu ini seakan-akan menyerupai tengkorak manusia dan terdapat kesan belahan empat segi yang dipercayai telah dibelah oleh orang dahulu kala untuk mendapatkan harta karun di dalamnya. Namun usaha mereka gagal dan mereka menampal semula batu tersebut.

Batu ini juga pernah dirancang untuk diletupkan tetapi usaha itu hanyalah sia-sia sahaja kerana batu itu sedikitpun tidak terbuka.Sehingga kini, sesiapa sahaja yang bukan muhrim dilarang sama sekali ketika waktu senja duduk berdua-duaan di kawasan ini.

Keramat Masin Tawar[sunting | sunting sumber]

Sebuah lopak air yang seakan-akan menyerupai perigi lama yang terletak berhampiran dengan pantai. Apabila air laut surut, airnya akan menjadi tawar. Dipercayai suatu ketika dahulu, perigi ini digunakan untuk mendapatkan harta karun. Keramat ini dijaga oleh seorang puteri bunian yang bernama Puteri Nilam.

Airnya dikatakan mempunyai pelbagai azimat yang tertentu samada untuk dijadikan minuman, mandi atau untuk dibuat pelaris. Dipercayai juga, jika niat tidak baik kita tidak akan merasai air yang tawar meskipun air laut telah surut.

Istana Bunian[sunting | sunting sumber]

Terletak di tengah-tengah perkampungan bunian. Sebuah kawasan tanah tinggi yang tidak dapat ditolak oleh jentera biasa. Kawasan ini ingin dimajukan oleh pihak Marina Resort tetapi sehingga kini projek itu tidak dapat diteruskan.

Menurut sumber dari pihak pengurusan Marina Resort, jentolak yang ingin menolak jentera tersebut telah meletup sewaktu kerja-kerja meruntuhkan tanah tersebut sehingga menyebabkan pemandunya meninggal dunia.

Perkampungan bunian[sunting | sunting sumber]

Sebuah kawasan yang terdapat di Marina Resort dan dipercayai satu perkampungan orang-orang bunian. Kawasan sebenarnya ingin dimajukan tetapi disebabkan masalah ekonomi dan masalah jerebu yang melanda pada tahun 1997-1999, maka pembinaannya tidak dapat diteruskan.kawasan tersebut juga terdapat telaga dan tasik bunian. Telaga tersebut juga dipercayai merupakan telaga pertama di pulau hasil munajat pak syeikh bagi mendapatkan bekalan air tawar sehingga kini malah air tersebut juga apabila di minum amat menyegarkan.

Menurut cerita, sebenarnya terdapat sejumlah 146 buah kampung orang bunian di kawasan Pulau Besar ini tetapi kawasan ketara yang boleh dilihat hanyalah di kawasan Marina Resort ini sahaja.

Baru-baru ini, dalam 5hb April,kawasan tersebut telah dibersihkan, tunggul-tunggul kayu dibakar kerana khabarnya "mereka" yang tinggal dikawasan tersebut telah berpindah ke pulau Sri Embun.Wallah Huaqlam

Pokok disula[sunting | sunting sumber]

Pokok ini terletak di kelab golf. Menurut apa yang telah diceritakan, dahulu terdapat sepasang kekasih sedang bercengkarama di bawah pokok ini. Maka di atas keterlanjuran mereka itu, mereka telah ditangkap dan di sula di bawah pokok tersebut.

Jika diamati dengan teliti, kita akan dapati tangan kiri lelaki tersebut sedang memeluk pasangannya di bawah pokok tersebut.

Tasik biawak[sunting | sunting sumber]

Sebuah tasik biasa buatan manusia yang terletak di padang golf. Tasik ini dipenuhi dengan biawak-biawak yang luar biasa besarnya. Biawak-biawak ini singgah di tasik tersebut untuk memakan ikan-ikan yang ada di dalamnya.

Di dalam tasik biawak ini juga terdapatnya batu yang berbentuk tengkorak manusia.[1]

Batu Belah[sunting | sunting sumber]

Sebuah batu besar setinggi 3 meter dan mempunyai rekahan di tengah-tengahnya selebar lebih kurang 35 cm dengan kedalaman sejauh 1.5 meter adalah hasil belahan Panglima Lidah Hitam.

Ratusan tahun dahulu, sekumpulan pendekar dan pahlawan menunjukkan kehebatan ilmu masing-masing. Ada yang membelah dan menebang pokok besar dengan sekali cantas dan ada yang membelah bukit dengan sekali imbas dan bermacam-macam lagi. Sehingga pada suatu waktu seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Lidah Hitam merasa tercabar dengan kekuatan kawan-kawannya itu. Beliau menghampiri batu besar tersebut dan menjelirkan lidahnya yang hitam itu lalu membelah batu tersebut.

Masyarakat kini datang ke tempat tersebut dengan membawa pelbagai hajat. Mereka akan masuk ke dalam batu tersebut dengan melalui bahu sebelah kiri dan berjalan secara mengiring kemudian apabila sampai di penghujung rekahan capailah dengan tangan kanan.

Gua Yunus[sunting | sunting sumber]

Nama Gua Yunus diambil sempena nama orang yang pertama menjumpai dan menjadikan gua ini sebagai tempat pertapaan. Sehingga sekarang gua ini masih lagi digunakan orang sebagai salah satu tempat untuk bertapa. Untuk masuk ke dalam gua ini, ahli pertapaan terpaksa menyelam ke dalam air kerana kedudukan pintu gua ini sebenarnya terletak di dalam air. Dipercayai batu dinding gua ini semuanya berwarna putih.

Keramat Ular[sunting | sunting sumber]

Dipercayai keramat seorang wali Allah yang menjelma sebagai seekor ular sawa. Barang siapa yang bernasib baik, dipercayai akan berjumpa dengan wali Allah tersebut yang membawa guni berisi arang. Apabila sampai di rumah, arang itu akan bertukar menjadi barang yang berharga.

Di sekeliling kawasan keramat ular terdapat pokok pandan yang boleh digunakan untuk membuat tikar.

Makam Nisan Satu[sunting | sunting sumber]

Makam ini terletak berhampiran dengan Batu Tengkorak. Keanehannya, makam ini hanya terdapat satu batu nesan sahaja. Ia dipercayai makam seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan umur 18-19 tahun yang sangat kacak dan tampan. Namanya tidak dapat dikenalpasti.

Perigi Nenek Musallimah[sunting | sunting sumber]

Dipercayai nenek yang tertua yang terdapat di Pulau Besar ini. Beliau juga merupakan seorang dukun dan bidan. Air perigi ini mempunyai azimat yang tertentu seperti untuk menyihatkan tubuh badan, pelaris dan boleh juga digunakan sebagai mandi bunga. Perigi ini terletak di dalam kawasan Pusat Latihan IMM dan bersebelahan dengan Chalet 007.

Makam Syarifah Rodziah[sunting | sunting sumber]

Wali perempuan ini sebenarnya bernama Syarifah Habsah, makam beliau terletak di pulau besar, berdekatan pintu masuk halaman menuju ke surau dan makam Sultanul Aarifeen. Syarifah Habsah adalah puteri iaitu anak perempuan Sultanul Aarifeen As Sayyid Ismail. Beliau sebenarnya mempunyai 3 orang anak, iaitu seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Saudari kandung Syarifah Habsah ialah Syarifah Rodziah, dan makam Syarifah Rodziah terletak di Pekan Melaka.

Batu Lesung[sunting | sunting sumber]

Batu Lesung atau Batu Putih ini merupakan satu batu yang berbentuk seakan-akan lesung. Untuk sampai ke Batu Lesung, orang ramai terpaksa melalui kawasan batu karang ketika air laut surut sepertimana yang terdapat di dalam gambar.

Manakala ketika air laut pasang, orang ramai terpaksa meredah air laut untuk sampai ke Batu Lesung ini. Ia terletak di tengah-tengah laut. Dikatakan bahawa pokok yang terdapat di tengah-tengah batu lesung tetap sama saiznya walau pun telah bertahun-tahun lamanya.

Nota[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • De Witt, Dennis (2010). Melaka from the Top. Malaysia: Nutmeg Publishing. ISBN 9789834351922.