Raja Jembal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Raja Jembal adalah salah sebuah institusi beraja yang memerintah Kelantan pada abad ke-17 dan ke-18. Pusat pemerintahannya ialah di Jembal iaitu di Kedai Lalat sekarang. Sehingga kini pun masih ada saki-baki keturunan raja Jembal di beberapa kampung berhampiran Kedai Lalat.

Penceritaan[sunting | sunting sumber]

Mengikut satu dongeng sejarah, kerajaan ini ada kaitan dengan Raja Bersiung dari Kedah, yang membawa diri ke Kelantan (tentunya selepas peristiwa minum darah di Kedah).[1][2] Semasa berada di Jembal, baginda memelihara dua orang anak angkat - seorang lelaki yang dinamaï baginda Raja Sakti, dan seorang perempuan yang dinamaï baginda Puteri Mani Kemenyan. Apabila kedua-duanya dewasa, mereka dikahwinkan baginda. Hasil daripada perkahwinan itu, mereka memperoleh 4 orang putera dan 3 orang puteri, iaitu Raja Loyor, Raja Bahar, Raja Umar, Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melur, dan Puteri Cempaka Bongsu.[2]


Raja Sakti adalah raja pertama kerajaan Jembal, iaitu mulaï 1638.[3] Baginda kemudiannya melantik putera baginda, Raja Loyor sebagai pengganti baginda kelak, manakala Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Umar sebagai Temenggung, dan Raja Sungai sebagai Raja Muda.[2]

Sebagai maklumat tambahan, serentak dengan ini juga terdapat sebuah kerajaan lagi di Hulu Kelantan di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang (1610 - 1667). Melaka pula di ambang peralihan dari Feringgi kepada Belanda (1741). Jauh di utara semenanjung, Kerajaan Ayuthia memerintah Siam di bawah Raja Prasat Thong (1630 - 1656) dan Raja Narai (1656 - 1709). Patani pula diperintah oleh raja-raja perempuan seperti Raja Ungu (1624 - 1635) dan Raja Kuning (1635 - 1688). Selepas pemerintahan Raja Kuning inilah Patani mulaï merosot dan menjadi rebutan di kalangan bendahara yang dipanggil datu (atau disalah sebut sebagai datuk). Datu Pengkalan Tua iaitu bapa kepada Long Bahar atau Long Besar yang kemudiannya memerintah Jembal, adalah salah seorang daripada datu Patani.[4]Pada tahun 1721, takhta kerajaan telah berpindah kepada Long Bahar atau Long Besar anak Datu Pengkalan Tua dari Patani tadi.

Keturunan[sunting | sunting sumber]

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat ditelurusi datang dari keturunan salah seorang kerabat raja Jembal.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Saad Shukri bin Haji Muda. (1971). Detik2 Sejarah Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press.
  2. ^ a b c Amy Suzani Mohd Ainuddin. (1999). Raja Bersiong Puteri Saadong. Kota Bharu: JalarMihat. ISBN 983-2098-89-0
  3. ^ Saad Shukri bin Haji Muda. (1971). Detik2 Sejarah Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press.
  4. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2004-02-03. Dicapai pada 2004-02-03.