Puteri Gunong Banang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Puteri Gunong Banang
PengarahDhiresh Ghosh
PenulisLakon layar: Omar Rojik &
Dhiresh Ghosh
Cerita Asal: S. Kadarisman
Dihasilkan olehRun Run Shaw
DibintangiAhmad Mahmud, S. Kadarisman, Kemat Hassan, Salleh Kamil
SinematografiIbrahim Ali
Disunting olehH. R. Narayana
Muzik olehOsman Ahmad
P. Ramlee
Diedarkan olehShaw Brothers Ltd.
Tarikh tayangan
1959
NegaraMalaya (Singapura & Malaysia)
BahasaBahasa Melayu

Filem Puteri Gunong Banang merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1959 merupakan sebahagian dari Malaya. Filem ini diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.

Pengarah[sunting | sunting sumber]

Filem ini diarahkan oleh Dhiresh Ghosh di Malay Film Productions Ltd, Studio Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1959 dan dibantu oleh Omar Rojik.

Ringkasan[sunting | sunting sumber]

Mengisahkan tiga (3) orang adik beradik lelaki yang sudah tua. Mereka hidup sebagai bujang tua dan tinggal di hujung desa jauh dari orang ramai. Mereka hidup ibarat kais ayam pagi, makan pagi, kais ayam petang makan petang. Suatu hari, Wira (Ahmad Mahmud), pergi ke Gunung Banang dan mencabut beberapa anak pokok. Kerana keletihan, dia tertidur seketika. Tiba-tiba, dia dibangunkan dari tidur oleh jin penunggu gua, (M. Babjan) di Gunung Banang. Jin tersebut menghukum Wira dengan menyuruh memakan muntahnya. Dek kerana ketakutan, Wira terus makan sehingga membuatkan dia pengsan seketika. Tersedar dari pengsan, Wira berjumpa dengan Puteri Gunong Banang, (Sri Dewi). Tuan puteri membawanya masuk kedalam gua dan menyuruh Wira melihat cermin. Alangkah terkejutnya apabila dia mendapati wajahnya sudah menjadi muda kembali. Tuan puteri memberitahu Wira adalah insan terpilih selepas mencabut pokok hikmat (pokok kunyit hitam) jika seseorang itu berhati murni maka dianugerahkan kecantikan seperti itu. Wira diperlihatkan dengan nyanyian dan tarian dari alam bunian. Wira begitu terpesona dan mahu tinggal disitu dengan keindahan kehidupan di alam bunian tetapi tuan puteri melarang manusia untuk tinggal di alamnya. Tuan puteri memberikan wang emas kepada Wira untuk dibawa pulang ke dunia nyata tetapi Wira tidak berkenan untuk menjadi kaya. Tuan puteri menghadiahkan pula semangkuk air hikmat sebagai penawar untuk membantu orang ramai. Wira menerimanya dengan bersyarat dia tidak boleh menganiaya orang ramai dengan air hikmat itu. Wira pulang semula ke rumah, abang-abangnya mulai tidak percaya akan kata-kata Wira kerana wajahnya tidak seperti yang dikenalnya dahulu dan dia sudah tidak pulang ke rumah berbulan-bulan lamanya. Orang kampung pula cuba menghalau Wira keluar dari kampung kerana dituduh menggunakan ilmu sihir. Wira menurutkan sahaja dengan hati yang lara.

Wira tiba di satu perkampungan, dia dipertemukan dengan Baiduri (Hashimah Yon), seorang yang mengalami sakit mental. Wira tergerak hati hati untuk membantu Baiduri agar dia pulih semula dengan air hikmatnya. Tok penghulu, (S. Kadarisman) juga turut membantu Wira. Dengan kuasa tuhan, Baiduri ditakdirkan sembuh dari penyakit gilanya. Kerana termakan budi, Wira dijodohkan dengan Baiduri diatas restu ayahnya.

Setelah berbulan-bulan lamanya, penduduk kampung asalnya dihebohkan dengan kehebatan Wira yang mampu mengubati pesakit dengan percuma. Terab dan Toba memutuskan untuk pergi ke kampung seberang untuk bertemu dengan adik bongsunya, Wira. Wira melayani abang-abangnya dengan baik sekali. Mereka berdua sungguh terkesima dengan kehidupan mewah Wira yang sekarang ini. Terab (Kemat Hassan) dan Toba (Salleh Kamil) begitu terpesona dengan cerita dari Wira. Disitulah Toba mula mempunyai perasaan rasa iri hati terhadap Wira. Ketika Wira sedang tidur nyenyak, abang-abangnya telah meninggalkan rumah Wira untuk pergi ke Gunong Banang. Keesokkan paginya mereka tiba di puncak Gunong Banang. Mereka mencabut banyak pokok di gunung tersebut dan memakannya tetapi tidak berhasil. Akhirnya Toba berjaya menjumpai pokok hikmat (kunyit hitam) dan mereka bergelut berdua untuk memiliki pokok tersebut. Akibat dari pergelutan itu, Terab akhirnya terkorban dan jatuh ke dalam gaung. Di dalam gua pula, Toba telah disapa oleh tuan puteri. Tuan puteri mengesahkan itu bukan pokok kunyit hitam tetapi hanyalah pokok kunyit biasa. Selepas dimakannya, tiada hasil pada fizikal tubuhnya. Tuan puteri terus mengenakan beberapa syarat kepada Toba, dia perlu berkahwin dengannya, tidak boleh melihat wajahnya selama 100 hari dan tidak boleh menganiaya orang awam yang lain. Tuan puteri memberikan satu pokok kunyit hitam dan menyuruh Toba memakannya. Selepas makan, Toba menjadi muda dan tampan, mereka terus berkahwin dan Toba teringin untuk melihat wajah tuan puteri tetapi tuan puteri memberi amaran. Toba tidak perlu tinggal di situ selama 100 hari dia harus pulang ke alam manusia, selepas 100 hari baharulah Toba boleh menemui tuan puteri semula. Toba menjadi tamak dengan wang emas yang diberikan tuan puteri dan meninggalkan alam bunian terus ke dunia yang nyata.

Di hari pertunangan Wira dan Baiduri, Toba menghadiahkan barangan kemas kepada Baiduri dan Tok penghulu. Tok penghulu sangatlah teruja dengan pemberian dari Toba. Toba mulai mengganggu emosi Wira dengan memuji berlebihan terhadap kecantikan Baiduri. Toba mulai menjadi gila bayang. Dengan hasutan nafsu amarahnya, Toba cuba melanggar janjinya dengan tuan puteri untuk dia berkahwin lagi denga Baiduri. Dengan harta terkumpul di Gunong Banang, dia pergi menyelinap masuk ke bilik simpanan harta namun disergah oleh tuan puteri. Toba berbohong pada tuan puteri dan tuan puteri mengizinkannya mengambil harta tersebut untuk dibantu pada orang kampung yang berada dalam kesusahan. Sekembalinya ke kampung, Toba telah memberi rasuah kepada tok penghulu sebagai cenderahati untuk memikat Baiduri dan memutuskan tali pertunangan antara Wira dengan Baiduri. Dek kerana hasutan orang kampung dan ketamakan yang mulai wujud dalam dirinya, tok penghulu akhirnya berubah fikiran. Wira terkejut dan dia tidak berpuas hati dengan tindakan tok penghulu memutuskan tali pertunangannya dan menyambung pertunangan itu dengan abangnya, Toba. Wira ingin membunuh abangnya tetapi mereka telah diseru amaran dari tuan puteri. Wira merelakan dengan hati yang tidak rela antara pertunangan abangnya Toba dengan Baiduri. Ketika mereka disandingkan bersama, alangkah terkejut para hadirin apabila Baiduri bersanding bersebelahan dengan Toba yang sudah tua. Toba telah disumpah dan segala harta kekayaannya bertukar menjadi daun kering. Tok penghulu tidak sedar yang Baiduri telah dilarikan oleh Toba. Ketika Toba bersusah payah mencari kasut hikmatnya, Wira telah mengambilnya terlebih dahulu. Wira telah menerbangkan kasut hikmat tersebut pulang ke Gunong Banang. Toba pula melarikan diri ke gunung tersebut untuk meminta pertolongan dari tuan puteri. Tuan puteri telah menyumpahnya dengan menjadi kaku sebelum dia disumpah kali kedua menjadi seekor monyet. Tuan puteri telah memberikan pengajaran kepada orang kampung agar jauhi sifat tamak dan tidak menganiaya sesama manusia. Manakala Wira pula kekal keadaannya yang asal seperti sedia kala.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Lagu[sunting | sunting sumber]

  1. Betapa Riangnya - P. Ramlee
  2. Paduan Kasih - P. Ramlee dan Hashimah Yon

Pautan luar[sunting | sunting sumber]