Pusat Penyelidikan Mineral

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pusat Penyelidikan Mineral bermula sebagai 'Institut Penyelidikan Galian atau (Mining Research Institute) sesudah Perang Dunia Kedua apabila pada tahun 1951, Ibu Pejabat Jabatan Galian di Kuala Lumpur merancang suatu cawangan penyelidikan ditubuhkan di bawah pentadbiran Jabatan ini.

Pada awalnya cawangan kecil tersebut, yang dinamakan Bahagian Penyelidikan, bergiat dalam kajian untuk memulihkan pengeluaran timah yang mengalami kemerosotan semasa Perang Dunia Kedua. Seterusnya dalam tahun 1957, sebuah bangunan Institut Penyelidikan siap dibina. Dalam tahun 1973, Bahagian Penyelidikan Jabatan Galian Malaysia telah diberi nama baru iaitu Institut Penyelidikan Galian Malaysia (IPG).

Perkhidmatan penyiasatan dan penyelidikan Institut Penyelidikan Galian Malaysia adalah bagi menjalankan penyiasatan dan penyelidikan teknikal berkaitan dengan perusahaan perlombongan dalam bidang-bidang carigalian, teknologi melombong dan pemprosesan mineral serta melaksanakan projek-projek rancangan pembangunan dalam bidang-bidang yang sama. Selain itu ia bertugas bagi melaksanakan dasar-dasar kerajaan dari segi penciptaan dan pemindahan teknologi yang baru untuk perusahaan perlombongan dalam bidang carigalian, teknologi melombong dan pemprosesan mineral mengikut Dasar Ekonomi Baru.[1]

Penekanan juga diberikan bagi mempermodenkan kelengkapan dan fasiliti supaya dapat memberi perkhidmatan teknikal yang menguntungkan perusahaan perlombongan negara dan menambah pengetahuan kejuruteraan dan teknologi mineral ke peringkat yang terbaru supaya dapat digunakan sebagai rancangan pembangunan dalam program latihan kakitangan Jabatan Galian dan pelombong-pelombong.

Pada 1 haribulan Julai 1999, Jabatan Galian Malaysia dan Jabatan Geologi telah digabungkan menjadi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan diletakkan dibawah Kementerian Perusahaan Utama.[2] Sekali lagi Institut Penyelidikan Galian Malaysia telah ditukarkan namanya menjadi Pusat Penyelidikan Mineral. Pada Tahun 2004, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah ditempatkan dibawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar setelah berlaku rombakan Kementerian. Fungsi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Pusat Penyelidikan Mineral dikekalkan.

Matlamat Pusat Penyelidikan Mineral adalah bagi menggalak dan mempelbagai penggunaan sumber mineral tempatan bagi menyumbang kepada pembangunan sektor perindustrian negara melalui R&D. Ia juga menggalak pengusahahasilan sumber mineral secara mapan melalui R&D.

Matlamat ini dicapai melalui usaha R&D berasaskan mineral tempatan supaya dapat menghasilkan bahan mula dan bahan tambah nilai untuk digunakan oleh industri, selain membangun teknologi pemprosesan mineral dan kitar semula yang bersesuaian. Pusat Penyelidikan Mineral juga menjalankan penyelidikan bersama Institusi Pengajian Tinggi, agensi R&D yang lain serta pihak industri dalam bidang mineral. Ini dilakukan bagi mengkomersil hasil R&D yang signifikan melalui pemindahan teknologi kepada pihak yang berminat.

Selain itu Pusat Penyelidikan Mineral juga berperanan sebagai penasihat dan pusat rujukan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan penyelidikan mineral tempatan dan menjalankan R&D berkaitan pengusahahasilan mineral, impak alam sekitar dan pemulihan serta menyediakan perkhidmatan sokongan kepada jabatan dalam menangani masalah yang berkaitan.

Selaras dengan kehendak kerajaan bagi memajukan teknologi berasaskan mineral Pusat Penyelidikan Mineral juga menjalankan projek-projek R&D berkaitan teknologi berasaskan lempung, silika, batuan dan bahan termaju. Untuk menggalak pengusahahasilan sumber mineral secara mapan, R&D berkaitan teknologi pemprosesan mineral, perlombongan, pengkuarian dan pemulihan lombong dan kuari dijalankan.

Alamat:[sunting | sunting sumber]

Pengarah,
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Lantai 20, Menara Tabung Haji,
Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur.

Rujukan[sunting | sunting sumber]


Pautan luar[sunting | sunting sumber]