Ragam bahasa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ragam bahasa atau gaya bahasa bermaksud variasi bentuk-bentuk bahasa yang digunakan bagi maksud yang sama berdasarkan situasi tertentu. Ragam bahasa merupakan pengkajian terhadap ciri-ciri bahasa yang berbeza apabila kita membandingkan kumpulan penutur berbeza atau suatu kumpulan penutur yang sama dalam keadaan yang berbeza. Terdapat dua jenis ragam bahasa, iaitu bahasa formal dan bahasa tidak formal. Keseragaman bahasa berkaitan dengan standard bahasa yang digunakan. Bahasa baku ialah satu jenis bahasa yang menggambarkan keseragaman dalam bentuk dan fungsi bahasa, menurut ahli linguistik Einar Haugen. Ia dikatakan sebagai "loghat yang paling betul" bagi sesuatu bahasa.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ragam bermaksud 1. tingkah, cara, laku, olah 2. jenis, macam 3. lagu, langgam 4. corak, ragi, warna. Oleh itu, banyak ragam boleh bermaksud banyak cara, banyak jenis, banyak corak dan sebagainya bergantung pada konteks penggunaannya.

Sementara itu, dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu, Za'ba membahagikan ragam bahasa kepada dua bahagian, iaitu gaya cakap mulut dan gaya surat. Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ragam bahasa dibahagikan kepada tajuk-tajuk berikut:

i. Ragam bahasa lisan
ii. Ragam bahasa Melayu tulisan
iii. Bahasa-bahasa daerah
iv. Laras-laras bahasa Melayu moden.

Aspek ini lebih menekankan kepelbagaian daerah atau kawasan bagi bahasa yang sama dan bukannya perbandingan ciri-ciri antara dua bahasa. Bahasa ialah kepunyaan masyarakat yang menuturkannya. Makin besar jumlah penuturnya, makin luas kawasan penyebaran bahasa itu, dan makin banyak pula perbezaan yang wujud dari segi penggunaannya.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]