Putera Gunung Tahan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Putera Gunung Tahan adalah novel satira hasil nukilan Ishak Haji Muhammad dari Temerluh,Pahang. Novel ini menyindir dan menentang pegawai British yang menduduki dan mentadbir negara ini. Novel ini telah ditulis pada tahun sebelum Malaysia mengalami kemerdekaan iaitu pada tahun 1937. Putera Gunung Tahan bertindak sebagai salah satu cara mencapai kemerdekaan yang dilakukan oleh penulis melalui cara tulisan di mana pada masa itu kebebasan bersuara adalah sangat terbatas justeru penyampaian sastera secara berkias digunakan oleh penulis.[nyatakan menurut siapa?]

Protes ini dilahirkan bagi mengangkat semangat nasionalisme kepada masyarakat. Novel ini menggarapkan semangat nasionalisme dalam bentuk satira. Ishak Haji Muhammad menggunakan lambang-lambang seperti Gunung Tahan, orang-orang sakai dan kulit harimau putih bagi menimbulkan kesedaran dan menanam semangat nasionalisme di kalangan khalayak pembaca. Perlambangan ditonjolkan oleh pengarang memandangkan situasi pada waktu itu tidak mengizinkan Ishak untuk menulis secara terus terang. Hal ini ditegaskan oleh beliau dalam prakata novel ini:

Bahwa inilah buku yang pertama daripada buah kalam saya. Maka telah dikarangkan dia bagi bacaan orang yang tahu berfikir dan bukanlah dimaksudkan bagi bacaan budak-budak sekolah. Buku ini bukanlah suatu cerita asyik-mahsyuk yang biasa tuan-tuan lihat di kedai-kedai buku ataupun yang telah tuan baca, kerana isinya penuh dengan sindiran-sindiran dan kias ibarat yang dalam. Seorang yang telah membaca buku ini sekali lalu tentulah sedar akan apa dia kewajipan-kewajipannya terhadap tanahair, bangsa dan adat resamnya dan daripada hari itu mudah-mudahan tertariklah hatinya kepada mempertahankan agama, adat istiadat dan tanahairnya supaya jangan terbinasa, tetapi sedap atau tidaknya isi sesebuah buku itu terpulanglah kepada pembacanya. (Putera Gunung Tahan 2000: i)

Novel Putera Gunung Tahan dipenuhi dengan diolog-dialog tentang kecintaan terhadap tanah air baik daripada Raja Bongsu mahupun daripada mulut perempuan tua. Misalnya dialog perempuan tua kepada Tuan Robert “...kami sangat sayang akan negeri kami sehingga tidak rela sekali-kali negeri kami diambil atau diperintah oleh orang bangsa asing, apatah lagi bangsa itu berlainan agama dan berlainan serba serbi” (hlm. 42). Nada nasionalisme pada diri raja Bungsu pula terpancar melalui ungkapannya kepada Tuan William:

... saya tidak sekali-kali akan membenarkan dan menjual tanah air saya yang secebis ini walaupun dibayar dengan harga setinggi gunung ini atau walaupun diberi gelaran yang panjang-panjang dan dianugerah oleh kerajaan tuan bintang kebesaran berpuluh-puluh butir. (Putera Gunung Tahan 2000: 72-73)

[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]