Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal
Rizab Hidupan Liar Krau
Pemandangan di puncak Gunung Benom
LokasiMalaysia
Bandar raya terdekatTemerloh
Koordinat3°43′N 102°10′E / 3.717°N 102.167°E / 3.717; 102.167Koordinat: 3°43′N 102°10′E / 3.717°N 102.167°E / 3.717; 102.167
Luas605.52 km2 (233.79 bt2)
DitubuhkanJun 1923
Badan pentadbirJabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal (RHLTH) ialah salah satu rizab hidupan liar terbesar di Semenanjung Malaysia berkeluasan 605.52 km2 yang terletak di Banjaran Titiwangsa, di tengah negeri Pahang, yang telah diwartakan sewaktu Pentadbiran British di Tanah Melayu. Ia diwartakan secara rasmi untuk melindungi semua hidupan liar, terutama sekali seladang (Bos gaurus). Pejabat pentadbirannya terletak di beberapa kawasan. Pejabat utamanya terletak di Bukit Rengit (bahagian selatan), dan stesen lainnya ada di Lembah Krau (bahagian barat), Kuala Lompat (bahagian timur), dan Perlok (bahagian utara).

Kawasan hutan dipterokarpa pamah ini menempatkan kepelbagaian biologi yang tinggi bagi burung dan mamalia, terutama sekali primat dan kelawar. Terdapat beberapa Pusat Konservasi Hidupan Liar di kawasan sekitar rizab, terutamanya Pusat Konservasi Harimau Malaya, Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, dan Pusat Konservasi Seladang Jenderak Selatan. Antara burung langka yang jumlahnya masih boleh dijumpai di rizab ini ialah merak pongsu.

Pada 1960-an, Lord Medway telah mengetuai satu ekspedisi zoologi ke Gunung Benom (2,107 m apl) yang kemudiannya menarik lebih ramai ilmuwan, ahli biologi, dan ahli primatologi untuk menjalankan kajian di bahagian barat rizab yang lebih dikenali sebagai stesen penyelidikan Kuala Krau.[1]

Sejarah penubuhan[sunting | sunting sumber]

Krau Game Reserve telah ditubuhkan pada 15 Jun 1923 dibawah Wild Animals and Bird Protection Enactment yang tercetus oleh kebimbangan orang awam yang semakin meningkat akan pemuliharaan hidupan liar dan konflik hidupan liar-manusia yang berlaku disebabkan oleh pembukaan kawasan hutan untuk memberi jalan kepada industri getah.[1]

Pada 1965 Krau Game Reserve telah ditukarkan nama kepada Rizab Hidupan Liar Krau. Kuasa pentadbiran rizab telah diturunkan daripada Pahang State Game Department kepada Jabatan PERHILITAN pada 1976. Jabatan Mergastua telah ditukarkan nama kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara pada 1972. Pada bulan November 2022, nama Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal secara rasminya telah digunakan untuk menggantikan Rizab Hidupan Liar Krau.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Peta Kedudukan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal

Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal terletak di koordinat 3°42'57.89"N 102°10'33.60"E, di Pahang Darul Makmur di tengah Semenanjung Malaysia. Jarak rizab adalah 167 kilometer dari Kuantan, ibu negeri Pahang, dan 109 kilometer dari Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.

Rizab ini terletak di dua kawasan daerah di negeri Pahang iaitu Temerloh, dan Jerantut di mana kawasan geografi terbesar rizab adalah di kawasan daerah Temerloh. Ketinggian di dalam rizab adalah antara 43 meter di Kuala Lompat ke 2,107 meter di atas paras laut di puncak Gunung Benom dan disalir oleh tiga sungai iaitu Sungai Krau, Sungai Lompat, dan Sungai Teris.

Rizab ini terdiri daripada batuan sedimen (formasi Semantan dan post-Semantan redbed), batuan igneus (Kompleks Benom), dan sedimen keempat. Di bahagian utara dan barat rizab, batuan igneus lebih terdedah manakala di bahagian timur laut ke bahagian selatan rizab, batuan sedimen lebih banyak. Kompleks Benom mendominasi bahagian tengah kawasan rizab.

Jenis hutan[sunting | sunting sumber]

Terdapat lima jenis hutan utama yang dikenalmpasti di kawasan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal. Anggaran 61% daripada kawasan hutan di dalam rizab adalah hutan dipterokarpa pamah. Jenis hutan kedua terbesar adalah hutan dipterokarpa bukit. Manakala, hutan gunung adalah jenis hutan ketiga terbesar. Baki jenis hutan adalah vegetasi sekunder dan kawasan yang telah ditanam.[2]

Flora dan fauna[sunting | sunting sumber]

Semua jenis hutan di Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal penting dan tinggi dengan nilai pemuliharaan terutama sekali di kawasan hutan tinggi dan pergunungan. Majoriti kawasan hutan masih dikelilingi oleh hutan dipterokarpa pamah, dan kawasan tanah tinggi di sekitar Gunung Benom masih belum diterokai. Antara spesies flora terancam di rizab ini adalah Kibatalia laurifolia dan Phlegmariurus phyllanthus.[3]

Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal menjadi kawasan perlindungan untuk jumlah spesies hidupan liar yang tinggi. Terdapat 655 spesies hidupan liar yang merangkumi 292 spesies unggas, 65 spesis amfibia, 79 spesies reptilia, 71 spesies kelawar, 79 spesis mamalia, dan 69 spesies ikan air tawar.

Daripada 655 spesies fauna, 322 spesies ialah spesies yang dilindungi sepenuhnya, dan 70 ialah spesies yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), dan Akta Perikanan 1985 (Akta 317). Tambahan lagi, lima spesies diketegorikan dalam spesies sangat terancam, 16 spesies dalam kategori terancam, 33 lemah ancaman, dan 486 diketegorikan dalam kategori sedikit bimbang. Antara spesies yang sangat terancam dan terancam yang masih boleh dijumpai di rizab ialah harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni), kucing hutan (Prionailurus planiceps), anjing hutan (Cuon alpinus), tenggiling Sunda (Manis javanica), enggang jambul putih (Berenicornis comatus), botak hutan (Ciconia stormi), kura-kura duri (Heosemys spinosa), musang memerang (Cynogale bennettii), lotong cengkung (Trachypithecus obscurus), kongkang (Nycticebus coucang), dan tenuk Malaya (Tapirus indicus).

Komuniti setempat[sunting | sunting sumber]

Sebanyak 36 buah kampung boleh dijumpai di sekitar dan di dalam Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal. Data populasi daripada 3 daerah pentadbiran dan 10 mukim di sekitar Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal menunjukkan peningkatan populasi seramai 133,000 orang sejak 1991. Komuniti orang asli yang dominan di Rizab ialah komuniti dari suku Jah Hut dan Che Wong, yang tinggal berdekatan dengan mukim Jenderak, bahagian timur rizab.

Terdapat 10 kampung dan penempatan orang asli di Rizab iaitu Kg. Seboi, Kg. Pian, Kg. Penderas, Kg. Paya Mendoi, Kg. Paya Rekoh, Kg. Paya Pelong, Kg. Lubuk Wong, Kg. Kuala Terboi, Kg. Berdut, dan Kg. Pasu. Untuk komuntiti selain orang asli, terdapat beberapa penempatan dan kampung. Antara kampung-kampung tersebut adalah Kg. Bolok Hulu dan Hilir, terletak di bahagian selatan rizab, Kg. Ulu Cheka, Kg. Damak, Kg. Tengah, Kg. Perlok, Kg. Pekan Sehari, dan Kg. Tanjung Puteri, terletak di bahagian timur laut rizab; dan Felda Lembah Klau, terletak di bahagian barat rizab.

Semua kampung tersebut terletak dalam lingkungan 15 kilometer rizab. Pihak Jabatan PERHILITAN di bawah program Biodiversity Protection and Patrolling Program (BP3) melantik sebilangan orang asli daripada komuniti di sekitar rizab sebagai sebahagian daripada program konservasi untuk menunjukkan kepentingan dan peranan komuniti setempat sebagai penjaga hutan di sekitar komuniti mereka.[4]

Ekopelancongan[sunting | sunting sumber]

Kepadatan tempat-tempat menarik seperti gunung dan puncak gunung yang memukau, sungai dan air terjun yang cantik, dan komuniti yang mempunyai budaya yang kaya boleh menjadi pemangkin kepada rizab untuk menjadi salah satu tempat tumpuan umum untuk pelancong dari luar dan dalam negara. Walaupun masih belum dibuka sepenuhnya untuk pelancongan, terdapat beberapa kawasan yang menarik untuk dilawati. Kawasan tersebut termasuklah:

Permandangan menarik di puncak Gunung Benom
  • Gunung Benom, merupakan puncak kedua tertinggi di negeri Pahang dan puncak ke-sembilan tertinggi di seluruh Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2,107 meter di atas paras laut. [5]
  • Air terjun Lata Bujang, mempunyai lima lapisan air terjun dengan perjalanan yang memakan masa kurang dari satu jam dari titik masuk terdekat.
  • Gunung Tungku
  • Bukit Bongkok
Lata Sebarau yang terletak didalam Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal
  • Lata Sebarau
  • Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, merupakan salah satu pusat konservasi hidupan liar yang dekat dengan kawasan rizab, terletak di bahagian selatan rizab. Kawasan ini percuma untuk dimasuki dan pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti dengan gajah.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Ebil Yusuf & Kim Worm Sorenson (2000). "Journal of Wildlife and Parks" (PDF). Journal of Wildlife and Parks. 18 (1).CS1 maint: uses authors parameter (link)
  2. ^ Templat:Cite publication
  3. ^ Templat:Cite publication
  4. ^ "600 Military Vets Orang Asli Appointed as Wildlife Rangers". The Malaysian Reserve. 31 July 2021.
  5. ^ "Gunung Bagging". Benum.