Putatan
Putatan ڤوتاتن | |
---|---|
![]() | |
![]() | |
Negara | ![]() |
Negeri | ![]() |
Bahagian | Pantai Barat |
Majlis Perbandaran | 2021 |
Kerajaan | |
• MP | Datuk Shahelmey Yahya (BN-UMNO) (Putatan) |
Penduduk (2010) | |
• Jumlah | 85 454 |
Nombor plat | SA (1980-2018) SY (2018-2023) SJ (2023-) |
Putatan merupakan sebuah daerah dan bandar yang terletak di Bahagian Pantai Barat negeri Sabah, Malaysia. Daerah ini terletak di tengah-tengah di antara daerah Penampang di sebelah timur, Papar di sebelah selatan, Kota Kinabalu di sebelah utara. Dan Laut China Selatan di sebelah barat. Putatan juga adalah sub-bandar kepada Kota Kinabalu dan merupakan sebahagian daripada Greater Kota Kinabalu. Daerah ini asalnya adalah sebahagian daripada daerah Penampang, namun bermula 1 Mac 2007, Putatan telah dipisahkan daripada pentadbiran daerah Penampang untuk menjadi sebuah daerah penuh di Sabah.[1] Putatan juga adalah daerah yang terkecil dan termuda di negeri Sabah. Ahli Parlimen Putatan ialah Y.B. Datuk Shahelmey Yahya, dari BN-UMNO. [2]
Asal Usul[sunting | sunting sumber]
Putatan adalah sebuah daerah/pekan yang dijadikan pusat pentadbiran dalam pemerintahan Inggeris di bawah North Borneo Chartered Company pada tahun 1884 setelah berada dibawah jajahan Kerajaan Kesultanan Brunei. Putatan mendapat namanya daripada sejenis pokok yang digelar Pokok Putat yang tumbuh dengan banyak di sekitar daerah Putatan . Berdasarkan cerita lisan; Putatan adalah sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai 'Putat Town' oleh penjajah Inggeris suatu ketika dahulu. Namun di kalangan penduduk tempatan, 'Putat Town' dikenali sebagai Putatan atas sebab sebutan dalam dialek tempatan hinggalah ke hari ini.[3]
Daerah[sunting | sunting sumber]
Putatan mendapat status sebagai sebuah daerah penuh pada 01 Mac 2007 melalui warta kerajaan tambahan kedua jilid ixii bertarikh 30 Ogos 2007 setelah sekian lama berada di bawah pentadbiran daerah Penampang . Pada Tanggal 30 April 2011 Putatan secara rasminya diisytiharkan sebagai sebuah daerah penuh dan berstatus bandar serta perasmiannya disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman, Ketua Menteri Sabah. Pentadbiran daerah Putatan beroperasi melalui bangunan urusetia kecil yang siap dibina dan diduduki pada bulan februari 2002 dan terletak di Pasir Putih Putatan, 1 km daripada Pekan Putatan.
Sebelum mencapai status daerah penuh, Putatan diberi status daerah Kecil gred V dan berstatus pekan dalam Daerah Penampang melalui warta Kerajaan Negeri Sabah yang berkuatkuasa pada 1hb Januari 1997. Dan pada 18 Mac 1997, Putatan secara rasminya diisytiharkan sebagai sebuah Daerah Kecil dan upacara perasmiannya telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah ke-9, Datuk Yong Teck Lee bertempat di Ruang Legar, Putatan Court Fasa II, Putatan.
Untuk rekod sejarah, sempadan daerah Putatan telah melalui dua kali pengezatan apabila beberapa pemimpin dari daerah Penampang melalui Jawatankuasa Bertindak Persempadanan Daerah Penampang dan Putatan membantah persempadanan daerah yang pertama. Seluas 10 km persegi kawasan yang mengandungi 9 buah kampung telah dikeluarkan dari daerah Putatan.
Pada bulan Ogos 2010, Majlis Daerah Putatan telah ditubuhkan dan pengujudan PBT ini telah melengkapkan proses penubuhan Putatan sebagai sebuah daerah dalam tempoh sepuluh tahun setelah dipisahkan dari daerah Penampang.[4]
Penduduk[sunting | sunting sumber]
Berdasarkan bancian 2010, populasi penduduk di Putatan dianggarkan seramai 85,454 orang.[5] Penduduk Putatan terdiri daripada kaum Melayu Brunei, Kadazandusun, Bajau(Samah) dan Cina serta beberapa kaum lain.
Bandar[sunting | sunting sumber]

Bandar Putatan sedang mengalami peningkatan kemajuan dari segi pembangunan dan infrastruktur awam seperti dewan masyarakat, masjid daerah, beberapa buah pusat kesihatan, beberapa buah pasaraya seperti Giant dan Servey Hypermarket, selain beberapa buah pusat perbankan seperti CIMB, Maybank, Bank Simpanan Nasional(1992) dan Bank Rakyat.
Pusat beli belah di bandar ini juga tumbuh seperti cendawan akibat tempias kemajuan yang berlaku di sekitar Kota Kinabalu, antaranya One Place Mall, Putatan Square dan Royal Putatan Plaza yang sedang dalam pembinaan. Di bandar ini juga, terdapat dua buah institusi pengajian tinggi iaitu INTI College dan Sabah Institute of Studies.
Selain itu, sebuah balai cerap yang diberi nama Balai Cerap Al-Biruni di Tanjung Dumpil yang terletak tidak jauh dari bandar ini. Balai cerap ini adalah satu-satunya balai cerap di Sabah yang terkenal sebagai tempat untuk menentukan perkara berkaitan keagamaan seperti untuk takwim hijrah, penentuan waktu solat dan jadual berbuka puasa serta imsak, dan ia juga akan dibangunkan sebagai pusat kecemerlangan ilmu astronomi di Sabah.[6] Putatan mempunyai 3 buah mukim yang membentuk daerah putatan. Mukim Putatan, mukim Petagas, dan mukim Ketiau. Di daerah ini jugalah adanya kem lok kawi markas 5 briged tentera darat Kota kinabalu Sabah.
Perhubungan[sunting | sunting sumber]
Tahap ketersampaian untuk bandar dan daerah Putatan adalah sangat baik memandangkan ia terletak di laluan Jalan Pan Borneo. Bandar ini dihubungkan dengan lebuh raya dua lorong dua hala disebabkan kedudukannya sebagai pintu masuk untuk ke Bandar Raya Kota Kinabalu. Putatan juga mempunyai stesen kereta api yang baru dibina kerana ia merupakan perhentian utama bagi laluan kereta api kerana kedudukannya yang terletak bersebelahan dengan Kota Kinabalu, selain stesen kereta api Tanjung Aru, Papar, Beaufort dan Tenom.
Akibat kesesakan trafik yang tinggi, projek naik taraf jalan Putatan sehingga persimpangan Lok Kawi akan dijalankan melibatkan pembesaran jalan menjadikan laluan tersebut kepada lebuh raya tiga lorong dua hala. Projek yang bermula April 2013 ini dijangka siap pada penghujung 2015.[7]
Pendidikan[sunting | sunting sumber]
Selain mempunyai dua buah institusi pengajian tinggi, Putatan juga mempunyai dua buah sekolah menengah utama iaitu SMK Tansau dan SMK Putatan. Terdapat juga banyak sekolah rendah bagi menampung keperluan pendidikan penduduk daerah ini.
Dalam pada itu, menurut kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin yang juga merangkap ADUN Petagas, sebuah sekolah menengah dan sekolah rendah baharu bernilai RM60 juta akan dibina di mukim Petagas dalam daerah ini. Sekolah tersebut akan dinamakan SMK Petagas dan SK Petagas. Katanya, pembinaan sekolah itu amat perlu kerana penduduk semakin bertambah ekoran pembangunan pesat daerah ini.[8]
Pelancongan[sunting | sunting sumber]
Terdapat beberapa buah tempat menarik di Putatan, antaranya Lok Kawi Wildlife Park yang sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Taman ini adalah gabungan antara zoo dan taman botanikal.
Selain itu, Balai Cerap Al-Biruni di Tanjung Dumpil adalah antara tempat wajib untuk dilawati kerana ia adalah satu-satunya balai cerap di Sabah bagi pembangunan ilmu falak. Dan tempat melihat anak bulan untuk menentukan tarikh jatuhnya bulan ramadhan dan kedua hari raya. Agama bagi penduduk di daerah putatan majoritinya adalah beragama islam dan diikuti agama kristian serta beberapa agama lain.
Rujukan[sunting | sunting sumber]
- ^ Putatan Benefits From KK's Development, Bernama, July 16, 2009, dicapai pada 2009-10-04
- ^ http://www.parlimen.gov.my/ahli-dewan.html?uweb=dr&
- ^ http://www.sabah.gov.my/pdptn/index.php?option=com_content&view=article&id=148&Itemid=610
- ^ http://www.sabah.gov.my/pdptn/index.php?option=com_content&view=article&id=148&Itemid=610
- ^ Putatan, World Gazetteer, diarkibkan daripada yang asal pada 2013-02-09, dicapai pada 2009-10-04
- ^ http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=292845
- ^ http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20130326/wb_03/Naik-taraf-jalan-bermula-April
- ^ http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20120523/wb_08/RM60-juta-bina-SMK-SK-baru-di-Petagas