Raja Bersiong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Raja Bersiung)
Lompat ke: pandu arah, cari
Untuk kegunaan lain, sila lihat Raja Bersiong (nyahkekaburan).

Raja Bersiong ialah nama gelaran bagi seorang Raja negeri Kedah yang berpusat di Lembah Bujang. Negeri Kedah pada masa ini ialah sebahagian daripada Kerajaan sriwijaya. Nama sebenar baginda ialah Raja Ong Maha Perita Deria. Baginda merupakan raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa.

Raja zalim[sunting | sunting sumber]

Baginda ialah seorang raja yang zalim dan ditakuti rakyat. Sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang negeri, akan ditangkap dan dipenjarakan atau dibunuh oleh pengawal atau panglima Raja Bersiong.

Tumbuh siong[sunting | sunting sumber]

Baginda amat gemar memakan masakan gulai bayam. Pada suatu hari, Baginda telah pergi berburu. Tukang masak Baginda seperti biasa telah ditugaskan untuk memasak gulai bayam. Tukang masak ini suka berangan-angan, tanpa disedari beliau telah terpotong jarinya sendiri. Darah dari jarinya telah termasuk ke dalam periuk gulai bayam yang akan dihidangkan kepada Raja Bersiong. Tukang masak ini telah menyembunyikan hal ini daripada pengetahuan orang lain kerana tiada masa untuk menggantikan masakan ini dengan masakan yang lain. Apabila pulang daripada perburuan, Raja Bersiong terasa amat lapar dan terus sahaja bersantapkan nasi berlaukkan gulai bayam bercampur darah tadi. Baginda terasa kelainan pada masakan gulai bayam kali ini. Masakannya terasa amat enak. Baginda telah bertanya kepada tukang masak tentang hal ini. Tukang masak telah mengaku akan kesalahannya membiarkan Baginda santap masakan yang telah bercampur dengan darah manusia. Baginda kemudian telah menitahkan pengawal memancung dan membunuh musuh-musuh baginda yang dipenjarakan. Seorang banduan akan dihukum pancung dan darahnya akan dikumpulkan dalam satu bekas dan dimasukkan ke dalam masakan gulai bayam untuk santapan Raja Bersiong.

Sejak hari itu, Raja Bersiong tidak boleh hidup tanpa menyantap darah manusia setiap hari. Habis banduan di dalam penjara yang dipancung dan diambil darahnya. Sesudah penjara Baginda kosong, Raja Bersiong menitahkan para pengawal untuk menculik kanak-kanak yang tidak bersalah. Kanak-kanak ini dibunuh dan darah mereka diambil untuk disantap oleh Raja Bersiong. Penduduk negeri berasa sangat marah akan baginda, tetapi mereka takut untuk berbuat apa-apa. Pada suatu malam, dua batang taring atau siong telah tumbuh di dalam mulut Raja Bersiong kerana kegemaran Baginda menyantap darah. Raja Bersiong berasa sangat bangga. Baginda mahu musuh-musuh takut kepada Baginda dan rakyat jelata berasa hormat kepada Baginda. Sementara itu, Baginda terus menangkap kanak-kanak dan rakyat yang tidak bersalah untuk dibunuh dan diambil darah mereka.

Pemberontakan[sunting | sunting sumber]

Sekumpulan nelayan telah memberontak dan menyerang istana Raja Bersiong, tetapi mereka telah dikalahkan oleh tentera Raja Bersiong. Salah seorang nelayan yang terkorban ini ialah adik kepada salah seorang menteri Raja Bersiong. Menteri ini terkenal di kalangan orang istana dan rakyat. Menteri ini berasa amat dukacita akan kematian adiknya. Beliau kemudiannya telah menunggu Raja Bersiong pergi ke hutan untuk berburu bersama seratus orang pengawalnya. Menteri ini telah mengumpulkan bala tentera yang berjumlah beribu-ribu orang untuk memberontak dan mengusir keluar Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong pulang daripada perburuannya, beliau terkejut melihat ramai tentera yang telah mengepungnya diketuai oleh Menteri. Baginda mengarahkan pengawal-pengawal untuk bertarung dengan tentera pemberontak yang diketuai oleh Menteri, tetapi pengawal-pengawal telah belot dan menyertai tentera menteri. Baginda menjadi takut kerana tinggal berseorangan lalu telah melarikan diri ke dalam hutan. Baginda telah mangkat di dalam hutan tersebut.

Tempat yang dikaitkan dengan Raja Bersiong[sunting | sunting sumber]

Kisah Raja Bersiong sebenarya banyak disulami dengan cerita lisan daripada masyarakat khususnya daripada kalangan warga emas. Menurut cerita lisan seorang penduduk warga tua[nyatakan menurut siapa?] di kaki Bukit Choras. dia menyatakan bahawa Bukit Choras, Guar di Kedah mempunyai anak sungai yang pernah disinggahi saudagar dari negara China. Dikatakan Raja bersiong pernah bersemayam di Bukit Choras.[perlu rujukan]

Tempat lain seperti di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, diceritakan mempunyai sebuah istana Raja Bersiong di atas sebuah bukit di mana terdapat air terjun. Air terjun ini menembusi satu lubang batu sedalam sebatang buluh. Atas sebab inilah Kampung Tikam Batu mendapat namanya.

Satu lagi tempat yang dikaitkan dengan Raja Bersiong ialah Bukit Penjara, Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah.[perlu rujukan] Di atas bukit ini dikatakan ada struktur binaan penjara Raja Bersiong untuk menyimpan tahanan. Struktur tapak bangunan penjara dan rumah menteri masih boleh dilihat di atas bukit ini.

Dikatakan juga Raja Bersiong menyembah berhala Hindu yang diperbuat daripada emas. Berhala ini dibawa ke India pada era pemerintahan zaman British. (Abdul Halim bin Abdul Ghani, Saujana Agriculture and Soil Consultancy, Pasar Mini Saujana Tikam Batu).[perlu rujukan]

Menurut suntingan wartawan Megat Lutfi Megat Rahim dan Ahmad Syahir Kassim daripada akhbar Kosmo, akhbar bahasa Melayu di Malaysia, dalam seksyen Jurnal halaman 42, bertarikh 30 Oktober 2011, ada dilaporkan bahawa mereka telah menemui beberapa orang sejarawan dari negeri Kedah untuk bertanyakan tempat bersemayamnya Raja Bersiong. Menurut seorang warga emas yang menetap di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Jitra, Kedah, Abdul Rahim Ahmad, ramai orang mengaitkan Istana Tengku Kudin di Kepala Batas, Kedah sebagai Istana Semayam Raja Bersiong, namun tiada kesahihan yang dapat dipastikan daripada dakwaan tersebut.

Layar perak[sunting | sunting sumber]

Cerita ini telah diadaptasi ke layar perak sebanyak dua kali, iaitu Raja Bersiong (filem 1963) dan Filem Raja Bersiong (1968).

Rujukan[sunting | sunting sumber]