Raja Kecil Sulung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Raja Kecil Sulung adalah putera sulong kepada Sultan Umar yang merupakan Raja pemerintah Kelantan dari Dinasti D'Raja Jembal. Pada tahun 1721 berikutan kemangkatan ayahnda baginda iaitu Sultan Umar, tampuk pemerintahan kerajaan Kelantan telah diberikan oleh baginda kepada adinda baginda iaitu Raja Pah dan suaminya Long Bahar iaitu anak Datu Pengkalan Tua Raja Jambu Patani sebagai Raja pemerintah Kelantan yang baharu dengan Raja Pah sebagai Permaisurinya.

Namun,Setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung pada tahun 1725, satu perebutan kuasa atas nama "tuntutan hak" telah berlaku di antara putera baginda Raja Abdul Rahman dengan Long Bahar dan Raja Pah yang merupakan bonda saudaranya.

Akibat daripada perebutan kuasa itu, Raja Abdul Rahman akhirnya tersingkir daripada tuntutan hak keatas takhta pemerintahan kerajaan manakala bonda saudaranya iaitu Raja Pah bersama suaminya Long Bahar yang bergelar Raja Tuan Besar kekal memerintah Kelantan berkat daripada peranan Raja Pah yang telah berjaya memperoleh sokongan kuat dengan mempengaruhi para pembesar negeri melalui komplot bersama besannya iaitu Bendahara Tuan Dagang. Natijah daripada ini, perpecahan mulai telah berlaku dalam kalangan kerabat D'Raja Jembal kerana Raja Tuan Besar Long Bahar berasal dari Patani. Sepatutnya Raja Abdul Rahman yang mewarisi takhta bagi meneruskan kuasa keturunan Raja Jembal.

Selepas kemangkatan Raja Tuan Besar Long Bahar pada tahun 1733 dan akibat daripada kenaikan anaknda Raja Tuan Besar Long Bahar dari isterinya sebelah Patani yang bernama Long Sulaiman dan bukannya anaknda baginda dari isterinya Raja Pah keatas teraju pemerintahan Kelantan. Maka berakhirlah Dinasti D'Raja Jembal keatas takhta pemerintahan Kelantan.

Namun demikian, kesan sejarahnya masih wujud dengan adanya makam Raja Sakti, makam Raja Loyor, makam Sultan Umar dan makam Raja Bahar yang telah dibaiki dan dibina semula oleh pihak Muzium Negara pada tahun 1970-an. Makam-makam ini terletak di sekitar Kota Jembal.