Pusat Asasi Sains (Universiti Malaya)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pusat Asasi Sains UM

Pusat Asasi Sains telah ditubuhkan pada tahun 1977 di bawah Peruntukan Seksyen 18 Perlembagaan Universiti Malaya yang merupakan satu program pengajian Pra Universiti atau Matrikulasi. Perancangan program pengajian akademik di Pusat Asasi Sains meliputi bidang Sains dan Matematik yang bertujuan untuk melengkapkan pelajar bumiputera dengan pengetahuan asas sains yang kukuh bagi menyediakan mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pelajar sesi pengajian 1977/78 merupakan kumpulan pertama pelajar dari program ini yang telah berjaya meneruskan pengajian ke Fakulti Pergigian, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains. Mereka telah menerima Ijazah dalam konvokesyen Universiti Malaya pada tahun 1983. Manakala konvokesyen Universiti Malaya pada 1984 telah menyaksikan kumpulan pertama program ini yang berjaya menerima Ijazah dalam bidang perubatan.[2] Pada sesi 1982/1983, Pusat Asasi Sains dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kerajaan Jepun telah mengaturkan satu program khas iaitu Rancangan Persediaan Khas (Jepun)[3] sebagai menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur. Pelajar-pelajar yang lulus dengan cemerlang akan meneruskan pengajian mereka di Universiti-universiti Jepun dalam bidang Sains, Kejuruteraan, Pengurusan Perubatan, Pergigian dan Perniagaan. Mulai sesi 1988/1989, dua kursus baru telah dilaksanakan di Pusat Asasi Sains, iaitu Program Pra Perakaunan khusus untuk menyediakan pelajar-pelajar bumiputera ke Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dalam bidang Perakaunan dan Pentadbiran Perniagaan. Manakala, Program Pra Inggeris sebagai Bahasa Kedua pula menyediakan pelajar-pelajar ke Fakulti Pendidikan untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua). Pada sesi 1997/1998, Pusat Asasi Sains telah mengkaji semula struktur pengajian untuk disesuaikan selaras dengan perubahan semasa. Di bawah sistem baru ini, pelajar-pelajar Pusat Asasi Sains yang mendapat keputusan cemerlang boleh menyempurnakan kursus pengajian dalam tempoh dua semester. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan diberi kesempatan untuk menamatkan kursus dalam tempoh 3 atau 4 semester. Antara program-program yang terlibat adalah Aliran Sains Hayat, Aliran Sains Fizikal, Pra Inggeris sebagai Bahasa Kedua dan Pra Perakaunan. Rancangan Persediaan Khas (Jepun) masih kekal mengikut struktur pengajian yang lama. Program Pra Perakaunan juga telah disusun semula bagi membolehkan pelajar-pelajar dipertimbangkan kemasukan ke kursus Pentadbiran Perniagaan dan Ekonomi. Oleh itu, program Pra Perakaunan telah diubah namanya kepada Program Pra Perakaunan/Perniagaan/Ekonomi (Pra PPE). Pada sesi ini program Pra-Undang-Undang dan Program Pra-Alam Bina juga telah diperkenalkan.

Pusat Asasi Sains pernah mengadakan program kerjasama dengan sembilan buah Institusi Swasta pada sesi 1998/99. Antara kolej-kolej yang menjalankan program kerjasama ini adalah Kolej MARA Banting, Institut Maxisegar, IKIP, Kolej Cempaka, Kolej UNITI, Institut Goon, Inpens, Kolej Matrikulasi Terengganu dan Yayasan Pelajaran MARA Kuantan. Pada sesi 1999/2000, hampir kesemua pelajar telah ditempatkan di dalam kampus Universiti Malaya dan sebahagian kecil ditempatkan di Kolej MARA Banting. Program yang dijalankan pada ketika itu adalah Program Asasi Sains (aliran Sains Hayat dan aliran Sains Fizikal), Program Pra Perakaunan/ Perniagaan/Ekonomi serta Rancangan Persediaan Khas (Jepun). Pada sesi 2000/2001, hanya Rancangan Persediaan Khas (Jepun) mempunyai pelajar baru manakala Program Asasi Sains pula menguruskan sebilangan pelajar yang perlu menyempurnakan pengajian masing-masing dalam semester 3 atau 4.[4] Pada sesi kemasukan 2001/2002, pengambilan pelajar dibuat untuk Program Asasi Sains Hayat dan Asasi Sains Fizikal serta Rancangan Persediaan Khas (Jepun). Pelajar-pelajar ini telah ditempatkan di Kolej Kediaman Kelima untuk pelajar Rancangan Persediaan Khas (Jepun) dan Kolej Kediaman Kesebelas untuk pelajar Asasi Sains. Bagi sesi kemasukan 2002/2003, seramai 1,100 orang calon telah berjaya ditempatkan di Pusat Asasi Sains untuk mengikuti Program Asasi Sains Hayat dan Asasi Sains Fizikal. Pelajar-pelajar ini serta pelajar Rancangan Persediaan Khas (Jepun) seramai 160 orang ditempatkan di Kolej Kediaman Kesebelas untuk memudahkan proses pemantauan. Seramai kira-kira 900 orang pelajar telah ditempatkan di Pusat Asasi Sains untuk mengikuti Program Asasi Sains bagi kemasukan 2003/2004. Pelajar-pelajar Program Asasi Sains dan pelajar Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ) seramai 180 orang ditempatkan di Kolej kediaman yang sama.

Mulai sesi akademik 2004/2005, pengajaran dikendalikan dalam Bahasa Inggeris untuk semua kuliah, tutorial dan amali bagi Program Asasi Sains. Pusat Asasi Sains memberi penekanan dalam kursus Bahasa Inggeris supaya para pelajar mendapat pendedahan yang sewajarnya bagi memudahkan proses pembelajaran dengan berkesan. Bagi sesi ini, Pusat Asasi Sains menerima kirakira 1000 orang pelajar bagi Program Asasi Sains dan masih mengekalkan pengambilan pelajar untuk Program Rancangan Persediaan Khas Jepun seramai 180 pelajar. Kesemua pelajar Pusat Asasi Sains ditempatkan di Kolej Kediaman Kesebelas. Bagi sesi kemasukan 2005/2006, Pusat Asasi Sains telah menerima hampir 1250 orang pelajar untuk Program Asasi Sains dan seramai 160 orang pelajar bagi Program Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ). Pada sesi ini, pengendalian kuliah/tutorial/amali pada tahun l untuk Program Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ) adalah dalam Bahasa Inggeris. Pelajar Program Asasi Sains kekal menginap di Kolej Kediaman Ungku Aziz (Kolej Kediaman Kesebelas) manakala pelajar Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ) ditempatkan di Kolej Kediaman Dr. Raja Nazrin Shah. Mulai sesi akademik 2006/2007, Program Asasi Sains telah diserap di bawah Program-program Matrikulasi atau Program Pra Ijazah di bawah Jabatan Pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Sehubungan dengan itu, urusan pengambilan pelajar adalah melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Bagi sesi ini, seramai 1,100 pelajar telah diterima masuk ke Pusat Asasi Sains bagi Program Asasi Sains. Manakala bagi Program Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ), bilangan pelajar yang diterima masuk kekal seramai 160 orang pelajar.

Pada sesi 2007/2008, genaplah 30 tahun usia Penubuhan Pusat Asasi Sains. Pada sesi ini, Pusat Asasi telah menawarkan semula Program Asasi Alam Bina dengan bilangan pelajar seramai 100 orang. Pelajar yang tamat program ini akan melanjutkan pengajian ke Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya dalam bidang Seni Bina, Ukur Bahan, Ukur Bangunan dan Pengurusan Harta Tanah. Mulai sesi ini semua pelajar Pusat Asasi Sains akan menginap di Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah. Pada sesi 2008/2009, Pusat Asasi Sains telah mempunyai seramai 745 orang pelajar yang berdaftar untuk Program Asasi Sains (Aliran Sains Hayat dan Aliran Sains Fizikal). Manakala seramai 75 orang pelajar adalah dari Program Asasi Alam Bina. Pusat Asasi Sains telah mencipta sejarah pada sesi 2009/2010 dengan peningkatan pelajar paling ramai iaitu 1400 orang pelajar dalam Aliran Sains Hayat dan Sains Fizikal. Manakala bagi Program Asasi Alam Bina, seramai 120 orang pelajar telah berjaya ditempatkan di Pusat Asasi Sains. Pada sesi 2010/2011, seramai 1,600 orang telah diterima masuk ke Pusat Asasi Sains bagi Program Asasi Sains Hayat dan Program Asasi Sains Fizikal. Manakala seramai 110 orang pelajar telah diterima masuk untuk Program Asasi Alam Bina. Pusat Asasi Sains telah menerima seramai 1,500 orang pelajar bagi Program Asasi Sains Hayat dan Program Asasi Sains Fizikal pada sesi 2011/2012. Manakala 100 orang pelajar telah diterima masuk bagi Program Asasi Alam Bina. Bagi Program Rancangan Persediaan Khas (Jepun) pula, seramai 101 orang pelajar telah mendaftar pada sesi tersebut. Bagi sesi 2012/2013, Pusat Asasi Sains mengekalkan jumlah pengambilan sebagaimana tahun sebelumnya. Kesemua pelajar Program Asasi menginap di Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah manakala pelajar program RPKJ kesemuanya menginap di Kolej Kediaman Ungku Aziz. Pada sesi 2013/2014, buat pertama kalinya Universiti Malaya melaksanakan eksesais temuduga bagi semua program pengajian yang ditawarkan termasuk Program Asasi di Pusat Asasi Sains. Pada sesi ini Pusat Asasi Sains mengekalkan pengambilan 1000 orang pelajar bagi setiap Program Asasi Sains Hayat dan Program Asasi Sains Fizikal. Manakala 100 orang pelajar telah ditawarkan Program Asasi Alam Bina. Sehingga kini Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya telah berjaya melahirkan pelajar bumiputera dengan asas sains yang mantap untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama ke IPTA seluruh Malaysia.

Bekas Pelajar Pusat Asasi Sains[sunting | sunting sumber]

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "PERLEMBAGAAN". webcache.googleusercontent.com. Dicapai pada 2014-10-05.
  2. ^ Pa, A.N.; Idris, N. (2008). Perjuangan memperkasakan pendidikan di Malaysia: pengalaman 50 tahun merdeka. Utusan Publications & Distributors. m/s. 639. ISBN 9789676121561. Dicapai pada 2014-10-05.
  3. ^ http://books.google.com.my/books?id=TjQw9MJ7tscC&pg=PA639&lpg=PA639&dq=bekas+pelajar+pasum&source=bl&ots=oP520ux99S&sig=dxEDnrBOfAIH9Vs-H4TSnl_wTe4&hl=en&sa=X&ei=1V7OU8yDN5e58gWyr4HgBA&redir_esc=y#v=onepage&q=bekas%20pelajar%20pasum&f=false
  4. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-10-06. Dicapai pada 2014-07-22.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]