Pergi ke kandungan

Puteri Lindungan Bulan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kisah Puteri Lindungan Bulan adalah salah satu mitos atau kisah legenda dari negeri Kedah, yang mengisahkan tentang Sultan Sulaiman Syah yang pernah memerintah Kedah pada pertengahan kurun ke-16, dan pusat pemerintahan baginda berpusat di Kota Seputeh. Baginda dikatakan mempunyai seorang puteri jelita yang dikatakan berdarah putih, digelar Puteri Zaleha. Selain dari puteri berdarah putih tersebut, baginda juga mempunyai seorang lagi puteri yang merupakan kekanda kepada Puteri Zaleha, iaitu Puteri Mariam.

Tersebut pula kisah tentang Kerajaan Acheh yang pada waktu itu bangkit dan menjadi kuasa besar di perairan Selat Melaka, setelah kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Selain dari Acheh juga, Melaka yang pada waktu itu berada dibawah kekuasaan Portugis dan juga Empayar Kesultanan Johor, juga antara kuasa besar yang cuba menguasai aliran perdagangan di Selat Melaka. Acheh, dibawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, menjadi kuat dengan tenaga tentera dan kedudukan strategiknya di utara Sumatera, menjadi pengawal pintu masuk ke Selat Melaka dari arah Barat. Menjadi cerita, baginda bermimpikan dua orang gadis jelita yang keluar dari sekuntum melur besar. Terlalu taksubkan kecantikan kedua-dua gadis tersebut, baginda telah merujuk kepada nujum diraja siapakan gerangan mereka. Menurut nujum tersebut, mereka adalah puteri kedua anakanda kepada Sultan Sulaiman Syah yang memerintah Kedah. Nujum tersebut juga menyebut, salah seorang dari mereka adalah Puteri Berdarah Putih.

Mendengarkan perihal tersebut, baginda makin bertambah taksub untuk memiliki Puteri Berdarah Putih,cuma baginda tidak dapat mengenalpasti, yang mana satukah puteri tersebut. Sebuah rombongan peminangan besar-besar dihantar ke Kedah. Sultan Sulaiman khuatir akan keselamatan Puteri Zaleha, tambahan pula baginda ahu akan perihal kelakuan sultan Acheh yang selalu bertukar isteri. Didorong atas rasa tersebut, baginda menukarkan Puteri Zaleha dengan Puteri Mariam, tanpa diketahui oleh rombongan peminangan tersebut. Setelah istiadat perkahwinan berlangsung, Puteri Mariam dibawa pulang ke Acheh. Berlaku satu kejadian, dimana dikatakn Puteri Mariam terluka akibat kacip pinang, dan mengeluarkan darah merah, mengakibatkan rahsia yang selama ini disimpan terbongkar. Menyedari baginda tertipu, Sultan Iskandar Muda memerintahkan negeri Kedah diserang.

Kedah tidak mampu menentang bala tentera Acheh yang gagah. Menyedari akan niat serangan tersebut, Sultan Sulaiman memerintahkan sebuah kubu dibina dibawah istana, tempat baginda menyembunyikan Puteri Zaleha. Kedah ternyata kalah dan Sultan Sulaiman serta para pembesar ditawan dan dibawa ke Acheh. Namun, sebelum baginda dibawa ke Acheh, baginda telah berdoa agar dilindungi akan puterinya dari keserakahan sultan Acheh tersebut. Dikatakan sewaktu tentera Acheh membinasakan istana dan kota untuk mencari puteri tersebut, walaupun bulan mengambang terang, tetapi pintu masuk kubu tersebut telah menjadi gelap memnyebabkan tentera Acheh gagal mendapatkan Puteri Zaleha. Setelah begitu lama dalam tawanan, Sultan Sulaiman mangkat dalam tawanan.

Dalam tempoh itu juga Puteri Zaleha yang begitu lama ditinggalkan di dalam kubu, juga mangkat. Jenazah baginda berdua dimakamkan di puncak bukit Kota Seputeh yang hingga kini dapat dilihat dan kejadian lindungan bulan di atas makam Puteri Zaleha masih terjadi hingga ke hari ini.(Terjadi lindungan bulan di makam Puteri Zaleha sehingga sekarang hanya dongeng atau secara kebetulan sahaja ..)